INTAN memperlahankan pemanduannya sambil
mengintai-ngintai di mana ada petak parkir yang kosong. Bertuah nasib badan,
dalam terintai-intai, ada sebuah kereta yang hendak keluar parkir. Kedudukannya
tidak jauh dari restoran Secret Recipe itu. Cepat-cepat Intan memberi isyarat
ke sebelah kiri.
“Alhamdulillah...” ucap Intan girang.
Setelah kereta itu berlalu, Intan terus masuk ke
parkir tersebut. Enjin kereta segera dimatikan lalu tangannya mencapai beg
tangan. Setelah mengunci kereta, Intan berjalan menuju ke restoran Secret
Recipe itu.
Entah kenapa, hari ini tekaknya terasa hendak
menjamah kek tiramisu. Sejak bangun pagi tadi, bagai terasa sahaja keenakkan
kek tersebut di tekaknya. Makanya, sebaik habis sahaja tugasan di sekolah,
Intan terus sahaja menghala ke mari.
Sampai di hadapan restoran tersebut, nyaris
sahaja dia berlanggar dengan seorang lelaki yang sama-sama mahu masuk ke dalam
restoran itu. Segera Intan memohon maaf. Lelaki itu sekadar mengangguk lalu
memberi ruang kepada Intan terlebih dahulu masuk ke dalam.
Intan terus berjalan menuju ke kaunter yang
mempamerkan pelbagai kek yang menjadi kegemaran ramai. Dalam melihat-lihat,
Intan ternampak kek tiramisu yang diingininya hanya tinggal sepotong sahaja.
Cepat-cepat Intan bersuara, “dik, bungkuskan kek tiramisu sepotong.”
Pelayan yang bertugas di kaunter tersebut tergamam
kerana bukan seorang yang meminta benda yang sama, tetapi dua orang. Sedangkan,
benda yang diminta hanya tinggal satu. Macam mana nak buat ni? Itulah yang
difikirkan oleh pelayan tersebut. Masalahnya, kedua-dua meminta serentak. Mana
yang patut didahulukan?
Intan juga turut terperanjat. Ditoleh ke
sebelah. Rupa-rupanya lelaki yang bertembung dengannya di pintu masuk tadi juga
berhajatkan benda yang sama.
“Maaf cik, encik. Kek tiramisu tinggal sepotong
aje,” beritahu budak pelayan tersebut.
“Saya yang minta dulu.” Intan dan lelaki itu
sekali lagi sama-sama bersuara.
“Maaf encik. Rasanya saya yang minta dulu,” kata
Intan, tidak mahu berkompromi.
“Rasanya saya yang minta dulu cik,” balas lelaki
itu pula. Juga tidak mahu bertolak ansur.
Nampaknya lelaki itu seperti tidak mahu
mengalah. Ligat otak Intan mencari akal. Mana mungkin dia melepaskan kek
tiramisu itu. Sejak dari pagi tadi lagi, dia teringin sangat hendak makan.
Sudah kecur air liur ni. Hendak menapak cari kedai lain, rasanya macam dah tak
larat. Alahai otak, cepatlah cari akal.
‘Lelaki ni pun, gentleman la sikit,’
rungut hati Intan.
“Errr... macam mana ni cik, encik?” tanya
pelayan itu lagi.
Intan dan lelaki itu saling berpandangan.
Tiba-tiba... idea!
“Tolonglah, encik. Bagi saya beli kek ni ya.
Hari ni hari lahir nenek saya. Dia teringin sangat nak makan kek ni,” rayu
Intan dengan muka habis kasihan.
“Nenek awak teringin nak makan kek ni?” soal
lelaki itu seperti kurang percaya.
Berlakon Intan, berlakon. “Ha’ah... Dia minta
sangat nak makan kek ni. Dah dua, tiga kedai saya pergi, tapi semuanya habis.
Entah kenapa jadi macam ni pula hari ni,” sayu suara Intan. Bukan setakat
suara, riak wajahnya juga berubah sayu.
Lelaki itu memandang Intan beberapa ketika. Ada
simpati yang bertandang di hatinya. Tidak sampai hatinya mahu menghampakan
hajat seorang tua. Lagipun, bukanlah ada keperluan mustahak untuk dia
berebutkan kek tersebut.
“Awak ambillah kek tu,” ujar lelaki itu
akhirnya.
‘Yes!’ jerit Intan di dalam hati.
Wajahnya yang mendung sudah bertukar ceria. Dia memang pandai berlakon. Lepas
ini boleh berhenti jadi cikgu, jadi pelakon pula. Hahaha...
“Terima kasih awak,” ucapnya.
Lelaki itu tersenyum. Kacak! Sempat lagi Intan
menilai senyuman lelaki itu. Tertawa juga dia seketika.
“Tak apa. Rasanya awak lebih memerlukan kek tu,”
kata lelaki itu lagi, penuh budiman.
