Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,342
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

INTAN berjalan-jalan seorang diri di pusat membeli-belah AEON bandar Rawang. Kebosanan seorang diri di rumah di hujung-hujung minggu begini, membuatkan dia membawa diri ke sini. Hendak mengharapkan teman baiknya, si Yati untuk temankan, usah diharaplah. Asal hari minggu saja, mesti lesap dengan teman lelakinya. Orang yang tidak ada teman lelaki sepertinya, beginilah. Bawa diri sendiri.

Hampir separuh kedai di dalam pusat membeli-belah ini sudah dimasukinya. Namun, belum ada satu barang pun yang dibeli. Dia sekadar mencuci mata. Padanya, kalau tidak perlu, tidak guna membazir duit tidak tentu hala.

Hidup di Lembah Klang dengan gaji seorang guru, bukanlah sesuai untuknya hidup bermewah-mewah. Bukanlah kata tidak cukup, tetapi lebih baik lebihan gaji itu dibuat simpanan untuk kegunaan di kala perlu.

Penat berjalan, Intan mula terasa lenguh kaki. Sementelah, tekak pula terasa dahaga, Intan bercadang mahu mencari kafe. Boleh juga dia merehatkan kaki sambil membasahkan tekak. Keadaan cuaca yang panas ketika ini membuatkan tubuh mudah sahaja terasa letih.

Dalam berpusing-pusing mencari kafe, Intan terpandang Restoran Secret Recipe. Segera dia teringat kembali kejadian beberapa hari yang lalu. Keinginannya untuk memakan kek tiramisu masih belum tertunai gara-gara bertemu dengan lelaki yang bernama Faiz itu. Kalau tidak memikirkan rasa bersalahnya terhadap isteri lelaki itu yang sedang sarat mengandung, dia pasti tidak akan menyerahkan kek tiramisu tersebut.

‘Tak apalah. Rezeki orang mengandung,’ fikirnya.

Kini keinginan untuk menikmati kek tiramisu yang enak itu kembali membuak-buak. Pantas sahaja langkah kakinya dihayun menuju ke restoran itu. Seorang gadis pelayan segera menghampiri Intan sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di salah sebuah meja yang terletak di sudut tepi. Sepotong kek tiramisu, secawan coklat panas dan segelas air kosong. Itu pesanan Intan.

Sementara menunggu pesanannya sampai, mata Intan melilau ke segenap ruang restoran. Dalam sibuk melihat-lihat, matanya tertancap pada seseorang. Intan mengeluh berat.

‘Aduh! Dalam luasnya bumi ALLAH ni, kenapa kat sini juga dia nak datang,’ rungut Intan.

Hendak melarikan diri pun, orang itu juga sudah ternampak dirinya. Sudahnya, Intan terus kaku di situ sambil memerhati langkah demi langkah yang kian menghampirinya.

“Cikgu, buat apa kat sini?” tegur Cikgu Amran. Dia tersenyum penuh ceria.

Repair basikal!” jawab Intan berloyar buruk. Dia memaksa bibirnya melarik senyum. Nampak plastik sekali.

Cikgu Amran ketawa besar. Sangkanya, Intan sedang bergurau senda dengannya. Beberapa pasang mata mencuri pandang ke arah mereka berdua gara-gara ketawa tidak terkawal Cikgu Amran. Intan kurang senang dengan situasi itu.

Hati Cikgu Amran sangat gembira dapat bertemu pujaan hati hari ini. Tanpa menunggu dipelawa, dia terus sahaja duduk bersama di meja itu. Di sebelah Intan!

Intan benar-benar rasa tidak senang duduk. Saat ini, kalaulah dia punya kuasa magik, mahu sahaja dia melenyapkan diri dari situ. Ringan sahaja mulutnya mahu menghalau Cikgu Amran tetapi rasa macam biadap pula. Sudahlah hampir setiap hari mereka bertemu muka di sekolah.

“Hari tu saya ajak cikgu keluar, cikgu kata ada hal dengan kawan. Alih-alih ada di sini pula. Cikgu tipu saya ya?” tebak Cikgu Amran sambil tersenyum-senyum.

