6,526
Kategori:
Genre:
Bab 5

PAGI itu aku bersiap awal nak ke pejabat. Sebolehnya aku nak mengelak dari tengok muka Kaiser. Dengan pantas aku turun dari bilik dan menuju ke dapur. Aku ambil beberapa minuman segera dari dalam kabinet dapur.

Tapi, tak sempat nak keluar dari ruangan itu, Kaiser muncul dengan hanya memakai boxer seperti selalu. Dia lintas depan aku dengan muka selamba. Dia buat tak endah pada aku. Kalau sebelum ni, memang kami macam tu. Tapi, entah kenapa kali ni aku rasa sakit hati sebab dia buat tak tahu pada aku.

Mungkin sebab aku dimadukan. Perasaan tu muncul tak kira masa. Aku tak suka rasa macam ni. Kalau boleh aku nak buat tak kisah langsung dengan hidup Kaiser dan penyondol tu.

Tapi, tak boleh. Perasaan tu acapkali datang. Nak pula bila Kaiser depan mata. Dan semalam dia buat aku rasa geram sebab sentuh aku tanpa kerelaan aku.

"Next month I takda dekat KL." Kaiser bersuara sebelum sempat aku pergi dari situ.

Aku malas nak tanya banyak. Tapi, Kaiser tarik lengan aku. Macam nak suruh aku tanya. Huh! Memang taklah!

"Lepaslah!" Aku rentap lengan aku dengan kasar.

Kaiser merengus perlahan. "Keras kepala you ni, boleh buat jalan raya," sindir Kaiser.

"Perangai you, boleh buat kita semua masuk neraka." Aku balas. Tak peduli dah ada kaitan ke tak. Yang penting, dia sakit hati.

"Jaga sikit mulut you." Kaiser hala jari telunjuk pada aku. Tapi, aku tayang muka angkuh. "You yang ajar I jadi kurang ajar. Isteri cerminan suami. Ingat tu," nada suara ku tekan dalam. Bagi Kaiser sedar kenapa aku jadi begini.

Kaiser ketap bibir tahan geram. Matanya mencerlung menikam pada aku. Aku? Senyum sinis sambil tambah perisa. "Nasib baik kita takda anak. Kalau tak, anak kita mesti malu ada bapak macam you."

Kaiser terpempan dengar kata-kata aku. Dari riak wajahnya, aku tahu dia makin marah. Ya, memang aku saja buat dia marah.

"You makin melampau Ammara!"

"Isteri cerminan suami," aku ulang ayat tu bagi Kaiser ingat. Biar dia tahu yang sikap aku ni berpunca daripada dia yang tak pandai mendidik isteri.

Kaiser lepas tangan aku dengan kasar. Mukanya nampak merah padam. Tapi, aku tak peduli. Macam yang aku cakap sebelum ni, aku memang cari point untuk Kaiser berkasar pada aku. Supaya aku boleh jadikan bukti.

Tapi, macam biasa, Kaiser terus pergi tinggalkan aku dekat situ. Aku merengus geram. "Bacul!" Makiku.






"AMMARA, I tengok prestasi kerja you makin merosot." Kata Encik Syamsul, majikan aku.

Aku diam. Tak jawab apa-apa. Ya, aku akui sejak Kaiser kahwin lain, fikiran aku terganggu. Begitu juga kerja-kerja aku. Fokus aku entah ke mana.

"Lepas tu I dapat tahu you ada pukul sorang  perempuan dalam pejabat ni." Sambung Encik Syamsul lagi. Aku terkedu. Pelik sebab dia tahu kes aku dengan penyondol tu.

"Kalau you ada masalah rumah tangga sekalipun, jangan bawa segala masalah tu dekat pejabat. You akan cemarkan nama company I," makin tinggi suara Encik Syamsul.

Aku dah mula panas hati. Encik Syamsul ni pun geng si Kaiser. Bini lebih dari satu. Tapi, dia lagi advance. Bini tiga.

"Encik Syamsul, I tak bawa masalah rumah tangga I dalam pejabat. Tapi, masalah tu sendiri yang datang dekat sini." Aku mula menjawab nak pertahankan diri. Tapi, macam biasalah, boss kan. Mana nak dengar masalah pekerja.

"Itu bukan masalah I. I tak nak tahu." Pintas Encik Syamsul dengan muka tegang.

Aku tarik nafas dalam. Geram dengar balasan dia. "Macamlah bini-bini encik tak pernah bergaduh dalam pejabat ni. Siap kena panggil polis minta leraikan," aku bagi setepek dekat dia. Geram aiih!

Terbuntang mata Encik Syamsul dengar ucap balas aku. Baru dia tahu mulut aku ni ada masa-masa takda insuran.

"You jangan sindir I. I boss you tau!" Marah Encik Syamsul.

