Awan kelabu mula berarak perlahan sedikit demi sedikit menutupi langit biru yang tadi cerah gemilang. Udara panas masih meresap ke tubuh menyemarakkan rasa amarahnya walaupun sebahagian awan kelabu itu sudah menutupi sinaran mentari. Cepat-cepat langkah diatur menuju ke rumah. Terbayang wajah polos Nurin yang sedang menyediakan makan tengah hari untuknya sebentar tadi. Dalam marah terasa air mata jantannya mahu tumpah. Secara total dia telah gagal menjadi seorang ayah. Siapa tidak sakit hati apabila diberitahu anaknya seorang pencuri, perempuan pula. Kadir ketap bibir. Kuat. Dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya. Biarlah anak-anaknya berjaya dalam hidup walaupun dia sendiri semakin tewas dengan dugaan hidupnya dari hari ke sehari.
“Pak long Kadir nak ke mana tu, singgah dulu.” Tiba-tiba satu suara halus menegurnya membuatkan langkah Kadir terpasung. Kadir menoleh kearah pintu pagar yang masih tersergam indah. Dahulu rumah itulah tempat tinggalnya. Rumah peninggalan arwah ayah dan ibu namun dek kerana perjanjian yang ayah dan ibunya lakukan dengan mak ngah, rumah yang menjadi tempat berteduhnya suatu ketika dulu kini hanya mampu dipandang. Ianya telah menjadi milik Senah sepenuhnya. Kanak-kanak sebaya Nurin berdiri disebelah pintu pagar tersenyum memandangnya. Adeebah seorang anak yang baik selalu sahaja menegurnya walaupun dia jarang sungguh menyapa anak sepupunya itu dengan ramah.
“Aku nak balik..lain kali” Jawab Kadir tanpa senyum. Hatinya masih terbakar dengan kata-kata cikgu Bakri sebentar tadi. Kenapa Nurin tidak seperti Adeebah.
“Sekejap pak long, tadi mak ada pesan hantarkan ubi rebus ke rumah pak long tapi alang-alang pak long dah ada kat sini pak long bawa balik ya. Tunggu sekejap Deebah pergi ambilkan.” Adeebah cepat-cepat berlalu ke dalam rumah menuju ke dapur. Periuk berisi ubi rebus yang dia minta emaknya rebuskan tadi dimasukkan ke dalam bekas. Nampaknya rancangan lebih mudah. Adeebah tersengih-sengih memasukkan bekas itu ke dalam bekas plastik lalu dia segera berlari kearah Kadir yang masih setia menanti.
“Nah! pak long ubi rebusnya. Deebah minta maaf ingatkan nak hantarkan tadi nanti boleh Deebah jenguk Nurin sekali tanyakan khabar dia. Kesian pagi tadi Nurin kena rotan kat sekolah harap-harap tangan Nurin tu tak teruk sangatlah.”
“Deebah pun tahu Nurin kena rotan.” Soal Kadir.
“Apa pulak tak tahunya pak long Nurin kan satu kelas dengan Deebah. Deebah tak percalah Nurin yang curi pencil warna Rozita tu tapikan pak long kalau bukan Nurin yang curi macam mana pula pencil warna tu boleh ada dalam beg sekolah Nurin. Entah la pak long Deebah tak tahu nak percaya siapa.” Dari percakapan Adeebah seolah-olah menunjukkan memang Nurin yang mencuri. Hati Kadir kembali hangat dari kata-kata Adeebah memang benar anaknya mencuri.
“Tapi macam mana pak long tahu. Oh mesti Nurin yang bagitahu pak long kan?” Kadir diam. Tidka perlu dia menjawab soalan Adeebah. Hatinya semakin hangat.
“Ooo.. baru Deebah ingat pak long pagi tadi masa sampai ke kelas Deebah ada nampak Nurin dekat meja Rozita tapi Deebah tak tahu apa Nurin buat kat situ bila Deebah dekat dia terus lari. Mungkin waktu itu agaknya….” Adeebah sengaja tidak menyudahkan ayatnya.
“Kenapa kamu tak bagi tahu pak long Nurin buat kerja macam tu. Dah lama ke dia buat kerja mencuri tu!” Nada suara Kadir mula berubah. Keras. Kesal sungguh dengan perangai anaknya itu.
Adeebah takut-takut namun dalam hati dia semakin senang, perubahan emosi pak longnya sungguh dinantikan. Dia yakin Nurin tidak akan terlepas dari hukuman pak long Kadir.
