Kedai runcit Ramu
pagi-pagi lagi sudah riuh dengan gosip hangat yang dibawa oleh Mak Timah dan
Mak Ton. Tergeleng-geleng kepala Ramu yang botak itu. Manakan tidak... panorama
itu sudah dihadap sejak bertahun-tahun lamanya. Sejak Mak Timah anak dara,
hingga sudah beranak lima, hobinya masih sama. Apatah lagi bila sudah bertemu
dengan sahabat mengumpatnya, Mak Ton. Malas mahu mengambil pusing, Ramu
menghadap kembali buku-buku hutang orang kampung. Sesekali telinganya menangkap
juga perbualan mereka itu.
“Aku dengar Tauke Liew mengamuk sakan di
rumah Kak Diah kelmarin... suara dia menengking dengar sampai ke rumah Minah
Joget, hang tau dak. Sampai terkejut Si Minah tu. Tak jadi nak berpoco-poco
katanya. Takut Kak Diah kena bunuh ke...” Gaya hiperbola Mak Ton bagaikan kesan
khas yang digunakan dalam filem. Rumah Minah Joget digambarkan jauh
sedangkan... Minah Joget hanya jiran paling dekat dengan Mak Diah!
“Sungguh ka, Ton? Tauke Liew bawak parang
ka pi rumah Kak Diah tu sampai nak bunuh-bunuh?” Mak Timah yang baru nak pilih
bawang putih terus tidak jadi. Matanya terus terfokus pada Mak Ton yang sedang
mencuba gincu baru. Merah menyala bibirnya.
“Dey! Ton... itu gincu bukan untuk
cuba-cuba punya daa... Hang mau cuba itu gincu, ambik yang dalam bekastester... hang bukak gincu baru nanti aku rugi! Tak dak orang mau beli itu
gincu yang dah dipakai!” Ramu segera menyampuk bila matanya terpandang Mak Ton
seronok mengoles gincu di bibirnya. Merah menyala macam lampu isyarat!
Hingga kini, Mak Ton masih menganggap
dirinya diva kampung kerana masih anak dara. Jadi, bila terjumpa alat
kosmetik... memang dia tak pernah tidak mencuba!
“Sibuklah, Ramu! Aku belilah! Masuk aje
dalam buku!” tengking Mak Ton. Gincu tadi terus dimasukkan ke dalam beg tangan
jenama Louis Vuitton yang dibeli di pasar malam.
Ramu hantuk perlahan dahinya di meja
kaunter. “Ini macam punya orang aaa... aku boleh gulung tikar ajak aci balik
India ooo...”
“Diamlah, Ramu! Macamlah kami tak bayar.
Eh, Ton cepatlah cerita! Tauke Liew bawak golok ke serang rumah Kak Diah tu?”
Mak Timah makin teruja nak tahu. Cerita sebenar sudah bertukar versi.
Barangkali sudah ditokok tambah daripada cerita Minah Joget.
“Aku pun tak pasti, tapi kata Minah
Joget... Tauke Liew tengah cari anak lelaki Kak Diah...”
Pandangan mata Kak Diah dan Mak Ton
bersatu. Mereka seolah-olah sedang berkongsi pendapat yang sama. Meleret
senyuman Mak Timah. Mak Ton juga senyum dengan penuh berseri. Dengan gincu yang
merah menyala tadi, Mak Ton senyum dua kali ganda lebar dari biasa.
“Hang pun fikir apa yang aku fikir ka,
Ton?”
Mak Ton tersengih sambil mengangguk.
“Jom... cerita hangat ni! Sensasi!”
Laju kaki mereka melangkah keluar dari
kedai runcit itu. Ramu yang perasan mereka berdua ingin bergegas pergi segera
memanggil dengan suara lantang.
“Dey! Ton! Timah! Ini hutang minggu lepas
pun belum kasi jelas sudah mau pergi ka? Ton, itu gincu mau bayarcash
haa!” jerit Ramu sambil membetulkan dhoti yang dipakai. Dek
terkocoh-kocoh berlari keluar dari kaunter tadi, dhoti yang dipakainya mula
longgar dan hendak terlondeh.
“Esoklah kami bayar! Hang tak payah nak
risaulah... macam la banyak sangat hutang kami tu. Setakat kedai runci
sekangkang kera pun nak kecoh!” bidas Mak Timah semula. Langkah mereka makin
laju meninggalkan tempat itu.
Ramu mula membebel dalam bahasa Tamilnya.
Pak Ali yang berada di warung sebelah kedai runcitnya dihampiri. “Pak Ali...
teh tarik kasi sejuk-sejuk gelas besaronner(satu)!”
“Siap!” balas Pak Ali meskipun tangannya
baru nak mencapai sudu teh dan gelas!
“Aiyoyo... Hati banyak panas la, Pak Ali.
Ini dua worang perempuan suka bikin kampung ini kecoh. Orang sana cerai. Orang
sini cerai. Apa seronokkah mau jaga tepi kain worang?” rungut Ramu.
Pak Ali yang menjadi saksi kejadian tadi
hanya tersengih. Lincah tangan tuanya menyiapkan air untuk Ramu.
“Nasib badanlah, Ramu... pandai-pandailah
hang kutip balik hutang tu.”
