6,412
Kategori:
Genre:
Bab 4

JUBAH rona putih aku sarungkan ke badan. Selendang warna yang sama juga aku pakai dikepala. Lalu, aku tengok diri aku dalam cermin. Cantik macam bidadari!

Mestilah puji diri sendiri. Kalau bukan kita yang hargai diri kita, siapa lagi nak hargai?

Jam di dinding aku tengok sekilas. Hampir pukul lapan. Haida janji nak ambil aku waktu macam ni. Tadi dia bagi tahu yang dia dah pun dalam perjalanan. Aku kena keluar cepat sebelum Haida sampai. Kalau tak, mahu sebakul dia membebel pada aku nanti.

Aku berjalan menuju ke pintu keluar. Lalu, suis lampu aku tekan. Bilik jadi gelap. Kemudian, pintu bilik aku tutup rapat dan aku kunci.

Aku memang dah tak tidur dengan Kaiser. Dan, kejap lagi dia balik. Aku tak nak dia masuk dalam bilik aku lagi.

Tapi, aku pelik, walaupun aku layan dia macam tu, dia tetap balik sini. Kalau lelaki lain ni, mesti tak hingin nak balik rumah dah.

Betul lah cakap Haida, Kaiser memang tak nak lepaskan aku. Sebab tu dia masih berkelakuan baik pada aku. Tak guna betul!

Satu per satu anak tangga aku turuni. Sehingga anak tangga terakhir. Tiba-tiba mata aku menangkap beg pakaian Kaiser.

Dia ni masuk rumah macam pencuri. Tak dengar apa-apa, tahu-tahu dah ada dalam rumah.

Tapi, aku buat tak endah saat Kaiser toleh pada aku. Kasut yang ada di dalam rak aku capai, lalu aku sarung ke kaki.

"You nak ke mana?" Soal Kaiser.

Aku tak menjawab. Malas!

"Jawab soalan I. You nak ke mana? Keluar tak minta izin I." Nada Kaiser makin kasar. Mungkin dia geram sebab aku tak pedulikan dia.

Perlahan aku toleh pada wajahnya dengan muka dingin. "Minta izin? I keluar kena minta izin? Habis you kahwin tak minta izin I, boleh pula?" Sindirku. Dia ingat senang-senang aku nak maafkan perbuatan dia? Kirim salam!

Kaiser merengus perlahan. Dia pandang aku dengan tajam. "I suami. You isteri. I tak perlu minta izin you untuk buat apa-apa. Tapi, you kalau nak buat apa saja, kena minta izin I,"  satu per satu ayat itu ditutur dengan tenang. Dia mula keluarkan kuasa veto dia sebagai suami. Ingat aku heran?

Aku tayang senyum sinis. "Oh, macam tuuu..." Sengaja nada menyindir aku alunkan bersama. "You boleh terus berangan yang I akan hormatkan you Kaiser," sambungku.

Kaiser cuba tarik lengan aku. Namun, sempat sahaja aku mengelak. "Boleh tak you jangan ganggu I? Dah cukup bagus masa you bersama dengan betina penyondol tu, I tak ganggu you!" Melengking suara aku marah pada Kaiser.

Mahu tak geram. Aku dah lah nak cepat. Masa ni lah nak ajak aku bergaduh. Masa aku ajak bergaduh tak nak pula!

"You nak pergi mana. I nak tahu tu je," nada Kaiser mula mengendur.

"I nak pergi majlis ilmu. Nak harapkan you, memang tak lah nak didik I ilmu agama. Tapi, bab kahwin lebih, you lah yang terpaling mampu," sindir aku dengan pedas.

Berubah muka Kaiser tatkala mendengar kata-kata aku tadi. Tapi, dia terus berundur dan kembali ke ruang tamu. Mungkin dia dah malas nak halang aku dan dia dah dapat jawapan ke mana aku nak pergi. Jadi, dia dah puas hati.

Pin!Pin!

