Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
8/12/2012 00:01:39
18,516
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 1

“SIAPA tu?”  

            “Perempuan.  Kenapa?”

            “Cantiknya….”

            Tawa mereka pecah menjadi derai nakal.

            “Lembu betina pakai tudung melintas sini pun awak akan  kata cantik, kan? Saya tak hairan dengan perkataan cantik, awak tu.”

            Lagi dia tertawa, Neor menuding menunjuk lucunya perumpamaan sahabat itu.

            “Orang seni, bijak menilai sesuatu yang cantik.”

            “Ya, menghargai anugerah Allah.”   Neor mengangguk berkali-kali, bersetuju.

            “Ya, kecantikan seseorang wanita itu adalah anugerah, seni yang tidak ada tolok bandingnya.  Harus dan boleh menjadi wajib dipuji dan dihargai.”  Neor masih merumuskan erti cantik di mata seninya.

            Mengangguk lagi dia.

            “Tapi lelaki yang nakal selalu memperguna kebijaksanaannya menakali kaum hawa.”

            “Hello, please ya, I ni nampak aja nakal sikit,”

            “tapi sebenarnya nakal banyak?”  belum sempat Neor meneruskan ayatnya, sudah disambung dengan ayat sendiri. 

Neor berlecit marah dipersenda.  Ezeti  mengangkat tangan, tinggi.  Memberi maksud memohon maaf.  

            “Saya tak sejahat yang disangka.  Semua cerita yang digembar-gemburkan, hanya siulan nakal di dunia kita….”   Lagi dia mengangkat diri secara gurauan, merudum suaranya berlagak serius.

            “Boleh percayakah?”

            “Tak kan you tak kenal I, tak percaya I?”

            “Manalah tahu, lain di depan, lain pulak di  belakang.  Lain dulu lain sekarang?”

            Neor senyum seraya menggeleng perlahan, berkali-kali gaya kesal.  Air yang semakin suam di dalam cawan, dihirupnya sekali.

            “Kaum lelaki ni, dikatagorikan sebagai spisis dua alam.”

            Berkerut kening Neor, menujah Ezeti berharap dia memperjelas.

            “Lelaki bukankah punya dua emosi? Siangnya perlakuan lain, malam jadi lain. Di luar rumah dia lain, dalam rumah lain. Pendek kata, lelaki akan merubah personaliti mengikut situasi dan waktu.”

            “Begitu pulak?”

            “Iya. Banyak sudah kajian dilakukan pada makhluk ini. Rata-rata mengatakan betul.”

            Neor tertawa perlahan.  “Itu adalah lelaki yang hipokrit, saya tak tergolong.”

            “Emak awak tak akan kenal awak lagi selepas awak beristeri nanti. Itu maknanya, sebelum kahwin lain, lepas kahwin awak lain.”

“Harap-harapnya Neor  dahulu dengan sekarang, masih sama. Begini walau di mana berada, walau sampai bila-bila.”  Sudah kian serius meski masih kekal bersenda.

“Dulu, sekarang dan selamanya, Neor a.k.a Reza  akan kakal sama.  You can trust me.” Tangan diangkat separas telinga, lima jari disusun rapat memberi maksud berikrar dan berjanji.

“Okey.  Saya  pegang kata-kata itu.”  Dia membuat gaya menangkap angin di harapan  muka Neor lalu menggenggam erat dan dihantar genggaman itu ke dada kirinya bermaksud disimpan terus di dalam hati. 

“Kalau awak berubah satu hari nanti, saya orang pertama akan menongkah ke MELODI.”

Neor  mengangguk bersetuju ugutan itu.   Sepi bertandang di senggang yang singkat.  Masing-masing dengan fikiran sendiri, melamun dan berfikir pastinya.  Air di cawan, direnung, Ezeti pula menyelongkar   sekeliling.  Menyinggah semeja ke semeja, memerhati gelagat pengunjung.  Neor  memperkemas topinya, cermin mata hitam turut dibetulkan.  Dia tidak seperti Ezeti yang gemar memerhati sekeliling, dia lebih banyak menunduk, menyembunyikan wajah.

“Awak selalu minum di sini tak nampak perempuan tadi?”

