Malam itu Danny tidak ke mana-mana.
Lelahnya masih terasa apabila terpaksa menghabiskan masa berjam-jam dalam
perjalanan pulang dari Johor Bahru. Biar pun dia tidak memandu namun perjalanan
yang terlalu jauh itu amat memenatkan.
Danny hanya mahu bersantai sambil
menonton tayangan filem Iron Man di rangkaian ASTRO. Dia berbaring di atas
hamparan permaidani tebal sambil mengunyah popcorn. Setin minuman keras turut
menjadi temannya ketika itu. Danny menghirup minuman itu perlahan-lahan,
berselang-seli dengan kunyah an popcorn.
Sedang Danny asyik menonton, terpandang
kelibat Datuk Zahid sedang berjalan. Tidak lama selepas itu Danny melihat Bik
Surti berjalan separuh bongkok mengekori langkah tuan besarnya. Danny tersenyum
sinis melihat kepatuhan pembantu rumah dari seberang itu.
‘Kalau mama ambil yang lebih muda, kan
best. Mama! Mama! Cemburu sangat dengan papa.’ Danny berbisik sambil ketawa
dalam hati sehingga membuat sengihannya berpanjangan.
“Papa! Nak ke mana tu?” Laung Danny
dari jauh.
“Tak payah tanyalah, papa dah lambat
ni.” Datuk Zahid juga melaung dari balik dinding yang memisahkan ruangan.
‘Macamlah aku tak tau.’ Bisik Danny
lagi. Dia amat arif dengan sikap papanya yang suka menghabiskan sepertiga
daripada malamnya di kelab-kelab malam.
‘Mama pula entah bila nak balik. Bila
papa keluar barulah mama balik. Esok pagi bila papa balik, mama pula keluar. Tak
faham aku.’ Tumpuan Danny pada filem yang ditonton agak terganggu apabila
terkenangkan sikap kedua orang tuanya.
“Bik Surti tidur dulu ya tuan muda.”
Bik Surti minta diri dengan penuh hemah.
“Alah! Nak tidur, tidur jelah bik. Tak
payahlah minta izin! Boringlah bibik ni.” Marah Danny dengan wajah kelat.
“Mana tau tuan muda mahu apa-apa.” Bik
Surti tunduk.
“Pergi jelah bik! Jangan kacau lagi.”
Kelantangan suara Danny membuat Bik Surti tergesa-gesa pergi dari situ.
“Sibuk betul orang tua ni.” Namun
kemarahan Danny masih belum ada kesudahannya.
Rasa sakit hati cuba dibuang
jauh-jauh. Tidak guna melepaskan beban perasaannya pada seorang pembantu rumah
yang tidak tahu apa-apa. Lebih baik dia meneruskan tontonannya. Kalau tidak
kerana tubuhnya yang terlalu letih, awal-awal lagi dia sudah menghilangkan diri
dari kediaman mewah itu. Lebih baik menghabiskan masa di pub-pub daripada
menjadi penunggu mahligai mewah yang jarang sekali berpenghuni.
Sekali lagi tumpuannya terganggu
tatkala terdengar bunyi derap sepatu. Danny segera menoleh. Dilihatnya Emily,
adik perempuannya sedang ber lenggang. Emily sudah siap berdandan. Wajahnya
yang masih remaja menjadi lebih berusia dengan solekan yang menyakitkan mata.
Emily tidak meng hiraukan Danny yang sedang memandang tepat ke arahnya.
“Hei, perempuan. Nak pergi mana tu?”
Soal Danny keras.
“Ni Emily, ok! Senang-senang panggil
orang macam tu.” Balas Emily dengan rasa marah.
“Ah! Apa-apalah. Emily nak ke mana?”
Soal Danny lagi sambil cuba mengalah.
“Baru hari ni nak tanya? Oh! Yalah,
baru hari ni orang tu lekat di rumah. Kalau tak dialah yang lesap dulu.” Sindir
Emily dengan berani.
“Aku tanya baik-baik ni!” Danny
memberi amaran dengan nada suara yang lebih tinggi.
“Biasalah clubbing dengan kawan-kawan.
Nak join ke?” Emily sengaja mahu menyakitkan hati Danny.
“Ingat sikit, awak tu perempuan,
jangan berani sangat.” Balas Danny separuh mengingatkan.
“Janganlah lebih-lebih. Mama dan papa
tak pernah bising. Apa nak di kisahkan. Malas nak layan. Dahlah nak pergi
ni…daaa.” Emily terus berlalu tanpa menoleh lagi.
‘Ahhhh! Tensionnya hidup macam ni!’
Jerit Danny dalam hati.
Tin minuman disambar dengan keras.
Danny menghirup dengan gelojoh. Namun tiada rasa puas di hatinya. Dengan
minuman itu, dia masih tidak boleh melupakan segala-galanya. Kegusaran
berlegar-legar di segenap ruang diri. Harapannya untuk bersantai dan
berehat-rehat di rumah hanya sia-sia.
Semuanya benar-benar menyakitkan hati.
Seisi rumah tidak sudi menemani nya. Masing-masing dengan hal dan keperluan
sendiri. Mengapa harus begini ikatan sebuah keluarga. Tiada simpulan kukuh dan
hampir tiada pengertian di antara satu dengan yang lain.
“Habis pulak!” Gerutu Danny apabila tin
minuman keras di tangannya telah
kosong.
“Bik Surti! Bik Surti! Bik Surti! Hoi!