Entah kenapa hari ni aku betul-betul rasa hilang sabar dengan lelaki spesis Kaiser. "I tak pedulilah you siapa? Lelaki sejenis kahwin banyak ni, memang bertuhankan nafsu! Tak sedar diri! Penunggang agama!" Makian aku makin menjadi-jadi. Aku dah tak peduli.

Terbuntang mata Encik Syamsul bila dengar makian aku. "You jangan kurang ajar dengan I!!!" Jerkahannya buat aku kecut perut. "You're fired, Ammara!!!" Sambungnya dengan muka merah padam.

Aku terdiam sejenak. Tak berkelip mata aku menatap muka lelaki itu.

"Apa tunggu lagi? Kemas barang you, keluar dari pejabat I!!" Melengking suara Encik Syamsul memarahi aku.

"Aaa... Encik Syamsul... I... I minta maaf," aku mula menggelabah.

"No! Keluar sekarang! Aku tak nak tengok muka kau dalam pejabat aku ni!!"  Nekad sungguh Encik Syamsul halau aku.

Masa ni aku rasa dah nak menangis. Nak menyesal tak guna dah. Dah terlanjur maki lah orang kata. Memang salah aku terlalu ikutkan perasaan. Kalau aku sabar sikit lagi, mesti tak jadi macam ni.

Terkebil-kebil aku menatap muka bengis Encik Syamsul. Aku tahu dia bengang dengan aku sebab sentuh hal peribadi dia.

"Apa tengok-tengok lagi? Kau tak faham bahasa? Keluar!" Makin galak dia halau aku.

Aku rasa dah nak naik hantu dah. "Kau ingat, aku nak sangat kerja dekat sini? Melingkuplah company kau tak lama lagi!" Makian aku bertambah agresif. Geram punya pasal.

Aku tak tunggu lama. Terus aku keluar dari bilik dia dan pergi semula ke meja kerja aku. Barang-barang aku sumbat dalam kotak kosong yang ada bawah meja. Macam tahu-tahu je aku nak berhenti.

Selesai mengemas, aku terus keluar dari situ. Malas nak jawab soalan-soalan rakan sekerja yang lain.





AKU termenung mengenang nasib diri di sofa ruang tamu. Tak tahu kenapa nasib aku begini.

Suami kahwin lain. Kena buang kerja. Betul kata Haida. Aku kena muhasabah diri. Kadang-kadang aku terfikir, kenapa Allah uji aku macam ni?

Mama. Aku perlu jumpa mama dengan papa. Hampir sebulan aku tak balik kampung. Semua sebab sibuk bekerja. Sekarang dah tak kerja, bolehlah aku duduk lama sikit dengan mama dengan papa aku.

Tapi, lepas ni, aku kena cari kerja sara hidup aku sendiri. Mujur aku takda anak untuk aku fikirkan hal mereka. Kalau tak, mesti aku akan terdesak nak cari kerja lain cepat-cepat.

Sejak Kaiser kahwin, macam-macam dugaan menimpa aku. Tu belum cerita pasal madu aku hantar mesej menyakitkan hati.

Lepas sah si betina penyondol tu jadi madu aku, boleh katakan hari-hari dia hantar mesej pada aku. Bagi tahu ke mana dia dan Kaiser pergi. Dah macam hantar laporan kewangan harian dah aku rasa.

Aku tahu dia saja nak sakitkan hati aku. Ingat aku heran? Memang saja aku tak block dia sebab aku tak nak dia ingat aku dah koyak dengan provokasi dia. Aku biar je dia hantar mesej berbaur provokasi macam tu.

Biasa sejenis macam ni, sekali kena dekat batang hidung sendiri mahu meroyan habis.  Dia ingat aku kisah sangat Kaiser layan dia macam tuan puteri? Baru kahwin kentut pun bau wangi. Kau tunggu tak lama lagi. Silap-silap si Kaiser kahwin lagi satu. Padan muka kau!

Baru semalam siap mesej bagi tahu aku yang Kaiser nak bawa dia pergi honeymoon dekat over sea tak lama lagi. Bangga konon Kaiser lebih-lebihkan dia.

Sebelum kahwin lagi aku dah jejak beberapa buah negara. Takda mengharapkan duit siapa-siapa. Engkau baru kahwin, bangga bagi tahu yang laki kau nak bawa pi honeymoon dekat over sea. Laki pun laki orang. Muka tak malu!

Jealous? Sorry sikit. Sikit pun aku tak heran. Banyak lagi benda aku nak fikir selain pasal diorang berdua.

Tiba-tiba kelopak mata aku terasa panas. Nak nangis ke Ammara? Seakan ada satu suara yang bergema di telinga aku.
Nangus je lah. Buat apa ego sangat tahan semua tu. Tak salah menangis. Lepas tu, move on. Tahan nangis ni sakit. Nangis je lah. Suara tu bergema lagi.

