Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
8/12/2012 00:01:39
18,520
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
BAB 2

MELAMUN dia sendiri di serambi.  Lengang, sunyi dan sepi mengepong.  Terlalu sayu, terlalu pilu acap kali dia melengu sendiri begitu, rasa itu yang menghurung.  Sudah lama benar berlalu namun rasa baru semalam hatinya dilukai dan dilumati.  Di tempat itu takdir sudah ditentu, pasrah dia dalam keterpaksaan. Digosok dada yang semakin sasa, melebar dengan isi yang tepu.  Pastinya sekeping kecil hati di dalam rangka dada itu sudah sembuh namun parut luka masih membekas.  Melayang lagi fikirannya, teringat peristiwa diterjah wartawa hiburan dua hari lepas.

“Ramai yang mengatakan, sejak drama Cahaya Kristal, nama Saudara Neor melonjak.  Apa pendapat  saudara?”

“Sejujurnya saya berterima kasih pada peminat yang menerima lakonan saya dan drama CAHAYA KRISTAL.  Terima kasih juga pada penerbit dan pengarah yang memberi peluang dan kepercayaan pada saya.”

“Jadi, saudara bersetuju, sejak penglibatan saudara, baru ini bakat saudara terserlah?”

Neor senyum, menunduk juga.  Senyum dan gaya mencari idea menjawab pertanyaan wartawan begitulah yang telah menarik perhatian peminatnya.  Kemanisan wajah, santun dan sikapnya yang sering serba salah.  Sedikit pendiam dan pemalu juga.

“Dalam bidang seni, selain bakat dan usaha yang tidak mengenal jemu, rezeki dan nasib   juga perlu diambil kira.  Saya sudah berlakon lebih 50 buah drama bersiri dan telemovie tetapi selepas Cahaya Kristal, saya lebih dikenali dan rezeki saya melimpah.  Bersyukur saya   pemberian Allah.”

Wartawan hiburan mengangguk dan menulis laju.   Hanya seketika mengangguk, dia kembali menujah Neor.

“Kita lari sedikit ke persoalan peribadi.”

Neor senyum lebar, tertawa juga perlahan.  Jelas tidak gemar persoalan berkenaan peribadinya diungkit lagi.

“Saya rasa lebih elok jika persoalan tentang saya hanya berkisar dalam kerjaya seni saya.  Yang peribadi, tidak ada yang menarik.”   Masih tersenyum dan tertawa perlahan.

“Ada, ada yang menarik dan yang ingin peminat tahu tetang saudara.”

Neor mengeluh perlahan, pun  masih tersenyum.  Pahit dan debaran disimpan kedap di sudut hati paling dalam.  Dia mahu tampak tabah, tegas dan tidak takut.  Berani kerana benar, takut kerana salah.  Itu yang sering diungkap wartawan dan rakan-rakan sesama artis yang  ikhlas dengannya dan ada juga yang hipokrit, berusaha menjatuhkan.

“Dengarnya, Saudara Neor pernah bercinta dan pernah juga terkecewa?”

“Dari mana saudari dengar ni?”  soalan dijawabnya dengan soalan juga,  senyum memanis.

“Dari sumber yang dekat dengan saudara.”

“Kalau orang itu tidak berbohong, jadi benarlah.”  Ringkas dan padu jawapannya.

“Saudara tidak menyangkal?”

Neor senyum lagi, tunduk dia menguis-nguis permaidani yang dipijak dengan kasut kulitnya yang berkilat.

“Jadi, benarlah kekasih saudara meninggalkan saudara kerana saudara waktu itu tidak punya pekerjaan tetap dan berlakon pun sekadar watak ‘pak pacak’?”

Neor mengeluh lagi, luka yang sudah tinggal parut, pedih lagi dik bisanya lidah gadis manis yang bertindak menyoalnya.  Meski microphone masih dihunus di hujung bibirnya tetapi Neor tidak berjaya menjawab.  Tidak juga berusaha mencari jawapan. 

“Kalau boleh, saya mahu melupakan perkara lalu.  Ibu saya selalu berpesan begitu.  Dan pesan emak, kalau hendak berjaya dalam kehidupan, dairi lama yang sudah ditutup, biar terus ditutup.  Tak perlu dibuka dan dibaca selalu.  Cerita pada orang pun tak perlu.”