“Eh, mana ada saya tipu. Betul saya ada janji dengan kawan.” Kelam-kabut Intan menafikan tuduhan Cikgu Amran walaupun tuduhan itu benar sama sekali.

“Iya ke?” Cikgu Amran tidak percaya.

“Iya,” tekan Intan bersungguh-sungguh.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan tadi menghantar pesanan Intan. Setelah pelayan itu berlalu, Cikgu Amran kembali menyambung bicara.

“Habis tu mana kawan cikgu?” Cikgu Amran cuba menjerat Intan. Dia dapat merasakan yang Intan menipunya.

Intan sudah terkial-kial mencari akal. ‘Nak cakap apa ni? Mana pulak aku nak cekau kawan saat-saat macam ni?’

Tatkala matanya terpandang seseorang yang sedang melangkah masuk ke dalam restoran, Intan sedar itulah satu-satunya sumber penyelamat yang dia ada sekarang ini. Mahu tidak mahu, dia harus menggunakan kesempatan ini.

“Hah, itu pun kawan saya dah sampai,” kata Intan sambil berdiri.

“Awak,” panggil Intan sambil melambai-lambai ke arah Faiz yang baru sahaja melangkah masuk.

Mata Cikgu Amran turut sama menyorat ke arah lambaian Intan. Berubah wajahnya melihat orang yang dilambai Intan adalah seorang lelaki.

Faiz terperanjat seketika. Cikgu singa garang yang comel! Dia hairan melihat Intan melambai-lambai kepadanya.

‘Kenapa terlebih mesra pula cikgu ni? Dia lambai kat aku ke? Tapi rasanya memang tak ada orang lain yang masuk tadi melainkan aku,’ desis hatinya sedikit cuak.

Melihat Intan begitu beria-ia melambai kepadanya, Faiz melangkah juga ke situ.

Intan segera meminta laluan daripada Cikgu Amran kerana lelaki itu menghadang langkahnya.

“Hai awak. Kenapa lambat?” sapa Intan penuh mesra sebaik Faiz sudah berdiri di sebelahnya. Dia tersenyum mesra.

Makin terperanjat hati Faiz.

Intan sedar Faiz masih keliru. Cepat-cepat dia menambah. “Err cikgu, kenalkan. Inilah kawan saya, Faiz. Awak, ini Cikgu Amran. Mengajar sama sekolah dengan saya.” Intan saling memperkenalkan Faiz dan Cikgu Amran. Tanpa disedari Cikgu Amran, Intan memijak kaki Faiz supaya lelaki itu memberikan reaksi.

Faiz tersentak dengan pijakkan Intan. Sakitnya bukan kepalang. Tapi, cepat-cepat disembunyikan dengan senyuman. ‘Gila ganas singa comel ni,’ omel hatinya menahan sakit.

“Faiz.” Dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Cikgu Amran.

Cikgu Amran jelas kurang senang dengan kehadiran Faiz namun disambut juga huluran salam itu. “Amran.”

Intan tersenyum senang sambil mengajak Faiz duduk. Elok sahaja Intan melabuhkan duduk, Cikgu Amran kembali duduk bersebelahan dengan Intan tanpa segan silu. Terus sahaja reaksi kurang senang terpancar di wajah Intan.

Faiz nampak reaksi itu. “Maafkan saya cikgu. Sebenarnya Intan ni teman wanita saya. So, boleh kita tukar tempat tak?” Faiz senyum. Dalam sopan dia menghalau lelaki itu.

Cikgu Amran tersentak. Dia memandang Faiz sebelum beralih memandang Intan. Intan terus tersenyum tanda mengiakan kata-kata Faiz. Dia termalu sendiri lantas segera berdiri. “Oh, ye ke? Maaf.”

“Maaf diterima,” jawab Faiz pantas. Bibirnya masih tersenyum. Dia kemudiannya mengambil tempat duduk di sebelah Intan.

