Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
29,304
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 4

LAMUNAN Salimah terhenti apabila seorang lagi tetamu tak diundang muncul memberi salam. Dia bangkit dan menjenguk di muka pintu. Di situ terjengul wajah Razak Saleh, pesara polis yang selalu mengambil berat terhadap hal ehwal dia dan Dilaila.

“Mah, kau kena ikut aku ke hospital sekarang!”

“Sudahlah tu, Razak. Kalau dia dah mati, kau hantar sajalah dia ke rumah mak bapak dia. Aku dah tak ada kena mengena dengan dia lagi.”

“Eh, Mak Cik Tijah mana ada keluarga lain selain kau?”

Salimah kaget. Wajah yang mula berkedut itu ditatapnya dalam-dalam. Pada awalnya dia sangka orang yang dimaksudkan oleh Razak ialah Gaban, “Kenapa dengan orang tua tu?”

“Mak mertua kau kemalangan di pasar tani.”

Bagai hendak gugur jantungnya mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut lelaki itu. Fikirannya bercelaru tidak tahu apa yang hendak dibuat pada waktu itu. Dia berpaling semula hendak mencapai tudung di biliknya tetapi kakinya terpaku apabila melihat Dilaila sudah tegak di pintu bilik sambil memandangnya dengan muka pucat.

“Nenek kau kemalangan. Nak ikut ke hospital?” soal Salimah.

Gadis itu tidak menjawab kerana dia sudah mendengar perbualan Razak dan ibunya tadi. Dadanya berombak cemas. Pantas masuk semula ke bilik untuk menyiapkan diri seadanya. Beberapa ketika sahaja mereka sudah pun berada dalam perut kereta Razak menuju ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

“Macam mana nenek boleh kemalangan?” Dilaila pantas menyoal.

Razak membuka cerita mengenai kejadian yang berlaku di depan matanya, “Mak Cik Tijah dengan Luqman nak melintas. Aku tolong pimpin Luqman. Mak Cik Tijah di belakang. Bila sampai ke seberang jalan, baru aku perasan Mak Cik Tijah masih berada di garisan tengah. Masa tu tiba-tiba plastik telur yang Mak Cik Tijah bawa tu bocor, habis telurnya bertaburan. Dia berhenti nak kutip baki yang elok lagi. Belum sempat aku nak tolong tiba-tiba muncul sebuah motosikal terlanggar dia.”

Dilaila mencelah, “Keadaan dia?”

“Parah dan dah dibawa ke hospital,” balas Razak ringkas.

Salimah pantas menyampuk, “Penunggang tu?”

“Parah juga. Orangnya kamu kenal sangat.”

“Siapa?”

“Gaban!”

Serta-merta jantung Salimah berdegup kencang. Teringat dia tentang tali brek depan motosikal Gaban yang menjadi mangsa kemarahannya. Tubuhnya menggigil dan dia terus membatu. Rahsia itu perlu disimpan kemas dalam perutnya.

LAMA Salimah mengelamun sampai tidak sedar yang mereka sudahpun berada di pekarangan hospital. Kakinya mengekori langkah Razak. Mereka menuju ke kaunter pertanyaan. Salimah dan Dilaila yang masih terkejut tidak mendengar soalan yang ditanyakan oleh Razak.

“Wad ICU Neurologi, tingkat dua.” Razak kemudian memberitahu dua beranak itu tanpa ditanya. Mereka bergerak ke tempat yang dinyatakan tadi.

Tiba di sana, Razak memberi laluan kepada Salimah dan Dilaila untuk masuk dahulu. Di dalam wad, tubuh Nek Tijah bagaikan prototaip robotTransformers, mesin-mesin di kanan dan kiri katil, wayar-wayar bergantungan. Mukanya pula lebam dan membengkak.

Dilaila tidak dapat menahan diri. Dia menangis teresak-esak hingga menarik perhatian jururawat bertugas, “Mak cik dan adik, keluarga nenek Khatijah?”

Anggukan Salimah membuatkan jururawat itu mengukirkan senyuman lebih lebar. Mungkin hatinya lega kerana kehadiran dua manusia itu telah membantunya menyampaikan pesanan doktor kepada waris pesakit.

“Doktor nak jumpa mak cik. Nanti saya panggilkan doktor sebentar.” Jururawat itu berlalu seketika untuk membuat panggilan telefon.

Beberapa ketika kemudian, doktor datang lalu mendapatkan Salimah dan Dilaila. “Mak cik mari ikut saya, ada perkara yang hendak saya bincangkan.”