“Jadi benarlah saudara dikecewakan?”  yang itu juga disoalnya.

No comment.”  Dia mahu menamatkan temubual ringkas itu. 

“Benarlah dakwaan, gadis itu memandang harta dan kedudukan?” lagi hatinya dirobek.

Neor menggeleng perlahan, berusaha menyembunyi kelukaan.  “Waktu itu kami masih mentah, masih terlalu muda. Masing-masing punya commitment berbeza dan yang lebih penting, tidak ada jodoh antara kami.  Kita tidak boleh menolak takdir Allah. Disebut berkali-kali perkara itu pun hanya akan membuka pekung di dada. Ada baiknya cerita lama terus ditutup.”  Masih senyum dia dalam kehancuran hatinya.  “Kisah berakhir sudah, diungkit dijungkil pun tak ada gunanya.”

“Di mana gadis itu sekarang?  Tidak menyesalkah dia meninggalkan kekasih yang sekarang digilai ramai?”  tidak juga wartawan itu menyudahkan persoalan wanita yang sudah hilang dari dunia Neor.

Neor sekadar menjungkit bahu, mencebir juga memberi maksud tidak tahu. 

“Ada apa-apa yang hendak saudara katakan padanya sekiranya beliau menonton sekarang ini?”

Neor menggeleng pula. “Tidak ada.”  Terlalu perlahan dan serius rupanya.

“Ok, ada satu lagi soalan yang peminat nak sangat tahu.”

“Saya rasa cukup setakat  ini, saya hanya mahu bercakap tetang drama Cahaya Kristal yang sedang ditayang di televisyen dan hari ini adalah pelancaran VCD drama tersebut.  Itu arahan penerbit.  Sorry.”  Neor mahu meninggalkan wartawan wanita itu.

“Saudara, Saudara Neor, tunggu.”  Dia cuba diburu, tetapi dia lebih tangkas. Langkahnya lebih panjang, menyelinap hilang.  Tidak sia-sia gelaran yang diberi di zaman persekolahannya, ‘jaguh pecut’ peringkat negeri.

Majlis preview drama Cahaya Kristal  berakhir sudah namun masih ramai wartawan memburu artis-artis yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam drama tersebut.  Neor  sudah dinasihat agar menjaga perhubungan baik dengan wartawan, demi reputasi drama tersebut.  Penerbit sejak awal-awal lagi memintanya agar bersabar dan menepis persoalan wartawan dengan bijak sana.  Lebih-lebih lagi tahun itu dia dicalonkan sebagai artis drama televisyen lelaki popular selepas memenangi anugerah pelakun pembantu drama televisyen terbaik dalam anugerah sebelumnya.

            “Apa hal kamu tiba-tiba balik ni? Tak sibukkah?”  ganas benar ibunya merentap lamunan.  Harus berterima kasih juga dia kerana suara itu yang menggagalkan dia berlayar menjejak pulau kenangan.  Pulau yang menempat sebanyak mungkin kisah dukanya bersama gadis pujaan. Pertemuan dengan  wartawan telah merintis semak, memaksa dia kembali ke  situ.  Sakit sungguh dilukai, pedih sungguh dikhianati…

            “Rindu emak lah…”

            Makcik Rominah  senyum sumbing.   Air kopi dihulur.  Segera pula disambutnya. 

            “Tak sibuk?”

            Neor menggeleng perlahan, cawan beralas yang baharu bertukar tangan diletak di atas meja kecil di hadapannya.

            “Kalau banyak kerja, tak payah balik, emak sihat.  Lagipun untuk sehari  dua ni Rafiq masih bercuti jadi, mak taklah sunyi sangat.”

            Neor  mengangguk perlahan.  “Rafiq bercuti panjang mak?”

            Makcik Rominah  mengangguk senang.

            “Mana dia?  Sejak Reza sampai petang tadi, tak nampak-nampak pun dia?”

            “Masa Reza tertidur tadi, dia ada.  Lepas mandi, terus bersiap ke surau.”