Melihat Cikgu Amran masih berdiri, Faiz terus mempelawanya duduk. Sekali lagi, kakinya menjadi habuan pijakkan Intan. Faiz menahan sakit. Cukup lapan kali kena pijak, mahu lumat juga kakinya dibuat Intan.

Faiz memandang Intan dengan rasa tidak puas hati. Intan pula segera memberi reaksi tidak suka dengan sikap terlebih ramah Faiz terhadap Cikgu Amran. Mata mereka menyabung, saling bertingkah sesama sendiri dalam diam.

Cikgu Amran yang sudah tidak selesa dengan kehadiran Faiz terus sahaja meminta diri untuk pergi. Selesai bersalam dengan Faiz, dia terus melangkah pergi dengan hati yang berbuku dengan pelbagai rasa.

Berlalu sahaja Cikgu Amran dari situ, Faiz terus berpaling kepada Intan. “Apasal awak pijak kaki saya?” soalnya serius.

“Siapa suruh awak terlebih ramah tadi,” jawab Intan pantas.

“Suka hati sayalah nak terlebih ramah ke, nak terlebih mesra ke. Awak apa kisah?”

“Eeii... awak ni kan. Saya minta tolong awak tadi, sebab saya nak halau Cikgu Amran tu tau tak? Saya tak suka dia.”

“Haa... tahu pun awak minta tolong saya tadi. So, jangan nak melebih-lebih marah saya ya. Nasib baik saya ni baik hati nak tolong awak. Dah la pijak kaki saya, tak ucap terima kasih pulak tu.” Faiz membebel panjang.

Kata-kata Faiz membuatkan Intan terus terdiam. “Terima kasih,” ucapnya.

“Sama-sama kasih.” Faiz sudah tersenyum nakal.

And sorry,” ucap Intan lagi.

“Untuk apa?” Faiz bertanya.

“Sebab pijak kaki awak.”

“Hmm... dua kali. Kena ingat tu!”

Intan pandang Faiz. Tidak pasti dengan kata-kata lelaki itu. “Kena ingat?”

Faiz tersengih. “Ha’ah... kena ingat sampai bila-bila.” Dia mengangkat-angkat kening dengan nakal.

Intan tidak mengerti tetapi dia tidak jadi bertanya lanjut apabila Faiz sudah mengalihkan topik bicara. “Eh, awak makan kek tiramisu?”

Intan tergelak kecil. “Ha’ah... Hari tu kan tak sempat makan.”

“Mesti awak dah puas hatikan. Lepas hajat awak mengidam hendak makan kek tiramisu.” Intan berkata lagi.

Faiz tersengih lagi. Nampaknya Intan betul-betul percaya dengan temberangnya hari itu. Alahai, kasihan singa comel kena tipu.

“Kenapa awak sengih macam tu?” soal Intan penuh cuak.

“Sebenarnya kan... saya tipu awak hari tu.” Faiz membuat pengakuan yang tidak terjangka.

“Apa?” Intan sedikit terjerit.

“Saya belum kahwin lagi. Tak ada isteri pun. Kek tu, saya yang makan.” Tanpa rasa bersalah, Faiz menceritakan hal sebenar.

Darah Intan sudah menyerbu ke otak. Terasa kembang sahaja kepalanya. Terasa hendak bertukar jadi hijau pun ada juga.

‘Tak guna. Kau tipu aku ya? Ambil ni!’ Serentak itu, kaki Faiz dipijak lagi oleh Intan buat kali yang ketiga.

“Aduh! Awak pijak lagi kaki saya.” Faiz mengaduh kesakitan.

“Padan muka awak! Itu dah kira nasib baik saya tak tikam tangan awak dengan garpu ni tau,” tempelak Intan garang. Tangannya sudah menghalakan garpu ke muka Faiz.

“Eeii... awak ni garang betullah. Macam singa,” kutuk Faiz selamba.

“Kalau saya ni singa, dah lama saya cakar-cakar kulit awak. Biar koyak rabak.” Intan masih marah. Sakit hatinya bila mengetahui yang dia ditipu bulat-bulat oleh lelaki itu. Mati-mati dia percaya yang Faiz tengah mengidam kerana ‘isterinya’ sedang mengandung.

