Home Novel Keluarga WASITAH
WASITAH
Abdul Rahim Awang
18/12/2019 09:01:44
20,004
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 1
Adiba sebak. Tetapi dia tidak dapat mengesat air matanya daripada bercucuran membasahi pipi kerana kedua-dua belah  tagannya berisi serpihan-serpihan kaca mangkuk sup. Dia masuk ke dapur dan mencampakkan semuanya ke dalam tong  sampah.

Bibit Esah berhenti membasuh cawan di sinki, memandang Adiba dan bertanya, “Orang tua itu buat fiil lagi pagi ini?”

Adiba tidak menjawab. Dia terus melangkah ke bilik air untuk mengambil baldi dan mop.

Bibit Esah segera meninggalkan sinki dan bergerak pantas menghalang Adiba. “Mop lantai kerja bibit,” katanya dengan nada  memujuk, tetapi tegas. “Biar bibit buat. Ibu pergilah sarapan.”

Adiba tidak membantah. Selepas menyerahkan mop dan baldi kepada Bibit Esah, dia melangkah dan duduk di meja makan.

Tetapi kopi-O dan bihun goreng yang memang dihidangkan di atas meja oleh Bibit Esah untuknya sebelum dia masuk ke bilik Datuk Ghafur tadi tidak disentuh. Sebaliknya dia mengambil kertas tisu dari kotak di atas meja dan mengesat titisan darah daripada luka di telunjuknya. Dia termenung, berfikir dan menilai kehadirannya di rumah Datuk Ghafur. Soalan Bibit Esah sebentar tadi: ‘Orang tua itu buat fiil lagi pagi ini?’, terngiang-ngiang di telinga.

Memang! Semejak tiba di rumah itu tiga bulan lalu dia terpaksa berhadapan dengan karenah dan mood Datuk Ghafur yang tidak menentu. Sepanjang masa itu dia memujuk dirinya supaya bersabar dan memahami perasaan seseorang yang biasanya pantas, cergas dan tidak tahu duduk diam tetapi kini terlantar di atas katil akibat patah tulang paha dan pinggul selepas mengalami kemalangan. Tetapi pagi itu ….

*****
Seperti pagi-pagi sebelumnya, Adiba masuk ke bilik Datuk Ghafur membawa dulang berisi semangkuk sup sayur, segalas air suam dan pelbagai jenis ubat. Dan, seperti pagi-pagi sebelumnya juga, malah setiap kali dia masuk ke bilik itu, dia mendapati Datuk Ghafur khusuk melihat angka-angka dan laporan pasaran saham di skrin komputer yang terletak di hujung kaki katilnya.
 
Walaupun berasa bimbang kerana Datuk Ghafur tidak pernah dilihatnya berehat atau lelap, Adiba tidak pernah bertanya mahupun menghalang. Dia sedar itulah satu-satunya cara untuk Datuk Ghafur mengikuti perkembangan dunia perniagaan ketika terlantar di atas katil. Dia juga berasa itulah cara untuk Datuk Ghafur melupakan seketika penderitaanya.

Selepas meletakkan dulang yang dibawanya di atas meja sisi, Adiba duduk, mengambil mangkuk sup dan bersedia untuk menyuap Datuk Ghafur.

Tetapi Datuk Ghafur tidak membuka mulut untuk menerima sup yang mahu disuap, sebaliknya menjeling mangkuk sup di tangan Adiba dan bertanya, “Mana kopi-O aku?” Tegas dan kasar.

“Datuk sendiri tahu Datuk tidak boleh minum kopi-O, kan?” Adiba menjawab dengan nada memujuk.

“Sampai bila engkau nak sumbat aku dengan sup tawar dan air kosong saja?” Datuk Ghafur menengking.

“Sementara saja, Datuk,” Adiba terus memujuk. “Bila dah sihat nanti ….”

“Engkau ingat aku boleh sihat macam sedia kala?” Datuk Ghafur memotong.

Dengan mangkuk sup masih di tangan kiri dan sudu di tangan kanan, Adiba cuba memujuk lagi. “Kalau Datuk ikut nasihat doctor, makan makanan sihat dan makan ubat ikut aturan, In Sha Allah ….”

“Ah!” Datuk Ghafur bertempik sambil menepis mangkuk sup dari tangan Adiba, jatuh berkecai di atas lantai. “Tak payah membebellah!”

Adiba tersentak dan termangu seketika. Kemudian, dengan air mata berlinangan, dia bangun dari kerusi, melutut dan mengutip serpihan kaca dari atas lantai.

*****
Adiba membelek luka pada telunjuknya. Walaupun masih pedih, tidak seperit luka di hatinya.

Patutkah aku terus berada di sini? Dia bertanya dalam hati, mula meragui keputusan yang dibuatnya tiga bulan lalu ….