Tekak aku mula terasa perit. Mata pun makin panas. Tak sedar air mata dah meleleh ke pipi. Aku masih cuba tahan dari menghambur tangis. Tapi, tak boleh. Aku kalah.

Teresak-esak aku menangis sambil bantal aku tekup ke muka. Sungguh, aku tak kuat mana pun. Aku tak boleh lari dari semua ni. Suka atau tak, aku kena hadapi.

Apa-apa pun, aku kena jumpa kekuatan aku dulu. Lepas tu, baru aku fikir nak buat apa lepas ni.

Ammara, kau kena kuat. Sekarang waktu kau lepaskan semua dengan tangisan. Akan datang, aku akan buat kau tersenyum dan tenang.

Kuatlah Ammara! Demi sebuah kebahagiaan!





PAPA peluk aku kuat-kuat. Sedaya upaya aku tahan dari menghambur tangis. Senyuman paksa aku ukir dibibirku. "Adik okey je, pa." Kataku dengan nada tenang.

Pelukan dileraikan. "Papa tahu anak papa ni kuat."

Mama dah nangis teresak-esak lepas aku ceritakan semuanya pada mereka. Bukan niat aku nak sorok hal itu. Tapi, aku perlu masa nak bagi tahu.

"Ma, adik okey dah. Adik dah boleh terima Kaiser kahwin lain." Ujarku. Muka tabah aku tayang bersama. Walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.

Siapa tak sedih tengok mak ayah sendiri menangis sebab kita? Sepatutnya di usia mereka sebegini, mereka tak perlu memikirkan hal anak-anak lagi. Tapi, aku gagal buat mereka tenang di usia senja sebegini.

"Adik minta maaf buat mama dengan papa susah hati. Sepatutnya adik buat mama papa tenang-tenang hujung-hujung usia macam ni." sambungku lagi. Nada aku dah bergetar. Aku tak nak menangis depan diorang. Tapi, tekak ni dah terasa perit menahan tangis. Nafas aku tarik dalam-dalam, cuba tenangkan diri sendiri.

"Masa nak kan adik, kemain bersungguh. Sampai merayu along. Sekarang, dia buat adik along macam ni?" Entah sejak bila abang sulung aku, Anuar muncul dekat sini.

Serentak kami toleh tengok pada dia. Nampak muka marah along. Sebolehnya aku tak nak sesiapa pun masuk campur dalam hal rumah tangga aku. Tapi, aku kena cerita sebab tak nak mama dengan papa susah hati kalau tahu dari mulut orang lain.

"Nanti along ajak, angah pergi cekak leher si Kaiser tu," sambung along lagi.

"Ni yang malas nak cerita. Masing-masing macam samseng. Adik dah bahasa kan dia cukup-cukup. Yang lain tak payah masuk campur," pintas aku.

"Setakat bahasa kan tak cukup. Kena bagi sedas dua dekat muka dia. Baru dia tahu langit tinggi ke rendah," balas along masih tak puas hati.

"Dah lah along. Tak payah lah. Adik dah reda dah." Suara aku mula mengendur. Aku bersyukur dikurniakan keluarga yang sangat supportive.

Along datang dekat aku. Dia raih bahu aku seakan memujuk. Aku lemah betul bila dia buat macam tu. Mula lah rasa nak menangis.

Sedaya upaya aku tahan air mata. Tapi, aku rasa along dah dapat agak yang aku nak menangis. "Nangis je. Jangan tahan," along bersuara.

Aku diam. Termenung beberapa detik. Kemudian, tangisan aku terhambur keluar akhirnya. Tak dapat nak tahan lagi.

Papa dengan mama terus datang dekat aku. Peluk aku kuat-kuat. Macam bagi semangat. 

Ya Allah. Rupa-rupanya ada benda yang aku kena syukur. Allah kurniakan aku keluarga yang tak pernah biar aku tanggung derita sorang-sorang.

"Lepas ni, apa-apa bagi tahu kami. Jangan tanggung sorang diri." Pesan papa. Aku angguk perlahan. Air mata ku mama kesat dengan telapak tangannya. Aku bertambah sebak.

Sebenarnya dulu lagi mama dan papa menentang aku berkahwin dengan Kaiser sebab  diorang rasa, kami masih terlalu muda untuk berkahwin. Tapi, sebab aku berkeras nak kahwin juga, mahu atau tidak, mereka terpaksa restu.

Beberapa tahun pertama selepas berkahwin aku masih rasa bahagia. Tapi, tahun seterusnya aku mula nampak Kaiser berubah. Tapi, tak sangka, dia berubah sampai kahwin lain.