“Alah, tak payah nak emo sangat. Awak pun menipu jugak. Hajat nenek konon,” ejek Faiz sambil menjuihkan bibirnya.

Intan terdiam akibat dibidas Faiz. Kenyataan itu memang betul. Dia juga menipu. Tapi mana boleh dia mengaku kalah dengan lelaki.

“Ah, tak kiralah. Patutnya, awak sebagai lelaki tak boleh buli perempuan.” Intan mengeluarkan hujah yang tidak berapa bernas.

“Eh, helo Cik Singa Comel. Tak ada dalam ajaran agama mahupun kesedaran sivik yang mengatakan perempuan dibenarkan menipu tau,” lawan Faiz. Wajahnya masih bersahaja.

Ternganga mulut Intan mendengar gelaran yang diberikan Faiz kepadanya. “Awak panggil saya singa?” Darjah kemarahan Intan semakin meningkat.

“Ha’ah... Sebab awak ni garang. Macam singa,” kutuk Faiz pula.

Intan mengepal penumbuknya. Kembang kempis hidungnya menahan marah. Besar kecil, besar kecil sahaja dia melihat Faiz di hadapannya ketika ini. “Awak jangan sesuka hati ayam nak kutuk saya ek. Tahu tak awak tu macam...macam...” Anak mata Intan berputar 360 darjah menandakan otaknya sedang ligat mencari idea mahu membalas kutukan Faiz.

“Eh, hati saya ori okey. Tak main la pinjam-pinjam ayam punya,” balas Faiz semakin galak menyakiti hati Intan. Seronok pula melihat singa comel ini marah-marah. Makin marah, makin comel!

“Eeii... awak ni kan memang macam... macam...” Intan menjerit geram tetapi dia belum mendapat idea untuk mengutuk Faiz kembali.

“Macam apa?” provok Faiz.

“Macam... macam nyamuk! Nyamuk tiruk tau tak? Suka buat bising kat telinga.” Hambik kau! Sekali macam nyamuk tiruk daa...

Pecah ketawa Faiz mendengar Intan menyamakan dia dengan nyamuk tiruk. Dalam banyak-banyak binatang ciptaan ALLAH, boleh pula dia yang kacak lawa ni disamakan dengan nyamuk tiruk. Memang tak ada cita rasa betul. Ke singa comel ni memang dah mati deria? Ahaks!

Faiz mendekatkan sedikit wajahnya kepada Intan. “Kalau awak rasa saya ni nyamuk tiruk, lebih baik awak berhati-hati. Takut nanti saya hisap darah awak, awak terkena virus malaria asmaradana pulak.” Makin menjadi-jadi pula Faiz mengusik Intan.

Geram dengan usikan Faiz, Intan terus mengangkat kaki mahu memijak kaki Faiz lagi. Tapi kali ini, Faiz bijak mengelak. Hentakan kaki Intan tidak mengena. Faiz mengangkat-angkat kening sambil tersengih nakal. Tanda dia menang dengan Intan.

“Eeii... meluat!” kata Intan lantas menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi. Tubuhnya dipeluk kejap dengan kedua-dua belah tangan. Wajahnya bukan main masam mencuka lagi.

Faiz memandang Intan. Hilang bosannya petang ini dapat bergaduh dengan Intan. Dia datang ke sini tadi pun, bukannya ada tujuan. Sekadar hendak menghilangkan bosan. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan gadis ini lagi.

“Tak payah tayang muka macam tu. Okeylah, saya minta maaf sebab tipu awak. Sebagai tanda minta maaf, saya belanja awak makan kek tiramisu hari ni ya?” pujuk Faiz tiba-tiba.

Intan terus mendiamkan diri tetapi tangan sudah mencapai garpu kecil lalu disodoknya ke kek tiramisu.

Faiz tersenyum. Dia kemudiannya melambaikan tangan memanggil pelayan.

“Amboi dik, kalau tak panggil tak datang ya. Dah kering tekak abang duduk kat sini tau.” Faiz bercanda dengan pelayan lelaki itu pula.

