Home Novel Islamik Rindu Syahadah-MU
Rindu Syahadah-MU
Raihan Zaffya
14/1/2014 07:50:44
28,673
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 2



Pagi yang redup telah merangkak ke awal tengahari. Qistina hanya melihat-lihat Adura menyiapkan hidangan spaghetti. Setelah siap memasak spaghetti, Qistina segera menghubungi tiga orang sahabatnya. Teman-teman Qistina itu bakal memeriahkan meja makan mereka.

“Sedari ooiii sedari! Yang ni aku punya. Tolong sikit ya sedari.” 

Qistina dan Leena membiarkan sahaja dua sahabat itu berebutkan pinggan yang telah berisi spaghetti. Adura juga tidak mengendahkan kedua remaja nakal itu. Adura tidak menegur. Tidak juga marah. Senang hatinya apabila rumah mewah itu dipenuhi ceria.

“Apa ni Toy, mama tak suka tau asyik kata ‘aku’, ‘engkau’ je. Cuba biasakan diri dengan ‘saya, awak’. Mama kata tak sopan tau.” Tidak tahu itu teguran Qistina untuk kali yang keberapa. Bagi Toy ia sekadar angin yang lalu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Nantilah Qistina aku belajar biasakan diri, ok.” Toy tersengih. Adura buat-buat tidak dengar. Malas mahu campur tangan.

“Memang baguslah awak ni jadi lelaki, Toy. Dah la kasar semacam, malas pula tu.” Garang sekali suara Jeja namun masih ada nada usikannya. Jeja berlalu ke dapur untuk mengambil sebiji pinggan kosong. Mulutnya masih juga tidak henti-henti mengomel. Seperti mak nenek lagaknya.

“Rileks la sedari, engkau tu kena exercise. Kena banyak bergerak untuk turunkan sikit kilo kat badan tu,” sahut Toy juga dengan suara kuat.

“Kilo-kilo saya ni masih tahap cute lagi tau.” Dari arah dapur, Jeja masih tidak mahu mengalah.

Cute lagi nenek aku di kampung tu,” bantah Toy yang telah pun melabuhkan punggung ke kerusi.

“Apa yang lucu sangat? Makan dan diam, ok!” Setelah berdiam diri, akhirnya Adura bersuara. Tidak mahu keadaan jadi lebih kecoh. Memang seronok melihat gelagat mereka tetapi meja makan juga harus dihormati.

“Oooppss! Sorry madam. Sorry,” jawab Toy dengan wajah selamba. Tangan kanannya laju menyuap makanan ke dalam mulut. Qistina menguis kaki Leena. 

Dia memberi isyarat agar Leena melihat bagaimana keadaan Toy yang makan dengan gelojoh. Berderai tawa mereka sehingga Toy tersedar dan menghentikan suapan. Toy tahu dirinya sedang menjadi bahan lucuan.

“Hiii…Aunty.” Tersengih-sengih Toy melihat Adura yang turut ketawa. Cebisan spaghetti di celahan gigi Toy telah membuat Qistina dan Leena ketawa dengan lebih kuat.

“Toy, sejahil-jahil saya kan, saya masih ingat tau baca Bismillah. Awak ada baca tak tadi? Saya tengok awak rakus semacam je,’ tegur Leena.

“Jangan makan bersama syaitooon, Toy,” tambah Qistina sambil kedua jari telunjuknya ditegakkan menghampiri telinga.

“Kenapa diam Toy?”. Leena bertanya.

“Diam tu maknanya betullah tu. Macam orang nak nikah jugalah, kalau diam tanda setuju,” sampuk Jeja yang muncul semula dari dapur.

“Bercakap macam orang tua. Kamu ada pengalaman ke Jeja?” Adura mengusik Jeja pula.

“Alaaa, dengar ibu cakaplah aunty. Toy!” Jeja masih tidak puas hati.

“Yalah, yalah. Memang aku lupa Bismillah tadi. Spaghetti aunty buat aku tak ingat apa-apa dah. Sedap wooo aunty masak.” Hilang sudah malu-malu si Toy. Kulit wajahnya juga telah kembali ke warna asal, hitam manis.