            Neor  mendongak, jam dinding ditujah, memasti waktu tika itu untuk memasti bila lagi Rafiq akan menjengah.  Sejujurnya dia rindu gelak tawa lelaki itu  dan senda gurau mereka selama waktu membesar, meski sering dibuli dan dikasari, namun dia menganggap itu sekadar hiburan. Pengalaman kekeluargaan dan senda gurau persaudaraan. Dan jauh di sudut hati, dia mahu memperbaiki perhubungan yang sudah ada seribu retak itu.  Memang peribahasa Melayu ‘carik-carik bulu ayam dan ‘air dicincang tidak akan putus’ itu benar namun sukar benar dia untuk memperbetulkan keadaan.   Mengeluh Neor perlahan.  Air kopi yang sudah semakin suam, diteguk perlahan selepas mempelawa Makcik Rominah  dan wanita itu menolak lembut.

“Ha, malam ni sambungan drama minggu lepas.”   Makcik Rominah  mencapai alat kawalan jauh televisyen di bawah meja kopi.  Cuba ditekan dan ditekan tetapi ternyata gagal.  Bangun pula dia, peti talivisyen yang gelap sejak tadi cuba dihidupkan.  Ditepuk-tepuk juga untuk memperbetulkan gambar yang merenik buruk.

“Kenapa mak?”

Makcik Rominah  tertawa kecil.  “Meragam…”

“La, dah lama ke rosak?”

“Lama juga, tapi selalunya bila ditepuk-tepuk, eloklah.”

Neor menggeleng perlahan, memerhati gerak kerja Makcik Rominah  yang semakin tertekan kerana rancangan yang ditunggunya saban minggu sudah lima minit berlalu.  Neor  bangun, mahu membantu.   “Esok kita beli t.v baru.”

“Tak usah, yang ini elok lagi.  Selalu macam ni.”

“Mak nak tengok cerita apa…?”  senyum dia menangkap kekalutan Makcik Rominah  yang tampak kesal.

“Minggu lepas Reza dah nak kahwin dengan perempuan tu, emak nak tau Reza jadi kahwin ke tak?” Makcik Rominah  mengulas drama bersiri yang dilakonkan Neor.

“Mak kan dah tahu kesudahannya?”   masih tersenyum dia sambil membetul-betulkan antena yang bercabang dua di atas televisyen enam belas inci itu. Wayar penyambung di belakang peti itu juga disentuh-senuh perlahan. Suara lakonan langsung tidak kedengaran, yang ada hanya desiran beserta renikan seakan semut-semut halus yang memenuhi seruang monitor televisyen itu.

“Mak tak tau, minggu lepas drama tu tamat begitu aja.”

“Betul mak tak tau?”

Makcik Rominah  menggeleng, Neor direnungnya mahu mendengar kesudahan drama Melayu 13 episod itu.   Neor  senyum terus.

“Reza kan tak jadi kahwin…”  Asalnya hanya mahu bersenda tetapi kedengarannya sayu benar.

Makcik Rominah  terpaku, Neor ditujahnya tajam.  Sinar yang terbit dari matanya tampak kesal benar.

“Mak minta maaf nak.”   Tangan Neor sudah dipegang, lembut, longgar.  Lopak mata sudah bergenang.

“Emak, saya bergurau aja.”  Kekesalan Makcik  Leha menambatnya turut bersedih.

Makcik Rominah  sudah meletak punggung pada kerusi terhampir dengan peti televisyen.  Televisyen dan rancangan kegemarannya sudah tidak dipeduli lagi.

“Mak tak berlaku adil pada anak-anak mak.”

“Emak…”  Neor turut meninggalkan televisyen yang masih menerbit bunyi desir yang menyakitkan.   Duduk dia di kerusi di sisi Makcik Rominah . Tangan diletak pada peha wanita itu, sebelah lagi, merangkul bahunya lalu ditarik merapat. Digosok-gosok dan dipicit-picit bahu sebelah itu.   Makcik Rominah  sudah memegang tangan Neor, lembut, penuh kasih dan sayang. Digosok-gosok dan ditepuk-tepuk juga, persis memujuk.

“Mak, Reza minta maaf.  Reza tak bermaksud nak buat mak sedih.”

Makcik Rominah  mengangguk berkali-kali, pipi anak muda itu dicium sekali.  Neor membiar, rasa selaut rindu tertebus dik hangatnya kasih sayang ibu itu.

“Arwah abah kamu pun menyesal.”

“Sudahlah mak, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku….”

Makcik Rominah  mengangguk perlahan.