Telinga aku menangkap bunyi hon dari luar pagar rumah. Tentu Haida dah sampai. Tanpa menunggu, aku terus keluar dari rumah dan berjalan pantas menuju ke kereta milik Haida.

Punggung aku henyak ke kerusi penumpang dengan rasa sebal di hati. Aku nampak Haida melirik pada garaj rumah aku. Pasti dia tahu Kaiser ada di rumah.

"Kau okey tak ni?" Soal Haida, prihatin.

Aku sekadar mengangguk perlahan. Namun, sempat aku merengus kecil. "Dah lah cepat. Lambat nanti sampai," desakku. Aku malas nak cerita benda yang sama pada Haida. Dan aku rasa Haida pasti tahu apa yang berlaku sebelum aku keluar rumah tadi.


AKU dan Haida tersipu-sipu berjalan melintasi beberapa jemaah wanita yang sudah pun sampai lebih awal dari kami. Mujur majlis belum bermula. Kalau tidak, tebal lah muka aku dengan Haida.

Kami duduk agak tengah di antara jemaah lain. Suasana di dalam masjid buat aku rasa tenang. Aku lihat ukiran-ukiran yang ada pada siling dan dinding masjid. Cantik dan unik.

Aku pun dah tak ingat bila kali terakhir aku jejak kaki ke masjid.

"Cik, maaf nak tegur sikit," aku dan Haida di sapa seseorang. Serentak kami toleh pada wanita yang bersuara itu.

"Dalam masjid kena pakai tudung betul-betul. Tak boleh nampak rambut," sambungnya dengan senyuman manis.

Muka aku dengan Haida dah terasa berpetak. Patutlah jemaah lain tengok kami dengan pandangan pelik sejak kami menjejak masuk ke ruangan itu. Rupa-rupanya, aku dengan Haida pakai selendang nampak jambul.

"Aaa... Kami tak bawa tudung lain selain yang kami pakai ni," Haida bersuara separa berbisik.

"Pakai telekung pun takpa. Kejap saya ambilkan telekung," ujar wanita itu lagi. Cara dia menegur kami begitu sopan sekali. Jadi, takda la rasa terhina sangat.

Tak lama selepas itu, gadis tadi datang semula pada kami dan dua helai telekung dia berikan pada aku dan Haida.

Terus aku sarung telekung berwarna hitam itu ke kepala. Habis jambul aku. Aku merengus perlahan. Ni semua sebab Haida.




SELESAI sahaja mendengar ceramah, aku dan Haida keluar dari masjid dan kembali berselendang. Iyalah, takkan nak rembat telekung masjid kan?

Haida yang sejak dari tadi tersengih aku pandang dengan muka menyampah. "Tersengih-sengih. Kau kata dia bukan pak ostat. Ni dia yang bagi ceramah, apa hal?" Soalku sambil membetulkan selendang yang menutupi separa kepala.

"Dia cakap dia jemaah dekat sini. Tapi, aku takda lah tanya dia pun." Manja suara Haida bagi tahu aku. Makin menyampah pula aku dengan dia.

Selang beberapa minit pak ostat yang aku cakapkan tadi muncul belakang kami.

"Assalamualaikum," ucap si pak ostat.

Aku toleh sekilas je pada pak ostat tu. Kemudian, mata aku pandang pada Haida yang dah macam ulat beluncas tergedik-gedik sengih pada lelaki itu.

"Walaikumsalam, Haris," Haida sambut salam lelaki itu dengan sopan. Aku dah nak tergelak tengok gaya Haida. Cover baik punya depan pak ostat. Kalau dengan aku, suara takdanya lembut dan sopan macam tu. Hipokrit punya member!

"Alhamdulillah. Datang juga awak dekat sini
Siap bawa kawan lagi," kata lelaki tu.

Aku toleh saat pak ostat tu cakap pasal aku. Sekali imbas muka pak ostat tu ada mirip-mirip suami nelofar. Eh, nama pun sama. Kembar lain mak lain bapak agaknya.