Bik Surtiii!” jerit Danny dengan geram.
“Memang nak kena orang tua ni!”
Sepantas kilat Danny melompat dari tempatnya berbaring. Sepantas itu juga dia
berjalan mencari Bik Surti di bilik pembantu rumah itu. Danny mengetuk daun
pintu bertalu-talu. Tiada sahutan. Tiada juga tanda-tanda Bik Surti akan
membuka pintu untuknya.
Wajah
Danny bagaikan singa lapar. Merah padam dek aliran darah panas yang bersatu
dengan minuman keras. Penat mengetuk, Danny me nendang daun pintu dengan kaki
kanannya. Amarahnya kian membakar diri. Sabarnya tiada lagi dalam memori.
“Ya tuan muda.” Hanya beberapa minit
kemudian barulah Bik Surti muncul dengan kain telekung masih di tubuhnya.
“Bik Surti pekak ke?” Maki Danny
dengan bibir bergetar melayan marah.
“Bi..bik solat tuan muda.” Sementara
tubuh Bik Surti ketar, hatinya kalut dan resah.
“Buka ni! Buka! Rimas aku tengok!”
Dengan kasar Danny merentap kain telekung sehingga kepala Bik Surti terhantuk ke
bucu pintu.
“Ya ALLAH! Jangan tuan muda, sakit
tuan muda.” Wajah tua Bik Surti berkerut menahan sakit.
“Pergi sekarang! Ambilkan aku air
lagi!” Herdik Danny yang merasakan pembantu rumah dari seberang itu tiada
sebarang nilai di matanya.
“Tuan muda ambil sendiri. Bik Surti
tak boleh. Haram tuan muda.” Jawab Bik Surti takut dan semakin kalut.
“Bik Surti nak kalau aku hantar Bik Surti balik Indon?” Gertak Danny
dengan jegilan mata merahnya.
“Jangan tuan muda. Bik Surti mau cari
wang. Anak Bik Surti sakit kuat di sana.” Rayu Bik Surti.
“Kalau tak nak aku hantar balik, pergi
ambil!”
“Bik Surti ambil tuan muda.” Bik Surti
berlalu dengan titisan air mata. Hatinya benar-benar sakit. Pedih bagaikan luka
dititis cuka. Perit dan getir harus dimamah saban waktu. Bik Surti akur dalam
paksa. Syubahah itu menyeksa batinnya. Sayangnya Bik Surti tiada pilihan.
Hingga akhirnya dia merasakan betapa seksanya hidup menumpang di negara orang.
‘TUHAN ampunkan Bik Surti. Bik Surti
tak kuat, TUHAN.’ Titisan air mata Bik Surti seiring dengan tangisan hatinya.
Di ruang menonton Danny tidak lagi selesa.
Filem di layar LCD 42 inci itu tidak lagi menarik perhatiannya. Danny merenung
setiap sudut dan ruang yang begitu sunyi dan sepi. Kediaman yang dilengkapi
perabot serba mewah itu dirasakan begitu kosong. Sekosong hati dan perasaannya.
Danny tidak pasti. Seringkali dia tercari-cari apa yang dirinya telah
kehilangan.
“Ini airnya tuan muda.” Bik Surti
datang semula dengan dua tin minuman keras di tangannya.
Dengan pantas Bik Surti meletakkan tin
air di atas meja. Sedangkan Danny mengerlingnya tidak acuh. Pandangan mata itu masih
dipenuhi percikan amarah terhadap wanita tua di hadapannya. Bik Surti masih
berdiri di situ. Kaku. Tidak berani untuk pergi dan tidak juga mahu menunggu
lebih lama lagi. Hatinya meronta. Mengharap agar Danny mengarahkannya segera
beredar.
“Apa tunggu lagi, bik?” Soal Danny
kaku.
“Ya, ya. Bik Surti pergi.” Lantas sebuah
keluhan lega dilepaskan. Bik Surti berjalan simpang-perenang. Di hatinya masih
dibaluti takut. Bimbang juga andai tuan mudanya masih lagi memerhati
gerak-gerinya. Semua itu membuat Bik Surti jadi serba tidak kena.
‘Jalan macam orang mabuk.’ Umpat Danny
yang lirik matanya masih mengekori langkah Bik Surti.
Tin minuman di atas meja direnung
lama. Tiada juga gerakan tangan untuk mencapainya. Sedang benaknya menerawang
jauh. Terlintas di kotak fikirnya, jika ia haram mengapa papa dan mamanya tidak
pernah melarangnya menyentuh minuman itu. Bahkan ia juga menjadi minuman rutin
mereka.
Tiba-tiba hatinya menjadi enggan. Kedua
tin minuman itu dibiarkan sahaja. Danny terus melayan kembara ingatannya. Dari
alam kanak-kanak hinggalah sekarang ini. Masih terlalu sukar untuk menyelami
bagaimana per jalanan hidup mereka di mahligai mewah itu. Hidup dalam sebuah
keluarga sayangnya tidak saling kenal. Ikatannya begitu longgar. Walau ketika
mereka bersama namun masih terasa jauh dan asing.
‘Ah! Baik aku tidur.”
Siaran filem di Astro ditinggalkan
begitu sahaja. Dua tin minuman di atas meja tidak disentuh. Biar nanti Bik
Surti yang akan menguruskan semua nya. Langkah Danny yang gontai memasuki kamar
yang akan membantunya melupai semua perkara biar pun hanya untuk seketika.