“Deebah tak nak lah Nurin kena marah dengan pak long lagipun dekat sekolah pagi tadi cikgu dah rotan Nurin. Pak long jangan lah marah-marah Nurin ya, kesian.” Sengaja dia menunjuk simpati namun dia yakin pak longnya tidak akan memandang ringan hal itu kerana dia seorang yang panas baran.
“Terima kasih Deebah, pak long balik dulu” ujar Kadir berjalan dengan pantas menuju ke rumahnya.
“NURINNNNN!!!”
Satu jeritan kasar kedengaran diluar rumah membuatkan dua beradik yang sedang bermain itu kaget dan ketakutan lalu segera berpelukan. Nurin cuba menenangkan Ammar yang nampak gelisah dan kepucatan walaupun hakikatnya dia sendiri gerun mendengar suara gauman ayahnya diluar sana. Entah apa salahnya hinggakan namanya dipanggil lantang.
Berdirinya tubuh yang semakin cengkung dihadapan itu menambahkan lagi rasa takut mereka. Nurin menunduk tidak berani bertentang mata dengan si ayah yang kelihatan seperti hendak menelannya hidup-hidup. Bekas berisi ubi rebus terlepas dari tangan Kadir lalu terhempas ke lantai memeranjatkan dua beradik itu. Kadir melangkah laju. Tangan kecil Nurin ditarik lalu memisahkan kedua-dua tubuh itu dari pelukan. Ammar terus mengensot ke belakang lalu berpeluk lutut. Dia terlihat takut dengan tindakan kasar ayahnya yang sedang berang.
“Apa nak jadi dengan kau ni hah! Siapa ajar kau mencuri!” Tengking Kadir melepaskan amarah yang tersimpan. Tangan kecil Nurin ditatap. Ada kesan merah berjalur-jalur kelihatan menambahkan lagi bahang kemarahannya. Tali pinggang yang sudah lusuh terikat dipinggangnya pantas ditarik keluar. Satu libasan melekat dibelakang tubuh Nurin hingga membuatkan mata Ammar yang melihat terus terpajam rapat. Mendengar raungan si kakak, Ammar semakin ketakutan. Mengigil seluruh tubuhnya melihat kakaknya di bedal dengan tali pinggan tanpa belas dihadapan mata sendiri.
“Sakit ayah..sakit!” suara Rintihan Nurin menambahkan lagi rasa marah dihati.
“Sakit! Hati aku yang sakit ni kau tak tahu. Kau dah kenapa hah! nak jadi pencuri pulak ke? Apa selama ni mak kau sekolahkan kau suruh jadi pencuri ya!” sekali lagi libasan tali pingang lusuh itu melekat ke tubuh kecil Nurin. Rasa sakit yang sedang ditanggung Nurin langsung tidak dihiraukan si ayah. Dia mahu mengajar anak-anaknya supaya tidak mencuri namun dia tidak pernah terfikirkan tindakannya itu bukan sebagai pengajaran malah sebagai penderaan sampaikan tali pinggang yang digunakan itu terputus dua namun perasaan marah Kadir belum juga hilang.
Nurin terus menangis dan merayu tidak tahan tubuhnya terus menjadi sasaran libasan tali pingang ayahnya. Terasa pedih bagai disiat-siat kulit dagingnya. Tidak cukup dengan itu, satu tamparan kuat hinggap dipipi Nurin. berpinar biji matanya menerima penampar yang cukup menyakitkan itu.
“Sakit ayah..sakit..Nurin tak curi.. Nurin tak curi. Percayalah ayah. Nurin tak pernah buat kerja macam tu” lirih suara Nurin bersama tangisan merayu agar dirinya tidak disakiti lagi. Dia berusaha mempertahankan diri namun sia-sia apabila tindakan ayahnya semakin menggila.
“Sejahat jahat aku..aku tak penah mencuri, kau nak jadi apa bila besar nanti hah!. Kau nak sangat ke orang hina kau? Tak cukup ke selama ni orang mengata aku, hina aku! Tak cukup ke? Kau ingat sedap ke telinga ni hari-hari dengar orang mengata! Kau nak jadi apa Nurin?” Tengking Kadir dalam amarah yang memuncak dia langsung tidak sedar kemarahannya bersama tindakannya itu membuatkan badan kecil itu menerima sepak terajang yang tidak bertepi.
