Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,100
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 4

Amran terjaga dari lenanya. Detak jantungnya seperti mahu berhenti mengepam. Terkejut dengan bunyi hon kereta yang kuat membingitkan telinga. Dia segera menoleh ke arah langsir tingkap yang masih tertutup rapat. Alur cahaya matahari yang terik terbias jelas cuba menerobos masuk di permukaan cermin jendela kaca. Hari sudah pun menjangkau ke waktu tengahari. Dengan perasaan malas, dia segera bangun dan menjenguk ke luar jendela.  Dari jauh, kelihatan beberapa buah kereta memenuhi jalan raya kecil di hadapan rumah yang didiaminya. Mungkin keluarga jiran sebelah rumah? Dalam benaknya membuat andaian sendiri. 

  Amran masih mamai. Dia menggaru-garu kepalanya sambil menguap besar. Selepas azan subuh tadi baru dia terlelap setelah berbual lama dengan Faiq menerusi telefon. Entah apa yang dibincangkan mereka, tiada siapa yang tahu. Agaknya, Faiq ingin memberitahu bahawa Reza akan datang bertandang ke rumahnya. 

  Suasana kembali sunyi menyelubungi bilik empat segi itu. Tiada lagi bunyi hon kereta yang datang dari arah luar. Yang kedengaran hanya bunyi compressor penghawa dingin sedang berusaha menjalankan tugasnya. Selimut tebal kembali ditarik lalu menutupi seluruh tubuhnya hingga ke paras dada. Sedetik kemudian, dia kembali terlena. Yang kedengaran hanya bunyi dengkuran perlahan yang begitu teratur mengikut rentak nafasnya.

  Zsssttttt! 

  Suis penghawa dingin dimatikan. Langsir tipis yang menutupi daun tingkap diselak luas. Daun tingkap dikuak lebar. Panahan sinar matahari tepat masuk ke arah kelopak mata Amran yang masih terpejam rapat. Dia cuba menutup wajahnya menggunakan tangan agar tidak terganggu oleh silau matahari yang tajam menikam anak matanya. Terasa pedih semacam. Dia kemudiannya cuba mengalihkan badannya ke sebelah kanan. Dalam mata yang masih terpejam itu, dia mendengus kasar.  Angin sepoi-sepoi bahasa tidak lupa melakukan tugasnya. Perlahan sahaja angin itu menerjah masuk ke dalam ruangan bilik itu lalu menampar dan meratah sekujur tubuhnya. Dia semakin terbuai dengan suasana itu. 

  “Amran Fakhriy, kamu takde kelas ke? Dah lewat ni! Apa nak jadi dengan kamu ni!” Dato Kamal menepuk tubuh Amran yang masih terbongkang lena di atas katil. Namun Amran masih lena diulit mimpi. 

  “Amran, kamu dengar ke tak ni! Bangun cepat!” jerit Dato Kamal geram. Bantal kecil di sisi Amran, dicapai lalu dihumban kasar ke tubuh anaknya. 

  “Hisy, apa ni bah! Orang nak tidur lah” Amran menjawab, langsung tidak membuka mata. 

  “Bertuah punya anak! Pandai betul menjawab!” marah Dato Kamal lagi. 

  “Sepuluh minit lagi Am bangun, mengantuk sangat ni” Amran tetap beralasan. 

  “Jangan banyak alasan! Kalau tak abah rampas telefon kamu tu! Entah apa aje kamu buat setiap malam, tak pandai nak tidur!”

  “Ye, Am bangun lah ni” jawabnya malas. Takut pula jika telefon bimbitnya dirampas. Laju dia bangun dan duduk bersila di atas katil. Terpisat-pisat dia menggosok mata, mencuba membuka mata. Geram! 

  “Bangun sekarang! Pergi mandi! Kalau tak abah siram kamu dengan air sejuk, biar padan muka kamu!” marah Dato Kamal pada Amran sambil bercekak pinggang. Lagaknya persis seorang guru disiplin yang sedang memarahi anak muridnya yang nakal. 

  “Tapi Am masih mengantuk ni! Esok lah Am pergi kelas” omel Amran dengan mata yang masih tertutup. Sesekali dia menguap besar. Rambut yang kusut menutupi sebelah mata diraup ke belakang. 

  “Jangan nak buang tabiat, dah lah malas pergi kelas! Nak tidur aje! Apa kamu nak jadi ni hah! Kamu ingat senang ke nak cari duit!” Alat kawalan jauh penghawa diingin itu dihempas kuat di atas meja komputer. 