Haris senyum pada aku. Aku cuma tayang sengih bagi membalas senyumannya.

"Macam mana pengisian majlis tadi? Mudah faham?" Soal Haris. Lelaki tu pandang muka Haida.

Aahh.. sudah.. tanya pasal pengisian pula. Aku dengan Haida dah tersengguk-sengguk masa dengar ceramah tadi. Satu pun tak masuk kepala. Apatah lagi menusuk jiwa.

Haida pandang muka aku. Dia dah terkulat-kulat nak menjawab.

"Alhamdulillah setakat ni masih okay. Tapi, biasalah. Kami pertama kali datang majlis ilmu macam ni. Maklumlah dua-dua jahil," aku jawab dengan muka selamba. Bukan apa aku tak naklah pak ostat tu tanya lebih-lebih. Biar dia faham sikit apa yang aku nak beritahu dia pasal kami berdua.

"Oh takpa. Kita sama-sama belajar. Saya pun masih belajar juga," balas Haris. Riak tenang terpancar diwajahnya. Patutlah si Haida ni tergedik-gedik. Lembut tutur kata pak ostat ni. Eh... Jangan aku terjebak sekali dah!

"Insya-Allah, kalau takda aral melintang, esok kami ada di masjid Putrajaya memenuhi jemputan jemaah dekat sana. Kalau awak berdua ada kelapangan, boleh sertai sekali lagi," kata Haris. Nadanya masih lembut seperti tadi. Tahi telinga aku rasa nak cair.

"Boleh. Esok kami ke sana," cepat saja Haida setuju tanpa berbincang dengan aku.

Aku dah rasa geram dengan dia. Tapi, aku tahan. Kejap lagi pak ostat tu blah aku sembur habis-habis si Haida ni.

"Haa... Alhamdulillah." Ceria muka Haris apabila dengar Haida setuju.

Aku? Tayang muka ketat pada Haida. Tak hormat betul dengan aku yang tengah makan hati ni.

"Marilah kita ke ruang makan belakang masjid ni. Jamah apa yang ada," pelawa Haris lagi.

Haida dah terangguk-angguk macam burung belatuk. Sekali lagi aku geram dengan dia.

"Takpa lah pak ostat.. eh.. sorry.. Encik Haris. Kami nak cepat. Lagipun, risau suami saya marah kalau balik lambat," aku mencelah. Dah tak tahan tengok Haida macam kena pukau dengan lelaki tu.

Mentang tutur kata lembut. Setuju je apa pelawaan lelaki tu.

Haida terus toleh pada aku dengan riak kecewa. Mungkin dia baru nak jual minyak, aku dah gagalkan rancangan dia.

"Oh, takpa. Esok boleh ajak suami sekali ke majlis ilmu di Putrajaya tu," sempat Haris pesan pada aku.

Aku tayang sengih. Dah macam kerang busuk muka aku masa ni. Nak suruh aku ajak Kaiser? Kirim salam. Dia pun solat entah ke mana. Nak datang majlis ilmu? Memang taklah!

"Aaa.. kami balik dulu." Tangan Haida aku tarik agar dia ikut aku.

Lantas, kami tinggalkan perkarangan masjid dengan segera.

Sepanjang pemanduan, muka Haida mencuka. Aku tahu sebab apa. Tapi, malas aku nak tanya. Biar dia sendiri yang cakap.

"Kau ni kan, macam setan. Panas je bontot bila duduk dalam masjid tu," Haida mula menyerang aku.

"Amboi mulut kau. Takda insuran ke?" Aku selar dengan nada geram. Selamba je dia cakap aku macam setan.

"Aku tak kira. Esok kau kena teman aku pergi masjid Putrajaya. Aku nak dengar Ostat Haris bagi ceramah," Haida sengih saat nama itu meniti dibibirnya.

Menyampah pula aku tengok si Haida ni. Aku diam tak menjawab. Fikiran aku lebih kepada malas nak balik rumah. Malas nak hadap muka Kaiser.