“Ayyooo amma... ayyooo appa... ini dua worang mulut banyak bising, Pak Ali. Kita sudah minta banyak
kali dia bilang minggu depan! Minggu depan! Bikin lingkup kita punya bisnes la
Pak Ali... itu Pak Imam juga ada tolong saya. Siap bagi ceramah agama lagi.
Tapi... sekali dengan itu imam pun kena marah. Aiyoyo...” adu Ramu dalamslang Tamilnya yang pekat dan bergulung-gulung.
Pak Ali hanya mampu menjadi pendengar. Nak
komen lebih... dia juga buntu.
LAGU poco-poco kuat kedengaran hingga 50 meter jaraknya. Bunyispeaker berdentum-dentum
menandakanvolume yang dibuka cukup
kuat. Kelihatan Minah Joget sedang seronok berpoco-poco mengikut gaya penari
dalam TV yang terpasang.
Tubuhnya yang montok dan perut yang
sedikit buncit itu nampak bergendut bila bergerak dengan pantas. Dengan baju
yang sendat itu, menampakkan semua bentuk lemak yang bersarang di badan Minah
Joget. Badannya tidaklah terlalu gemuk, tetapi dengan ketinggian hanya 152 cm,
Minah Joget nampak berisi. Sebab itulah dia selalu berjoget dan bersenam untuk
mengekalkan bentuk badan langsing.
“Woi, Minah!”
Minah Joget yang baru mengatur langkah ke
belakang terus terlentang akibat tersilap langkah. Terkejut beruk dibuatnya.Volume TV diperlahankan. Tajam matanya menjeling tetamu yang tidak diundang
pagi itu.
“Hisy, datang rumah orang bagi salam! Buat
terkejut orang aje!” marah Minah Joget. Tuala kecil yang tersangkut di lehernya
dicapai lalu dikesat keringat yang membasahi dahi dan lehernya.
“Kami dah kering tekak bagi salam. Hang
yang dok pulun menari sampai tak ingat dunia nak marah kami tak bagi salam. Dok
pulun berjoget nak bagi kurus konon, tapi sampai la ni, aku tengok tak
kurus-kurus pun...” Mak Ton memperlekehkan bentuk badan Minah Joget. Rasa
tercabar dirinya bila Minah Joget yang sudah beranak tiga masih boleh
mengekalkan keanjalan bentuk badannya. Sedangkan dia yang belum berkahwin sudah
berkedut sana sini.
“Alah... ceq ni ada laki... kenalah jaga
penampilan. Nanti laki ceq cari lain. Tak mau ceq jadi macam Mak Timah! Ada
madu! Dok kalut hal rumah tangga orang, tup-tup laki kena kebas. Badan Mak
Timah pun gelebeh sana sini, nak cebik-cebik kat orang pulak. Yang Mak Ton
pulak, pakai gincu macam lampu merah kat simpang tu ja. Ni lembu tengok pun
lari...” bidas Minah Joget tanpa rasa bersalah. Mak cik berdua itu bukan boleh diberi
muka. Silap-silap rumah tangganya boleh berantakan. Sudah banyak rumah tangga
yang berpecah belah dek mulut celopar mereka ini.
Mak Ton sudah merah padam mukanya. Terasa
nak dicili-cili saja mulut mungil itu. Mak Timah pula segera menyabarkan
sahabatnya. Demi misi mereka, dipendam saja marah di dalam hati.
“Amboi... laser mulut hang no! Hmm... kami
mai ni sebenarnya nak tanya pasal kes semalam tu. Apa jadi dengan Kak Diah tu,
Minah? Tauke Liew bawak parang besar ke kecik?” Mak Timah terus ke isu yang
bermain di benaknya.
Berkerut dahi Minah Joget. Pelik. “Lah...
buat apa Tauke Liew nak bawak parang ke rumah Kak Diah pulak?”
“Semalam, hang jugak yang cakap Tauke Liew
mengamuk kat rumah Kak Diah, kan? Tak payahlah nak buat muka pelik pulak! Aku
rasakan... anak Kak Diah dah rogol anak Tauke Liew. Sebab tulah Tauke Liew
mengamuk kelmarin!” tempik Mak Ton tak puas hati.
Minah Joget mula hilang sabar. “Dahlah
datang tak dijemput. Kalau datang bawak rezeki takpalah jugak! Ni datang nak
meruntuhkan rumah tangga orang! Jahat-jahat ceq pun... tak daklah nak pulun
cari berita rumah tangga orang macam hangpa dua ni! Yang ceq kata semalam,
Tauke Liew mengamuk dekat rumah Kak Diah dengar sampai sini aje! Kak Ton tokok
tambah siap bawak paranglah... rogollah... fitnah dah tu! Tak takut ke kena
parang berul-betul? Dah la tak kahwin-kahwin...”
“Hisy! Aku gayang jugak si Minah ni!” Mak
Ton hilang sabar. Lengan baju kurungnya disinsing hingga ke paras siku. Tak
sampai seminit, terus berlaku adegan tarik-tarik rambut yang mengerikan.
Jeritan yang nyaring kedengaran hingga ke
rumah Mak Diah yang terletak lebih kurang 100 meter saja dari rumah Minah
Joget.
“Minah! Ton! Timah!” Wajah Mak Diah yang
tercungap-cungap muncul di muka pintu rumah Minah Joget yang terbuka luas.
Adegan tarik-tarik rambut itu terhenti. Melihat wajah Mak Diah di muka pintu,
tidak pulak wartawan tidak bergaji itu berani untuk bertanya soalan panas itu.