Home Novel Islamik Air Mata Siti Hajar
Air Mata Siti Hajar
9/1/2014 13:11:35
49,381
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 3

HARI ini, genap umur Hajar 24 tahun. Sudah semakin tua rupanya. Sama sekali tidak dia sedari. Maklumlah, hidupnya dihambat dengan banyak perkara. Kerja… studi… aktiviti berfaedah dan tidak kurang juga kegiatan yang sia-sia. Terlupa agaknya dia. Bila-bila masa sahaja ALLAH boleh mencabut nyawanya.

Sedang Hajar begitu asyik memikirkan misi masa hadapannya, tiba-tiba dia ditegur seseorang...

“Assalammualaikum,” ucap suara itu.

Hajar segera berpaling. Matanya membulat. Kemudian, dia memandang sekeliling. Nasib baik. Bukan hanya mereka berdua di sini. “Waalaikumussalam,” balasnya pendek.

Zulkarnain segera menyerahkan sesuatu kepada Hajar. “Selamat hari lahir, awak…”

Awak? Sejak bila Zulkarnain menggunakan kata ganti nama kedua untuk memanggilnya?

Hajar tercengang. Mujur tidak sendawa. Dia memandang kasut Zulkarnain yang hitam berkilat. Belum sempat Hajar mengucapkan terima kasih, lelaki itu sudah berlalu pergi, meninggalkan Hajar terkebil-kebil sendiri.

Tidak lama… Walaupun masih berada dalam kondisi blur, Hajar tetap mampu membuka hadiah yang diterima. Dia tersenyum sendiri. ‘Pilihan pembalut hadiah yang paling tepat!’ Hatinya berbisik kecil. Tangannya masih lagi mengoyak kertas minyak yang dijadikan kertas pembalut dengan penuh hati-hati. Nasib baik bukan kertas surat khabar. ‘Sememangnya, lelaki…’ ujarnya lagi seorang diri.

Mata Hajar yang tadinya sudah bulat kembali membulat. Buku Cinta, Jodoh, Perkahwinan terbitan Buku Prima sedang berada di genggamannya. Namun, kenapa buku ini yang menjadi pilihan Zulkarnain? ‘Mungkin tidak ada buku lain agaknya.’

TIDAK ada siapa yang menduga. Perkara ini betul-betul di luar jangkauan manusia yang terbatas akal pemikirannya. Disebabkan peristiwa itu, Hajar mungkin sedang dilamun cinta. Dilamun cinta? Dengan siapa? Siapakah jejaka yang malang itu?

Fitrahnya seorang gadis, dia mahu dicintai dan dikasihi. Hendak dibelai dan dimanja. Namun, awas!!! Jangan silap cinta… silap belai dan silap bermanja-manja. Carilah yang halal kerana sesungguhnya, halal itu lebih baik dan menyenangkan. Bagaimana? Ikatan pernikahanlah jawabnya. Namun, bagaimana?

Hubungan Zulkarnain dan Hajar menjadi semakin akrab. Walaupun tidak kelihatan bagai pasangan kekasih, hakikatnya mereka tetap rapat antara satu sama lain. Mungkin dek kelalaian jiwa, menyebabkan mereka tidak menyedari kepentingan menjaga ‘sesuatu’ yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘sesuatu’ itu?

HATI…

Sampaikah jentikan ALLAH untuk mengingatkan mereka yang sedang lupa lagi alpa? Sekali pandang, hubungan persahabatan itu terjalin tanpa melangkaui batasan syariat, namun bagaimana pula halnya dengan sesuatu yang tersembunyi dan tersirat? Hanya mereka dan keluarga mereka yang tahu. Keluarga pun tahu? Apa yang pasti, cinta dalam diam telah hadir dalam hati kedua-dua teruna dan dara…

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.