Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,141
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 8

Toot... Toot.... 

Punat hijau alarm kereta ditekan. Alat kawalan jauh berbentuk bulat itu dihala ke arah kereta. Reza berjalan dengan laju menuju ke kereta yang diparkir di perkarangan rumah dengan tangan yang penuh dengan barang keperluan. 

  Bonet kereta dikuak ke atas menggunakan siku. Tangannya begitu lincah memasukkan kesemua barang-barang ke dalam boot kereta. Begitu teruja dia hendak memulakan hari baru memandangkan hari yang di nanti telah pun tiba. Sejurus itu, dia meninjau jam di pergelangan tangan. Jarum jam sepuluh minit lagi mahu merangkak ke angka sepuluh. 

  “Aduhai, mana pulak Husna ni! Lambat betul” keluh Reza bercekak pinggang memerhati laluan masuk rumahnya. Peluh terasa mengalir laju di celah ketiak dan tengkuk. Walaupun cuaca masih malu untuk mengeluarkan bahangnya, tetapi peluh sudah terasa membasahi belakang baju.

  Gelagat Reza itu diperhatikan sahaja oleh Encik Adam, ayah kepada Reza di pangkin yang terletak di hujung beranda rumah. Hari ini encik Adam cuti sehari memandangkan dia kurang sihat. Oleh itu, dia mencuri-curi masa untuk meluangkan masa cutinya dengan melayani karenah Maira yang kelihatan begitu asyik bermain congkak disisinya. Sambil itu dia duduk membisu seribu bahasa. 

   Di situ, encik Adam duduk termenung kemudian memandang langit nan biru dan awan gemawan yang putih gebu bak gula-gula kapas yang bertaburan di atas langit. Dia diam membisu seribu bahasa. Dia tak ubah seperti sedang menghadapi masalah. Lalu dibiarkan sahaja fikiran itu melayang di bawa pergi angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. 

  Tatkala memejamkan kelopak mata, gambaran kisah silam kembali terbayang dan berlayar di dalam benaknya. Bunyi alam seakan membawanya memasuki ke tempat lain bahkan mereka seperti memahami apa yang sedang bergelojak di dalam hatinya. Namun, tidak sampai beberapa saat dia memejamkan mata, dia kembali tersedar semula. Kelopak mata terbuka sendirinya tanpa disuruh. Ternyata kisah silam itu benar-benar menyeksa batinnya. 

  ‘Aku tahu kamu menghadapi kesukaran, sampai bila-bila pun aku tak akan kembali’ suara hati encik Adam berbisik keras. Sakit hatinya masih tersisa sehingga sekarang. 

   Sedang encik Adam terleka, Maira mengerutkan keningnya lalu  menguis kaki encik Adam. 

  “Ayah!” Suara Maira kedengaran membingit. 

  “Apa dia, sayang?” tanya encik Adam lembut. Pandangan kini dialih ke kanan. Maira menyibukkan dirinya dengan mengisi guli yang sama banyak ke dalam lubang-lubang di dalam congkak itu. 

  “Ayah cakap dengan siapa?” tanya Maira. Riak wajah masih sama. 

  “Cakap apa? Dari tadi ayah diam ajelah” jawab encik Adam hairan. Setahunya, dia sedang bercakap di dalam hati. 

  “Tadi kan ayah cakap ayah tak akan kembali. Maira dengar” kata Maira tanpa memperlihatkan perasaan hairan. Sebaliknya dia nampak sibuk memasukkan guli ke dalam bekas tupperware. 

   Membutang biji mata encik Adam. Macam mana Maira boleh dengar? Jangan-jangan dia pun...

  “Jangan-jangan apa ayah? ayah sihat ke ni?” cantas Maira lagi menunjukkan prihatin seorang anak kepada seorang ayah. Walau umur masih setahun jagung, dia begitu cerdik dan kadang-kadang boleh berfikir seperti orang dewasa. 

  Bagaimanapun, encik Adam bukan jenis yang mudah gelabah seperti anak lelakinya yang seorang tu, Reza. Dia tahu mengendalikan setiap perkara meskipun kejadian aneh yang melibatkan anak-anaknya. Pasti anak-anaknya pun mewarisi bakatnya. 

  “Ayah, abang pergi mana tu? Kenapa abang bawa banyak barang? Abang nak pindah rumah macam kak Rina juga ke?” soal Maira bertalu-talu lalu melontar pandangan ke arah Reza. Dia berhenti bertanya dan menumpukan perhatian kepada Reza yang begitu asyik mengehmbuskan asap ke udara. 