   Tersentak Amran dibuatnya. Dia mengurut dada bila bunyi itu berlaga dengan tin coke yang sudah kosong. 

  “Jangan nak buat-buat terkejut, kamu nak bangun atau abah panggil mak kamu tu! Kamu pilih lah, nak singa atau harimau” Ugut Dato Kamal sambil melangkah dan memulas tombol pintu. 

  Amran sudah tiada pilihan selain bangun walau hakikatnya hatinya sudah menyumpah serapah, abahnya. Perlahan-lahan dia bangun dari katil dan berdiri. Dia menggeliat dan meregangkan tubuhnya. Selimut tebal yang membaluti tubuhnya melurut jatuh ke lantai dan dibiarkan sahaja. 

  “Dah pergi mandi, dengar tak?” sambung Dato Kamal, tidak puas hati. 

   “Ya, ya, Am bangun lah ni” jawabnya malas. 

  “Awas kalau abah tahu kamu tidur balik! Pergi kelas, faham!” Sempat lagi Dato Kamal menjengkulkan kepalanya sebelum beredar dari bilik itu. Dia perlu bersiap untuk berangkat pergi kerja. Kalau ditunggu Amran, pasti nanti dia akan menghadapi kesesakan di jalan raya. Waktu sebegini memang jalan raya menjadi sesak. Tambahan pula hari berkerja. Memang tak sah kalau tak sangkut di tengah jalan. 

  Amran menundukkan wajah, malas mahu bertekak lidah dengan  abahnya. Kain batik dan singlet yang penuh dengan lubang kecil yang tersarung ditubuhnya segera dibuka. Dia hanya berseluar jeans dan tidak memakai pakaian. T-shirt di gantung di bahu. Dengan langkah longlai, dia mengatur langkah keluar dari bilik itu. 


***************

  Sudah berulangkali Amran menjenguk dan mengintai-ngintai ke halaman rumah di sebalik langsir cermin slidding door. Dia tersenyum puas bila mendapati kereta mercedes c200 abahnya sudah meluncur keluar dari perkarangan banglo dua tingkat itu.

  Dia melompat riang, telefon bimbit segera di kucup skrinnya beberapa kali. Senang hati bila abahnya sudah keluar. Dia bebas melakukan apa sahaja dirumah. 

  Zupppp.. 

  Tiba-tiba suatu kelibat melintas di hadapannya. Dalam satu irama, namanya diseru dua tiga kali. 

  “Amran, Amran.. Sinilah” 

  Amran terus memicingkan pandangannya ke arah rak buku. 

  “Siapa tu?” Tanya Amran. Kali ini, dia sudah berasa seram. Tapi, tanpa sedar dia sudah mara setapak demi setapak menghampiri rak buku itu. 

 “Lagi ngapain tu?” tegur pembantu rumahnya sekadar memecahkan kesunyian antara mereka berdua di dalam rumah banglo itu. Dia kelihatan sibuk mengelap habuk di permukaan perabot hiasan. Agak pelik melihat perlakuan Amran. Dah buang tabiat? 

  Amran kebingungan. Nafasnya tercungap-cungap. Matanya melilau memandang di segenap ruang di dalam rumah banglo itu. Dia umpama baru sedar dari halusinasi yang dicipta sendiri. Mujur ditegur oleh pembantu rumahnya. 

  “Kok diam terus? Tuan sakit ya? Mahu obat nggak? ” tanya pembantu rumah itu penuh kerisauan. 

  “Kau sibuk sangat ni kenapa?” marah Amran sambil menjeling tajam pembantu rumahnya yang sudah terkebil-kebil. Matanya berubah menjadi merah bak biji saga. Tiba-tiba dia jadi pemarah. 

  “Nggak. Cuma bertanya dong” seloroh pembantu rumah itu. Ngapain tuan Amran ni, tiba-tiba aja marah. Aneh banget! Desisnya dalam hati.

  “Buatkan aku sarapan, aku lapar!” arah Amran, tegas. 

  “Mahu dihidang ya?” soal pembantu rumahnya ringkas. Bertambah hairan, biasanya Amran tahu mencari makanan sendiri di dapur. Tidak pernah Amran menyuruhnya apalagi menengking sampai begitu sekali. 

  “Ya iyalah!” perli Amran bersahaja, namun nadanya masih tegas. 

  “Bentar, siapkan ini dulu” jawab pembantu rumah itu selamba. Dia sudah mencapai penyapu yang bersandar di dinding. 