“Kat sini macam-macam perempuan lalu-lalang, yang mana satu awak maksudkan.”

“Yang tadi tu…”

“Perempuan mana?  Saya  pun perempuan, what?”

Neor tertawa perlahan, terhenjut-henjut bahunya mengulum tawa.  Sekujur tubuh Ezeti yang mengenakan baju kemeja dan jeans lengkap bertopi gaya lelaki disapu matanya. 

“Wei, nampak macam kasar, tapi dalam hati ada taman, tau? Siap rama-rama lagi, berterbangan.  Faminin…”  Ezeti mengangkat diri, serius.

Neor mengangguk, berpura-pura percaya penjelasan Ezeti.

“Tapi yang saya maksudkan, perempuan yang melintas di kaki lima tadi tu.”

Ezeti  mengerut kening lagi.  Hadapan restoran ditolehnya ditujah sedikit lama.

“Dah tak ada dah…”

“Yang tadi saya tak nampak, sekarang ni saya sedang tengok.”   Ezeti  memaksudkan seorang wanita berbangsa India berusia sekitar lewat enam puluhan.  Dia sudah kembali menghadap Neor di hadapannya. Senyum mengusik.

Neor  berlecit marah, tidak senang dipermainkan.  Ezeti  dikerlingnya tajam.  Meledak tawa Ezeti  melihat kucam sahabat itu.

“Dah saya tak perasan, macam mana saya nak pastikan pernah tersempak dia atau tidak.”

Neor  mengangguk perlahan.  “Ya, sudah.  Lupakan aja….”  Kesal bunyinya sekali lagi mengundang tawa Ezeti.  Neor  bersahaja, air yang sudah semakin menyurut di dalam cawannya dihirup lagi.

            Ezeti senyum sinis, membiar Neor melayan emosi bengang sendiri.   

            “Apa projek terbaru?”   Ezeti menukar perbualan.  Gurauan ditinggalkan bersama perginya wanita yang muncul dalam bayangan Neor. 

            “Tawaran yang serupa.”  Tampak bosan, serentak keluhan berat.

            “Drama lagi?”  Ezeti  menekan dengan nada ejekan.

            Neor  mencebir.

            “Rezeki juga namanya kan?”

            Neor  mengangguk meski tampak terpaksa.

“Wataknya?”

Stereotype.”

“Orang Melayu kata acuan?”

“Ya, acuan yang baik-baik….”   Tampak tidak gemar pada rumusan Ezeti.

“Hero yang baik, cepat disayangi peminat.  Awak  tak suka?”

“Bukan tak suka, tapi sesekali saya nak juga disarungkan dengan watak-watak yang mencabar.  Nak juga saya tunjuk skell silat gayung saya.”  Manis senyumnya.  Kening diangkat juga, menunjuk gembiranya jika dapat beraksi lincah seperti   di gelanggang silat lama dahulu.

“Nak merasa jadi perogol bersiri yang diburu penguat kuasa, pembunuh upahan yang kejam, tak mengenal mangsa. Langsung tak ada perikemanusiaan.  Ha, kan hebat tu?”

Ezeti tertawa perlahan.  “Awak buatlah filem sendiri….”  Sehabis tawanya dia mengusulkan.

Neor  mengerling marah, rasa dipersenda.  Ezeti  tertawa lagi.  Lama tawa mendatarnya berakhir dengan sebuah keluhan ringan.  Neor  hanya diam, lutut yang membengkok di bawah meja terus digoyang ke luar ke dalam, tubuh turut berhenjut-henjut perlahan.  Cawan air di atas meja, dipusing-pusing sendiri.

“Rasa-rasanya tahun ni, awak menang lagi tak?”

Neor menghenjut kepala, isyarat bertanya, apa yang dimaksudkan Ezeti.

“ABP?” Ezeti menyebut singkatan majlis yang berlangsung saban tahun yang menjadi kegilaan hampir semua yang terlibat dalam industri hiburan negara.

“Entah, jarang ada rezeki yang kunjung datang berkali-kali.”

“Di Malaysia, tak mustahil artis yang sama naik pentas menjulang trofi lebih dari tiga kali.  Beberapa orang artis sudah membuktikannya.”