Sebaik duduk, Doktor Hasnul mencapai sehelai filem x-ray. Diletakkan pada kotak lampu dan mula bersuara, “Kecederaan dia sangat parah. Berdasarkan usianya, agak susah untuk dia pulih seperti sedia kala. Yang paling kita takut ialah pendarahan pada bahagian kepalanya. Tempurungnya retak. Pembedahan masih belum dapat dijalankan kerana keadaannya tidak begitu stabil.”

“Ada harapan tak, doktor?” Lirih suara Dilaila bertanya.

“Agak tipis. Keadaan dia kritikal dan bergantung seratus peratus pada mesin bantuan pernafasan. Malah degupan jantungnya pun sangat lemah. Berdoalah pada ALLAH. Semoga DIA kuatkan semangat nenek Khatijah untuk hidup. Sekarang ni kita hanya bergantung pada takdir!”

Air mata Dilaila tumpah lagi. Tersengut-sengut bahunya menahan esakan. Salimah pula masih mampu tenang. Air matanya mahal tatkala itu. Entah kenapa perasaannya bercampur baur dan rasa sedih bagaikan gagal menyerbu keluar melalui riak wajahnya. Begitu keras lantai hatinya.

“Beritahulah saudara mara terdekat.” Nasihat doktor yang sudah begitu berpengalaman dalam situasi trauma sebegini. Memang jarang warga tua yang mampu bertahan lama dengan kecederaan parah begitu.

SELEPAS beberapa ketika, kedua-dua beranak itu keluar lalu mendapatkan Razak. Salimah berjalan di hadapan sambil diekori oleh Dilaila. Langkahnya terhenti apabila melihat Razak sedang berbual dengan seseorang yang dikenali, ibu Gaban! Wanita itu turut berpaling dan mata mereka bertatapan seketika sebelum masing-masing memalingkan wajah ke arah berlainan.

Dia terus berlalu kerana mungkin tidak senang untuk berhadapan dengan Salimah yang pernah suatu ketika dulu diserang dan dimaki hamun kerana menjalin hubungan dengan anak terunanya.

Razak yang menyedari kehadiran Salimah segera menyapa, “Macam mana dengan Mak Cik Tijah?”

Salimah menjelaskan kepada Razak tentang pendapat doktor. Razak menggeleng dan mengeluh.

“Kamu kena tunggu sini dan bersedia dengan segala kemungkinan. Biar aku pulang dulu. Nanti petang aku datang balik. Ini nombor telefon aku. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat bagi tahu aku.”

Salimah mengangguk sambil mengerling ke arah ibu Gaban yang sudah pun berlalu dari situ, “Macam mana dengan anak dia?”

“Oh, dia masih koma.”

“Kan bagus kalau mati terus! Taklah menyusahkan orang!” Tanpa mampu berselindung terpacul kata-kata sumpahan daripada bibir Salimah.

Razak terkejut, “Eh... kenapa dengan kau ni, Salimah? Bukan ke Gaban tu selalu ke rumah kau?”

Dilaila memandang ibunya. Salimah pura-pura tidak mengerti, “Hmm... biar padan muka dia. Syaitan!”

Razak beristighfar. “Tak baik cakap macam tu. Aku tak tahu salah apa dia pada kamu. Tapi pada saat macam ni, kau doakanlah keselamatan dia. Buat apa nak bermusuh-musuh. Tak baik. Hidup kita pun bukannya lama.”

“Cakap memang senang, Razak. Kau tak tahu dosa apa yang dia dah buat.”

“Aku tak nak campur hal peribadi kau, tapi tak elok kalau kau terus berdendam. Err... aku tak boleh lama di sini nanti Nor bising.”

“Yalah... baik kau balik sebelum Nor tuduh yang bukan-bukan nanti.”

Sindiran Salimah sangat terkesan di hati Razak. Lelaki itu mengukir senyum pahit lalu beredar dari situ.

Sebaik Razak hilang, Dilaila bersuara pada ibunya yang masih terpaku, “Mak buat apa pada Gaban?”

“Buat apa? Kau sendiri dengarkan dia yang langgar nenek kau!”

“Tadi Dilaila dengar mak gaduh dengan dia. Kenapa mak marah sangat pada dia?” soal Dilaila sambil melarikan wajahnya. Dia gerun hendak menatap wajah ibunya.

Salimah menempelak, “Dah kena rogol pun kau masih nak pertahankan dia?”

Dilaila terkejut, “Mak, dia tak buat macam tu!”

“Tapi dia ada masuk dalam bilik kau kan?”

“Memanglah ada. Tapi dia tunjuk ‘anu’ dia pada Dilaila. Bila Dilaila jerit, dia ugut supaya diam. Lepas tu dia keluar dari bilik.”

“Kalau dia tak rogol buat apa dia tunjukkan ‘anu’ pada kau?”

“Dia tuflasher. Mak pun dah pernah dengar cerita tentang perangai jahat dia tu kan? Dia dah pernah kena tahan pasal tu, tapi mak jamin dia. Mak percaya sangat pada dia.”

