Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
50,453
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

NUR Irdina Insyirah berjalan menuju ke arah motornya dengan senyuman yang meleret. Sempat dia berdoa dalam hati semoga kali ini dia bekerja lebih lama di Zamir Kopitiam. Sudah seminggu dia menjadi penganggur. Kenapa susah sangat dia hendak mendapatkan kerja yang sesuai dengan pendidikannya? Dia graduan, tetapi susah benar hendak mendapat pekerjaan dengan kelulusannya itu.

Suka atau tidak, dia terpaksa menipu untuk mendapatkan kerja. Sah-sahlah dia tidak dapat kerja jika dia beritahu yang dia ada ijazah dalam bidang Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia.

Sebelum memakai topi keledar yang berwarna merah jambu itu, Irdina menarik nafas panjang. Maya dan Anum sudah memiliki kerja tetap. Mungkin Allah menutup pintu rezekinya kerana dia telah berdosa kepada neneknya. Tapi dia terpaksa, dia mempunyai misi di Kuala Lumpur ini. Misi untuk mencari ibunya, Athirah. Irdina mengeluh lagi, kali ini keluhannya agak panjang.

“MACAM mana dengan interview tadi?” tanya Maya kepada Irdina yang sedang merehatkan diri di atas sofa empuk milik Anum.

“Alhamdulillah. Dapatlah jadi waiter kat situ. Gaji seribu dua ratus ringgit. Cukuplah tu.”

“Emm... agak-agak berapa lama awak nak bertahan?”

“Hisy, awak ni Maya. Ada ke cakap macam tu?

“Iyalah. Awak tu cepat naik angin. Kerja seminggu, sibuk nak berhenti.”

“Maya, saya bukan saja-saja nak berhenti tau. Tapi kan, dah tempat kerja tu tak sesuai dengan saya. Nak buat macam mana. Eh, mana pergi budak Mahanum ni? Dah pukul 8.00 malam, tak balik-balik lagi ni.”

“Anum ada press conference kat PWTC. Senang-senang, awak jadi aje wartawan macam Anum tu.”

“Gilo. Anum tu sesuailah jadi wartawan. Tengoklah dia tu macam mana. Saya ni kalau jadi wartawan, alamatnya hari-hari keluar berita pasal Jep.”

“Haip! Salah guna kuasa. Tak kuasa saya nak beli surat khabar tu kalau hari-hari keluar berita pasal Jep. Tahulah awak minat Jep. Huh, entah mana handsomenya Jep tu pun saya tak tahu. Lainlah Amar Bahrin.”

“Memanglah tak handsome, tapi sweet. Sweet daripada Amar Bahrin okey. Saya nak masak Maggi ni, awak nak tak, Maya? Kalau nak, saya nak masak dua bungkus ni.”

“Boleh jugak. Rajin kawan saya ni masak Maggi. Buat sedap-sedap tau,” usik Maya. Irdina sempat membalingkan bantal ke arah Maya.

Tidak sampai 15 minit, Irdina memanggil Maya ke ruang makan. Maya segera berlari. Perutnya memang agak lapar. Dia menarik bangku.

“Laju aje erk,” tegur Irdina.

“Kawe lapar ni,” jawab Maya dalam dielek Kelantannya.

“Lapar. Jom makan Maggi ala Farah Quinn gitu. Farah Quinnlah sangat kan.”

“Awak masak apa pun sedap Dina. Masak Maggi pun dah rasa macam spagetthi carbonara.”

“Kemain lagi awak punya bodek ya Maya.”

“Eh, Dina. Saya nak tanya sikit. Sampai bila awak nak sembunyikan hal sebenarnya daripada nenek awak?”

Irdina mengeluh perlahan. Seleranya tiba-tiba mati bila mengenangkan neneknya sendirian di Kuantan.