“Terima kasihlah puji aunty. Tiba-tiba je aunty dah rasa kenyang. Kamu semua makanlah lagi ya. Aunty nak masuk bilik. Pahit rasa mulut aunty ni.” Ujar Adura dan berlalu dari meja makan. Lenggangnya disusun satu-satu.

“Kenapa dengan aunty tu? Nampak macam pelik je,” soal Jeja.

“Kenapa apa? Mama ok je.”

“Aunty kata mulutnya pahit, baru lepas demam ke?” Jawapan Qistina masih membuat Jeja tidak puas hati.

“Taklah. Memang mulut mama selalu rasa pahit. Entahlah Jeja, kadang –kadang saya pun tak faham. Kenapa kalau mulut mama rasa pahit, mama akan berkurung dalam bilik. Dari dulu lagi. Sejak saya masih kecil,” jelas Qistina dengan panjang lebar.

“Masa saya kecil lagi saya suka tanya mama. Kenapa mama suka duduk dalam bilik. Mama tak pernah jawab sampailah saya jadi bosan untuk tanya lagi. Sekarang dah jadi biasa,” sambung Qistina lagi setelah minum seteguk jus tembikai.

“Peliklah mama awak kalau macam tu.” Memang Jeja montel suka ambil tahu.

“Tak kot. Mungkin mama nak sendirian. Biarlah,” ujar Qistina lagi.

“Tapi aku masih peliklah dengan aunty. Betul! memang pelik!” setelah tersandar kekenyangan, Toy mengulangi keraguannya sekali lagi.

Jeja masih lagi mengunyah sisa makanan di dalam mulutnya. Dia mengangguk-angguk bila mendengar kata-kata Toy. Mungkin turut bersetuju. Leena menopang dagu. Perut yang penuh membuat dia mulai rasa mengantuk.

“Apa ya yang pelik pada mama?” Qistina mulai memikirkan sesuatu. Cuba diingat-ingat kembali jika ada kebenaran dalam kata-kata Toy si budak tomboy.

“Suka berkurung dalam bilik?” Toy tersengih. Niat di hatinya ingin membantu Qistina untuk mengingati sesuatu.

“Hissyy, biasalah duduk dalam bilik. Macam tak pelik je,” balas Qistina dengan malas.

“Hey, nak tidur balik rumahlah Leena!” suara kuat Toy membuat Leena tersentak. Terbang melayang rasa mengantuknya. Segar kembali pelupuk matanya. Dia menggaru-garu pipi yang agak gatal dek jerawat nakal mulai mengintai-intai.

Qistina berasa lucu melihat sikap Toy yang suka mengusik Leena. Di antara mereka berempat, Leenalah yang agak pemalu. Toy dan Jeja pula tidak tahu malu. Qistina amat bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat yang begitu memahami. Merekalah penghibur hatinya ketika gundah.

“Biarkan dia, kesianlah. Jahatlah awak ni Toy,” ujar Qistina tersenyum.

“Dah! Dah! Kita balik ke topik asal.” Toy membaling tisu ke arah Jeja.

“Topik apa?” Soal Leena keliru.

“Kepelikan mama Qistina iaitu Aunty Adura,” jelas Toy selamba.

Untuk membuat matanya terus segar, Leena bangun lalu mengutip pinggan mangkuk yang kotor untuk dibawa ke sink. Jeja turut membantu dengan mengambil gelas-gelas yang telah digunakan untuk dicuci. Qistina membersihkan meja makan dengan sehelai tuala basah. Hanya Toy seorang yang duduk bersantai.

“Pemalas!” bidas Jeja. Toy selamba sahaja.

“Qistina!”

“Nak apa lagi Toy?” Soal Qistina.

“Selesaikan dulu persoalan kita tadi,” balas Toy beria-ia. Qistina duduk semula. Hanya separuh hati mahu melayan kerenah Toy.

“Penting sangat ke Toy? Mama yang pelik ke awak yang pelik ni?” Qistina gelihati.

“Dua-dua pelik. Aku pelik, aunty pun pelik. Cuma orang pelik je yang dapat rasa kepelikan orang lain.” Ucap Toy dengan bersungguh.