Neor mengangguk perlahan.  Tidak dinafikannya perkara itu.

“Dapat tercalon pun dah cukup baik.  Bukan senang nak mengatasi pelakon-pelakon yang hebat-hebat sekarang.  Palakon baru, muncul macam cendawan tumbuh selepas hujan.”

Ezeti mengangguk juga, bersetuju.  “Tapi tak mustahil, kebelakangan ini nama Neor meniti dari bibir ke bibir.”

“Nama yang disebut-sebut tu berupa gosib…”  mengendur dia, bosan.

“Jangan lupa, dalam industri hiburan di Malaysia ni, semakin liar gosib-gosib yang melanda, semakin popular artis itu.”

Neor mencebir, bosan.  Sama sekali tidak bersetuju keadaan semasa.  Dia lebih gemar popularitinya diukur dari bakat dan persembahan. 

Ezeti tersenyum terus.  Diam-diam dia terkenang cerita sensasi Neor yang sering menggemparkan dunia hiburan, tetapi dia tidak bermaksud mahu menyebutnya, tidak mahu menganggu emosi Neor yang tampak sangat baik hari itu.

            “Oh ya.”  Selepas sedikit senggang waktu, Ezeti  menunda lengang antara mereka.  Neor  berhenti dari aktiviti bosannya.  Ezeti  di hadapan, direnung.

            “Ada orang nak jual kedai,  saya bercadang nak buka business baru. Awak berminat?”

            “Jual apa?” Neor tampak kurang bersemangat.

            “Apa yang awak rasa baik?”

            “Saya mana tahu perkara lain selain kerja   sekarang?”

            “Bidang lakonan tak menjanjikan masa depan yang cerah, kawan….”

            “Tapi saya cuma tahu itu.”

            “Saya offer awak ni maknanya saya akan jadi rakan kongsi.  Tak tahu tak mengapa, asal berminat.  Perlahan-lahan   belajarlah.”

            Neor senyum cuma.   Jelas tidak yakin pada tawaran Ezeti  dan tidak juga yakin pada diri sendiri.

            “Simpanan awak ada berapa sekarang? Tak cukup saya tambah.”

            “Bila saya boleh bayar balik?”

            “Ini business,  bro.  Saya tanam saham, untung kita bahagi tiga. Sebahagian awak, saya dan tambah dalam dana syarikat.”

            “Kalau rugi?”

            “Untung rugi adat berniaga.  Apalah kolot benar awak ni?”

            “Itulah saya kata, saya  cuma tahu bidang lakonan, berniaga ni saya  tak tahu langsung.”

            “Berlakon pun berniaga, what?  Awak memperdagangkan bakat lakonan, berkongsi dengan penerbit.  Untung rugi ditanggung bersama.”

            “Salah tu,  saya  berlakon dibayar, berapa penerbit dapat bukan lagi urusan saya.”

            Ezeti  menggeleng kesal, mengeluh juga perlahan.

            “Terserah awak.  Kalau nanti awak berubah fikiran, kita boleh berbincang lagi.”

            Neor  sekadar mengangguk kosong.  Sudah jemu dia mendengar tanggapan negative  masyarakat pada kerjaya yang diceburinya, malah keluarganya   turut berpandangan serong konon golongan mereka sentiasa bergelumang maksiat.    Namun dia sedar tanggapan berpunca dari segelintir mereka juga.  Tidak boleh dipersalahkan masyarakat malah orang tuanya juga benar.  Mereka sering  mendengar yang panas-panas sahaja dalam dunia artis.

            Neor mengeluh perlahan, kedengaran sedikit bosan.  Ezeti  menuntas.  Seraut wajah kusam sahabat itu disapunya.  Menunggu apa yang akan dimuntahkan.

            “Sejujurnya saya dah bosan dengan dunia saya.”

            Ezeti  senyum.  Tidak dinyatakan erti senyum itu, yang jelas dia mahu mentertawakan.  Sudah acap kali kenyataan itu juga diungkapnya apabila dia dipukul kontroversi, namun masa berlalu, kini  sudah hampir 10 tahun dia di pentas itu.  Menari mengikut rentak yang dicipta golongannya bagi menghibur insan lain.

