Home Novel Islamik Air Mata Siti Hajar
Air Mata Siti Hajar
9/1/2014 13:11:35
49,530
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 1

MOD : Cinta dalam diam.

SIAPAkata gosip dan usikan kawan-kawan tidak bisa memberi kesan kepada seseorang, sila angkat kaki? Lebih-lebih lagi, bila mana yang diusik itu adalah seorang anak gadis yang masih muda, single and available. Sedikit sebanyak, tetap terasa getarnya. Tentu terasa debarnya. Dup dap dup dap… jantung berdegup kencang.

Kadang-kadang, si teman hanya mahu memeriahkan suasana. Iyalah. Serius memanjang boleh membikin jiwa yang sedang berserabut bertambah tertekan. Seorang manusia yang normal, pastinya mahukan sesuatu yang dapat menghiburkan hati walau sekejap cuma. Tambahan lagi, dirinya sentiasa dihambat oleh kerja yang tidak pernah surut.

Dan… inilah yang terjadi kepada si pemilik hati yang bernama Siti Hajar binti Sulaiman. Usikan yang sekadar suka-suka itu tanpa sedar telah menumbuhkan bibit-bibit cinta di dalam hatinya. Kepada siapa? Begini ceritanya…

‘Al-kisah… Al-kisah maka tersebutlah kisah… sang kancil datang beramai-ramai mengadap ke bawah duli yang Maha Mulia, Sultan Firaun…’ Mana Firaun pakai sultan. Bukan!!! Itu syair yang disampaikan Ajis dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Bukan itu ceritanya…

JAMtelah menunjukkan pukul 10.30 pagi. ‘Lewat sih. Lambat 15 minit,’ bisik hati kecil Hajar. Dia cepat-cepat bergegas ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga, bangunan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Semakin lama, langkahnya semakin laju.

Pintu bilik tertutup rapat. Menandakan mesyuarat sudah pun bermula. Sampai sahaja di muka pintu, Hajar terdiam sekejap. Dia menadah tangan ke langit lalu berdoa. "Ya ALLAH. Aku tahu, aku sudah terlewat. Aku tahu, aku tidak menepati masa. Aku akui silap dan khilafku, ya ALLAH. Hijablah hati-hati mereka daripada menyedari kelewatanku ini…" kata-kata Hajar terhenti di situ.

"Biarlah ada insan lain yang datang lebih lambat daripadaku," tambahnya lagi. Pintu bilik mesyuarat dibuka perlahan. Nafas Hajar masih lagi turun naik. Dia berasa gusar sebenarnya. Minggu lepas pun dia terlewat juga. Akan tetapi, waktu itu… ada yang lebih lambat daripadanya. Adakah bisa dia bernasib baik seperti hari itu lagi?

Sebaik sahaja Hajar memasuki bilik tersebut, semua mata memandangnya tanpa berkelip. Dia terkesima. Dia cepat-cepat berjalan laju ke arah Aisyah yang tersenyum memerhatikannya.

“Lewat. Nasib baik Prof. Umar belum tiba. Kenapa ni? Fan sekat lagi?” soal Aisyah bertubi-tubi. Minggu lepas, rakan serumahnya ini terlewat dek melayan kerenah pelajar-pelajar yang banyak sungguh songehnya. Minggu ini, mungkinkah sejarah itu berulang?

Hajar mengangguk perlahan. Dia menarik nafas lega. Mujur mesyuarat masih belum bermula. Kalau tidak, pasti dia akan mendapat malu kerana dengan kesekian kalinya terlewat lagi.

Aisyah menggeleng-geleng seraya menambah. “Adik jangan risau. Ada yang lagi lewat daripada adik.” Dia memberitahu sungguh-sungguh.

Hajar yang sedang meneliti minit mesyuarat minggu lepas terpana seketika. Dia mendongak ke arah Aisyah yang tersenyum sumbing ke arahnya. “Siapa?” Gadis sunti ini bertanya pendek.

Aisyah berpaling ke arah pintu bilik mesyuarat lalu mengangkat jemarinya. Bermula dari ibu jari… jari telunjuk… jari hantu… jari manis dan jari kelingking. “Satu, dua, tiiii…” kata-katanya terhenti di situ.

Pintu bilik mesyuarat terbuka luas. Sah! Tepat jangkaan Aisyah. Zulkarnain akhirnya muncul di hadapan mata. Seperti yang diduga, lelaki itu masih lagi memakai baju yang sama warna dengan Hajar, macam minggu lepas. Mereka sama-sama lewat dan sama-sama memakai baju yang serupa warnanya. Adakah terdapat makna tersirat di sebalik kebetulan itu?

“Along rasa, adik dengan Zulkarnain memang ada jodoh,” kata Aisyah separuh berbisik. Namun, bisikan yang sepatutnya hanya didengari mereka berdua turut mendapat perhatian Sumayyah, Asma’ dan Khaulah. Dengan lain perkataan, Aisyah tidak berbisik sebenarnya.

“Betul, betul, betul.” Sumayyah menyampuk. Macam Ipin dalam siri animasi Upin dan Ipin pula.

Asma’ yang sedari tadi menjadi pendengar dan pemerhati setia mengukir senyum lebar sampai ke telinga. “Minggu lepas pun sama-sama datang lewat. Sama-sama pakai baju yang serupa warnanya. Kebetulan yang sungguh menakjubkan. Mungkin ada sesuatu dan hanya hati yang berbicara. Sangat sesuai. Lagipun, En. Zul kita bukannya buruk sangat. Cuma kadang-kadang sahaja suka berlagak lebih,” sambungnya sedikit mengutuk.

Hajar mencebik. Bertubi-tubi dia diserang. Kurang ajinomoto punya teman. Kata, sudah cukup mengenali. Adakah ini yang dinamakan memahami?

Zulkarnain? Mungkin tidak. Lelaki itu selalu sahaja berlagak bagus walaupun pada hakikatnya dia memiliki ciri-ciri seorang teruna yang selayaknya dibuat laki. Dia tidak berminat. Sememangnya, semua ini adalah kebetulan. Tidak ada kaitan antara yang hidup dengan yang mati.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.