Intan tersenyum sambil mengucap terima kasih
sekali lagi. Langsung tidak ada rasa bersalah di hatinya kerana menggunakan
taktik kotor begitu. Yang penting, hajatnya tertunai.
“Oh ya. Sampaikan salam dan ucapan selamat hari
lahir kepada nenek awak ya,” pesan lelaki itu sebelum berlalu pergi.
Intan terus terpaku di situ. Ada sedikit rasa
bersalah mula bertandang di hatinya. Kasihan lelaki itu kena tipu bulat-bulat
dengan dirinya. Intan terus memandang lelaki itu yang sudah melepasi pintu
keluar dari premis tersebut.
“Cik nak ke kek ni?” Suara budak pelayan tadi
menyentak Intan kembali ke alam nyata.
“Aaa... ya, ya. Saya nak,” jawab Intan segera.
Gila kau tak nak? Susah payah dia memikirkan idea untuk memiliki kek tersebut
takkan tak mahu pula. Tapi, kasihankan lelaki tadi? Tapi... ah, lantaklah!
KERANA terlalu ingin makan kek tiramisu
tersebut, Intan tidak menyempat-nyempat untuk sampai ke rumah. Lalu sahaja di
hadapan padang permainan berdekatan kawasan rumahnya, Intan terus menghentikan
kereta. Tempat tujuannya, sudah tentu sebuah bangku batu di bawah pohon ‘golden
shower’. Itu tempat kegemarannya sejak sekian lama.Tempat yang punya kenangan tersendiri antara Intan dan si
dia.
Faiz yang kebetulan baru tiba di situ, turut
terpandangkan Intan yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di bangku batu itu.
Dia menanggalkan kacamata hitamnya
untuk melihat dengan lebih jelas. Rasa-rasa hatinya, macam kenal sahaja.
“Macam pernah nampak aje perempuan tu,” ujar
Faiz sambil matanya tajam merenung ke arah figura tersebut. Dia segera turun
dari kereta.
“Laa... perempuan kat kedai kek tadi. Patutlah
macam pernah nampak.” Faiz terus bercakap sendiri. Gelagat Intan diperhati
lagi.
Tiba-tiba matanya tertancap pada tangan Intan
yang sedang membuka kotak kek. Bulat matanya. Dan makin bertambah terbeliak
jadinya apabila terlihat Intan dengan selamba menyudu kek tersebut lalu
dimasukkan ke dalam mulut.Di saat
itu Faiz mula sedar yang dia sudah di tipu tadi.
“Cis! Kau tipu aku ya perempuan. Konon hari
lahir nenek kau. Konon nenek kau teringin sangat nak makan. Banyaklah kau punya
nenek!” hamun Faiz. Sakit hatinya apabila ditipu bulat-bulat oleh perempuan
itu.
Hatinya jadi lembut tadi apabila perempuan itu
mengatakan hajat neneknya yang mahu sangat makan kek tiramisu.Lantaran itu dia rela mengalah. Sanggup dia melepaskan keinginannya semata-mata kerana mahu
membantu perempuan itu memenuhi hajat neneknya.Tapi rupa-rupanya...
Sememangnya sejak sekian lama, jika ada masa terluang,
Faiz gemar sekali datang ke sini dan duduk di bangku batu yang sedang diduduki
Intan sekarang. Sambil menikmati kek tiramisu kegemarannya, dia akan mengenang
semula kenangan lalu. Ada kenangan zaman kanak-kanaknya di situ. Tanpa langsung
dia sedar, perempuan yang berada di situlah kenangan zaman kanak-kanaknya.
Tidak disangka pula,
keputusannya datang ke sini untuk bersantai-santai seketika, akan menemukan dia
dengan perempuan itu lagi dan sekaligus membongkar penipuan perempuan itu.
“Ewah, dah la kau tipu aku. Bukan main sedap pulak kau makan tiramisu kat
kerusi kenangan aku. Huh, melampau…” Faiz berkata sendiri.
Melihat Intan begitu enak sekali menikmati kek
tersebut, otak Faiz ligat mencari idea mahu mengenakan Intan kembali. Tak boleh
jadi, dia harus balas dendam. Tiba-tiba...idea!
Faiz tersengih jahat sambil berjalan mendekati
Intan yang masih tidak sedar akan kehadiran Faiz. Intan masih ralit dengan kek
tiramisunya.
“Ehem!” Faiz berdehem kuat.
Intan tersentak. Terus dia berpaling ke sisi. Mulutnya
ternganga sebaik terpandang orang di sisinya. Lelaki tadi! Kek tiramisu tidak
jadi disuap ke mulutnya.
‘Habis aku!’ Itu kata hati Intan. Kelam kabut
dia menutup kotak kek tersebut.
“Laa... buat majlis hari lahir nenek kat sini
ke? Mana neneknya? Tak nampak pun,” ujar Faiz sinis. Dia berpura-pura menoleh
ke sana sini, kononnya mencari ‘nenek’ perempuan itu.