            “Sabarlah, tidak dinamakan kehidupan kalau tidak diduga.”

Neor diam, tidak membantah, akur juga tidak.

“Hidup ini akan sambang dan gersang kalau hanya mendatar, tidak ada onak dan durinya.”

            Neor angguk cuma. Perlahan dan hanya dua kali anggukkan, mengeluh dia perlahan.

            “Ya, dugaan Allah.  Sehingga saya difitnah macam-macam termasuk penyalahgunaan dadah sedangkan merokok saja saya tidak pernah.  Minum mabuk jauh sekali.”  Tertekan emosinya mengutara perasaan tidak berpuas hati.

            Ezeti senyum juga.  Mengeluh juga dia perlahan.  “Berkat kesabaran, segalanya senyap  begitu saja kan?”

            “Ya, senyap tapi hampir mencabut nyawa ibu saya.”  Perlahan suaranya, tertekan sungguh.

            “Kalau awak tak tahan dugaan itu, boleh saja berundur, tidak ada paksaan dalam segala hal.”

            “Saya boleh buat kerja apa lagi?”

            Ezeti  mengeluh pula, telefon bimbit di atas meja dipusing-pusingnya.  Tampak gembira bermain begitu, Neor turut menujah.  Memerhati juga dengan minat.

            “Belajar tak tinggi, sijil tak penuh.”

            Ezeti  tertawa pula.   Neor  ditunjuk dengan jari telunjuk.  Neor membiar, ada senyum digaris bibirnya dik perlakuan Ezeti.

            “Saya offer, awak tolak.  Macamlah tak boleh meninggalkan dunia glamour ni.”

            Neor  mengeluh lagi.

            “Assalamualaikum.  Abang Neor, kan?”  seorang dari dua perempuan yang menghampiri meja Neor  dan Ezeti  menyapa.  Seorang tampak malu-malu, rakannya tidak langsung silu menegur.

            Ezeti  senyum mengusik Neor.  Neor senyum, mengangguk juga dalam paksa.

            Girl friend ke?”

            “Hei, bukan dik.  Kakak juru foto abang.  Kami singgah selepas buat foto shoot.”  Ezeti menunjuk kamera di atas meja, di sebelah lengan kirinya.

            Dua gadis itu mengangguk faham.  “Boleh tanggap gambar?”  pintanya sudah menunjuk telefon bimbit kecil.

            “Boleh…”  Neor membetulkan duduk.  “Nak saya duduk atau berdiri?”  soalnya dan soalan begitu sering diaju kepada peminat apabila dipinta beraksi.  Dia memberi kebebasan peminat memilih bagaimana aksinya.

            “Abang duduk pun tak mengapa.”  Telefonnya dihulur pada rakannya yang membisu, sejak tadi.  Tampak malu tapi mahu.   Ezeti  pasti, itu di dalam hati gadis itu.  Ezeti turut menyua kameranya untuk turut merakam.

            Neor mengangguk seraya menyebut okey, perlahan.  Hanya gerakan bibir.  Dia sudah menyenget sedikit, meletak siku pada menyandar kerusi, meninggalkan meja empat segi tempat dia dan Ezeti  duduk berbual sejak lebih setengah jam tadi.  Cap di kepalanya diperkemaskan.  Memang sudah sedia kemas, tetapi memang begitu seringnya dia, sentiasa mahu yang terbaik untuk peminat yang menghargainya.

            Rakan itu menyuluh pada Neor  dan sahabatnya yang sudah membongkok, merendah tubuh agar seganding ketinggian Neor  yang kekal duduk di kerusi.  Gadis yang sudah beraksi, mendekatkan kepalanya di sisi pipi Neor, hampir bercantum.  Ezeti  hanya senyum melihat aksi berani gadis itu.

            “Tengok?”  dia meminta telefon bimbitnya yang masih di tangan rakannya untuk melihat sendiri  gambar dia dan Neor.   Senyum dan mengangguk dia berpuas hati.

            “Engkau pulak.” Dia menawarkan. Rakan itu menggeleng perlahan, ragu-ragu jawapannya.  Tampak mahu tapi terselit malu.