“Ayahhhh..” Ammar cuba menahan kaki ayahnya dari menyepak Nurin untuk sekian kali namun tindakannya itu silap apabila secara tidak sengaja tubuhnya pula yang menerima sepakan si ayah hingga membuatkan tubuh kecil itu terperosok hingga ke dinding. Tangisan kesakitan semakin kuat bergema memenuhi setiap ruang pondok sempit itu. Kadir bagaikan dimasuki semangat jahat. Langsung tidak berkutip melihat kesakitan yang dialami oleh anak-anaknya.
Terpisat-pisat Gayah mengesat peluh yang berjujuran menuruni pipi. Semakin panas suhu badannya apabila terik mentari mengigit kulit. Bertambah lelah apabila Emir didalam dukungan meronta-ronta minta diturunkan. Sebelah lagi tangannya membimbit beras dan telur yang dibeli dari hasil gajinya yang terakhir. Gayah terbatuk lagi sesekali langkahnya terhenti mengumpul tenaga untuk berjalan sampai ke rumah yang masih berbaki 500 meter. Perut yang semakin pedih menggigit hingga ke hulu hati dibiarkan Gayah. Dia harus sampai ke rumah jika ditakdirkan tumbang sekalipun. Tidak dapat dibayangkan andai dia rebah bagaimana dengan nasib Emir yang tidak tahu apa-apa. Gayah meneruskan langkah. Kerongkong yang sakit dan berpasir itu terasa tidak selesa.
“Abang!” tubuh Kadir yang sedang berdiri menghadap Nurin dan Ammar itu ditolak dengan seluruh tenaganya.
“Ya Allah! kenapa ni? Mati anak tu nanti!” jerit Gayah seraya meletakkan anak bongsunya dilantai lalu segera mendapatkan Ammar dan Nurin yang sedang meringkut ditepi dinding. Lemah longlai tubuhnya menyaksikan anak-anaknya dipukul seperti binatang. Dengan airmata yang berjujuran dan rasa cemas yang menyelubungi dia memeluk Nurin dengan erat. Dia masih bingung melihat apa yang sedang berlaku dan mengapa Nurin menjadi sasaran kemarahan suaminya. Airmatanya turut sama tumpah sebagaimana tangisan si anak.
“Apa yang merasuk abang sampai macam ni sekali abang buat pada anak-anak. Apa salah anak-anak saya bang.” Soal Gayah dengan suara bertenaga bersama pandangan yang tajam menikam. Hilang segala rasa lelahnya. Bagaikan baharu sahaja masuk satu semangat baru ke dalam tubuh untuk mempertahankan anak-anaknya dari menjadi mangsa Kadir. Gayah mendepakan tangan bertindak sebagai benteng pertahanan andai marah Kadir menggila untuk mencederakan anak-anaknya. Walau apa pun yang terjadi dia akan mempertahankan anak-anak dari menjadi mangsa amarah suaminya yang tidak pernah ambil peduli tentang kesakitan mereka.
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak-anak yang masih kecil menjadi mangsa suami yang hanya tahu melepaskan amarah. Melihat Nurin merengkok menahan sakit Gayah sama-sama turut menangis sambil memeluk Nurin dan Ammar. Jika Kadir masih mahu memukul anak-anaknya dia akan menjadikan tubuhnya sebagai perisai. Biar batang tubuhnya sahaja yang menjadi tempat melempiaskan amarah Kadir. Dia tidak rela anak-anaknya menjadi mangsa keganasan suaminya itu.
Nurin seorang anak yang baik mustahil Nurin ada membuat sesuatu perkara yang menyalahi. Dia tidak tahu sampai bila dia perlu mengharungi hidup bersama Kadir dengan cara begini. Penat seharian berkerja belumpun hilang kini ditambah pula dengan kejadian yang meruntun jiwa. Gayah sungguh kecewa dengan sikap suaminya itu.
Kadir memandang dengan perasaan geram sebelum berlalu tanpa kata. Kalau ikutkan rasa marahnya pasti mati Nurin dikerjakan. Sudahlah perutnya sedang menahan lapar, terpaksa pula mendengar cerita yang tidak enak didengar sehingga menaikkan lagi rasa amarahnya. Dia bagaikan kerasukan. Apabila semuanya bersatu dalam satu rasa pasti amarahnya memuncak dan kerana itulah tubuh kecil itu menjadi tempat dia melempiaskan kemarahanya.
Dan awan pun memuntahkan isinya sepertinya sedang menangisi nasib mereka sekeluarga.