Serentak Qistina, Jeja dan Leena mentertawakan mimik wajah Toy yang begitu yakin akan kata-katanya. Segera Leena meletakkan pinggan bersabun dalam pegangannya. Bimbang akan terlepas dari pegangan dek tubuhnya yang bergegar ketika ketawa. Jeja menekan perut yang senak.

“Engkau rasakan, apa yang aunty buat bila berkurung dalam bilik. Kes aunty ni dah menarik minat akulah,” sambung Toy yang tidak menghiraukan teman-teman yang begitu asyik mentertawakannya.

Tiba-tiba tawa Qistina terhenti. Dia mulai memikirkan sesuatu. Adakah kebenarannya kemusykilan Toy itu? Sejujurnya terkadang kala dia tertanya-tanya sendiri. Malangnya jawapan yang diberi oleh Adura tidak membenarkan untuknya mempersoalkan lagi. Setiap kali pertanyaan, jawapan yang diberi tetap akan sama.

“Macam ni Toy, bila mama kata mulut dia pahit, mama akan masuk bilik. Selalunya mama akan kunci dari dalam. Kadang-kadang mama tak kunci tapi mama ingatkan saya supaya jangan datang ke biliknya hinggalah mama sendiri yang keluar.” Qistina cuba menjelaskan dengan baik.

Jari jemari Toy bermain-main di dagunya. Mungkin dia sedang tekun memikirkan sesuatu. Jeja dan Leena telah selesai mencuci pinggan mangkuk yang kotor. Mereka mahu ikut serta dan menjadi pendengar yang baik.

“Kalau macam tu mesti ada sesuatu yang aunty buat dalam bilik tu.” Tebak Toy bersahaja.

“Ermm, yang itu saya pun tau. Mestilah ada benda yang mama nak buat. Tidur ke, solat ke, termenung ke. Tu biasalah Toy,” ucap Qistina yakin.

Kali ini jemari Toy bermain-main di atas permukaan meja. Meja diketuk perlahan sehingga melahirkan bunyi yang berirama. Wajah Toy begitu serius sekali. Mindanya masih belum mahu berhenti berfikir. 

Jeja dan Leena sudah bosan mahu mendengar hujahan Toy. Mereka beredar ke luar rumah untuk menikmati pemandangan kenderaan yang lalu-lalang. Qistina masih setia di situ untuk meladeni sebarang andaian yang akan diperkatakan oleh Toy.

“Mustahil aunty kuat tidur! Tidak mungkin juga kuat bersolat!” gumam Toy tanpa berfikir berkali-kali dengan apa yang mahu diperkatakannya. Biarpun begitu Qistina seolah-olah tidak ambil hati dengan kata-kata teman tomboynya itu.

“Toy!”

“Haaa.”

“Kalau kuat berFB tu termasuk dalam satu perkara yang pelik tak?” 

Akhirnya Qistina mulai teringatkan tentang satu-satunya hobi Adura. Selain Qistina, muka buku juga adalah temannya yang akrab. Wajah mulus Qistina dikerling lama. Toy berfikir lagi.

“Pelik dan tak pelik.” Toy memberi jawapan yang keliru.

“Huh! Dah pelik, tak pelik pula! Itu hobi mama. Di situlah masa mama selalu dihabiskan. Bila saya buat kerja rumah atau ke sekolah, cuma FBlah teman mama,” jelas Qistina lagi.

FB memang tak pelik. Di seluruh dunia orang sedang asyik dengan FB. Baik yang berpelajaran tinggi atau yang keciciran pelajaran. Orang biasa atau orang faham agama, semua ada akuan FB."

 "Artis, pemimpin politik dan semua lapisan masyarakat kenal FB. Tak kira kecil besar, tua muda. Cuma engkau tu saja yang tak reti nak berFB.” Pandangan Toy memang ada kebenarannya.

“Eh! Biar betul sikit fakta tu ya. Saya bukan tak tahu dan tak reti berFB, cuma saya tak minat tu semua. Entah, dalam kepala saya ni nak study, study dan terus study. Bukan ke FB tu akan banyak buang masa,” jelas Qistina.

“Apa-apa sajalah budak mata biru,” sahut Toy selamba. Qistina hanya tersenyum.