Tersengih budak lelaki itu. “Bukan tak nak datang bang. Tapi tengok macam tengah perang aje tadi. Takut nak celah.”

Faiz terkekeh-kekeh ketawa. Sempat dia menjeling Intan di sebelah. “Oh, itu bukan perang dik. Tengah nak jinakkan singa.” Dia buat lawak lagi.

Budak lelaki itu turut ketawa kecil. Selesai mengambil pesanan Faiz, dia terus berlalu pergi. Tidak mahu berlama-lama kerana sudah ternampak jelingan tajam wanita di sebelah lelaki itu.

“Awak ni memang macam nyamuk tau. Suka buat bising kat telinga. Syoh... syoh... pergi jauh sikit. Saya sembur dengan Ridsect nanti baru tau!” ugut Intan dengan wajah serius.

“Sampai hati awak,” balas Faiz dengan suara mengada-ngada.

Intan menjuihkan bibirnya. Dia terus menikmati kek tiramisu itu. Terasa puas sekali kerana keinginannya sudah tertunai.

Melihat Intan yang tidak lagi mempedulikannya, Faiz mula mencari akal lagi. Dia masih mahu mengusik gadis itu. Dapat sahaja akal, dia terus tersengih.

“Awak, tolong ingat ya. Awak hutang budi dengan saya empat kali,” kata Faiz.

Terhenti suapan Intan. Dia merenung Faiz yang kini sudah duduk berdepan dengannya. “Hutang budi apa pulak?”

“Eh... eh... buat-buat hilang ingatan pulak dia ya. Awak lupa ke tadi, saya yang kacak lawa ni lah yang tolong awak selamatkan diri. Kira awak hutang budi dengan saya,” jelas Faiz.

Intan terasa hendak muntah mendengar Faiz yang memuji diri sendiri. “Sekali aje. Mana pulak datangnya idea awak kata saya hutang budi awak empat kali?” sanggahnya.

“Yang lagi tiga tu sebab awak pijak kaki saya.” Selamba jawapan yang diberikan Faiz.

“Awak jangan nak merepek eh!” Intan mengeluarkan amaran sambil jari telunjuknya lurus menunding ke muka Faiz.

“Merepek apa pulak. Betullah tu. Nanti saya tuntut tau. Bak sini nombor telefon awak. Nanti bila saya nak tuntut balasan budi, saya akan call,” pinta Faiz tidak disangka-sangka.

Intan tersenyum sinis. “Jangan harap saya nak bagi nombor telefon saya kat awak.”

“Hekeleh singa ni. Orang minta elok-elok, main kasar pulak. Okey, tak nak bagi, saya rampas.” Faiz terus mencapai telefon bimbit Intan yang terletak di atas meja. Kelam-kabut Intan cuba merebut kembali tetapi Faiz lebih pantas.

Didailnya nombor telefon sendiri di telefon bimbit Intan lalu butang hijau ditekan. Seketika, sudah ada bunyi deringan. Kini nombor telefon bimbit Intan sudah tertera di skrin telefon bimbit Faiz. Dia tersengih.

Selesai, Faiz menghulurkan kembali telefon bimbit milik Intan. Terus sahaja diregut dengan kasar oleh Intan. Dia mendengus marah. Menyesal pula letak telefon bimbit atas meja. Ini menjadi satu pengajaran buat Intan.

“Dah dapat pun.” Faiz seakan-akan mengejek Intan.

Intan menjeling tajam. “Awak nikan, memang spesis nyamuk tiruk yang menyakitkan hati. Benci!”

Faiz masih mempamerkan wajah selamba. Tidak terusik langsung dengan kemarahan Intan. “Benci ke suka?” giatnya lagi.

Intan terus berdiri. “B.E.N.C.I... benci!”

Selepas menuturkan perkataan itu, Intan terus berlalu pergi. Malas dia mahu melayan karenah Faiz yang semakin membuatkan hatinya membengkak.

Faiz sekadar memandang langkah Intan yang semakin menjauh dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Adoi, singa ni memang comellah!

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.