  “Apa yang kau buat lagi kat situ! Pergilah buatkan aku sarapan cepat, nanti aje buat kerja tu!” tengkingnya lagi. Amran mencebik. Dia tayang wajah menyampah. Boleh pulak tak dengar cakap. 

  “Iya, iya” jawab pembantu rumah itu. Tergopoh-gopoh dia menuju ke arah dapur dengan wajah yang panik. Takut ditengking kali kedua. 

  Amran berjalan menuju ke sofa berbentuk L di hujung sudut ruang tamu itu. Terdapat dua bahagian ruang tamu di dalam rumah itu. Dia masih tidak habis memikirkan hal tadi. Ada hantu di siang hari? Soalnya dalam hati. Segala ketakutan yang kian menjalar dalam tubuhnya cuba ditepis sejauhnya. Dengan hembusan nafas yang tidak stabil, dia segera mencapai semula telefon bimbit yang diletakkan di atas sofa berhadapan perabot televisyen. 

  Tatkala teringat akan perlawanan game semalam, spontan dia berdecit geram. Skrin telefon bimbit pantas digerak ke kiri dan ke kanan untuk mencari aplikasi mobile lagend. Seketika, kedengaran latar suara dari telefon bimbit. 

  Begitu tekun dia menanti perlawanan game itu. Tidak lama kemudian perperangan bermula dan dia bermain tanpa mengendahkan sekelilingnya. Sudahlah tidak memakai baju, selamba sahaja dia menampakkan tubuhnya yang kurang sasa itu di hadapan pembantu rumahnya. Mujur sahaja pembantu rumahnya sudah berlalu ke dapur. 

  Sesekali Amran menjerit sekuat hati kerana berjaya mengalahkan saingan dalam permainan tersebut. Makanan yang terhidang di atas meja coffee langsung tidak dijamah. Tadi bukan main memaksa pembantu rumahnya agar menyiapkan makanan. 

  Waktu yang kian berganjak memutar masa ke angka petang, memuatkan lagi dia bertambah leka bermain game. Hampir dua jam dia menatap permainan itu tanpa berganjak sedikit pun, makan tidak minum pun tidak. Tangannya begitu laju menekan-nekan skrin telefon bimbit. Rokok di tangan jangan dikata, langsung tidak henti mengeluarkan asap yang kurang menyenangkan. Berkotak-kotak sudah dihabiskannya sehingga ruangan itu berbau busuk walaupun sudah banyak kali disembur pewangi ambi pur lavender oleh pembantu rumahnya.

  Ting Tong! Ting Tong! 

  Amran tersentak kecil. Punat loceng di tepi pintu pagar ditekan beberapa kali. Entah berapa kali sudah loceng itu menjerit, dia langsung tidak menghiraukannya, malah dia masih leka dengan dunia peperangannya.

  Ting Tong! Ting Tong! 

  "Hisy, siapa pulak yang datang ni! Kacau betullah!" Amran mendengus kasar sebelum menghempas kuat  telefon bimbitnya di atas meja. Mujur sahaja tidak pecah. Begitu marah dia bila diganggu. Mahu sahaja dia memarahi dan memaki hamun tetamu yang datang bertandang.

  Amran bingkas berdiri dan mengatur langkah sambil menyarung baju t-shirt nya yang diletak di bahu sebelum menyarungnya ke tubuh. Menyumpah serapah dia pada tetamu tadi. Tak pasal-pasal tergendala semua permainannya, sudahlah dia tengah ranked match.

  "Bibik....!" laung Amran kuat sekali. Sekali lagi perasaan marah membuak-buak dalam dirinya.

  Senyap, tiada sahutan. Hanya kedengaran latar suara dari game di telefon bimbitnya.

  "Bibik................!" Laung Amran lebih kuat dari sebelum tadi.

  "Iya tuan, bentar saya datang!" jawab pembantu rumahnya dari jauh. Dia masih sibuk memberi makanan kepada kucing peliharaan Amran. Jika tidak diberi makan nanti marah pula. 

  Seketika kemudian muncul pembantu rumahnya berlari tergopoh-gopoh menghampiri Amran yang sudah berdiri tercegat di tengah ruang tamu dengan wajah yang bengis. 

  “Iya tuan,  ada apa?  Kok marah-marah?” tanya pembantu rumahnya selamba. 

  “Hei, kau pekak ke! Berapa kali aku nak panggil hah!” Bentak Amran tidak puas hati. Turun naik sudah nafasnya menahan marah. Geram benar dia pada pembantu rumahnya. Tidak tahu apa yang digeramnya. 

  “Tadi saya lagi beri makan kucing tuan, maaf ya” ujar pembantu rumahnya perlahan.  Wajahnya ditunduk sedikit.  Tidak berani menatap wajah bengis itu.  

  “Ceh, kau nak aku pasang speaker kat loceng tu?  Biar lepas ni satu lorong perumahan ni dengar bunyi loceng tu!” Tengking Amran berbaur sindiran pada pembantu rumahnya. Mujurlah dia masih dapat mengawal perasaannya tatkala itu. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia memukul wajah pembantu rumahnya itu sampai lebam.

  “Maaf tuan, nggak kesadaran! Maaf,  maaf,  maaf!”  Jawab pembantu rumahnya sambil terbongkok-bongkok kerana sudah takut dek di tengking oleh Amran. Peluhnya bukan main lagi bercucuran jatuh di seluruh wajahnya. Takut dengan Amran yang sudah berubah menjadi harimau liar. 

  "Diam!  Jangan berani nak menjawab! Aku tak nak dengar semua alasan kau tu! Kau nak aku sembelih kau?" tanya Amran berbaur ugutan. 

  Kecut perut pembantu rumah tersebut mendengar amaran itu.  Dia cuba melarikan diri dari berhadapan dengan majikannya yang sudah hampir hilang akal. Belum sempat dia melangkah, Amran menyambung lagi bebelannya. 

  "Dah, pergi tengok siapa kat luar tu! Aku malas nak keluar! Kau dengar tak!" Arah Amran sambil menolak-nolak kepala pembantu rumahnya. 

  "Ya, iya. Faham tuan" tunduk pembantu rumahnya lagi. Laju dia meluru ke pintu utama dan memulas tombol pintu yang keras macam batu. Dia menjengulkan kepalanya keluar. 

  Pembantu rumah itu mengerutkan kening, hairan kerana pelik melihat seorang pemuda yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Lengkap berpakaian putih dan berseluar hitam. Entah apa yang dibuat oleh pemuda itu di hujung kolam ikan air tawar sambil berpanas di terik matahari. Padahal kolam ikan air tawar itu belum siap sepenuhnya. Yang ada cuma dasar kolam itu sahaja.

  Tanpa berlengah, pembantu rumah itu pun keluar dan menapak perlahan-lahan menuju ke laman, mendekati kolam ikan air tawar tersebut. 

  "Siapa kamu!" Jerkah Pembantu rumah itu sambil menguis bahu Reza. Dia bercekak pinggang sambil berdiri tegak di belakang Reza. Dalam benaknya Reza mungkin orang jahat. 

  Kuisan itu membuat Reza terperanjat sehingga dia melatah. "Opocot mak ekau! Eh mak ekau!" 

  Terjongket bahu pembantu rumah itu tatkala Reza melatah seperti perempuan. Tapi bila Reza melatah nampaknya dia pun turut sama. Spontan dia melatah sekali sambil menari seakan-akan mengeluarkan tarian poco-poco. 

  Tergelak besar Reza bila melihat gelagat pembantu rumah itu. Nampak comel dengan mimik muka sebegitu. Padahal dia yang memulakan dahulu.  Entah sejak bila pulak dia pandai melatah. 

  "Assalamualaikum makcik!" bisik Reza di telinga pembantu rumah itu. Dia cuba menyedarkan wanita berumur lingkungan 50an itu dari hanyut dibuai dunia sendiri. Selepas itu dia menyambung lagi melontarkan keluar sisa tawanya yang tiada kesudahan.

  "Walaikumsalam, eh! eh!" jawab pembantu rumah itu. Bahu terjongket-jongket sambil tangannya turut menari. Sedetik kemudian dia berhenti dari menari bila dia perasan akan perlakuannya yang nampak kurang senonoh.

  “Adoi, lawaklah makcik ni!” perli Reza lagi.

  “Astaghfirullah hal adzim! Aduh, kamu ini bikin kaget aja! Kayak orang gila udah!” omel pembantu rumah itu. Dia beristighfar dua tiga kali sambil mengurut dadanya. 

  Reza tergelak kecil. Dia cuba membetulkan tapak kakinya dari beberapa batu kecil yang timbul di atas keramik batu itu kerana kurang selesa. Terjingkit-jingkit kakinya menahan kesakitan. 

  “Lagi ngapain kamu tuh? Pengen pipis ya?” teka pembantu rumah itu lagi.

  “Eh, tak. Tak selasa berdiri kat lantai berbatu ni, sakit” jawab Reza ringkas.

