Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,625
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 8


Elika hanya membisu. Dia tunduk tidak mahu bertentang mata dengan Firdaus yang sedang duduk di hadapannya. Bilik sederhana besar itu seperti tempat untuk berehat. Dia dapat melihat taman luas yang dipenuhi dengan bunga berwarna-warni di luar bilik tersebut.

"Duduk," arah Firdaus. Elika menurut namun masih tidak mahu membalas pandangan lelaki itu.

"Susah sangat mahu pandang muka saya?" soal Firdaus.

"Awak tanya aje lah apa soalan tu. Saya nak cepat keluar dari sini," balas Elika kini membalas pandangan lelaki itu dengan riak wajah serius. Dia mula takut kata-kata Gloria menjadi kenyataan. Dunia ini bukan tempat asalnya. Ada seseorang yang dia telah gantikan di tempat ini. Dia sangat yakin akan telahannya itu. Firdaus hanya memandang tenang ke arah gadis itu.

"Awak marah?" soalnya. Elika tersenyum sinis. Dia mula tidak mampu mengawal diri.

"Ya. Saya sepatutnya dah gagal ujian minggu lepas. Kenapa saya perlu datang lagi?" soalnya ingin tahu. Kata-kata Safiq mula terngiang-ngiang di telinganya.

"Saya yang patut soal awak. Bukan awak yang soal saya," balas Firdaus masih tenang. Dia dapat melihat api amarah pada wajah gadis itu. Dia semakin yakin yang dihadapannya saat itu bukan Elika yang dikenalinya. Elika tidak akan pernah memandangnya dengan pandangan marah seperti itu. Elika tersenyum sinis. Dia mula bersandar selesa pada kerusinya.

"Tanya lah. Awak nak tanya apa?" soalnya berani. Firdaus tersenyum.

"Kenapa awak nak jadi isteri saya?" tanyanya. Dia sebenarnya agak takut mendengar jawapan gadis itu. Sebelum ini dia pernah bertanyakan soalan tersebut. Masa itu dia dan Elika masih remaja. Dia agak rimas apabila gadis itu sering mengekorinya sehinggakan dia bertanyakan soalan tersebut. Jawapan Elika pada masa itu seperti biasa. Sebab ia menyayangi dirinya.

"Saya? Saya nak jadi isteri awak?" soal Elika kembali sambil tergelak kecil.

"Saya tak nak. Saya ulang ya. Saya tak nak jadi isteri awak," balas Elika dengan riak wajah serius. Dia sangat berharap kali ini dia akan gagal dalam ujian tersebut. Walau apapun yang akan berlaku, kali ini dia tidak akan sesekali kalah dengan lelaki itu. Firdaus menarik nafas dalam.

"Esok saya akan datang sendiri jemput awak. Awak boleh keluar," katanya sambil berdiri.

"Tunggu, kenapa? Saya tak nak!" balas Elika turut berdiri.

"Awak mahu saya gunakan kuasa? Ingat, awak ada keluarga," kata Firdaus separuh mengugut.

"Awak nak apa sebenarnya?" soal Elika mula hilang sabar. Dia dapat rasakan yang Firdaus sengaja mahu mengenakannya.

"Awak nak apa?" soalnya lagi apabila Firdaus hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa.

"Saya mahu kamu jadi isteri saya," jawab Firdaus dengan nada tegas. Elika tidak terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Dia sudah agak ayat yang akan keluar daripada mulut Firdaus. Elika berlalu tanpa berkata apa-apa lagi. Firdaus hanya memandang langkah gadis itu tanpa berhasrat untuk menahan.

                                    *****

Gloria hanya memandang Elika yang hanya membisu sepanjang perjalanan dia menemani gadis itu keluar dari istana. Melihat Idham yang berdiri tidak jauh di hadapan, Elika berhenti melangkah. Dia memandang Gloria.

"Aku..., takut," katanya dengan kening berkerut. Gloria simpati membalas pandangan gadis itu.

"Aku perlu buat apa kalau betul Firdaus nak datang rumah aku esok?" soal Elika yang jelas kelihatan buntu. Gloria mengeluh berat. Selepas mendengar cerita gadis itu sebentar tadi, dia ikut buntu. Dia seperti orang yang hilang akal.

"Jom larikan diri," ajak Elika selepas melihat Gloria yang masih membisu. Dia tahu yang gadis itu masih terkejut dengan perkhabarannya sebentar tadi. Elika sebenarnya berhasrat tidak mahu memberitahu gadis itu mengenai apa yang terjadi antaranya dengan Firdaus. Dia pasti Gloria akan risau. Namun dia sudah buntu tidak tahu pada siapa dia harus berkongsi.

"Nak lari ke mana? Kita pun tak tahu sangat tempat ni. Mungkin kat luar sana ada bahaya yang sedang tunggu kita," balas Gloria tidak setuju.

"Habis tu? Kau nak si Firdaus tu datang rumah aku esok? Lelaki tu nak aku jadi isterinya. Kau mungkin tak percaya apa yang aku cakap ni. Tapi aku rasa, aku, maksud aku, diri aku wujud dalam dunia ni. Kalau tak, mustahil Safiq tu kata aku rapat dengan si Firdaus masa kecil," kata Elika dengan riak wajah serius. Gloria menyentuh kedua belah bahu gadis itu. Dia tahu Elika sekarang panik seperti dirinya.