“Mak, kenapa t.v tu?”   tiba-tiba muncul Rafiq dari mulut pintu yang ternganga.  Tidak disedari sesiapa, bila dia muncul dan berapa lama sudah di situ.  Tidak juga kedengaran ucap salamnya sewaktu menjengah.

Makcik Rominah  berusaha mengering air mata yang masih membasah.  Neor  turut bangun tergesa-gesa menghulur tangan untuk  bersalaman.  Rafiq  menyambut juga meski tidak langsung menyambut manis senyum Neor.

“Dari surau?”  tegurnya beramah mesra.   Melihatkan gaya dan pakaiannya sahaja sudah boleh diagak dari mana lalaki itu datang, Neor sengaja mahu bertegur sapa.

“Hidup ini lawannya mati, jangan ingat hidup menongkat langit.”   Sidiran Rafiq benar-benar menembus perasaan Neor namun tersenyum juga dia.  “Dalam kubur nanti, Allah tak pandang populariti, keglamoran semua tu.  Nama glamor pun Dia tak sebut. Dia sebut nama kita yang sebenar.”  Lagi dia menyakiti.   “Nama elok-elok Mior Ahmad Reza, memandai-mandai tukar ke Neor. Apa makna Neor entah?”

Senyum juga Neor, mengangguk dalam keterpaksaan.  Berpura-pura tidak langsung terasa disindir.

“Ramai orang di surau tadi?”

“Ramai yang lebih berminat menonton drama yang tengah hangat sekarang.”  Semakin tajam nadanya, semakin mahu menyakiti Neor namun Neor tekal bertahan.

Masih terdapat senyum di bibirnya, keluhan ditelannya berketul.  Sakit sungguh. Dia sudah mengambil tempat semula.  Makcik Rominah  hanya menggeleng, tidak gemar mendengar sindiran-sindiran  Rafiq. Sakit hati Neor, sakit lagi hati ibu itu.

“Cerita rekaan, tak berpijak di bumi nyata,  jelas melalaikan.”

“Apa yang kamu melalut tu Rafiq?  Bukankah kamu pun gemar berhibur dengan rancangan t.v?” 

“Saya ni sekadar mengisi masa yang terluang, yang saya tonton pun rancangan yang ada faedah, yang banyak pengajaran, filem yang berkualiti. Cerita Melayu sorry nak layan.  Low class….”  Panjang dan terang sebutannya.

Makcik Rominah  menggeleng perlahan, berkali-kali. Dikerlingnya Neor seraya bangun mahu meninggalkan anjung yang semakin panas di dingin malam itu.

“Mak tu pun nak tengok dramalah tu?”  

“Ha ah, tapi t.v rosak.”   Neor tertawa pula,  berpura-pura tidak berperasaan langsung.  Sudah dilatih hati untuk menjadi si kebal. Sudah diajarnya perasaan untuk tegal, tidak sensitif.

“Esok kita pergi pekan, belikan mak t.v baru.”  Pelawanya sengaja mahu bermanis mulut.

Makcik Rominah  sudah menghilang ke dapur mahu menyedia hidangan makan malam sekeluarga katanya. Neor  sedar koyakan luka di hati ibunya, pun begitu berpura-pura juga tidak mengetahui apa-apa.  Terus membodohkan diri.

“Tak kuasa aku nak layan.  Beli t.v baru, besar, semakin melekat dengan duniawi.  Siang malam melangut menonton pembohongan.”

“Tak baik cakap mak macam tu.”

“Heh.  Tak usah engkau nak tunjuk baik, tak payah nak mengajar aku.  Sempurnakan diri tu dulu.”

Neor  mengeluh perlahan, tetap juga duduk di kerusi rendah bertilam lembut.  Di kerusi hadapannya Rafiq   sudah turut bersandar.  Kepiyah putih yang dipakai sejak tadi, dibuka, diletak atas meja kopi yang menempatkan secawan kopi Neor.  Neor sudah menekan butang merah alat kawalan jauh televisyen.  Televisyen yang tidak berjaya dibaikinya dan Makcik Rominah , terpadam.  Gelap sudah cerminnya, hitam.  Rafiq   tidak mempeduli, sibuk dia membetulkan rambut yang runduk dihimpit kepiyah putih selama dia di surau.  Dia mahu merapi, serapi mahkota milik Neor yang sentiasa terjaga, mungkin.  Memang sejak dahulu dia sering mencemburui rambut milik lelaki itu.