  “Batu apaan? Kok hanya rumput aja, ada-ada aja kamu ni”  

  Reza mengerutkan kening lalu bola matanya dijatuhkan ke bawah kakinya. Jelas kelihatan dia berpijak pada keramik batu. Pelik sungguh pembantu rumah ni. Desis hatinya. 

  "Emangnya kamu cari siapa disini? kok nggak pernah kelihatan?" tanya pembantu rumah itu tanpa jemu.  

  "Err.. Ini rumah Amran ke? Atau saya silap rumah ni?" tanya Reza hairan. Kepalanya diangkat sedikit memandang ke arah pintu utama yang tertutup rapat. Nampak takde orang aje. 

  “Iya dong. Benaran. Ini rumah tuan Amran. Temannya ya?” tanya pembantu rumah itu ingin kepastian. 

  Reza mengukir senyuman lebar. "Ya saya teman Amran.  Amran ada kat rumah?" 

  "Nah, kalau nggak keberatan masuk ke dalam dulu ya. Ada tuh tuan Amran lagi sibuk berperang" bisik pembantu rumah itu, lagaknya seperti mahu membawang. 

  "Berperang?”soal Reza terkebil-kebil. Mulutnya ternganga sedikit.  Dunianya bagai terhenti seketika. Berperang apa pula ni? Pelik sungguh orang tua ni. 

  "Nggak apa-apa kok. Jemputlah masuk, dipersila. Nggak usah berdiri disini. Kolam ini belum siap lagi! Nggak ada ikan” ketawa pembantu rumah itu seperti mengejek Reza. Dia mengajaknya masuk ke dalam rumah sebelum mengatur langkah kakinya menuju masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat itu.

  Reza tidak membalas sebarang kata. Spontan matanya menjeling ke arah anak-anak ikan yang bebas berenang di dalam kolam itu. Pelik, belum siap apanya? Kan banyak ikan tu? Tanyanya sendiri. 

  Kasut Nike berwarna kelabu hitam milik Reza di tanggalkan dan diletak kemas di dalam rak kasut yang sememangnya disediakan di hujung sudut luar banglo itu. Laju dia melangkah masuk ke dalam rumah itu membontoti pembantu rumah yang berjalan lenggang-lenggok.

  “Tuan Amran, ini ada temannya datang ke mari” Kata pembantu rumah itu. Pembantu rumah itu tunduk. Seakan tidak ada kekuatan untuk memandang wajah anak bosnya, Amran.

  Amran tidak memberi sebarang respon. Dia masih sibuk dengan dunia gamenya. Tekun dan sabar bermain. 

  “Duduk dulu ya. Bentar lagi tuan Amran datang. Masih sibuk tuh!” Tunjuk pembantu rumah itu sambil mempelawa Reza duduk di atas sofa  berangkai tiga yang dihiasi bantal kecil di setiap penjuru, berhadapan ruang tamu. Kemudian dia berlalu dan membiarkan Reza terkulat-kulat seorang diri di tengah ruang tamu itu. 

  Mata Reza melilau memerhati isi rumah yang anggun segala kelengkapannya. Kepalanya pula mengitari rak kaca yang penuh dengan deretan koleksi hot wheels bermacam rekaan. Dekorasi rumah itu layaknya bertemakan barat dengan dinding cat berwarna coklat terang. Sedap sahaja mata memandang. Namun, suasana rumah itu begitu sepi. Tidak tampak serinya. 

  “Cantiknya rumah kau kan!” Puji Reza dengan takjub. Suaranya itu seakan-akan sengaja menyedarkan Amran dari terus terleka. Suaranya agak tenggelam dengan bunyian game yang membingitkan telinga.

  “Oh maaf!” ucap Amran lalu pantas dia menekan butang quit pada skrin telefon bimbitnya. Baru dia teringat akan kehadiran Reza disitu.

  Laju sahaja dia mengatur langkah menghampiri Reza di sofa khas untuk tetamu dengan wajah yang kurang senang. Dia naik hairan. Dia merenung sedalam-dalamnya wajah Reza. Siapa pulak ni? Mungkin ini Reza macam yang Faiq kata semalam? getus hatinya, tidak sabar ingin tahu.

  Melihat riak wajah Amran yang berubah serta-merta, laju sahaja Reza berdiri lalu menghulurkan salamnya seraya memperkenalkan dirinya kepada Amran.

  “Saya Reza, rakan sekelas awak untuk semester ni. Kita lain bidang, tapi semester ni pihak kolej himpunkan kita dalam satu kelas” jelas Reza mendatar. 

