Home Novel Fantasi Surat Untuk Azazil
Surat Untuk Azazil
Osman Deen
17/12/2019 19:41:35
30,134
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Kuntum2

Tuhan sayang kau, Malik.

Hanya itu asbabnya. Aku tak salahkan kau lansung kerana marah dengan Tuhan. Mana-mana manusia yang biasa pasti akan merasakan yang sama. Mustahil kau dapat melalui semua kepayahan ini dengan hati yang senang. Kau bukannya malaikat. Kau hanya seorang manusia.

Kau dibenarkan untuk merasai semua itu kerana kau punya hati. Hati itu takdirnya di dunia ini untuk dipenuhi dengan perasaan, sedih marah, gembira takut dan perasaan apa pun. Hati itu sejak kau lahir lagi telah dibuka Tuhan seluas-luasnya untuk kau isi dengan semua yang akan kau rasai sepanjang di dunia ini. Untuk memandu kau mengejar apa yang paling kau cintai.

Tapi ikutkan hati badan binasa. Kalau kau biarkan hati yang mengawal semuanya, kau bakal buta dengan segala apa yang betul atau tidak. Kau akan terus memuaskan kehendak hati yang tak akan pernah cukup sampai mati.

Sebab itu adanya akal untuk mengingatkan hati kau di setiap liku perjalanan hidup. Akal itu sentiasa berfikir sejenak sebelum melakukan apa-apa. Akal itu tahu apa baik buruknya.

Dengarkan juga apa yang akal kau mahu katakan, Malik. Biar akal yang memandu hati kau di dalam hidup ini. Dalam setiap keputusan yang bakal kau lakukan. Dengan keputusan ini juga. Ambil masa untuk diri kau berfikir. Apa baiknya lebih dari buruknya jika kau membunuh ayah kau? Kalau ya, silakan.

Tapi kau sendiri tahu apa jawapan sebenar.

Aku mahu tanya kau satu soalan, mengapa nabi dipilih dari golongan manusia? Biar aku yang jawab sendiri. Mahu tunggu surat kau lama pula. Kerana mereka manusia, Malik. Tuhan telah memilih nabi dari golongan manusia supaya mereka boleh dijadikan contoh kepada manusia yang lain.

Nabi-nabi juga bersedih. Kau lihat sendiri Nabi Muhammad, baginda sendiri telah melalui satu tahun kesedihan kerana kehilangan bapa saudara kesayangannya dan isteri dalam tahun yang sama. Nabi itu datang dalam bentuk manusia supaya kita sedar yang Tuhan tidak akan menyeksa hamba-Nya di dunia ini.

Kita sering terlupa yang dunia ini hanya sementara. Dan di dunia yang sementara ini pun, Tuhan telah berikan segalanya kepada kita. Kau punya diri sendiri Malik. Biarlah dunia tunggang terbalik, kau ditinggalkan keluarga dan kau ditikam belakang kawan-kawan, kau masih punya diri ini.

Seluruh semesta sudah berada dalam diri kau. Di akhirnya, kau berkuasa untuk merubah segalanya yang berada dalam kawalan kau. Jiwa dan raga ini kau yang punya, jadi jangan biarkan suara-suara itu menang. Biarkan mereka gamat, teruskan melawan. Aku dapat rasakan yang kau sudah gigih bertarung dari hari ke hari. Kalau tidak bagaimana kau berada di sini? Kalau kau tidak kuat, aku tak akan mampu membaca surat-surat kau.

Dan kau masih mampu. Aku tahu. Macam mana aku tahu? Entahlah, aku rasa kau mampu. Aku percaya.

Begitulah hikmahnya dalam kehidupan ini. Tuhan kuatkan hati kau supaya terus bertahan agar kita dapat bertemu melalui surat-surat ini. Tuhan hadirkan aku supaya kau terus kuat. Hadirnya aku adalah satu petanda yang Tuhan tidak lupa. Tuhan tak pernah lupa.

Maka aku mohon Malik, kuatkan diri kau sehingga waktu kita boleh bertemu. Aku mahu saat kita berjumpa nanti, kau sudah mampu tersenyum kembali. Bukan senyum yang di buat-buat, tapi senyum asli yang datang dari hati.

Oh, tentang bukti yang kau minta, ini ada aku selitkan juga gambar keluarga aku. Yang rambut panjangnya diikat dan memakai baju kurung itu aku. Kalau masih tidak pasti, aku yang berdiri paling hujung kanan. Masih muda bukan? Ahaha. Dan telah aku tuliskan alamat di belakang gambar itu. Ini saja yang mampu aku berikan sebagai bukti.

Sampai ketemu,

Kuntum.

---

boleh lawati akaun wattpad saya untuk membaca lebih banyak karya, terima kasih!


https://www.wattpad.com/user/Osmandeen

Previous: Malik#4
Next: Kuntum3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Osman Deen