“Emak menangis tu sebab t.v rosakkah atau sedih hero tak jadi kahwin?”

“Cukup-cukuplah tu Rafiq.  Sudahlah, dari kecil sampai dah besar panjang gini tak habis-habis bertengkar. Agaknya emak dah mati nanti baru nak berbaik-baik dengan darah daging sendiri?”  Makcik Rominah  sudah kembali.

“Saya tak ada kaitan dengan dia.”  Tidak menunjuk Neor tetapi semua di situ tahu, dia yang dimaksudnya adalah Neor.

“Astaghafirullahhalazim….”   Makcik Rominah  merintih sayu.  Dahi ditepuk dengan tangan kanan, menunduk dia menahan sebak.  Duduk di kerusi lain, sederhana panjang.

Neor sudah bangun lalu duduk di sebelah Makcik Rominah , mahu memujuknya.  Bimbang benar dia melihat wanita yang sudah lewat usia itu tertekan begitu.  Rafiq bingkas, sudah tidak betah dia di situ melihat sandiwara pujuk memujuk dua beranak itu.

“Emak, sudahlah…”

“Apalah malang aku ya Allah, anak dua orang pun macam anak sepuluh.  Kamu orang bukan ramai, cuma berdua.  Berbaik-baiklah…”

“Mak, kami baik.  Reza  tak rasa apa-apa pun.  Reza  sayang semua.  Hanya Rafiq dan emak yang Reza ada.”  Sudah bergenang air matanya, demi menyembunyi kesedihan.   

“Janji pada mak, usah berdendam, nak.”

Neor mengangguk, tidak terkeluar suara dari rengkungnya.  Makcik Rominah  tidak berpuas hati, mata Neor ditangkapnya.   Neor kaku, tidak berkesempatan menyeka air jernih yang sudah bergenang banyak.  Dibiarnya Makcik Rominah  mengertikan air matanya. Dia hanya tersenyum pahit.

“Emak sayang semua anak-anak emak, tak pernah mak pilih kasih.”

Neor mengangguk lagi.  Bersetuju dan faham.

“Apa yang terjadi, sudah ditakdirkan, usah disimpan, dikenang lagi…”

Neor mengangguk lagi.   Dibiarnya Makcik Rominah  mencium pipinya.  “Lapar, mak   masak apa?”

Tersenyum pula Makcik Rominah , ditepuk-tepuk pipi Neor perlahan seraya mengangguk dan mengesat baki air mata.

“Rafiq, mari makan, nak.”  Laungnya sedikit kuat namun Rafiq tidak bersuara, muncul jauh sekali.  Makcik Rominah  menghampiri bilik, pintu bilik diketuknya perlahan, jelas berhati-hati.  Tidak mahu membeli baran anak itu.

“Makan, Rafiq….”

Pintu bilik dikuak ke dalam oleh penghuninya.  “Saya dah makan kat surau tadi.”

“O, ada kenduri?”   Neor beramah mulut juga, menyampuk.

“Tok ki berkenduri kesyukuran anaknya  yang masuk rancangan realiti tv tu gagal.  Katanya dari  menjadi artis, dia lebih rela anaknya terus menganggur.   Menjahit angin di kampung ni."  Peribahasa yang sangat pedas, membuat telinga Neor berdesing.

Mengeluh lagi Neor, Parah lagi dia tikaman Rafiq namun berpura-pura tidak cedera.  Diukir senyum kelat namun hati Makcik Rominah  pula yang berdarah. 

“Sudahlah nak, kita saja pergi makan.”

Neor mengangguk, senyum juga.  Bahu Makcik Rominah  diraihnya, ditarik merapat lalu berganding ke meja makan di ruang dapur.

“Emak masak apa?”  tampak teruja membuka penutup hidangan di tengah-tengah meja.

Makcik Rominah  tersenyum manis, “sambil kamu tidor tadi, sempat juga mak masak tempoyak ikan dengan timun tahun, jantung pisang rebus cicah sambal belacan.”

“Hem, sedap…”

“Belum makan, dah sedap?”  Makcik Rominah  mengerling Neor di sebelahnya, ditepuk-tepuk pipi anak muda itu, manja.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.