  Huluran tangan tadi sambut dengan ramah. "Oh! Tapi macam mana pulak awak boleh tahu rumah saya kat sini eh?" tanya Amran berpura-pura tak tahu. Dahinya cuba dikerut buat mimik kehairanan. 

  “Faiq yang beritahu saya” jawab Reza singkat.

  “Faiq?” matanya membutang bila nama itu disebut. Penuh dengan rasa hairan konon.

  “Muhd Faiq yang mata sepet, rambut ala-ala Khai Bahar” Reza cuba memberi gambaran wajah Faiq pada Amran. Mungkin cara itu berkesan.

  “Ohhhh. Faiq. Ye ye. Budak psycho tu” Amran menepuk dahi sambil terangguk-angguk tanda sudah mengecam gerangan nama yang disebut tadi.

  "Eh, duduklah dulu!" Pelawa Amran lagi.

  Reza tanpa teragak-agak terus melabuh punggung di atas sofa, kemudian dia menghela nafas perlahan. Berkira-kira sendiri untuk memulakan bicara. Dia tidak boleh lama, ada perkara lagi perlu dilunaskan selain bertemu Amran. 

  “Kenapa kau kata dia budak psycho pulak?” tanya Reza tidak puas hati, wajah Amran direnung dalam-dalam. Sengaja juga supaya dapat memulakan topik bicara. 

  “Dia tu bekas pesakit mak aku. Ada mental sikit. Hati-hati aje dengan dia” tekan Amran cuba mengingatkan Reza. Tubuh disandar lesu ke sofa sambil bersilang kaki. 

  Reza sekadar mengangguk, tidak mahu bertanya lebih lanjut. Mungkin mak Amran seorang doktor, itu sebab dia tahu. Nanti kalau dia bertanya lebih-lebih, dikata penyibuk pulak. 

  "Sebenarnya aku datang ni cuma nak bagi benda ni aje" Reza menghulurkan satu sampul besar berwarna coklat perang pada Amran dan disambut mesra oleh Amran.

  Amran mencapai huluran sampul itu dan perlahan dia mengoyak hujung sampul itu. Satu per satu isi-isi daripada huruf pertama hingga huruf terakhir dibaca di atas helaian kertas itu. Besar kecil besar kecil sahaja matanya membaca. Sekejap mengangguk sekejap berkerut. 

  Setelah habis membaca, kertas itu pun diletak kemas di atas meja coffee. Dia kembali mengalih pandangan pula pada Reza yang sudah seronok membelai anak kucing peliharaannya. 

  “Oh tugasan berkumpulan! Aku tak tahu sebab dah lama ponteng kelas” sengih Amran sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Buat aksi bodoh pulak. 

  "Sebab tu aku datang sini" jawab Reza mendatar, positif sahaja. Kucing itu dibiarkan  pergi dari atas ribanya. 

  Amran sekadar memerhati. Dia tidak membalas apa lagi, baginya sudah cukup dia tahu tentang tugasan itu. Jarang-jarang sekali dapat bertemu dengan seseorang dengan sikap begini, ambil peduli perihal pelajaran.

  “Memandangkan kau tak hadir ke kelas hari tu, kami yang lain dah bincang lebih awal. Harap kau tak marah lah sebab tugasan yang diberi ni,  tempohnya hanya tiga bulan. Risau tak sempat buat pulak” sambung Reza lagi. 

  "Eh, taklah. Aku okay je, yang penting aku dah tahu” 

  “Kau pernah pergi bangunan kat sebelah perumahan ni ke?” tunjuk Reza pada bangunan yang tidak jauh dari perumahan itu. 

 “Isy, tak pernah, tak pernah. Aku tengok dari jauh aje. Tak berani nak masuk sebab bangunan tu berpuaka. Ada hutan tersembunyi” bohong Amran. Padahal pernah sekali dia pergi ke kawasan itu. 

  “Berpuaka? Maksud kau?” tanya Reza. Tak senang duduk pula dibuatnya. 

  “Siapa yang masuk ke dalam bangunan tu, pasti tak keluar lagi. Tempat tu keras, orang tua kat sini larang keras sesiapa sahaja masuk ke dalam kawasan bangunan tu. Kat luar pun kalau boleh tak boleh” jelas Amran lagi. 

  “Tapi setahu aku tempat tu biasa aje, takkan lah berpuaka pula” bidas Reza menafikan. Sengaja mahu memancing cerita. 

  “Bangunan tu menyimpan terlalu banyak cerita, tapi ramai penduduk kat sini anggap semua tu hanya buah mulut orang, sekadar direka-reka. Tapi terpulang dari yang mendengarnya, nak percaya atau tak. Oh ya, untuk pengetahuan kau, bangunan tu bukan bangunan biasa. Bangunan tu misteri”

  Suasana senyap seketika, Reza terkebil-kebil sambil mengusap lembut janggutnya. Dia cuba memahami kata-kata yang disampaikan Amran tadi. Boleh percaya ke tak? Nampak gayanya Amran lebih tahu cerita tu berbanding Faiq. 

  “Kalau nak masuk bangunan tu, kena ada ilmu yang kuat. Kau nampak lorong macam arah sungai di sempadan bangunan tu?” tanya Amran, wajah Reza ditenung seketika. 

  “Aha, ada kot. Tapi aku tak pasti sangat. Tapi kenapa? Ada kena mengena ke?” 

  “Air sungai tu dah kering berpuluh tahun! Ada yang kata, beratus tahun. Kalau kau nak tahu, punca air tu datang dari satu bilik dalam bangunan tu. Tapi susah nak buktikan betul atau tak sebab bilik tu tiada siapa pun boleh masuk. Pelik kan, tapi itulah realiti. Tahu lah orang dulu-dulu ni banyak betul cerita dongeng” sambung Amran lagi. 

  “Ada benda ajaib lagi ke dalam bilik tu sampai dikawal ketat sangat?”

  “Ada. Ada satu peta” jawab Amran perlahan.

  “Peta???”

  “Ya, peta. Peta tu mungkin macam kertas biasa aje. Sebab hanya yang terpilih sahaja boleh nampak isi yang tertulis di dalam peta tu. Setakat ni belum ada lagi orang yang berjaya ambil peta tu. Kalau nak ambil pun kena bermain dengan teka teki supaya dapat buka peti yang menyimpan peta tu. Kalau dapat ambil, mungkin tak boleh baca. Jadi rugi aje lah kalau nak ambil sebab takde seruan” 

  “Biar betul kau ni? Macam mana kau tahu semua cerita ni?” soal Reza hairan. Dari A hingga Z pulak Amran tahu. 

  “Tu lah kau, rajin-rajin lah membaca. Bukan baca komik aje” sindir Amran seakan tahu hobi Reza. 

  Reza buat muka bodoh. Malas hendak membidas. Padahal hatinya sudah meronta-ronta mahu membalas. 

  “Macam mana aku nak masuk bangunan tu. Kau boleh tolong aku ke tak? Sebab aku tengok, kau macam tahu aje selok belok kawasan tu? Mesti kau ada petunjuk untuk masuk dalam bangunan tu kan?” aju Reza tanpa selindung. 

 “Wait wait, jangan kata kat aku yang kau nak ajak aku ceroboh bangunan tu supaya dapat cari hutan tersembunyi” wajah Reza di renung seketika. Dia berharap bukan hutan itu yang menjadi pilihan rakan sekumpulannya yang lain. Maklumlah dia ahli yang terakhir berbincang mengenai projek itu. Ketua kumpulan pun dah gila, pasti ahli yang lain pun turut sama gila. 

  Reza tersengih, kemudian dia menjongket kening kirinya ke atas. Dari senyumannya, Amran sudah dapat meneka. 

 “Kalau kau setuju, kita kena curi-curi masuk bangunan tu khamis ni. Tapi kau kena tolong aku cari peta yang kau cakap tu, mana tahu berguna nanti”  jawab Reza. Padat dengan perasaan teruja. 

  “Kau memang dah gila! Kau ingat semudah tu kita boleh masuk ke dalam bangunan tu? Ada ramai pengawal kat sana. Kalau kita tertangkap macam mana?”

  “Relax lah, semua akan okey. Lagipun kawan yang lain dah setuju. Kalau kau tak nak tolong aku curi peta tu takpe, yang penting kau tolong bagi petunjuk cara nak masuk ke dalam bangunan tu” pujuk Reza lagi. 

  “Kalau petunjuk untuk masuk ke dalam bangunan yang kau nak sangat tahu tu, aku boleh tolong. Kalau nak ceroboh untuk curi peta hutan tu, kau pergi lah cari sendiri. Aku tak nak masuk campur” 

  “Okey, okey. Janji kau tolong bagi aku petunjuk masuk ke dalam bangunan tu” rayu Reza tanpa henti. Muka ditayangkan sehabis murah. 

  “Zaman canggih sekarang ni, layar internet pun kau boleh jumpa. Google aje lah. Bukan susah pun” perli Amran sambil tertawa kecil. 

  “Laaa, semudah itu je. Ingatkan susah sangat”

  “Tapi aku cadangkan kau belajar selok belok kalau nak cari hutan misteri tu,  try pinjam buku di perpustakaan. Mungkin membantu” cadang Amran lagi. 

  “InsyaAllah, nanti kalau ada masa aku cari buku tu. Tapi yang paling penting sekarang ni kau kena ikut sama buat tugasan tu. Boleh?”

  "Emmm!" gumam Amran seperti sedang berfikir. Dia tidak boleh terus membuat keputusan secepat itu. Hutan yang dimaksudkan Reza tadi, menyimpan pelbagai misteri yang tidak dapat diungkap sehingga ke hari ini. Lagipun dia tidak pasti adakah ianya wujud. Mana mungkin dia boleh membuat keputusan secepat itu. 

  “Ada masa lagi untuk kau fikir. Soal peta tu, kot-kot aku dah ditakdirkan boleh baca. Gerenti seronok” Ucap Reza seperti perasan akan riak wajah Amran yang nampak sedikit gelisah.

  “Kalau kau dapat baca peta tu, kau orang pertama aku bunuh” gertak Amran, mungkin berjenaka. 

  “Kenapa pula?”

  “Ia lah, kiranya yang dapat baca peta tu orang hebat lah. Lagipun itu bukan sembarangan peta. Kau boleh jadi kaya” ujar Amran serius  lalu mencapai rokok di atas meja. Dia mengeluarkan sebatang sebelum membakarnya. Dia perlu menenangkan perasaannya yang gusar tentang tugasan berkumpulan itu. 

  “Kan lagi asik kalau ngobrol tuh ada minumannya!" Jerkah pembantu rumah Amran.

  Mereka terus mengherotkan pandangan pada susuk tubuh pembantu rumah Amran yang datang ke arah mereka dengan membawa dulang berisi minuman, kek batik dan biskut oreo.

  “Ini minumannya, minum dulu ya biar segar” pelawa pembantu rumah Amran selepas meletakkan minuman itu di atas meja. 

  “Terima kasih makcik, susah-susah aje" ucap Reza sambil tersenyum lebar. Adab perlu dijaga walaupun dia cuma pembantu rumah.

  "Minumlah, jangan segan. soal tadi tu, biar aku fikir dulu" Sampuk Amran dengan tangan yang laju membuka plastik biskut oreo. Sekeping biskut dicapai dan digigitnya, bersahaja. Dia tidak mahu suasana tegang tercipta antara mereka.

  Mereka pun berborak kosong sambil menikmati minuman dan makanan yang terhidang. Sebanyak apa pun makanan yang mereka telan, mereka tidak akan pernah merasakan kenyang kerana sudah seronok berbual. 

  Puas berbual, Reza pun meminta diri untuk pulang kerana langit sudah pun berwarna oren. Amran pun bergegas bangun untuk menghantar Reza ke hadapan pintu. Mujur juga Reza pulang sebelum abahnya sampai ke rumah. Nanti tak pasal pasal dia nampak keganasan abahnya. 

  "Kalau macam tu aku minta diri dulu lah. Jangan lupa call aku nanti. Nanti kita jumpa lagi” 

  "Okeh. Beres! Jangan risau lah” lambai Amran. 

  "Aku pergi dulu" laung Reza sambil menapak menuju ke arah keretanya. Dia berlalu meninggalkan rumah Amran. Sesekali dia menghembus nafas kerana  lega dapat mengumpulkan semua ahli kumpulannya. Entah mengapa semester ini begitu bersungguh-sungguh dia mahu melaksanakan semua tugasan seolah-olah ada yang memaksanya. Tapi kenapa? Mesti ada sebab? Tanya Reza dalam hati.

  Tanpa membuang masa dia pun memutar kunci dan terus menghidupkan enjin kereta. Reza mengeluh perlahan dan sempat memejamkan matanya sekejap. Di mindanya masih teringat akan cerita dari mulut Amran tadi. Pandangannya segera dialih ke arah bukit tebal yang memayungi bangunan itu. Bangunan yang menjadi buah mulut orang ramai walaupun tidak sebesar mana.  

  "Mungkin betul jugak tempat tu berpuaka? Tapi tentu jadi best nanti kalau dapat masuk sana” sengihnya sendiri dengan suara yang agak perlahan.  

  Klac dilepas perlahan-lahan sambil kaki kanan mula menekan pedal minyak. Keretanya mula bergerak perlahan-lahan sebelum meluncur laju menuju ke rumahnya.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera