Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,608
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 3

RUS panas punggung mengenang insiden tadi walaupun mat salih berlagak biasa sahaja. Dia tidak betah untuk berpura-pura tiada apa yang berlaku. Ke mana dia hendak melarikan diri? Dalam mindanya hanya ada dua perkara sahaja yang terlintas. Bersiar-siar di setiap koc atau terus pergi ke bar F & B di koc C.

Pilihan terbaik tentu sahaja menuju ke koc C. Di sana dia boleh mengisi perut dan duduk berlama-lama. Tetapi dia perlu meminta jejaka di sebelahnya ini memberi ruang untuk dia keluar. ‘Aduhai… payah jugak bila duduk di kerusi tepi tingkap ini,’ keluhnya.

Baru sahaja Rus berkira-kira hendak membuka mulut, tiba-tiba mat salih itu bangun. Rus mengurut dada. Apabila menyedari lelaki itu menuju ke tandas, Rus bingkas bangun dan menuju ke koc C.

Tiba di bar F & B, dia memesan air Nescafe dan mihun goreng. Selepas buat pembayaran, dia mengambil tempat di kerusi yang paling hujung. Perlahan-lahan dia mengacau air Nescafe yang masih panas, kemudian menyisipnya. Mihun yang dibeli hanya dipandang, tidak teringin pula hendak menjamahnya.

Ketika ini tiada penumpang lain yang berada di situ. Mungkin sahaja masing-masing sudah mengisi perut sebelum menaiki tren. Rus pula hanya menjamah lempeng pisang sewaktu bersarapan walaupun emaknya ada memasak nasi lemak. Bukan dia tidak suka, cuma takut sakit perut dalam perjalanan.

Sementara itu, dia melayari Facebook di telefon pintarnya. Apabila tiada isu yang menarik, dia beralih menghayati pemandangan di luar pula. Namun, apa sangatlah yang dapat dipandang andai tren ini berdesup bukan main laju. Kadang-kadang menghampiri 150km/jam juga! Begitulah kelajuan yang tercatat pada skrin monitor sewaktu Rus berada di tempatnya.

Lima belas minit berlalu dan dia masih di situ. Termenung, berangan dan ulang lagi bagi menghabiskan masa. Sebenarnya dia berasa tidak begitu selesa, tapi sekurang-kurangnya dia dapat menghilangkan diri sebentar. Tidaklah asyik serba salah duduk di tempatnya.

Tadi sahaja mat salih itu sering menjelingnya dengan ekor mata, macamlah dia tidak perasan. Kononnya leka membaca dan meneliti dokumen, namun kerap juga lelaki itu mencuri pandang ke arahnya.

‘Eh, bukan aku ke yang asyik curi pandang kat dia?’ Tiba-tiba Rus tersenyum. Geli hati dengan gelagat sendiri. Masih ada hati menyalahkan orang lain, padahal dirinya yang berlebih!

“Manis!” sebut satu suara.

Rus tersentak dan segera menoleh sebelahnya. Oh tidak, kini mat salih juga sudah berada di koc C? Mereka cuma dijarakkan dengan sebuah kerusi yang kosong di tengah.

“Maksud saya air Nescafe ni manis,” ujar lelaki itu sebaik menyedari Rus mengerut dahi.

‘Alahai, mat salih! Kau ingat aku perasan yang kau kata aku manis ke?’ Rus mengomel dalam hati.

“Tak sangka duduk kat sini rasa syok pulak. Bergoyang-goyang badan dibuatnya. Hati pun rasa goyang-goyang jugak!”

‘Goyang-goyang?’ Rus terpaksa menahan diri dari ketawa. Pada masa yang sama pura-pura tidak peduli bicara lelaki itu. Sah, taktik hendak mengajaknya berbual. Bukan dia tidak dapat membaca niatnya.

“Awak?” panggil mat salih sambil mengetuk meja beberapa kali.

“Kalau awak nak, makanlah mihun saya ni. Tiba-tiba rasa kenyang pulak,” pelawa Rus sambil menolak bungkusan mihun ke sebelah kiri cawannya.

“Hmm… tapi tak cukup dengan mihun aje. Saya nak yang lain boleh?”

Nampaknya mat salih masih mahu mencuba nasib. Untung Sponge Bob timbul, untung The Rock tenggelam!

“Boleh…” balas Rus, selamba.

“Betul?” Mat salih seakan tidak percaya. Siap jegilkan mata.

“Boleh blah!” ucap Rus dan cepat-cepat beredar menuju ke koc B. Dia rasa hendak ketawa juga kerana dapat kenakan mat salih itu.

