Home Novel Islamik Air Mata Siti Hajar
Air Mata Siti Hajar
9/1/2014 13:11:35
49,576
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 2

HAJAR mati kutu. Prof. Ammar meminta dia menyiapkan tayangan slaid untuk pembentangan kertas kerja petang ini. Dalam masa yang sama, Prof. Umar juga mengharapkan jasa baiknya untuk menyediakan laporan minit mesyuarat. Masalahnya, kedua-dua profesor berkenaan mahukan kerja tersebut disiapkan hari ini juga! Dia pula, hanya ada dua tangan dan dua kaki untuk membuat itu dan ini. Jadi???

‘Ya ALLAH, bantulah aku mendepani kesulitan ini,’ bisiknya di dalam hati. Iyalah. Selaku manusia yang lemah, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa tanpa pertolongan ALLAH. Hatta, hendak mengangkat jari kelingking sendiri pun tidak mampu. Justeru, hendak tidak hendak, mahu tidak mahu, dia perlu kembali kepada PENCIPTA yang tidak ada kemustahilan bagi-NYA.

Hajar melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 12.01 tengah hari. Mujur dia tidak ada kelas petang ini. Bolehlah dia memberi sepenuh tumpuan menyiapkan tugasan yang diberikan. Sudahlah profesor-profesornya ini agak cerewet. Mujur muka kacak walau usia sudah menghampiri separuh abad.

“Kenapa macam cacing kepanasan, Jar?”

Hajar ditegur seseorang. Dia segera berpaling. Zulkarnain? Musuhnya dalam diam. Dahinya berkerut. Dia memandang sekeliling. Hanya mereka berdua di situ. Oh, tidak…

Tanpa menjawab pertanyaan Zulkarnain, Hajar segera beredar. Mana mungkin sang teruna dan dara duduk berdua-duaan di dalam bilik tanpa teman. Silap hari bulan, boleh mengundang fitnah yang menghancurkan. Lagipun, dia berpendapat bala tentera syaitan laknatullah yang sedang berbisik-bisik kepada kejahatan ke telinga mereka, tidak terkira banyaknya. Jadi, adalah lebih baik andai dia melepaskan diri terlebih dahulu.

Baru sahaja Hajar hendak melangkah keluar dari bilik tutor tersebut, rakan-rakannya pun sampai. Dia menarik nafas lega. Dia kembali ke tempat duduknya. ‘Terlupa!’ Dia bingkas bangun dan berjalan ke arah Zulkarnain. Semacam tidak beradab pula meninggalkan anak Pak Borhan terpinga-pinga sendirian.

“Pagi tadi, Prof. Ammar minta siapkan tayangan slaid. Prof. Umar pula suruh buat laporan minit mesyuarat semalam. Dua-dua hendak hari ini jam 2.59 petang. Mana cukup tangan nak siapkan? ALLAH bagi hanya dua tangan dan dua kaki.” Luah Hajar tegas tetapi masih belum cukup menggerunkan mata yang memandang. Namun, jelas menampakkan ketidakpuasan hatinya.

Zulkarnain menggeleng perlahan. ‘Inilah perempuan tetapi… Comel juga. Sedap mata memandang,’ bisik hatinya. Dia terus menggeleng. Dia beristighfar berkali-kali di dalam hati. Tidak menjaga pandangan itu bisa mengundang malapetaka! “ALLAH hanya bagi dua tangan dan dua kaki. Dalam masa yang sama, ALLAH bagi otak untuk berfikir,” ujar Zulkarnain lembut tetapi sinis.

“Tiga jam lagi berbaki, cik kak oi. Buat satu-satu. Jangan panik. Kalau panik, satu kerja pun tidak jadi. Kalau asyik melayan perasaan yang kata tidak boleh buat, memanglah betul-betul tidak boleh buat,” tambahnya lagi. Macam mak nenek yang ada kumis pula.

Zulkarnain diam seketika. Dahinya berkerut menandakan dia sedang memikirkan sesuatu. “Untuk mesyuarat semalam, tentu sudah buat catitan. Ambil contoh minit mesyuarat yang terdahulu. Saya pun ada simpan. Kemudian, tukar dan ubah sahaja mana-mana yang patut. Untuk tayangan slaid Prof. Ammar pula, pandai-pandailah fikir sendiri. Ada lagi dekat tiga jam. Kalau fokus 125 peratus, insya-ALLAH dapat siapkan.”

Nampaknya, senior Hajar ini mahu menukar profesion menjadi kaunselor pula. Mungkin dia terlupa. Dia sebenarnya adalah pensyarah subjek Pangkalan Data atau lebih dikenali sebagai DB di kalangan pelajar dan tenaga pengajar.

Hajar terkedu. Kata-kata Zulkarnain yang tidak berlapik itu sememangnya ada benarnya. Dia sedikit termotivasi tetapi kakinya masih berat untuk melangkah. Matanya terkebil-kebil. Macam budak berusia lima tahun yang hendak menangis kerana tidak dibelikan anak patung kepadanya.

“Baik. Biar saya tolong Hajar siapkan laporan minit mesyuarat semalam. Hajar pula, fikir sendiri macam mana hendak bereskan kerja yang diminta Prof. Ammar. Insya-ALLAH, sebelum jam 2.30, kita dapat setelkan semua,” ujar Zulkarnain.

Dia kasihan sebenarnya melihat Hajar yang sedang kebuntuan. Orang putih kata, ‘Lost and lose’. Kawan baik Hajar, Aisyah pula tidak nampak batang hidung langsung. Ada kelas agaknya. Kalau tidak, pasti anak Pak Bakar itu sudah bertungkus-lumus membantu Hajar.

Mata Hajar yang sedia sepet membulat. Baik pula jejaka yang sedang berdiri di hadapannya ini. ‘Adakah Zukarnain sedang merancang sesuatu yang tidak baik kepadaku? Hendak menjadi musuh dalam selimut, mungkin.’ Dia bersangka-sangka.

“Hajar…” panggil Zulkarnain. “Macam mana?” Tambah lelaki itu lagi.

Hajar mengangguk-angguk. “Awak tidak ada kelaskah petang ini?” Dia menyoal tanpa menjawab pertanyaan Zulkarnain.

Zulkarnain hanya tersenyum. Hajar terpana seketika. Dia segera berpaling ke arah dinding bilik tutor. Kemudian, berkalih pula ke arah Sumayyah, Asma’ dan Khaulah yang sedang rancak berbual. Pandangan wajib dijaga! Silap hari bulan, bisa mengundang bintik hitam dalam hatinya. ‘Astaghfirullah,’ ucapnya berkali-kali di dalam hati. Namun, tidak dia nafikan. Manis pula senyuman seniornya ini. Kenapa hatinya tiba-tiba berdegup kencang? Oh, tidak…

“Ada. Pukul 2.00 nanti. Tidak apa. Bukan susah pun hendak buat minit mesyuarat. Pejam mata pun boleh siapkan. Biar saya uruskan,” balas Zulkarnain menawarkan diri.

Hajar mengangguk. “Terima kasih, En. Zul,” ucapnya lesu. Dia lalu kembali ke tempat duduknya. Bukankah membenci dan menyayangi itu sewajarnya tidak melampau-lampau? Biarlah berpada-pada. Dengan kata lain, biarlah seadanya. Manalah kita tahu. Insan yang dibenci itu satu hari nanti menjadi manusia yang kita cintai?

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.