6,386
Kategori:
Genre:
Bab 3

SETELAH beberapa hari aku merajuk dengan Haida, baru hari ini aku jumpa dia semula. Tapi, muka merajuk masih aku tayang pada dia.

Haida senyum tengok tingkah aku. Masak benar dia dengan perangai aku. Apa tidaknya, kami dah lama berkawan. Apa saja tentang aku, dalam poket Haida.

Boleh dikatakan Haida adalah Kaiser kedua bagi aku. Sebab lepas Kaiser, dia je tahu aku jenis merajuk yang macam mana.

Ahh... Kaiser lagi! Aku benci nak sebut nama tu. Tapi, otak aku ni asyik keluar nama dia.

"Dah habis merajuk dah?" Soal Haida. Dia ukir senyum mengejek.

Aku jeling manja pada Haida. "Aku takda kawan kalau merajuk lama-lama dengan kau," balasku dengan nada mendatar.

Haida ketawa lepas dengar kata-kata aku. Aku turut ketawa sama. "Kau lah, suruh aku mengalah dengan Kaiser." Ungkitku tak puas hati.

"Aku tak paksa. Aku cuma bagi cadangan. Nak ikut, ikut. Tak nak, takpa." Balas Haida bersahaja.

"Aku stress!" Rambut yang menutupi separuh wajahku, aku sisir ke belakang dengan hujung jari. Pandangan aku lempar ke luar restoran. Aku mengeluh lagi. Entah kali yang ke berapa, aku pun tak tahu.

"Sebab tu aku suruh kau rileks. Kalau kau bentak si Kaiser tu, sampai bila-bila kau takkan menang," kata Haida.

"Hari tu, dia boleh bawa betina penyondol tu dekat office aku. Suruh aku dengan betina tu berkenalan. Kau rasa???" Aku memula cerita. Kalau ingatkan semula hal tempoh hari, memang sakit hati.

Dengar sahaja cerita aku, mata Haida terbuntang. Terkejut agaknya. "Serius babe? Kaiser tu kenapa?" Luah Haida turut tak puas hati.

"Saja dia nak sakitkan hati aku agaknya," suara aku dah mengendur. Perasaan bercampur baur tika ini. Antara sedih dan sakit hati. Semuanya bersatu.

Aku tak nak menangis lagi sebab hal macam ni. Aku juga berhak bahagia. Walaupun bukan dengan Kaiser.

"Melampau betul lah Kaiser tu!" Sambung Haida. Berkerut dahinya tika ini.

"Aku kerjakan cukup-cukup betina tu. Dia boleh panggil aku bini tua Kaiser? Aku tengok cara dia pakai pun macam nenek-nenek. Ada hati nak jadi bini muda. Aku lagi nampak muda dari dia tau. Kaiser tu takda taste langsung. Dah buta agaknya!" Kutuk ku. Teringat je hal hari tu, aku jadi sakit hati yang teramat sangat.

"Kau pukul dia ke?" Soal Haida tak percaya.

"Habis tu, kau nak aku belai dia? Tatang dia? Memang taklah! Kalau aku boleh bunuh, dah lama aku bunuh dua ekor tu tau!" Bersungguh-sungguh mimik muka geram aku tayang pada Haida.

"Seramlah kau ni," ujar Haida. Muka takut dia tayang bersama.

Aku menjeling kecil sambil bibirku mencebik pada Haida. "Seram konon. Entah-entah kalau kau yang kena, kau lagi kejam dari aku," selar aku dengan muka selamba.

Haida tergelak lepas dengar ayat aku. Dia pun tahu dia dengan aku lebih kurang je perangai.

"Kalau aku kena, aku tanam hidup-hidup diorang tu. Biar mati lemas dalam tanah," seloroh Haida.

Akhirnya kami tergelak bersama-sama. Semuanya dek kerana geram dengan Kaiser.

"Habis tu apa rancangan kau?" Soal Haida.

Aku jungkit bahu tanda tidak tahu. "Entahlah. Kaiser balik je rumah macam biasa. Bagi nafkah pada aku. Cuma nafkah batin dia je aku tak layan. Aku dah takda hati." Perlahan sahaja ayat terakhir itu aku ungkapkan.

Haida mengeluh. Muka aku dia tatap dengan pandangan sayu. "Aku tahu kau sedih. Iyalah, siapa tak sedih, laki kahwin lain kan? Tapi, Kaiser tetap jalankan tanggungjawab dia pada kau. So, apa lagi yang kau boleh buat selain bersabar. Aku tahu bukan senang. Tapi, memang itu yang kau kena buat sekarang. Kaiser pun tak nak lepaskan kau sebab tu dia jalankan tanggungjawab dia macam biasa."

Kelopak mata aku terasa panas. Pandangan mula kabur. Bila mula serius berbincang hal ini dengan Haida, hati aku jadi sedih.

Pelbagai persoalan muncul dibenak fikiran aku. Aku jadi hilang semangat. Aku tak boleh menyesal ditakdirkan bertemu jodoh dengan Kaiser. Semuanya takdir yang Tuhan dah tentukan untuk aku.

Tapi, kenapa ujian macam ni yang Dia hadirkan untuk aku?

Rasa tak kuat sangat nak hadapi kecurangan suami sendiri. Sehingga aku diduakan dan bergelar isteri pertama. Tak, aku tak suka dan aku tak nak. Sampai bila-bila pun aku tak boleh terima.

"Babe, jangan sedih. Aku tahu kau kuat. Kau mesti boleh hadapinya," Haida pujuk aku.