“Saya bukan apa, Dina. Saya tahu niat awak nak cari emak awak kat sini. Tapi cara awak tu salah. Sekurang-kurangnya awak kena beritahu nenek awak.”

“Maya, awak tak faham. Awak ingat nenek saya nak restu ke kalau saya cakap saya nak cari mak saya? Dia alergik tau dengar nama mak saya?”

“Habis tu, sampai bila awak nak sembunyikan hal ni?”

“Saya tunggu sebulan lagi. Kalau tak jumpa juga, saya akan beritahu nenek. Saya cuma nak tahu hal yang sebenarnya.”

“Awak nak cari kat mana lagi Dina? KL ni bukan kecik tau. Takkan awak nak pergi dari sekolah ke sekolah. Saya suruh pergi ke Jabatan Pendidikan Negeri, awak tak nak. Mana tahu kot-kot ada orang boleh tolong.”

“Saya pun tak tahu macam mana nak cari dia,” keluh Irdina lagi.

“Bulan lepas kita pergi kat alamat lama, siapa pun tak kenal dia. Maklumlah, dah hampir 24 tahun,” sambung Maya.

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara Anum memberi salam. Kemudian pintu rumah dibuka perlahan.

“Sedapnya bau Maggi,” kata Anum sambil meletakkan beg galasnya di atas sofa. Segera dia menuju ke meja makan.

Maya mengambil sebiji lagi mangkuk lalu diisikan dengan sebahagian daripada Maggi miliknya di dalam mangkuk. Begitu juga dengan Irdina. Dia turut mengisi mangkuk Anum dengan Maggi miliknya.

Mereka bertiga kawan baik sejak dari hari pertama bergelar pelajar di USM. Irdina dan Anum satu kursus, manakala Maya pula dalam jurusan Pengurusan. Selepas sahaja konvokesyen, Irdina mengambil keputusan untuk mencari kerja di Kuala Lumpur. Puas jugalah dia memujuk neneknya. Mujurlah ada Anum dan Maya. Kalau tidak, jangan haraplah neneknya akan izinkan. Semasa mendapat tawaran belajar di Pulau Pinang, abahnya masih ada. Abahnyalah yang berjaya memujuk neneknya.

“Alahai, kau orang cukup ke tak ni? Kebetulan pulak, saya ni memang tak makan lagi. Tapi kan, kenapa rasa macam suram aje suasana malam ni? Eh, awak dapat kerja ke Dina?”

“Alhamdullillah, dapat Num,” jawab Irdina dengan ringkas.

“Dah tu, kenapa muram aje ni?” tanya Anum lagi bila merasakan suasana sikit suram di meja makan itu.

“Hal Dina dengan nenek dialah,” jawab Maya bagi pihak Irdina.

“Emm… Nanti bila awak cuti, kita ke JPN. Kita tanya kat situ pulak. Tapi kan Dina, saya rasa lebih baik awak balik dan tanya dengan nenek awak,” ujar Anum memberikan cadangan.

Maya mengangukkan kepala tanda menyetujui cadangan Anum.

“Masalahnya, arwah abah saya dah pesan. Jangan sampai nenek tahu.”

“Jangan-jangan emak awak dah balik ke Negeri Sembilan. Awak tahulah, cikgu ni kan, sudahnya suka balik berkhidmat di kampung sendiri.”

Kata-kata daripada Maya membuatkan Irdina memikirkan sesuatu.

“Kalau Negeri Sembilan, lagilah teruk saya nak cari.”

“Insya-ALLAH Dina. Sudahlah, jom kita makan dulu. Nanti-nanti kita fikirkan. Kiranya, Maggi ni sebab nak celebrate Dina yang dapat kerja barulah ya. Ni yang ke berapa kali ni?”

“Kali yang ketujuh,” jawab Irdina dengan senyuman di bibir.

Mujur Irdina ada kawan yang baik macam Anum dan Maya. Sentiasa ada ketika dia susah dan senang.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.