USAI solat zuhur, Amy menuju ke
bilik Rus. Dia terus sahaja membuka pintu bilik tanpa mengetuknya terlebih
dahulu. Saat ini dia sudah tidak sabar mahu mengorek cerita daripada gadis itu.
Tidak tenteram jiwa selagi tidak tahu cerita sepenuhnya.
Sebaik terpandang Rus sedang
mengesat air matanya, dia berasa serba salah pula. Sudahlah masuk tanpa
kebenaran kerana terbiasa berbuat demikian. Apatah lagi Rus juga tidak pernah
menegur atau marah.
“Sorry…
kau nangis ke?” Amy bertanya lalu duduk di birai katil.
Rus tidak berkata apa-apa. Dari
melunjur dia bersila, kemudian meletakkan kusyen kecil atas ribanya.
Amy pandang wajah sedih sahabatnya.
Terbantut niatnya untuk bertanya pasal mat salih. Balik tadi, tiada pula
tanda-tanda Rus sedang menghadapi masalah sampai boleh bersedih begini.
“Kalau ada apa-apa, ceritalah kat
aku. Mana boleh aku tolong, aku tolong,” tutur Amy. Kini dia turut duduk di
sebelah Rus. Bahu sahabatnya itu dipeluk erat.
“Entahlah, susah aku nak cerita kat
kau. Biarlah dulu. Selagi boleh aku tanggung, aku pikul...” tutur Rus dengan sebak.
Air mata kembali merembes.
“Eh, janganlah cakap macam tu, sedih
aku mendengarnya. Apa gunanya aku jadi kawan kalau tak boleh tolong kawan
sendiri.”
“Terima kasih sebab selalu jadi
pendengar setia aku. Selalu jadi tempat aku mengadu dan meluahkan perasaan,”
ucap Rus. Air matanya bagai tidak mahu berhenti mengalir. Sudah diseka,
merembes lagi.
“Tak ada hal, tapi janganlah asyik
bersedih sendiri-sendiri. Kalau aku tak ada, pada Nurul pun kau boleh luahkan jugak,”
ujar Amy.
“Aku okey. Kau jangan risaulah,”
balas Rus yang tidak mahu menyusahkan orang lain. Biarlah dia menelan perasaan
sedih sendirian.
“Macam mana aku tak risau? Kau mana
pernah menangis beria-ia macam ni,” tutur Amy yang bersimpati walau masih tidak
tahu punca Rus bersedih.
“Entahlah, sejak dua menjak ni aku
terlebih sensitif pulak,” beritahu Rus. Air mata dikesat dengan hujung lengan
bajunya.
“Ni mesti ada kena mengena dengan
lelaki tu, kan?”
“Hujung tahun ni, aku kena kahwin
jugak dengan dia. Apa pun alasan aku bagi, mak aku tak nak dengar,” beritahu
Rus dengan pilu.
“Kisahnya. Huzaif ada cakap apa-apa
tak?”
“Dia tak pernah pun hubungi aku. Tu
yang buat aku lagi sedih...” luah Rus.
“Aku rasa, dia pun bukan setuju
sangat bertunang dengan kau. Entah-entah keluarga dia aje yang berlebih.”
“Itu aku tak pasti.
Sekurang-kurangnya hubungilah aku, cakap dari hati ke hati. Apa nak jadi kalau
sekali pun kami tak pernah bercakap?” Perkara itu yang membuat Rus terasa hati
walau dia tidak mengharapkan apa-apa daripada lelaki itu.
“Kau ni biar betul?” Amy terkejut
mendengar penjelasan Rus.
“Aku tak tipu…”
“Peliklah korang ni. Masa bertunang
nilah patutnya ambil peluang kenal lebih rapat walau berjauhan. Sekarang ni
macam-macam cara boleh guna,” komen Amy.
“Entah-entah nombor telefon aku pun
dia tak pernah nak ambil tahu,” keluh Rus.
“Kau ada nombor dia kat sana?” tanya
Amy.
Rus menggeleng.
“Alahai, dua kali lima aje kau
dengan dia! Tapi, apa yang buat kau bersedih sangat?”
“Sebab terpaksa kahwin dengan dia
la!”
“Aku rasa tak terlambat kalau kau
cari calon lain, kan?”
Rus terus pandang tepat ke wajah
Amy. “Apa maksud kau?”
“La… takkan tak faham? Tunjuk kat
keluarga kau yang kau ada calon yang lebih baik dan lebih sayangkan kau.”
“Kau ingat senang ke nak cari dalam
masa terdekat ni? Siapa aje yang suka dan sayang kat aku?”
“Sebab tu kena cari,” balas Amy.
“Kalau kau bagi tempoh setahun pun,
belum tentu aku dapat cari!”
“Itu kata kau. Siapa tahu, kat luar
sana ada yang berkenan dengan kau?”