Tiga bulan lalu Dato Husni bersama isteri barunya, Datin Faridah, telah berkunjung ke rumahnya di Kampung Tanah Baru, Nibong Tebal. Bagaikan tidak cukup dengan memeranjat dan menghairankannya dengan kehadiran mereka suami-isteri di rumahnya, selepas bertanya khabar tentang keadaan dirinya, Dato Husni mengajukan soalan yang langsung tidak diduga:

“Mahukan awak bekerja dengan Datuk Ghafur?”

Dia terdiam, tidak tahu bagaimana mahu dijawab soalan itu.

Dia tidak memerlukan pekerjaan. Walaupun tidak hidup mewah, dia bukannya susah. Dia selesa dan berpuas hati dengan keadaan hidupnya di kampung. Tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu menolak. Lebih-lebih lagi apabila Dato Husni mengaku datang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu ‘menziarah’ dan melihat keadaannya di kampung. Tawaran pekerjaan itu meyakinkannya yang mereka bukan sekadar ‘menziarah’, tetapi kerana mahu ‘menawarkan’ pekerjaan kepadanya. Dan mereka bukan sekadar mencari pekerja, tetapi secara spesifik mahukan khidmatnya.

“Awak masih ingat Datuk Ghafur?” Datin Faridah bertanya.

“Takkan saya boleh lupakan orang yang banyak menolong keluarga saya?” dia menjawab.

“Datuk Ghafur lumpuh sekarang,” Dato Husni memberitahu.

“Astaghfirullahilazim.” Itu sahaja yang mampu dilafazkannya.

“Dia sendiri minta kami datang jumpa awak … minta bantuan awak,” Datin Faridah menyambung cerita suaminya.

Kalau Datuk Ghafur sendiri meminta, manakan mungkin dia menolak.

Arwah suaminya pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi atau ‘batman’ Datuk Ghafur ketika dalam tentera. Ketika arwah suaminya didiagnosis menghidap kanser usus, Datuk Ghafur yang ketika itu telah bersara, membiayai rawatan pakar hingga ke luar negara. Apabila arwah suaminya meninggal dunia, Datuk Ghafur menguruskan segala-galanya, termasuk memberi bantuan kewangan sehingga dia mendapat bayaran persaraan sebagai balu tentera.

Bukan setakat itu sahaja, Datuk Ghafur juga membiayai pendidikan anak tunggalnya semenjak itu sehinggalah ke universiti.
Namun dia tetap bertanya, “Bantuan apa yang boleh saya berikan?”

“Awak akan tahu bila awak jumpa Datuk Ghafur nanti,” jawab Dato Husni.

Bukan jawapan yang diharapkannya. Tetapi, belumpun sempat dia berkata apa-apa, Datin Faridah bertanya, “Anak awak menuntut di UPM, kan?”

Dia mengangguk.

“Menurut Datuk Ghafur, sekuliah dengan anaknya. Betulkah?” Datin Faridah bertanya lagi.

Dia mengangguk juga. Erin, anak tunggalnya, memang menutut sekuliah dan berkawan dengan Zulaikha, anak Datuk Ghafur.
“Jadi awak sendirian sahajalah di sini?” Dato Husni pula bertanya.

Dia mengangguk lagi.

“Kalau macam itu, tidak ada masalahlah untuk awak terus ikut kami ke KL, kan?” Dato Husni mengajukan soalan dengan penuh keyakinan, seolah-olah sudah mengetahui keputusannya.

“Sekarang?” dia bertanya.

“Berapa lama awak perlukan untuk bersiap?” Soalannya dijawab dengan soalan juga oleh Dato Husni.

Dia teragak-agak.

“Kita tidak boleh bertempoh-tempoh lagi,” sambung Datok Husni. “Awak perlu ada di sana apabila Dauk Ghafur balik dari hospital petang besok.”

Dia terdiam.

“Begini sajalah,” kata Datin Faridah dengan nada memujuk. “Kami nak ke Penang kejap. Tidak sah datang ke Pulau Pinang kalau tidak makan nasi kandar. Lepas Isyak nanti, dalam pukul sembilan, kami datang jemput awak.”

Muktamat. Keputusan telah dibuat untuknya oleh Dato Husni dan Datin Faridah.

Dan, dalam keteperanjatan dengan apa yang berlaku dan kesuntukan masa untuk bersiap, dia langsung tidak mengetahui mahupun bertanya tetang Datin Salmah, isteri Datuk Ghafur, sehingga tiba di rumah Datuk Ghafur pagi berikutnya.
Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abdul Rahim Awang