17
“Selamat pagi mama, papa.”
Elfira berlari anak
menuruni anak tangga. Dia kemudiannya mencium pipi mama dan papanya.
“Anak papa ni dah
besar panjang pun masih nak manja-manja lagi?” usik Tan Sri Lukman Hakim.
“Apa salahnya
papa.”
Elfira duduk
bertentangan dengan Puan Sri Karmila. Dia begitu berselera menikmati nasi
goreng.
“Anak papa pakai
cantik-cantik pagi ni nak ke mana?”
“Cantik ke papa?
Mengarut je papa ni. Takkan pakai jean dengan T-shirt pun nampak cantik?” duga Elfira.
Dalam hati dia berbunga riang.
“Anak papa ni pakai
apa pun cantik.”
“Ada-ada sahajalah
papa ni. Sebenarnya hari ini L nak balik semula ke rumah. Papa pun dah sihat.
Lagipun L dah lama tinggalkan kerja. Nanti apa pula kata bos L?”
“Pergilah sayang.
Jangan risaukan papa. Mama dan Mak zah ada untuk jaga papa.”
“Terima kasih papa.
Papa mesti janji jangan lupa makan ubat dan ikut nasihat doktor.”
“Okey sayang.”
“Hem sedap betul
Mak Zah masak. Kalau macam ni selalu boleh gemuk L.”
“Ha! Lepas itu rupa
jadi macam teletubbies,” sampuk Zamrin Edril yang muncul tiba-tiba.
“Along ni main
sergah je. Cuba masuk itu beri salam dulu. Ini tidak terus je mengutuk orang,
tak baik tau!” Elfira pura-pura merajuk.
“Amboi, adik along
sekarang dah pandai merajuk. Setahu alonglah, orang yang suka merajuk ni
biasanya hatinya dah dimiliki.” Zamrin Edril semakin galak menggiat.
“Mana ada, lagipun adik
along mana ada orang yang nak. Bukannya lawa pun. Adik alongkan brutal.”
“Butalah orang itu.
Adik along ni ada pakej lengkap untuk jadi model tau. Kaki jinjang, muka
cantik, body mengancam tapi iyalah satu je yang tak kena...”
“Apa?”
“Pakaian dan gaya
tu macam lelaki patutlah orang tak pandang. Nak tahu sebab apa?”
“Kenapa?” Elfira
mengangkat keningnya. Wajahnya diseriuskan.
“Sebab orang itu
tak pasti sama adik along ni lelaki ke perempuan!” Zamrin Edril mencubit pipi Elfira.
“Alonggg!” Elfira menjerit.
Geram dia kerana dibuli oleh Zamrin Edril.
Zamrin Edril
terlebih dahulu cabut lari. Elfira mengejar Zamrin Edril. Selagi dia tak dapat
membalas perbuatan alongnya selagi itu dia tidak akan berpuas hati.
“Along, L sudahlah
itu jangan berlari lagi. Hish si L ni, tengah makan pun, boleh lagi nak kejar
along dia. Sudah-sudahlah itu,” tegur Puan Sri Karmila.
“Mana along nak
lari?” sola Elfira setelah Zamrin Edril duduk di kerusi.
“Okey, along
mengaku kalah.” Zamrin Edril mengangkat kedua belah tangannya.
Mereka ketawa. Tan
Sri Lukman Hakim dan Puan Sri Karmila sekadar tersenyum melihat telatah
anak-anaknya. Walaupun mereka sudah dewasa, namun adakalanya Tan Sri Lukman
Hakim dan Puan Sri Karmila merasakan anak-anak mereka masih kecil. Puan Sri
Karmila sering merasakan bagai semalam dia baharu melahirkan anak-anaknya itu.