LANTAK kau oranglah. Tak berkudis pun.
Ni Ash la. Salah bahan la kalau pilih dia jadi target untuk aktiviti memulau manusia kat sekolah ni. Aisyah Humaira tak hidup bergantung dengan manusia.
'Lu orang nak tembak Ash dengan jeling sampai terbalik biji mata pun, Ash tak pernah pandang muka manusia sekeliling.
Nak tunjuk padah tak berbaik dengan senior? Huh. Lu orang tak suap sebiji nasi pun dalam mulut gua la.'
***
"ADA dengar cerita pasal Aisyah tak?"
Zakwan angkat muka dari kasut yang baru disarung ke kaki. "Tak ada. Kenapa dengan dia?" Tangannya cekap mengikat tali kasut sebelum dia bangun berdiri.
"Tak tahu jugak apa yang jadi tapi riuh dalam kelas, girls duk cerita pasal dia."
Berkerut dahi Zakwan. Dah kenapa pulak?
Mereka melangkah beriringan dari surau tu menuju ke kelas untuk sesi prep petang.
"Dah jumpa dia ke?" Budak tu bertanya.
Zakwan menggeleng."Kau?"
"Belum jugak. Hari tu ada jugak tegur dia. Tapi dia boleh pergi buat drift pulak nak larikan diri."
Zakwan menggeleng. Haihh. Budak Aisyah ni. Sampai macam tu sekali.
"Kau ada dengar kebudak-budak ni cakap pasal apa?" Dia bertanya sambil melingas ke keliling. Tak ramai lagi budak bergerak ke kelas.
"Tak pun. Tapi gaya macam kena pulau je."
Bertambah lapis kerut di dahi Zakwan.
‘Ish. Penggal pertama sekolah puntak habis lagi, dah buat onar ke?’
Walaupun dia tak pernah tahu spesies macam mana budak tu sebenarnya, takkanlah teruk sangat sampai title freshie masih fresh tapi dah nak jadi cowboy.
"Ikmal." Langkahnya terhenti di belakang Ikmal. Matanya memaku pada satu arah.
Budak Ikmal tu berpaling pada Zakwan sebelum menoleh pada arah sama.
Ohh.
"Apa plan dalam kepala tu?" Zakwan bertanya tanpa mengalihkan pandangan.
"Ambush."
***
STRAW plastik tu dibawa ke mulut dengan mata melekat pada Book of the Dead tulisan Patricia Cornwell di tangan. Air keladi tu disedut rileks tanpa sikitpun dia perasan Zakwan dan Ikmal yang dah menghampiri dari arah bertentangan.
Mata Zakwan jatuh pada kulit depan novel di tangan Aisyah sebelum dia menala pandangan pada muka gadis tu.
"Tak ada buku yang lagi ganas ke yang boleh dibaca?"
Langkah Aisyah terhenti sekaki dari Zakwan yang dah tegak berdiri di depannya. Berkerut-kerut dahinya mengangkat muka, mencari wajah gerangan si pengempang jalan yang luas tu. Serta-merta kerut di dahi mengendur.
"Nak larilah tu."
Aisyah tak jadi mengundur. Jelingan maut ditala pada Ikmal yang berpeluk tubuh di sebelah Zakwan.
'Apa hal buat gaya samseng jalanan ni?' Aisyah mengomel sendiri. "Do I know you?" Wajah Zakwan dan Ikmal dipandang silih berganti.
Masing-masing terangkat sebelah kening.
"Aisyah." Tegas dalam lembut Zakwan memanggil. "Beria sangat nak escape ni, kenapa?"
Aisyah menggigit bibir bawah. Tak perlu jawab kut soalan tu. Pasal sekarang ni pun dia rasa nak bertukar jadi Usain Bolt, buat lari pecut dari sini.
"Dari minggu pertama lagi dah nak tanya your condition kat sekolah ni tapi asyik lari je." Zakwan mencari anak mata Aisyah yang dilarikan. "Is everything okay?" Concern. Lebih-lebih lagi lepas apa yang dia dengar daripada Ikmal tadi. Dengan tak sempat lagi nak sampaikan salam mak pada dia.
Aisyah menarik nafas dalam-dalam. Kalau tak cakap sekarang, dua lelaki ni takkan berhenti kacau dia. Dia angkat muka, menentang pandangan redup Zakwan. "Buat macam tak kenal I, please. Both of you." Datar tanpa nada Aisyah menutur sebelum dia berpaling meninggalkan mereka berdua.
Ikmal pandang Zakwan yang dah terpaku di tempatnya.
Apa hal dengan budak Aisyah ni sebenarnya?
***
"Kau orang nampak apa aku nampak, geng?" Budak perempuan yang di tengah-tengah tu bertanya dengan mata pada Aisyah yang baru melintas.
Empat kepala yang lain dibelakangnya mengangguk hampir serentak.