Keluhan berat aku lepaskan sambil bibirku tayang senyum pahit pada Haida. "Entahlah. Kadang aku rasa aku kuat. Kadang tak. Emosi aku ni turun naik sejak hal ni jadi. Ada masa aku tak tenang. Bila Kaiser ke rumah sana, aku rindu dia. Tapi, bila dia balik ke rumah aku, aku benci nak tengok muka dia," luah aku. Air mata kembali bergenang. Nafas aku tarik dalam-dalam.

Haida mendengar dengan setia. Riak muka simpati dipamerkan padaku. "Aku faham. Walaupun aku tak laluinya, tapi, aku dapat rasa apa yang kau rasa," nada Haida terdengar simpati.

Keluhan berat aku lepaskan. Aku dah penat menangis. Sampai air mata ni pun dah malas nak keluar sebab Kaiser tak guna tu!

"Kau nak tak ikut aku pergi majlis ilmu?" Soal Haida mengubah topik perbualan.

"Majlis ilmu?" Soalku.

Haida angguk bersungguh. Aku kerut dahi. Pertama kali Haida ajak aku pergi ke majlis sebegitu.

"Sejak bila kau rajin pergi majlis ilmu ni?" Sindirku. Iyalah, kami sama-sama free hair. Sebelum kahwin dulu, club malam tempat wajib pergi. Tapi, selepas aku berkahwin, aku dah cuci tangan. Tapi, Haida aku tak tahu sebab dia masih single.

"Aku ada kenal sorang laki ni. Dia cakap dia selalu pergi majlis ilmu dekat masjid tu. Dia lah yang ajak aku." Bersungguh Haida bercerita.

Mulut aku melopong setelah mendengar kata-kata itu. "Oh, pergi sebab nak mengurat lelaki tu lah ek?" Sengaja aku mengusik.

Haida ketawa besar sambil mulutnya ditekup dengan kedua belah telapak tangan. Wajahnya juga merona merah.

"Untunglah, bakal suami pak ostat," sambung aku lagi.

Bertambah mengekek Haida di buatnya. "Dia bukan pak ostat lah. Dia pun datang dengar ceramah. Kalau dia pak ostat, tak layak aku dengan dia. Macam langit dengan bumi." Kata Haida dengan tawa yang masih bersisa.

Aku cebik bibir buat muka menyampah. "Kalau dah jodoh, tak kemana. Tapi, pastikan pak ostat tu bukan laki orang," seakan pesanan penaja aku berikan pada Haida. Tak mahu sahabat baiknya itu terjebak dengan suami orang.

Haida geleng laju. "Aku dah make sure dia bukan suami orang,"

"Macam mana kau tahu?" Soalku dengan muka pelik. Cepat betul Haida tahu tentang lelaki tu.

"Aku siasatlah!" Haida tayang muka bangga. Ya, Haida ni kalau bab siasat, memang pro. Kaiser je tak sempat aku suruh dia siasat. Tahu-tahu dah kahwin lain. Tak guna betul!

"Tapi... ala-ala pak ostat ni selalunya suka kahwin lebih," saja aku buat Haida risau. Dalam hati aku dah gelak tengok muka geram Haida pada aku.

"Alah, si Kaiser tu bukan pak ostat pun. Kahwin dua juga!" Kata-kata Haida buat aku terdiam. Dia pulangkan paku buah keras pada aku. Cis!

Melihat sahaja muka kelat aku, Haida tertawa besar. "Haaa... Usik aku lagi," sambungnya. Aku menjeling geram. Hilang kata-kata.

Betul lah tu kata Haida, tak semestinya gelaran pak ostat akan kahwin lebih. Tengok je lah si Kaiser tu. Bukan pak ostat pun. Senang cakap, lelaki ni, kalau dia nak kahwin, dia kahwin. Tak kisahlah dia pak ostat ke, pak maun ke. Dia tetap akan kahwin. Tak kisahlah dua ke tiga.

"So, kau nak ikut tak?" Soal Haida sekali lagi.

Aku renung dia dengan muka malas. "Tengoklah," jawabku acuh tak acuh.

"Jomlah. Mana tahu kita boleh jadi calon wanita solehah ke,"  Haida cuba pancing aku. Dia tayang sengih. "Jom lah babe," pujuk Haida lagi bila dia tengok aku masoh diam.

"Bila?" Soalku dengan malas.

Mendengar sahaja soalan aku, Haida senyum lebar. "Khamis malam Jumaat ni. Aku pick up kau," kata Haida bersungguh.

"Aku tak cakap nak pergi pun. Aku tanya bila je," saja aku mengusik Haida.

Muka Haida dah geram bila aku cakap macam tu. "Kita pergi sekali je. Cuba nak? Aku pun first time ni nak pergi. Dah banyak kali dia ajak aku. Jom lah, babe. Aku takda kawan," mendayu suara Haida pujuk aku.

Yelah, dulu masa pergi club tak payah pujuk-pujuk, aku ikut je. Siap aku sendiri yang ajak si Haida ni.

Aku renung muka Haida yang masih menanti jawapan. Nafas aku gali dalam-dalam. Nak buat keputusan sekecil ni pun, aku rasa susah.

"Kita pergi kejap, kalau kau rasa nak balik, kita balik," cadang Haida.

Gigih dia cuba pujuk aku teman dia. Mahu atau tidak, terpaksalah aku setuju bila tengok muka kesian dia. "Yelah!" Aku jawab dengan nada terpaksa.

Tapi, Haida tak peduli. Yang penting, aku ikut. "Okey. After maghrib, aku pick up kau." Ujarnya dengan muka ceria.

Aku nampak muka Haida gembira. Mungkin Haida sendiri dah sedia nak mendirikan rumah tangga. Kalau dulu, Haida asyik cakap nak enjoy bila aku tanya soal kahwin. Sekarang...

Aku doakan lelaki yang Haida suka tu jodoh kekal dia. Dan, dia tak rasa macam aku rasa sekarang.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.