“Yang peliknya pula apa?” Soal Qistina.

“Yang peliknya bila FB tu disalah guna. Biasalah kan manusia ni, bila diberi kemudahan tak tau nak bersyukur. Tak dihargai. Tak mustahil ada yang ambil kesempatan, buat kerja-kerja jahat dengan FB. Tipu sana tipu sini, hasut sana hasut sini. Apa-apa saja yang buruklah.”

“Bila awak bercakap hal-hal serius begini, macam orang yang dipenuhi wawasan je awak Toy,” usik Qistina tersenyum.

See the leglah!” sahut Toy bersahaja. Tomboy yang bertudung itu rasa bangga.

Sekali imbas tidak ada perkara berat yang harus dikhuatiri tentang FB. Bila direnungkan semula, benar apa yang dikatakan oleh Toy. Entah! Qistina tidak faham mengapa dia tidak suka berFB berbanding teman-temannya. Jauh terkebelakangkah dia? Sudah ‘ketinggalan keretapi’ rupanya.

“Jadi maksud awak, mama buat kerja-kerja pelik?” Barulah Qistina teringat semula titik persoalan yang sedang mereka perkatakan.

Toy menopang dagu. Memejamkan mata sebentar dan membukanya semula. Sudah ada rasa mengantuk. Kuapan mulai mengganggu perbualan yang memperkatakan tentang Adura dan facebook.

“Aku tak adalah kata macam tu tapi masih tak mustahil. Kalau tidak masakan aunty akan kunci pintu atau larang engkau ke biliknya.”

“Engkau ni Toy! Tak baik tau berburuk sangka pada mama! Kalau mama dengar mesti dia kecil hati.” Ada perasaan tidak sedap hati mulai menyapa diri Qistina. Seperti dirinya sedang mengkhianati orang tuanya sendiri. Huh! Toy memang tidak boleh dilayan.

Pelupuk mata Toy yang sekejap mengecil dan membesar tidak dapat ditahan lagi. Memang begitulah keadaannya setiap kali selepas menikmati hidangan tengahari. Waktu begitu memang sesuai untuk melelapkan mata barang sejam dua. Lebih-lebih lagi dengan kesegaran dari alat pendingin hawa yang bakal melenakan tidur di siang hari.

“Abaikan je la Qistina. Aku cuma sebut tentang kemungkinan buruk dalam FB. Itu je. Tak adalah aku tuduh aunty buat kerja jahat tu. Tapi betul apa yang aku kata, dalam FB macam-macam ada,” lalu Qistina menguap lagi.

“Engkau buatlah satu akaun FB. Engkau akan dapat ramai kawan nanti. Tak adalah balik-balik muka aku, muka Jeja dan muka Toy je yang ada dalam kepala engkau tu. Hidup biar beribu kawan beb! Musuh jangan sekali-kali dicari,” sambung Toy lagi.

Duduk yang mulai tidak selesa dikisar sedikit. Kali ini Qistina sudah mulai berminat dengan topik yang sedang diperbualkan. Dalam benaknya sedang ligat merencana sesuatu. Jika di dalam FB ‘macam-macam ada’, sudah tentu berbagai perkara boleh diselesaikan hanya dengan berFB.

“Nak jejak orang boleh ke Toy?” Soalnya perlahan.

“Kalau kena caranya boleh je. Siapa engkau nak jejak? Jejak kasih eh?” Usik Toy.

Pertanyaan Toy dibiarkan berlalu begitu sahaja. Berat untuk Qistina menjelaskan. Mungkin juga ianya tidak begitu penting untuk diperkatakan ketika itu. Ah! apa perlunya?

“Kita tutup je persoalan yang entah apa-apa ni ya Toy. Buat penat otak kita je nak fikirkan apa yang mama selalu buat. Pelik atau taknya mama, itu dia seorang yang tahu. Selagi dia tak abaikan tanggungjawab dalam rumah ni, saya terima mama seadanya.” Qistina mengambil jalan tengah.

“Okey, anggap je andaian-andaian kita tu cuma merepek-repek dan tak ada hasilnya.” Sahut Toy lalu mereka tertawa serentak.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.