Intan menelan liur. Terasa berduri sahaja
tekaknya. Langsung tidak dijangka dia akan tertangkap menipu semudah ini. Rasa
menyesal kerana singgah di sini, bertandang di hati.
“Err...” Intan jadi gagap tiba-tiba.
“Eh, tapi saya tengok, yang makan kek tu tadi...
awak. Ooo... inilah neneknya ya?” perli Faiz lagi.
“Err...” Intan masih lagi gagap untuk
berkata-kata. Hilang semua ideanya mahu menjawab kata-kata lelaki itu.
Melihat perempuan itu masih lagi diam, Faiz
melabuhkan punggungnya di hujung bangku batu itu. Spontan, Intan turut mengesot
ke hujung satu lagi. Di antara mereka kini adalah kotak yang berisi kek
tiramisu.
Intan pandang tepat ke tanah. Takut untuk
memandang lelaki di sebelahnya. Orang yang berbohong memang begitu gayanya.
Tidak berani berhadapan dengan orang dibohonginya.
Faiz terus merenung perempuan itu. Comel juga
‘nenek’ di sebelahnya itu. Sesuai dengan tubuh yang kecil molek. Suka makan kek
tiramisu lagi. Sama macam dia juga. ‘Hai, kalaulah hati aku ni tak dicuri
Intan, memang aku ayat jugak nenek ketot ni.’ Sempat lagi Faiz mengguman di
dalam hati. Tanpa sedar tersungging sedikit senyuman di bibirnya.
Ah! Comel tak comel, tolak ke tepi dulu.
Perempuan itu sudah menipu dia. Makanya, dia harus beri pengajaran sedikit.
Biar perempuan itu tahu, dia bukan sembarangan orang yang boleh diolok-olokkan
walaupun kenyataannya dia sudah diperolokkan tadi.
Idea nakal sudah melintas di otaknya. ‘Kau
ingat, kau sorang pandai berlakon eh? Sekarang tengok bakat terpendam aku
pulak,’ getus hati Faiz.
Dengan memek muka sedih gila tahap kuasa dua,
Faiz bersuara, “sampai hati awak tipu saya tadi. Saya ingat betul-betul nenek
awak berhajat. Saya sanggup beralah, ketepikan rasa tekak saya yang sudah beberapa hari mengidam nak
makan kek tu.”
Intan tersentak. Mengidam? Hamba ALLAH kat
sebelahnya itu rasanya seorang lelaki tulen. Apa kes pula mengidam ni? Kalau
perempuan ada logiknya juga kerana mungkin sedang mengandung. Ini lelaki.
Takkanlah kot. Rasanya dunia belum terbalik lagi. Persoalan itu terbit di minda
Intan.
Perlahan-lahan Intan mengangkat muka memandang
pemuda di sebelah yang tidak pernah diketahui namanya. Sedih benar wajah itu.
“Awak mengidam?” soal Intan antara percaya dan tidak. Lebih kepada tidak
percaya sebenarnya.
Faiz mengangguk. “Memang pelikkan? Sebenarnya
isteri saya tengah mengandung anak pertama kami. Tapi alahan, mengidam,
semuanya terkena kat saya. Beberapa hari ni, terasa hendak makan kek tiramisu
pulak.” Auta Faiz panjang lebar.
Dia nampak riak rasa bersalah di wajah gadis
itu. Faiz tersenyum, namun cuma di dalam hati. Kalau dia senyum betul-betul,
memang habislah lakonannya.
Intan sudah tertunduk kembali. Rasa bersalah
makin kuat menyerang dirinya. Kesal kerana menipu tadi. Terasa dia begitu
mementing diri sehingga sanggup berbohong. Sedangkan lelaki itu lebih
memerlukan kek itu berbanding dia. ‘Kenapalah dengan kau ni Intan. Nama aje
cikgu. Boleh pulak kau menipu ya?’ Intan mengutuk diri sendiri.
Tangan Intan mencapai kotak kek di sisinya lalu
dihulurkan kepada Faiz. Faiz tergamam, namun tangannya tetap menyambut juga
kotak kek tersebut.
“Saya minta maaf. Awak ambillah kek ni. Saya
baru makan sikit,” kata Intan.
Faiz terus memandang Intan dengan wajah
terkejut. Tapi, itu semua luaran sahaja. Dalam hati, dia sudah ketawa
berguling-guling. Terkena juga perempuan itu dengannya. Itulah, nak tipu lagi
Muhammad Faiz. Kan dah kena balik.
“Jangan risau, saya tak gigit kek tu. Saya guna
sudu,” kata Intan lagi apabila melihat wajah serba tidak kena lelaki itu.
Hampir terhambur ketawa Faiz. Nampaknya gadis
itu percaya bulat-bulat cerita rekaannya. ‘Nasib kaulah nenek ketot. Siapa
suruh tipu aku tadi.’
“Saya minta maaf,” pinta Intan lagi. Tanpa menunggu,
dia terus bangkit dan berlalu pergi dari situ. Rasa malunya sudah tebal
berinci-inci.