Home Novel Keluarga WASITAH
WASITAH
Abdul Rahim Awang
18/12/2019 09:01:44
761
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 3
Sebenarnya Chong lebih dahulu tiba ke Café Anjung Angsana dan bersarapan bersama Kamal, pengurus besar Hotel Angsana, pagi itu. Tetapi, atas desakan Chong, mereka cepat-cepat meninggalkan café apabila nampak Datin Salmah tiba bersama Tarmazi.

Selain memang mahu mengelak daripada berhadapan dengan Datin Salmah selepas wanita itu bercerai dengan Datuk Ghafur, Chong juga tidak mahu berjumpa Tarmizi. Dia kenal dan tahu siapa Tarmizi. Dia pernah mengupah Tarmizi mendapatkan maklumat ketika mewakli seorang klien dalam perbicaraan sivil suatu ketika dulu.

Chong tahu Tarmizi seorang penyiasat persendirian yang cekap dan bijak. Dia yakin status Datin Salmah di Hotel Angsana antara maklumat yang telah disampaikan oleh Tarmizi pagi itu. Perkara itu menyebabkan dia semakin tidak selesa berjumpa dan berbicara dengan Datin Salmah, terutama di situ.

Sebentar tadi dia telah meyelinap masuk ke bilik pengawal keselamatan di sebelah kaunter penyambut tetamu apabila melihat Datin Salmah keluar dari café. Melalui dinding cermin sehala bilik itu, dia melihat Datin Salmah melintasi lobi untuk ke pintu hadapan. Perbuatan Datin Salmah berhenti dan menoleh ke arah kaunter penyambut tetamu meyakinkannya yang wanita itu telah ternampak kelibatnya. Kemasukan semula Datin Salmah ke lobi, terus menuju kaunter penyambut tetamu dan menemui Kamal memperkuatkan lagi keyakinan itu.

Dari tempatnya di belakang dinding cermin sehala bilik pengawal keselamatan, dia dapat melihat dan mendengar dengan jelas perbualan Datin Salmah dengan Kamal.

Dia bersimpati dengan Kamal yang kelihatan serba salah dan gugup apabila Datin Salmah meghampirinya. “Saya sangkakan puan … hmm … Datin dah balik.”

“Mengapa?” Datin Salmah bertanya serius. “Sekarang saya tidak boleh datang ke hotel ini lagikah?”

“Isy Datin ni! Tak baik cakap macam itu.” Kamal menjawab. “Kehadiran Datin sentiasa kami alu-alukan.”

Sambil memandang keliling, mencari-cari, Datin Salmah berkata, “Kalau betul macam itu, boleh tolong jawab soalan saya?”

Perbuatan Datin Salmah – memandang keliling dan mencari-cari – meyakinkan Chong wanita itu memang tahu dia ada di situ.

“Soalan apa, Datin?” Kamal bertanya.

Chong yang melihat dan mendengar dari belakang cermin sehala menunggu dengan dada berdebar. Dia dapat meneka soalan yang akan diajukan Datin Salmah.

Datin Salmah mencebik. “Awak tahu saya dah bukan Datin, tak payahlah berdatin-datin lagi.”

Kamal menjadi serba tidak kena.

Sambil merenung tepat wajah Kamal dan dengan nada serius, Datin Salmah bertanya, “Bila nama saya digururkan daripada menjadi ahli lembaga pengarah?”

Rasa simpati Chong terhadap Kamal meningkat beberapa darjah. Dia sendiri pun, kalau berada di tempat Kamal, akan menjadi serba salah untuk menjawab soalan itu.

Kamal teragak-agak seketika. Kemudian, dalam usaha untuk mengelak daripada menjawab, dia berpaling kepada penyambut tetamu bertugas dan meminta, “Tolong berikan saya rekod tempahan bulan ini.”

Chong tidak dapat mengawal dirinya daripada tersenyum melihat penyambut tetamu tercengang dan terpinga-pinga, tidak faham arahan Kamal. Rekod tempahan bulanan tidak pernah tersimpan di kaunter penyambut tetamu.

“Siapa ganti tempat saya?” Datin Salmah bertanya. Serius dan tegas.

Kamal tergagap-gagap menjawab, “Maaf, Datin. Saya tidak tahu.”

“Takkanlah tak tahu?” Datin Salmah menekan.

“Saya cuma pekerja di sini, Datin,” Kamal memberi alasan. “Saya tidak tahu menahu tentang keputusan lembaga pengarah.”

Datin Salmah membeliakkan mata dan merenung tepat wajah Kamal. Dengan perlahan tetapi menekan dan sepatah-sepatan dia berkata, “Encik Kamal bukannya pekerja biasa, tetapi pengurus besar hotel ini! Encik Kamal juga menghadiri mesyuarat lembaga pengarah. Mustahil Encik Kamal tidak tahu!”

Kamal tunduk, mengelak daripada bertentang mata dengan Datin Salmah. Bersuara perlahan dan dengan nada yang langsung tidak meyakinkan, dia berkata, “Saya memang tidak tahu, Datin.”

Datin Salmah mencebik. Sambil sekali lagi memandang keliling dan mencari-cari, dia bertanya, “Mana Encik Chong?”

Degupan jantung Chong tergelincir beberapa detik mendengar soalan itu. Sambil menahan nafas, soalah-olah bunyi nafasnya boleh didengar oleh Datin Salmah, dia menunggu jawapan Kamal.

Kamal mendongak dan memandang keliling, pura-pura mencari. “Encik Chong?”

“Tak payah berlakonlah!” Datin Salmah menengking. “Saya nampak dia di sini tadi.”

Walaupun berada dala bilik berhawa dingin di belakang dinding cermin sehala, tubuh Chong mula dibasahi keringat. Dia menunggu dengan penuh debaran, bimbang Kamal menjadi pengecut dan memanggil dia keluar.
Mujur Datin Salmah tidak mendesak. Sebaliknya berpusing, keluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya dan mendail.

“Waalaikumussalam,” kata Datin Salmah selepas menunggu seketika, menjawab salam siapa sahaja yang dihubunginya. Kemudian bertanya, “Engkau kat mana? … Masih di rumah? Tak kerjakah? … Datang hotel, ada perkara nak bincang … Lebih cepat lebih baik. Mama ada di sini sekarang … Waalaikumusalam.”

Chong tahu Datin Salmah menghubungi salah seorang anak atau menantunya. Tetapi dia tidak tahu dan tidak mahu menunggu untuk mengetahui siapa yang dihubungi wanita itu. Sebaik sahaja pasti Datin Salmah sudah tinggalkan lobi dan masuk semula ke café, dia keluar dari persembunyiannya dan terus tinggalkan Hotel Angsana.

Tugasnya di situ telah selesai dan dia sepatutnya meninggalkan tempat itu lebih awal kalau tidak diajak bersarapan dan berbual dulu oleh Kamal hingga nyaris-nyaris terserempak dan terpaksa berhadapan dengan Datin Salmah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abdul Rahim Awang