"Elika, esok kalau betul Daus datang rumah kau, aku rasa kau ikut aje dulu. Ni untuk keselamatan kita berdua. Lagipun esok tak semestinya kau jadi isteri dia terus. Aku dengar untuk ujian kelima, kau dan dua orang calon lagi akan diuji sendiri oleh ahli keluarga Daus. Maksudnya kau akan bertemu dengan ahli keluarganya. Tak tahu lah dengan siapa kau akan diuji. Ujian tu juga kita tak tahu macam mana. Sebab ujian tu dibuat sendiri oleh ahli keluarga diraja," balas Gloria cuba menenangkan Elika. Elika menarik nafas berat.

"Jumpa esok," katanya sebelum berlalu.

"Jaga diri," ucap Gloria. Riak wajahnya jelas menunjukkan kerisauan.

                                    *****

Selepas makan Idham membawa Elika mengambil angin di luar rumah. Kedua-duanya duduk sambil menikmati tea panas yang disediakan oleh Hana. Hana sengaja tidak menemani mereka kerana ingin memberi ruang kepada mereka berdua.

"Ayah nampak kamu macam tidak gembira," Idham bersuara perlahan setelah mereka terdiam agak lama. Elika mengeluh perlahan. Memang dia tidak gembira sehinggakan terlihat jelas pada riak wajahnya. Semuanya disebabkan oleh Firdaus. Dia tidak tahu apa yang berlaku dengan Elika di dunia ini sehingga Firdaus tegas mahu menjadikannya isteri.

"Ayah, memang Elika suka putera tu ke sejak kecil?" soal Elika tanpa menghiraukan kata-kata Idham sebentar tadi. Idham tersenyum mendengar soalan gadis itu.

"Sejak kecil impian kamu memang mahu jadi isteri putera. Kami pun tidak mampu halang," balasnya.

"Kenapa? Kenapa ayah tak halang?" soal Elika dengan kening berkerut.

"Ayah tidak akan halang kalau itu sudah kemahuan satu-satunya puteri ayah," balas Idham dengan senyuman. Elika terkedu. Kata-kata ayahnya itu membuatnya rasa disayangi. Sudah lama dia tidak merasa kasih sayang seperti itu.

"Ayah, boleh Elika tanya? Sebenarnya Elika ni macam mana orangnya?" soalnya lagi dengan perasaan sebak. Idham memandang wajah gadis itu. Dia tidak mahu melayan fikirannya terhadap gadis itu. Walau siapapun yang ada dihadapannya saat ini, dia adalah Elika anak tunggalnya.

"Elika anak yang baik dan manja. Ayah dan ibu bangga dengan Elika," jawabnya dengan senyuman. Elika tersenyum hambar. Siapa sebenarnya Idham di duniannya? Adakah ayahnya itu wujud di dunianya? Kalau wujud, sebagai siapa? Banyak soalan yang bertubi-tubi menghantui benaknya. Elika mengeluh perlahan. Fikirannya melayang mengingatkan seseorang. Apa khabar agaknya papanya?

                                *****

Berkerut kening Elika melihat barang-barang yang tersusun di luar rumah. Hana hanya tersenyum melihat reaksi gadis itu.

"Semua itu barang Elika. Mula hari ini, Elika akan tinggal di istana. Kalau Elika berjaya ujian kelima, ibu dan ayah akan datang majlis Elika. Kalau Elika gagal ujian, ibu dan ayah tetap datang jemput Elika kembali ke sini," beritahu Hana. Elika hanya tersenyum hambar.

"Elika, putera dah sampai," celah Idham sambil menyentuh bahu gadis itu. Elika memandang Firdaus yang baru sampai dengan rombongannya. Dia melepaskan keluhan perlahan. Firdaus keluar dari Motorwagen. Idham dan Hana tunduk menyambut kedatangan lelaki itu. Elika membalas tajam pandangan lelaki itu sebelum ikut tunduk.

"Jemput masuk puteri," kata Firdaus sambil membuka pintu untuk Elika.

"Jaga diri," kata Hana. Entah mengapa tiba-tiba dia rasa berat hati untuk melepaskan gadis itu.

"Semoga berjaya," celah Idham. Elika hanya mengangguk sebelum memeluk kedua-duanya. Firdaus hanya memandang tenang ke arah keluarga kecil itu. Elika melangkah masuk ke dalam Motorwagen tanpa senyuman. Firdaus mengikut jejak gadis itu selepas tunduk hormat ke arah kedua orang tua Elika. Dia duduk di hadapan Elika. Firdaus tersenyum melihat riak wajah gadis itu yang jelas menunjukkan kemarahannya.

"Marah?" soalnya separuh mengusik. Elika membalas pandangan lelaki itu tanpa senyuman.

"Ada perigi tak dalam negara ni?" soalnya tanpa menjawab soalan Firdaus. Riak wajah Firdaus berubah mendengar soalan gadis itu.

"Ada tak?" soal Elika lagi apabila Firdaus membisu.

"Kenapa? Awak mahu mandi?" soal Firdaus pula. Elika mendengus perlahan. Firdaus memilih untuk tidak menjawab soalan gadis itu. Dia biarkan Elika dengan persoalannya.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.