“Mengarut!” Rus tidak suka dengan
apa yang Amy cadangkan. Ia bukanlah pilihan yang tepat.
“Zaman sekarang ni, dalam sekelip
mata boleh aje berlaku perkara yang pelik-pelik. Kau aje yang tak nak ambil
tahu,” tegur Amy.
Bukan dia tidak tahu perangai Rus
yang hanya memberi tumpuan pada kerja dan keluarganya sahaja. Hal-hal yang
lain, malas dia hendak prihatin dan peduli. Fasal lelaki lagilah dia tidak
ambil pusing. Kalau bertembung dengan jejaka yang suka mengusiknya, pasti sahaja
dia membuat pusingan U. Biarlah ikut jalan jauh dari terpaksa berselisih.
“Nak tak kalau aku perkenalkan
dengan seorang lelaki ni? Dia pun sedang mencari calon isteri,” cadang Amy.
“Kau ni… kan aku dah jadi tunangan
orang?”
“Alah, boleh aje putuskan. Kalau dia
tak putuskan, kau ajelah yang putuskan! Takkan nak teruskan hidup dengan lelaki
yang tak kau cintai?”
“Kau bila bercakap, semuanya ambil
mudah. Bukan nak fikir perasaan orang lain!” sungut Rus.
“Permudahkan jangan menyusahkan.
Selalu dengar ayat tu, kan?”
“Eii… memang susah bercakap dengan
kau ni!” Dari berasa sedih, kini Rus berasa bengang pula dengan bicara
sahabatnya itu.
“Fikir
sedalam-dalamnya sebelum menerima dia dalam hidup kau. Hidup dengannya bukan
untuk sehari, tapi kalau boleh untuk selama-lamanya. Buatlah keputusan dengan
akal yang waras dan penuh yakin. Menyesal kemudian hari dah tak berguna.”Amy
mengingatkan.
“Yalah…” balas Rus, lemah. Apa yang Amy
katakan ada juga benarnya.
“Okeylah, aku malas nak kacau. Kau
rehat ajelah, tapi jangan bersedih sangat. Karang banjir rumah kita ni walau
sekarang ni musim panas.” Sempat juga Amy mengusik sebelum keluar dari bilik
Rus.
SEJAK Amy tinggalkan dirinya, Rus asyik termenung dan
bersedih mengenang nasib diri. Hatinya mudah sahaja berasa hiba dengan layanan emaknya.
Bukan baru sekarang dia berperasaan begitu, malah sejak dia bersekolah rendah
lagi. Mujur dia rapat dengan abahnya.
Kalau dia mahukan sesuatu, hanya pada
abahnya dia meminta. Kalau dengan emaknya, memang tidak akan dilayan. Akhirnya
dia akan memendam rasa dan berasa amat tersisih dengan emak sendiri. Abah dia
jugalah yang akan sentiasa memujuknya.
Tiba-tiba wajah abah kesayangan terlayar
di ingatan.
“Abah faham perasaan anak abah. Bukan
abah pura-pura tak sedar,” luah Haji Rosman ketika Rus bercuti di kampung.
“Ini bukan pertama kali abah. Macam mana
Rus tak rasa sedih? Mak memang tak sayangkan Rus!” Rus menyatakan rasa tidak
puas hatinya. Hendak kata dia bukan anak Hajah Kalsum, wajahnya persis sekali
dengannya.
“Tak baik buruk sangka dengan mak
sendiri. Mak dan abah sayang dengan korang semua,” pujuk Haji Rosman lagi.
“Hanya abah yang sayangkan Rus!”
balasnya dengan sebak.
“Pernah fikir tak, kenapa dalam
banyak-banyak anak abah, hanya Rus yang paling berjaya?”
Rus menyeka air matanya dengan hujung
jari. Wajah Haji Rosman lama dipandang.
“Sebab Ruslah yang paling banyak dapat
doa daripada mak dan abah. Hanya dengan doa kami, Rus mudah berjaya dalam
pelajaran dan mudah dapat kerja. Tapi dengan anak-anak yang lain, doa sahaja
tidak cukup untuk buat mereka berjaya.”
Rus terkedu mendengarnya.
“Rus adalah anak abah yang paling
menyenangkan. Mak dan abah tak perlu bersusah payah untuk memastikan Rus
berjaya. Kami tahu Rus akan bekerja keras, anak-anak lain tidak begitu. Doalah
banyak kali, namun tak banyak yang akan berubah andai usaha dari diri sendiri
tidak mahu dilakukan,” tutur Haji Rosman, menjelaskan apa yang anaknya salah
faham.
Rus masih memandang wajah abahnya.
Benarkah begitu atau abahnya sekadar mahu memujuk dirinya? Bagaimana dengan dirinya
yang terpaksa bertunang dengan Huzaif? Kenapa tidak beri kebebasan padanya
untuk tentukan jalan hidupnya?