            “Ambil gambar bertiga pun boleh, biar kakak tangkapkan.”  Ezeti  menawar bakti, dia sudah  bangun.  Tujuannya  hanya untuk mengelak sebarang kontroversi jika gadis itu mengedar foto mesranya bersama Neor,  Ezeti  ada bukti gambar yang lain.

            Gadis malu-malu tersenyum seraya mengangguk.  Dia berdiri di sisi Neor, merendahkan tubuh juga.  Neor kini diapit dua gadis jelita yang sedikit seksi bergaya dengan rambut berbelang perang.  Ezeti  menggunakan pula kameranya sendiri selepas mengguna telefon bimbit peminat. Alasannya, untuk kenangan Neor  sendiri.

            “Abang Neor memang gemar menyimpan gambar-gambar kenangan, untuk koleksi peribadi…”  Dalehnya.  Neor hanya diam, mengangguk dan tersenyum cuma.  Sudah faham benar dia sikap sahabat itu.

            “Terima kasih abang,” Neor disalam dua gadis itu.

            “Oh ya, apa drama terbaru?”

            “Tunggulah.”  Neor memberi jawapan pasti, yakin.

            “O, ada ya?”

            “Ada, insyaAllah.”   Mendatar pula seraya membetulkan semula capnya, ditarik menutup hampir sebahagian dahi.  Begitu selalunya, semata-mata tidak mahu menjadi tumpuan.

            “Kali ni pun abang mengguna suara abang dalam lagu tema?”

            “InsyaAllah.”  Mengangguk lagi dia.

            “Suara abang sedap, kenapa tak buat album?”

            “Adik ni macam wartawan hiburan la….”  Ezeti bersenda membuat gadis itu tertawa perlahan.

            “Adik nak beli ke kalau abang   buat album?”

            “Eh, mestilah.  Kami berdua ni peminat setia abang.”

            “O, iyakah?  Terima kasih.  Nantilah, kalau ada rezeki tak kan ke mana.”

            “Kat kolej kami hampir semua pelajar perempuan minat kat abang.”

            “O, ya…?”  Neor tertawa lagi, perlahan.  Berpura-pura gembira.  “Kirim salam abang untuk dia orang.”

            “Okey, insyaAllah.”  Mengangguk lagi gadis sekitar usia lewat belasan tahun itu.  Tampak berpuas hati layanan baik Neor.  “Boleh post gambar kita tadi ke fb tak?”

            “Boleh.”

            Tersenyum-senyum dua gadis itu angguk gembira.

            “Lagu-lagu abang tu semua abang reka sendiri ya?”  masih tidak berpuas hati dia.

            Neor angguk.  “Ada sendiri dan ada juga penulis lirik lain.”

            “Sedap.  Abang pandai menyesuai lagu dengan cerita.”

            “Terima kasih.”

            “Okaylah, kami pergi dulu.  Terima kasih abang.”   Tangan diangkat  sebagai ucapan selamat tinggal sebelum berlalu.

“Terima kasih kakak.”  Kepada Ezeti juga ucapan serupa.

Ezeti angguk, senyum.

            Neor sekadar tersenyum sumbing dan mengangguk juga, turut melambai.  Ezeti  turut mengangguk dan melambai juga.   Sebaik keduanya menghilang, Ezeti  mengeluh hampir serentak dengan Neor.

            “Engkau tak rimas ke?”

            Neor  senyum, kembali menetapkan duduk.  Kerusi ditarik merapat untuk menyelesakan diri.  Dia bersandar kemas pada penyandar kerusi, tangan dibengkuk di atas meja.   Merenung Ezeti  sekilas sebelum melontar mata ke luar restoran.

            “Ditegur begitu bererti dihargai.   Seleberiti hidup di atas namanya dengan sokongan peminat.”  Mengendur, kedengaran tidak ikhlas.

            “Jujur jawapan awak?”

            Neor senyum pula, hampir tertawa.   “Saya ikhlas pada peminat saya, tanpa mereka tidak mungkin Neor mencari sesuap nasi untuk Reza…”

“Betul?”

Dia  tertawa lagi.   “Saya tak  boleh menyorok dari awak, ya?”  terus tertawa.

            “Berapa lama pulak kita kenal?”

            Neor  mengangguk perlahan, bersetuju.   Mengeluh dia perlahan, bosan.  “Sejujurnya saya  tak rimas langsung kalau ditegur begitu, diambil gambar berapa banyak pun.  Saya  tak luak apa-apa, kan?  Cuma cerita-cerita yang kecil diperbesar, perkara yang tak ada diada-adakan, itu yang membuat saya  bosan berada di industri ini.”

            “Wartawan hidup di atas nama seleberiti, cerita sensasi artis.”

            “Itu betul, tapi berapa banyak cerita baik artis yang dipaparkan?  Kisah perceraian, khalwat, bergaduh, saman-menyaman, itu yang dihebah seluasnya berbulan-bulan malah bertahun-tahun.  Macamlah orang biasa tak pernah buat salah.”

            “Itu cerita yang laku.  Kalau si Miyah tu bercerai si Milah tu berkhalwat, siapa kenal? Cuma segelintir yang dekat sahaja nak ambik tahu.  Sebab? Mereka bukan artis, tak ramai yang peduli. ”

            Neor  mengangguk juga meski kurang menyetujui.  “Macam kes saya.  Terus-terang, saya serik bagi sebarang kenyataan bila ditanya wartawan.  Serik sungguh.”

            Ezeti angguk setuju.  “Lain kali jawab no comment.

Neor  setuju dan pasti juga, itulah jawapan yang tepat.  Terkenang  dia peristiwa yang membuat namanya digonggong dari sebibir ke sebibir, dari sehelai ke sehelai akhbar dan majalah serta media elektronik juga.  Kontroversi akibat sepatah perkataan menjawab persoalan wartawan hiburan.

“Apa pendapat saudara Neor tentang fenomena sekarang, lelaki muda bercinta wanita yang boleh dipanggil emak?”

“Terpulang masing-masing, rambut sama hitam, hati lain-lain.”

“Kalau Neor diberi pilihan?”

Neor  termenung, tidak terus menjawab, sebaliknya membiar wartawan lelaki itu meneruskan soalan.  Sengaja dia mahu berlengah-lengah semata-mata mahu mereka jawapan.

“Dua puluh  tahun lebih muda atau dua puluh tahun lebih tua?”  soalan ditambah, membuat dia semakin terbelit.

“Ho ho ho…”  tawanya nakal.  “Untuk lebih selamat, ten  year’s above.

“Apa maksud saudara untuk lebih selamat?”

“Sepuluh tahun lebih muda tu, budak sekolah, bro.  Tak pasal-pasal saya pulak kena tanggung duit bas sekolah dan tusyen dia.”  Tertawa lagi dia.  Wartawan turut tertawa.   Kenyataannya dibiarkan berlalu kosong meski tersiar di media elektronik namun tidak ada yang begitu mengambil berat.

Kisah berbangkit apabila suatu hari kebetulan  dia dilihat bersama pelakon wanita berusia yang boleh dipanggil ibu.  Apabila disoal wartawan, Neor menjawab sambil lewa, menganggap perkara itu tidak juga penting.  Sejak peristiwa itu, Neor  menjadi raja kontroversi.  Pelakon wanita itu pula secara tidak sengaja menambah gelombang dalam kekeruhan.

“Apa padangan auntie pada Neor?”

“Dia seorang anak muda yang baik, bercita-cita tinggi, kuat bekerja dan punya masa depan yang cerah.”

“Yang manarik tentang dia?”

“Manja…”  tawa nakal artis wanita berusia itu bertujuan bersenda pastinya.

“Auntie senang dengan kemanjaannya? Tak rimas?”

No, auntie suka dia begitu. Seronok memanjakannya.”  Lagi dia tertawa, bersangka itu hanya gurauan pastinya.

Sejak kenyataan itu, nama Neor dan pelakon wanita itu dibualkan menjadi bahan gosib konon menjalin hubungan intim di sebalik panggilan auntie.  Ada juga yang berani menuduh mereka sedang bercinta dan bercita-cita untuk memeterai perhubungan dengan perkahwinan.  Semakin hangat cerita mengatakan peminat ternampak Neor di sana dan ternampak di sini berkepit artis wanita itu.

Tidak hanya tamat di situ, kontroversi disambung lagi kononnya Neor mendekati wanita itu untuk kemewahan. Konon juga Neor diserang anak wanita itu, diugut dan dipaksa meninggalkan ibu mereka yang kaya-raya hasil harta meninggalkan suaminya.  Dipihak dia, dia langsung tidak mengetahui perkara itu malah tidak pernah ada sesiapa datang menyerangnya atau memberi ugutan juga.  Dan wanita berusia itu menasihatkannya supaya tabah dan mendiamkan diri.  Katanya jalan paling baik adalah diam. Neor menurut dan membiar sahaja cerita sensasi itu berlalu dibawa arus masa.

“Hoi, jomlah.”   Tiba-tiba Ezeti  menolak kerusi sambil bangun, mahu meninggalkan meja restoran.

Neor  terpinga tetapi menurut tanpa bantahan.   Meski sudah empat tahun berlalu namun peristiwa memalukan itu terus kekal menjadi kubur berhantu.  Menakutkan, seram sungguh.  Yang lebih mengerikan ibunya diserang sakit jantung, seminggu   ibunya tidur di katil hospital.

“Saya bercadang nak balik kampung.”  Ungkapnya tiba-tiba.

“Kenapa tiba-tiba?  Anak emak dah tak lena tidur, rindu emak?”  bersenda terus Ezeti.

“Sementara free ni.  nanti bila dah busy susah.”  Serius dia menjawab senda.

Ezeti angguk cuma.

“Memang saya  rindu emak pun.” 

“Kirim salam pada emak awak.”

“Neor ya?”  bahunya dicuit pula dari belakang.

Neor menoleh, Ezeti  juga.

“Kat luar you lebih handsome dari dalam t.v.” Belum sempat Neor menjawab, dia sudah memberi pujian.  Tangan dihulur, Neor menyambut salam itu. Tidak dikemaskan genggaman, sekadar sapaan semut di jalanan.  Senyum juga dia mengangguk perlahan.  Ezeti  turut senyum.

“Ambil gambar you boleh?”

Neor  mengangguk, mengukir senyum semanis mungkin dengan menelan pahitnya.  Telefon bimbit yang diangkat setinggi dia berdiri, direnung.  Sebaik gambar terakam, dia mengangguk juga dengan senyum manis.

“Terima kasih.”  Wanita hampir seusianya tampak begitu gembira berjaya merakam gambar pelakon kesayangannya.  Itu yang dinyatakan seawal tadi, ‘pelakon pujaan’.

“Akak minat Neor dalam drama yang tengah main sekarang.”

“Terima kasih, tengok sampai episode akhir tau.”

“O, mesti.  Tiap-tiap minggu akak dengan keluarga akak tunggu.  Semata-mata nak tengok awak.”

“Terima kasih.”  Angguk lagi Neor, rasa dihargai sungguh.

“Eh, apa kesudahannya nanti ya?”

“Itu akak kena tunggu akhirlah.”

“Neor dapat kahwin dengan perempuan tu?”

Neor tertawa perlahan.

“Bukan Neor kak, tapi Imtiaz.”  Ezeti menyampuk, memberi maksud watak yang dilakunkan Neor.

“Ya, ya. Imtiaz. Tapi lakonan Neor berkesan. Walaupun Neor tak nangis, tapi kak sedih sangat tengok nasib awak.  Akak nangis tau.”

“Skripnya baik.”  Neor menekankan.

“Ya, cerita bagus, yang melakonkan pun bagus. Rasanya kalau pelakon lain, tak mampu buat begitu.  Permainan emosi dalaman kena tinggikan?”  bijak pula dia memberi komen.  Neor tertawa perlahan.

“Okey, akak pergi dulu.”  Anak lelaki kecilnya diseret bersama.

“Okey kak, terima kasih…”

“Jom,” sekali lagi Ezeti  mengerah.  Mengangguk lagi Neor.

“Lama-lama kat sini nanti, entah berapa ramai lagi yang menyangkut.  Tak pasal-pasal saya ikut glamour.”  Ezeti terus mengusik.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.