Sampai di tempatnya, Rus terus menghenyakkan dirinya. Kini dia mencari akal bagaimana hendak mengelak dari lelaki itu. Melihat jam di tangan buat dia sesak nafas. Dia terpaksa menghadapnya sekurang-kurangnya lagi satu setengah jam. Lama gila tu! Takkan dia hendak berlagak jadi patung Barbie dan buat tidak tahu sahaja?

Paling-paling pun dia hanya boleh berpura-pura sibuk melayari internet atau Facebook. Tak pun menghubungi Amy dan ajak dia berbual. Namun itu bukan pilihan yang bijak. Gadis itu mesti bertanya pasal mat salih di sebelahnya. Paling dia tak suka, tentu sahaja bil telefonnya akan naik! Baiklah dia berjimat cermat.

“Sibuk ke? Sedap mihun tadi. Terima kasih ya,” ucap mat salih ketika duduk di tempatnya. Seperti tadi, dia kembali memakai tali pinggang keledarnya.

Rus sekadar mengangguk dan melemparkan pandangan ke luar tingkap. Saat ini hujan sudah turun membasahi bumi. Terasa hendak berselimut sahaja apabila suhu penghawa dingin agak sejuk. Sesekali dia menggosok-gosok kedua tapak tangannya. Namun, tiada apa yang berubah. Dia berasa semakin sejuk pula.

“Awak sejuk ke? Saya ada sweater, nak pinjam?” tanya mat salih yang perasan Rus dalam kesejukan.

“Tak apalah.” Rus segera menolak walaupun ketika ini dia amat memerlukannya. Biarlah dia kedinginan dari memakai sweater orang yang tidak dikenali. Silap hari bulan, entah penyakit apa yang akan hinggap di tubuhnya. Baiklah dia elakkan dari mencari nahas.

“Ni sweater baru yang dah dibasuh. Saya tak pernah pakai lagi, ambillah.” Mat salih masih berharap Rus tidak menolak pelawaannya.

Rus serba salah. Lelaki itu bagai tahu-tahu sahaja apa yang bermain di fikirannya.

“Awak… pakailah! Nanti selsema. Kalau sampai tahap menggigil, tak ada siapa yang boleh tolong awak,” pujuk lelaki itu apabila Rus masih jual mahal.

“Terima kasih.” Akhirnya Rus mengalah juga.

“Sama-sama.”

Sweater yang dihulurkan dia sambut dengan rasa amat bersyukur, tetapi dalam hati sahaja. Tidak mahu berlebih di hadapan lelaki itu.

Sungguh, kedinginan kali ini mencengkam hingga ke tulang hitam. Walaupun sedikit besar, Rus berasa selesa setelah memakainya. Bau pencuci Dynamo menyakinkan Rus sweater itu telah dibasuh.

“Kan dah okey?” Sebuah senyuman turut terukir di bibir mat salih. Gembira sekali kerana dapat memberi sedikit pertolongan.

“Maaf sebab kutuk awak pasal tali pinggang keledar tu,” pohon Rus, namun tidak berani memandang wajah orang sebelah.

“Tak apa. Sebenarnya saya selalu tertanya-tanya…” Mat salih berhenti seketika.

Rus terpaksa memandangnya. Takkanlah tidak mahu memberi sebarang respons. Orang telah berbudi, seharusnya dia berbahasa.

“Kenapa ya, gadis Melayu begitu skeptikal dengan perkara baik yang jarang dilakukan orang lain?” sambungnya sambil merenung Rus.

“Maaf sekali lagi. Hanya saya yang skeptikal dengan apa yang awak buat. Awak jangan salah faham, bukan semua gadis Melayu begitu,” ujar Rus agar lelaki itu tidak tersalah anggap.

I see. By the way, wajah saya ni macam putera raja dari kayangan ke?” tanya mat salih. Wajahnya memang bercahaya ketika menuturkan soalan cepu cemas buat gadis di sebelahnya.

Aduhai… ini yang buat Rus mahu melompat keluar dari tren ETS ini!

Sepi. Tiada jawapan daripada Rus.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran sebuah keluhan kecil dilepaskan. “Okey… saya faham yang awak tak selesa duduk di sebelah saya. Saya janji takkan kacau awak,” tuturnya sambil mengenyitkan mata.

Rus sekadar tersenyum dan berasa amat lega mendengarnya.

Mat salih sambung buat kerja. Dia kembali meneliti dokumen yang dibawanya.

Rus pula sudah mati kutu dan tidak tahu hendak buat apa. Lama-kelamaan, matanya kian kuyu dan layu. Akhirnya dia terlena juga.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.