MASUK sahaja aku ke dalam rumah, aku lihat Kaiser masih belum tidur. Dia sedang kusyuk menonton televisyen di ruang tamu.

Dia toleh pada aku saat terdengar aku tutup pintu. Tapi, aku buat tak endah. Macam dia tak wujud dalam rumah tu.

Aku terus melangkah tanpa tengok sikit pun pada dia. Kaiser bangun halang jalan aku nak ke dapur. Aku tengok muka dia dengan pandangan dingin. "You nak apa?" Soalku sambil buat muka malas.

"I nak you. Lama dah kita tak bersama." Selamba je Kaiser minta layanan batin dia pada aku.

Sebelah kening aku angkat dengan reaksi buat-buat terkejut. "Bini baru you tu tak layan you ke semalam?" Sindirku.

"Kalau you tolak, you berdosa. Allah laknat you sampai pagi tau," Kaiser dah mula tunggang agama.

"Oh, time I je Allah laknat lah. Berdosalah. Habis you khianat I tak berdosa? You tipu wife you sendiri? Allah tak laknat? You tak ajar I ilmu agama, Allah tak murka?" Selar aku dengan suara yang melengking marah. Aku sakit hati bila Kaiser guna agama untuk jatuh hukum pada aku. Mentang aku isteri, dia guna kuasa veto dia nak dapatkan apa yang dia nak.

Huh! Kirim salam!

"Sepatutnya you balik dari masjid tadi, you jadi isteri solehah. Ni makin derhaka pula I tengok," sindir Kaiser.

Aku dah agak, aku takkan menang kalau berlawan cakap dengan Kaiser. Aku juga akan dipersalahkan. Disebabkan malas nak berbalah, aku biarkan sahaja kata-kata itu tidak berbalas.

"Tepilah!" Aku cuba tolak tubuh Kaiser agar menjauhiku. Tetapi, lelaki itu enggan berganjak dari situ.

"You nak I paksa you ke Ammara? You nak I kasar dengan you?" Kaiser seakan beri amaran. Wajahnya juga sudah berubah serius.

"I nasihatkan you pergi balik pada bini baru you, dan dapatkan apa yang you nak. Sebab mana-mana perempuan pun rasanya sama je. Nak pula lelaki macam you. Mampu kahwin lebihkan?" Masih sahaja aku nak melawan Kaiser walaupun aku tahu Kaiser tak main-main dengan kata-katanya.

Selepas dengar aku cakap, Kaiser cengkam pergelangan tangan aku dengan kuat sampai aku terjerit kesakitan.

"Arrgh!!!"

"You yang cabar I," kasar nada suara Kaiser saat ini.

Aku tak peduli. Masih sahaja aku nak melawan. "Kalau you buat macam ni pada I, I takkan teragak-agak buat report polis!" Ugutku. Walaupun aku tahu Kaiser takkan mengalah. Kalau bab atas katil, memang Kaiser akan paksa sampai dia dapat.

Beberapa minit kami bergelut. Sehingga Kaiser berjaya dukung aku dan dia bawa naik ke bilik. Puas aku meronta. Darah dah naik dekat kepala sampai aku rasa pening yang menggila.

"Lepaslah!!!" Aku jerit macam nak terkeluar anak tekak. Tapi, Kaiser tetap tak peduli.

Dan malam tu, Kaiser berjaya paksa aku tunaikan hak dia. Dengan rasa sakit hati dan tak rela, aku biarkan sahaja Kaiser berbuat suka hatinya pada tubuh aku.

Selesai sahaja semuanya, aku bangun tinggalkan Kaiser yang tengah tidur. Tersedu sedan aku menangis sebab sakit hati yang teramat sangat. Kalau ikutkan, nak je aku tikam Kaiser sampai mati. Tapi, mujur otak aku masih waras.

Malam itu aku tidur bilik satu lagi. Aku menangis sampailah aku terlena sendiri.



JUALAN SEMPENA PBAKL2023

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.