Tak sempat aku nak hidu kecurangan dia, dia dah selamat menikah lagi satu. Bodoh betul aku rasa masa tu. Langsung tak perasan suami curang dengan betina lain.

Walau apa pun, segalanya tak dapat diundur kembali. Kaiser dah kahwin lain, dan aku pun da kena buang kerja. Aku kena teruskan kehidupan aku seperti biasa. Pulang ke ibu kota Kuala Lumpur dan cari kerja baru.

Mungkin pada awalnya agak susah bagi aku. Tapi, aku doa supaya segala urusan aku dipermudah oleh Allah kelak.






AKU duduk di gazebo halaman rumah papa. Ambil angin malam sambil-sambil tenangkan diri.

"Bila sampai?" Satu suara menyapa aku dari belakang. Aku toleh pada suara itu, angah aku, Anas dah berdiri di situ. Dalam kesamaran malam, aku nampak dia tersenyum.

"Petang tadi." Jawabku.

"Okey ke?" Angah labuhkan punggungnya sebelah aku.

"Okey je," ringkas aku menjawab. Aku pasti yang mama dan papa dah cerita pada angah pasal aku.

"Kalau adik nak angah dengan along pergi belasah Kaiser, bagi tahu," seloroh angah.

Aku tergelak kecil. "Tak payahlah. Adik sorang pun boleh belasah dia," aku sahut gurauan itu sambil tunjuk aksi belasah orang.

Angah lelaki yang tenang. Jarang dia marah tak tentu pasal. Antara dia dengan along, aku lebih suka bercerita dan meluahkan perasaan pada angah. Angah jenis berfikir panjang. Dan nasihat-nasihat dia banyak buat aku berfikir.

Cuma masa nak kahwin dengan Kaiser je, aku tak makan nasihat. Maklumlah gatal sangat nak kahwin masa tu.

"Angah simpati atas apa yang berlaku pada adik. Tapi, balik sini Kaiser tahu tak?" Soalnya.

Aku dapat agak yang angah nak nasihat aku tentang status aku sebagai isteri orang. Nampaknya kena tadah telinga lah aku kejap lagi ni.

"Kalau masih berstatus isteri orang, marah macam mana pun pada suami, tetap kena minta izin sebelum keluar." Angah dah mula enjin tazkirah dia. Aku cebik bibir tayang muka bosan.

Angah gelak je tengok reaksi muka aku. "Angah ingatkan je. Angah tak nak berdosa sebab tak tegur perkara yang angah tahu," sambungnya.

"Yelah. Lepas ni adik tak buat lagi." Balas aku acuh tak acuh.

"Ujian ni Allah bagi banyak sebab. Kena selalu bersangka baik pada Dia." Angah kembali menyambung tazkirahnya.

"Balasan adik kut sebab tak dengar cakap papa mama dulu." Pintas aku mengaku salah sendiri. Biasalah. Bila dah jadi benda macam ni, baru nak mengaku salah sendiri.

Angah gelak bila aku cakap macam tu. "Bagus sebenarnya bila ditimpa ujian, terus rasa diri ada buat salah. Jadi, lepas dah tersedar, adik rasa apa?" Soalnya sambil tengok muka aku.

"Adik rasa nak bunuh Kaiser tu!" Luahan aku dah tak bertapis. Sakit hati sangat bila ingat pasal Kaiser. Muka geram terpancar di wajah aku.

Angah dengar je aku cakap macam tu, dia terdiam. Baru dia tahu adik dia ni saiko boleh tahan.

"Jangan sampai rasa macam tu. Sepatutnya bila tersedar, muhasabah diri. Dekatkan diri dengan Allah." Lembut sahaja angah menyambung kata-katanya.

"Kenapa ek lelaki ni bila kahwin lain je guna agama. Atas dasar sunnah. Tapi, bila bab tanggungjawab, nafkah batin isteri, punah." Gumam aku dengan nada perlahan. Geram juga dengan angah bila dia cakap macam tu. Seolah aku ni tak dekatkan diri dengan Allah.

Eh, aku teman Haida pergi majlis agama hari tu, kira dekatkan diri dengan Allah lah tu. Ingat aku takda effort nak muhasabah diri?

Angah senyum tenang pada aku. "Kalau angah jujur, nanti adik tuduh angah back up Kaiser pula," katanya masih dengan senyuman seperti tadi.

Aku tarik nafas dalam. Terus terang aku cakap, aku tak sedia nak dengar ceramah angah. Takut-takut angah pula aku bunuh dulu kang!

"Nanti lah kita sambung. Adik tak sedia nak dengar kejujuran yang menyakitkan," jawab aku dengan muka selamba. Lantas, aku berjalan masuk ke rumah meninggalkan angah sendirian di situ.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.