  “Abang pergi berkelah dengan kawan sekolah, sebab tu lah abang bawak banyak barang” jawab encik Adam. Bercakap dengan kanak-kanak seperti Maira dia harus menyusun frasa yang mudah difahami. Kemudian dia mengulum senyuman lalu mengusap lembut rambut ikal Maira yang ditocang dua. 

  Kanak-kanak itu bersorak gembira. Terpancar keceriaan pada wajahnya. “Wah, seronoknya! Bila ayah nak ajak Maira pulak?” soal Maira sambil menopang dagu di pagar beranda itu. 

  “Cuti sekolah aje lah ya sayang. Nanti ayah bawa Maira pergi berkelah. Bawa abang sekali”

 “Ala, kita aje lah pergi. Abang tak payah. Minggu depan kan cuti” rayu Maira lagi. Buat riak semurah boleh. 

  “Ish, tak baik macam tu. Pergi satu keluarga kan seronok. Luangkan masa dengan keluarga. Lebih afdal” 

  “Yalah, kalau dah macam tu” wajah ditunduk sedikit seakan tidak bersetuju dengan keputusan ayahnya, encik Adam. Encik Adam pula hanya mengulum senyumannya seperti biasa. Pemetik api yang diletak di atas pagar berhampiran pangkin itu dicapai dan hujung rokok dinyalakan. Rokok disedut perlahan-lahan kemudian dikeluarkan daripada mulut sebelum terbatuk-batuk kecil dan meludahkan sedikit kahak. 

  “Ayah, abang kata istana kayangan tak wujud. Dia kata merepek. Tapi kenapa Maira selalu mimpi benda yang sama?” rungut Maira lagi. 

  Kepulan asap rokok dilibas menggunakan tangan agar anak perempuannya itu tidak terhidu. Sisa-sisa asap yang belum habis dihembus, dikeluarkan dari mulut dan menghembusnya ke arah berlawanan. Kemudian encik Adam bersedia menjawab pertanyaan Maira. 

 “Mungkin, abang Maira dah lupa kot. Masa dia kecil, dia pun sama juga macam Maira. Selalu tanya benda yang sama. Sampai berdoa lagi nak jumpa orang kenit di hadapan mata. Setiap malam sebelum tidur, tak sah kalau tak berdoa. Dia nak sangat jumpa orang kayangan. Semut yang tengah lalu lalang pun dia bawa bercakap tau” seloroh encik Adam. 

  “Hahaha...” kanak-kanak itu tergelak kecil sambil menutup mulutnya. Terhibur dengan cerita ayahnya yang langsung tidak kelakar. Tapi mungkin, bagi seorang kanak-kanak itu sudah cukup kelakar di pendengarannya. 

  “Kayangan tu indah sangat ke ayah? Dalam mimpi Maira, kayangan tu sejuk aje. Sampai Maira pun boleh rasa dalam tidur”

  “Mungkin. Takde manusia pun yang tahu” jawab encik Adam ringkas. Dia mendongak kembali memandang langit. Garis-garis kedutan bertambah berlapis di wajahnya. Kilang air mata perlahan-lahan memproses supaya menjadi air mata. Emosi tiba-tiba jadi tidak stabil. ‘Kerajaan langit’ Hanya itu yang terlintas di fikirannya bila memandang ke arah langit. 

  “Ayah, ada benda ni Maira nak tunjuk kat ayah, ayah tunggu sekejap eh” kemudian kanak-kanak itu berlari masuk ke dalam rumah. Selang beberapa minit, dia muncul semula sambil berlari-lari anak dan membawa sebuah seruling emas di dalam genggamannya. 

  “Dari mana Maira dapat benda ni?” laju encik Adam bertanya bila terpandang sesuatu yang amat penting baginya. Dari riak wajahnya itu, menunjukkan dia tampak sedikit risau. 

  “Dalam kotak, di stor. Boleh ayah mainkan Maira satu lagu?” pinta Maira selamba. 

  “Tak boleh! Maira selongkar barang dalam stor kan? Kenapa Maira degil tak dengar cakap ayah ni? Dah banyak kali ayah cakap jangan masuk dalam sana!”

  “Tak, Maira.. Maira..” jawabnya tersekat-sekat. Cuba mencari alasan. 

  “Bak sini, bagi ayah balik” 

  “Tak nak.. Maira suka benda ni” Maira menggeleng-geleng sambil memuncungkan mulut buat muka duck face. Dia tunduk sedikit. Merajuk. 

  Encik Adam menghembus nafas kasar. Geram dengan karenah anak bongsunya itu. Susah nak mendengar kata. 

 “Takde! Bagi ayah balik. Tolong bagi sini, dengar cakap ayah kali ni. Ini bukan sembarangan alat muzik” kata encik Adam. Kali ini suaranya bertambah tegas. 

  “Yelah” seruling emas itu dihulur walaupun dia tidak rela. Akhirnya seruling emas itu pun bertukar tangan. Tidak tahu mengapa encik Adam gelisah bila Maira menganggu barangnya. Lebih-lebih seruling emas. Apa kegunaannya? 

  Pandangan Maira kini dilemparkan ke arah Reza yang menyandar di kereta sambil menekan-nekan skrin telefon bimbit. Cuba melupakan seruling emas yang menjentik hatinya. Namun, jauh di sudut hatinya dia masih berharap ayahnya mendendangkan sebuah alunan muzik kepadanya. 

  “Abang..” jerit Maira dari atas rumah. 

  Reza mendongak. Wajah blur disedekahkan. “Apa?”

  “Tu kak Husna dah sampai” hujung mulut dimuncung ke arah  Husna yang baru keluar dari kereta. Gadis berbaju merah jambu itu tersenyum-senyum dan melambai ke arah Maira. 

  “Hah, yelah” jawab Reza endah tak endah. 

  “Sorry Reza, kereta buat hal pulak tadi”

  Reza tersenyum tawar. “Patutnya jam lapan lagi kita gerak, yang lain mungkin dah tunggu”

  “Alah, bukan aku sengaja pun. Kereta buat masalah. Nak kata apa lagi?” Husna menggaru-garu kepalanya. Jadi serba salah.

  “Boleh ayah tahu ke destinasi yang kamu nak pergi ni? Manalah tahu ada hal mustahak ke apa ke” sampuk encik Adam yang sudah terkinja-kinja menghampiri mereka. Maira pula, duduk mencangkung sambil berpaut pada pagar di rumah. Jadi busy body sekejap nak mendengar perbualan mereka. 

  “Err.. Tak pasti lagi ayah. Kawan yang sorang tu yang tahu. Kami ikut aje” Dia cuba berbohong sambil matanya mengenyit ke arah Husna.. 

  “Ayah, abang bohong tu. Maira dengar” jerit Maira dari atas. Langsung tak sporting. 

  “Eh, memandai aje lah Maira ni” sahut Reza. Dia mengetap bibir menahan geram. 

  “Cakap betul-betul Reza. Kalau ada emergency macam mana?” encik Adam sedikit mendesak. 

  “Err. Maaf sebab bohong ayah. Sebenarnya kitaorang nak pergi hutan. Berkhemah untuk projek akhir tahun”

  “Hutan mana kamu pergi?” tanya encik Adam laju. 

  “Bangunan kat hujung perumahan baru tu. Reza dengar ada hutan kat sana” sengih Reza sambil menguis-nguis batu kecil di atas tanah menggunakan kaki. 

  “Siapa suruh pergi tempat tu?” tanya encik Adam ingin kepastian. Wajah Husna dan Reza di pandang silih berganti. Spontan saat itu juga Husna menunjuk jari telunjuknya ke arah Reza. 

  Encik Adam menggeleng dua tiga kali. Hembusan nafas halus di keluarkan dari rongga hidung. Setelah berfikir secara positif, encik Adam memutuskan untuk membiarkan sahaja Reza pergi. Entah mengapa saat itu juga jantungnya terasa berdebar-debar. 

  “Pergilah, jaga diri baik-baik. Jaga perangai elok-elok. Bawa bersama benda ni. Kalau rasa marah, genggam aje kuat-kuat. Nanti reda lah tu” encik adam menghulurkan sesuatu berupa mutiara. Reza menyambut benda itu tanpa banyak soal. Macam pernah nampak mutiara ni? Tapi kat mana? Soal Reza dalam hati. 

  Usai menyalam dan memeluk tubuh orang tua itu, Reza terus mengajak Husna masuk ke dalam kereta. 

  Encik Adam sekadar mengangguk. Dia masih berdiri di tempat tadi tanpa berganjak sedikit pun. Begitu ralit dia memandang mereka sehingga kereta itu meluncur laju keluar dari perkarangan rumah. 

  ‘Siapa yang memanggilnya?’ tanya encik Adam dalam hati.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera