Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,073
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 19

RUS masih dengan kerisauan di hati. Sejak semalam, hatinya masih belum tenang. Kenapalah Huzaif tidak balik lebih awal? Begitu pun sama ada suka atau tidak, dia perlu menerima dugaan yang menimpa dirinya. Walaupun menyakitkan, terpaksa dia telan dan lalui.

“TUHAN izinkan kita disakiti agar nanti kita tahu untuk mengubati orang yang terluka,” pujuk Nurul yang turut bersimpati dengan Rus.

Kali ini, dia menjadi pakar motivasi pula. Mahu memberikan kata nasihat dan perangsang buat sahabat yang disayangi. Hubungan baik Nurul dengan gadis itu bukan sekadar rakan serumah dan sepejabat, malah seperti adik-beradik. Andai Rus susah hati, dia juga akan berasa tidak tenang.

“Padanlah dengan muka aku, kan?” Dalam sedih, Rus mengutuk diri sendiri pula.

“Hish kau ni… tak baik cakap macam tu!” tegur Nurul yang tidak suka Rus mengutuk diri sendiri.

“Sebenarnya aku tak pernah rela dengan pertunangan kami. Memang aku amat berharap Huzaif akan putuskan pertunangan,” terang Rus.

“Kau biar betul? Kenapa selama ini kau tak cakap dengan aku?” Nurul buat muka terkejut dengan penjelasan Rus, padahal dia sedia maklum tentangnya.

“Kalau aku cakap sekalipun, kau bukannya boleh buat apa,” balas Rus.

“Sekurang-kurangnya kau boleh kongsi masalah dengan aku. Kadang-kadang kita akan rasa sedikit lega bila dah luahkan kat orang lain walaupun masalah sukar hendak diselesaikan,” ujar Nurul sedikit hampa.

Ingatkan tiada rahsia di antara mereka. Rupanya ada perkara Rus kongsikan dengan dirinya dan ada yang dikongsikan dengan Amy sahaja.

“Sekarang ni aku tengah pening. Persediaan majlis telah dibuat. Aku tak pasti macam mana mak dan abah aku nak hadapi semua ni,” keluh Rus.

“Nak buat apa lagi? Kena terima dan reda ajelah. Melainkan kau ada calon lain.”

“Kau ni ke situ pulak!”

“Dari membazir, baik teruskan majlis dengan calon yang lain. Ada calon tak?” tanya Nurul. Manalah tahu dalam diam Rus mencintai lelaki lain.

“Banyaklah kau punya calon!”

“Kalau macam tu, tak payah pening-pening. Terus tukar jadi majlis doa selamat, habis cerita.” Mudah sahaja Nurul memberi jalan penyelesaian.

“Itu aje pun alternatif yang ada. Cuma lepas ni, muka mak dan abah aku memang teballah,” ujar Rus. Andai dirinya yang berada di tempat emak dan abahnya, memang boleh demam seminggu!

“Harap kau banyak bersabar. Amy tahu tak?” tanya Nurul sebaik teringatkan sahabat mereka yang seorang lagi.

“Aku tak beritahu dia lagi. Sekarang ni, dia pun ada masalah jugak. Tak naklah susahkan dia dengan masalah aku pulak,” terang Rus.

So macam mana sekarang ni?” tanya Nurul. Wajah Rus dipandang dengan penuh simpati.

“Aku hanya mampu bersedih…”

“Percayalah cakap aku, apa yang kau sedihkan itu akan buat kau gembira dan tenang pada masa yang lain,” tutur Nurul.

“Kau takkan faham perasaan aku. Kau tak alami apa yang aku rasa,” keluh Rus.

“Memanglah, tapi kau perlu lupakan apa yang terjadi dan mulakan hidup baru. Tak payah nak ingat pasal benda tu lagi,” nasihat Nurul.

“Cakap senanglah. Hendak melaluinya tak semudah apa yang kita sangka,” balas Rus.

“Apa-apa hal, jangan lupa beritahu aku. Kalau kau nak aku datang temankan kau kat kampung, cakap aje. Aku pasti datang,” pesan Nurul.

“Terima kasih Nurul sebab sudi dengar masalah aku,” ucap Rus. Kini dia berasa sedikit lega.

“Tak ada hal. Jangan bersedih sangat,” pesan Nurul sebelum berlalu menuju ke biliknya.

“Yalah.”

Rus merebahkan dirinya di atas katil. Hatinya masih bersedih mengenangkan apa yang terjadi. Membayangkan wajah sedih emak dan abahnya lagi membuat dia tertekan. Dalam memikirkan masa hadapannya yang kian suram, akhirnya dia bersedih sampai terlena.


RUS menyusuri laluan pejalan kaki di taman berhampiran rumah sewanya. Petang ini tidak ramai yang beriadah di sini. Tidak seperti hari lain, riuh dengan manusia yang membawa ahli keluarga.

Ketika berasa bosan di rumah, dia sering juga ke sini bersendirian. Nurul dan Amy memang jarang menemaninya ke sini. Mereka lebih gemar ke pusat beli-belah andai kebosanan melanda diri.

Rus berjalan dan terus berjalan mengikut langkah kaki. Ketika ini pandangan matanya seakan kosong, sama seperti ruang hatinya yang kosong dan sunyi-sepi. Tiba-tiba dia berselisih dengan seseorang. Mujur dia sempat mengelak dari bertembung.

“Isaac, is that you?” Rus segera bertanya.

“Ya…” Isaac segera menoleh pada yang bersuara.

Benar sangkaan Rus, lelaki itu memang mat salih. Bagai tidak percaya pula boleh berjumpa dengan putera kayangan di taman ini.

“ALLAHUAKBAR!” ucap Isaac.

Dia tidak menyangka gadis yang menyapanya adalah Rus. Gadis yang ingin sekali dia temui. Ketika pertemuan mereka di lapangan terbang, dia tidak sempat berbual panjang dengan gadis itu.

Rus terpempan buat seketika. “Macam mana boleh ada kat sini?” soalnya.

“Untuk dipertemukan dengan awak…” gurau Isaac kemudian tertawa. Wajahnya gembira sekali, bagai mendapat hadiah paling berharga.

“Janganlah main-main!”

Isaac sambung ketawa dengan bebelan Rus. Terubat juga rindunya pada gadis itu. Wajahnya dia pandang tanpa berkelip, bagai melihat sesuatu yang sangat cantik.

Rus mencebik, kemudian segera menundukkan wajah sebaik menyedari Isaac merenungnya. Tiba-tiba berasa segan pula. ‘Apasal tiba-tiba dia kelihatan amat tampan?’ desis hatinya.

“Rus…” panggil Isaac.

Rus mengangkat wajah lalu memandangnya. “Macam mana boleh ada kat sini?” Rus mengulangi pertanyaannya.

“Cari awaklah!” Sama seperti tadi, Isaac masih dengan gurauannya.

“Cari saya? Untuk apa?”

“Jadi isteri saya, boleh?” tanya Isaac tanpa berselindung dan rasa segan.

“Tolonglah!” Rus ketawa sinis mendengarnya, padahal sesuatu telah terdetik dalam hatinya.

“Tolong apa? Tolong pinang? Okey… esok saya hantar rombongan peminangan,” beritahu Isaac. Wajahnya memang serius ketika menuturkannya.

“Hah? Awak jangan nak mengarut pulak, ya?” balas Rus. Pada masa yang sama, dia turut berasa terkejut dengan bicara lelaki itu.

“Ada awak nampak saya main-main?” Isaac bertanya balik.

Rus pandang dalam-dalam wajah lelaki di hadapannya itu. Tiba-tiba baru dia perasan sesuatu. Bukankah sebentar tadi Isaac mengucapkan ALLAHUAKBAR? Bukankah secara tidak langsung dia telah beritahu sesuatu kepadanya? Rus berbicara sendiri.

“Boleh saya hantar rombongan, Rus?” ulang Isaac.

“Hah?” Rus tergamam. Dia mengucap panjang sambil mengurut dadanya.

Pada masa yang sama, telefon Rus turut berdering. Menggagau Rus mencari telefon dalam beg tangannya. ‘Abah?’ detiknya sebaik terlihat nama yang terpapar di skrin, namun panggilan sudah terputus. Lantas dia mengambil keputusan untuk menghubungi abahnya kemudian sahaja.

Rus kembali mahu memandang Isaac, namun lelaki itu sudah tiada di sisinya. Matanya terus liar memandang sekeliling, mencari kelibatnya. Tetapi lelaki itu sudah tidak kelihatan di mana-mana.

Rus berasa hampa. Putera kayangan sememangnya pelik. Tiba-tiba sahaja dia muncul dan lenyap dalam sekelip mata. Entah ke mana dia menghilang. Sama seperti hati Rus yang bagaikan sudah hilang dari dirinya!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.