Salimah terkesima. Fikirannya berkecamuk. Memang perbuatan Gaban itu jahat tetapi belum sampai tahap meragut kesucian Dilaila. Ternyata Salimah sudah tersilap perhitungan. “Betul dia tak rosakkan kamu?”

Gadis itu mengangguk.

Serta-merta tubuhnya lemah. Salimah terjelepok di situ. Kesalahan Gaban bukan seberat yang dia sangka. Berat hatinya waktu itu. Nafasnya terasa sesak. Dia sudah membuat tuduhan melulu pada Gaban dan akhirnya lelaki itu terlanggar ibu mertuanya. Ah, apakah dia punca kemalangan itu berlaku? Rasa bersalah menusuk-nusuk ke sanubari Salimah.

Melihat keadaan ibunya, Dilaila panik. “Mak, sabarlah. Insya-ALLAH nenek dan Gaban akan selamat.”

Menangis tidak, bersuara pun tidak. Salimah terus membisu. Terkial-kial Dilaila memapah ibunya agar dapat melabuhkan punggung di kerusi. Seketika kemudian, barulah Salimah boleh bernafas dengan tenang.

SUASANA di wad ICU kembali tenang. Hanya tinggal sekelompok keluarga sahaja yang berada di situ. Yang lain mungkin sudah kembali ke rumah masing-masing atau yang dinanti sudahpun dijemput ILAHI. Itulah rutin kehidupan. Yang lahir diraikan, manakala yang pergi ditangisi.

Dilaila terpandang ibunya yang sudah tercongok sambil tunduk merenung lantai. Pantas dia mendapatkan ibunya. Merasakan seseorang sedang menghampirinya, Salimah menoleh. “Kamu ke mana lama sangat?”

“Telefon Pak Razak tanya fasal Luqman.”

“Buat apa kau sibukkan dia? Patutnya kau duduk sini tunggu nenek kau!” sergah Salimah tidak gemar mendengar nama itu.

“Sekejap saja. Manalah tahu kalau dia hilang ke? Mujur anak Pak Razak bawa dia balik rumah. Pak Razak lupa nak bagi tahu kita tadi.”

Salimah bungkam. Rasa serba salah membuatkan dia cuba mengalih tajuk perbualan. “Ni ada nasi bungkus, kau pergi makan dulu.”

“Mak dah makan?”

Salimah mengangguk. “Makan kat tepi tangga sana. Tak ada orang. Basuh tangan dulu!” ujar Salimah sambil menunding jari menunjukkan pintu dengan tanda KELUAR.

Dilaila bangkit lalu ke tandas sebelum menuju ke tempat yang dinyatakan. Dia membuka bungkusan. Lauknya sederhana, ikan tilapia goreng cili dan sayur tauge goreng.

Tiba-tiba, perlahan-lahan Dilaila terdengar derap kaki menghampirinya. Dia mengangkat wajahnya lalu bersatu dengan wajah Salimah. Mata wanita itu berkaca-kaca. Dilaila bangkit. Dia dapat merasakan sesuatu yang menakutkan sedang berlaku.

“Doktor panggil.” Getar suara Salimah bagaikan halilintar ganas berdentum menyentap gegendang telinganya.

Tanpa menunggu si ibu, Dilaila berlari masuk ke dalam wad. Di sisi neneknya ada seorang jururawat dan seorang doktor.

“Ajarlah nenek awak mengucap.” Saranan doktor itu sukar untuk diterima.

Esakan Dilaila memenuhi ruang. Lengan orang tua itu digenggamnya. Dia membisikkan kalimah syahadah di tubir telinga neneknya. Gadis itu terkilan kerana baru semalam mereka bertemu dan bergurau senda. Semalam wanita tua itu sihat waalafiat. Tetapi hari ini, tubuhnya kaku tak bermaya.

Seketika kemudian, mesin penunjuk nadi tidak lagi menari sebaliknya hanya membentuk garisan infiniti. Dilaila memandang wajah jururawat yang terpaku di hadapannya untuk mencari jawapan. Anggukan lemah daripada jururawat ini cukup untuk memberi isyarat yang Nek Tijah sudah meninggal dunia.

Salimah hanya memerhati di pintu. Renungannya berat, fikirannya berat, gerak langkahnya berat, riak wajahnya berat. Serta-merta bagaikan ada batu besar menimpa pundaknya. Dia tidak mampu berfikir atau merasa. Jiwanya kosong tatkala itu. Pandangannya berbalam-balam.

Jururawat mula menanggalkan peralatan di tubuh Nek Tijah manakala doktor sudah pun pergi dari situ selepas mengesahkan yang Nek Tijah sudah tiada lagi.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh