Home Novel Fantasi Chimera: Naga Terakhir
Chimera: Naga Terakhir
Hasif Rayyan
2/7/2018 15:48:14
16,391
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 1

Lokasi: Gua Frosto, Planet Anthreis


Terletak di pulau persendirian milik Empayar Kayzaer, utara dari kota. Gua ini kawasan terlarang. Hanya boleh dimasuki oleh ahli keluarga Empayar Kayzaer. Katanya kerana ada sesuatu yang disemadikan di sini, yang hanya boleh disaksikan oleh ahli kerabat diraja keluarga Kayzaer sendiri. 


Perlahan Ronar menuruni sigai. Tangga ini membawa menuju ke kawasan paling dalam, iaitu kawasan berais. Seiring langkah, suhu terasa semakin turun, membuatkan Ronar mengetatkan jaketnya. Setiba di dasar, Ronar mengamati laluan gua yang dipenuhi batu stalaktit ais yang tajam di hadapan. Jalannya bersimpang dua, utara dan selatan. 


Usai mara tiga tapak, angin subzero bertiup kuat dari utara. Ronar menoleh, mendapati ada laluan masuk di situ. Dia berjalan menghampirinya, kemudian melihat ada cahaya biru semulajadi menyinari sekitar kawasan tasik beku yang berkilau indah. 


Ronar terkesima. Namun bukan dengan keindahan tasik. Sebaliknya dengan apa yang ada di sudut hujung kanan. Dia mendongak, mengamati tiga kelibat gergasi yang cukup memukau matanya.


Tiga bangkai Chimera naga yang telah dibekukan dan disusun bersebelahan. 


Ronar pantas membuka buku jurnal pada tangan. Halaman diselak sehingga terhenti pada muka surat tengah. Ada lampiran gambar tasik serta bangkai tersebut. Sama seperti dengan apa yang dia saksikan tadi. 


“Jadi inilah tempatnya.” 

 

Tanpa berlengah, Ronar berjalan melintasi permukaan tasik beku, menuju ke lif di situ. Binaannya sepersis mesin pengangkat di lombong. Menurut jurnal tadi, lif ini digunakan untuk mengkaji setiap inci tubuh Chimera naga. Dan hasilnya, buku itu turut mempunyai carta anatomi makhluk lagenda tersebut. 


Usai seketika menunggu, lif itu berhenti tepat di kawasan mulut Chimera naga. Ronar mengamati gigi taring yang besar dan tajam sejenak, kemudian mengeluarkan mesin gerudi dari beg. 


Ronar menghidupkan suis gerudi, kemudian memulakan kerjanya.


* * * * * *


Sebulan kemudian...


Suasana dalam makmal rahsia itu gelap, hanya diterangi silau malap dari skrin monitor. Serta cahaya hijau yang berkilau dari mesin rahim artifisial. Mata Ronar tertancap pada mesin tersebut. Atau lebih tepat, pada sekujur tubuh yang terapung di dalamnya. 


Saiznya kecil sahaja, sekadar satu kaki. Itu pun kerana usianya masih bayi. Kalau ia sudah matang, barangkali boleh mencecah ketinggian 12 kaki. Seluruh tubuhnya pula berwarna merah dan hitam, diselaputi sisik keras. Lengkap bertaring dan berkuku. 


Tubuh sang anak naga sudah terbentuk sempurna. Malah, bacaan denyut jantungnya pula semakin aktif. Buih yang terhasil selang pernafasan menandakan suatu perkembangan positif buat usaha Ronar yang sudah berusia sebulan tempohnya. 


Tak lama lagi, ia akan bangun. 


Ronar tersenyum puas hati. 


Siapa sangka, pembacaannya mengenai sejarah Chimera naga lagenda pada bulan lalu mencetuskan idea sebegini yang tidak pernah tercapai akalnya. Ilham untuk menggunakan kuasa Chimera naga lagenda. Sekalipun hakikatnya mereka sudah tidak bernyawa lagi. Namun itu semua tiada masalah berkat pengetahuan Ronar dalam bidang kejuruteraan genetik.


Usai menggerudi sebahagian gigi taring dari bangkai Chimera naga, Ronar mengekstrak sel DNA dari gigi, kemudian memasukkannya ke dalam telur hidup. Hasilnya, terciptalah klon Chimera naga. 


Ronar tersenyum sendiri. Kali ini, usahanya takkan sia-sia. Impian yang sudah lama dia dambakan bakal menjadi kenyataan. Anak naga ini akan membawa kuasa Empayar Kayzaer ke arah kegemilangan. 


“Ini saja cara mahu buktikan kemampuan aku.” 


Ketika ini, Ronar teringatkan kejadian dua hari lepas. 


* * * * *


Lokasi: Kamar Beradu Raja Ergax, Istana Kayzaer


Tok! Tok!


“Masuk!” 


Pintu kayu yang gah itu terkuak, perlahan menonjolkan wajah Ronar. Sebaik melihat wajah putera bongsunya, Raja Ergax melepaskan keluhan berat. Bukan kerana meluat, tetapi kerana dapat menjangka tujuan anaknya ke mari. 


“Biar ayahanda teka, kamu hendak tanya fasal warisan takhta itu?” tanya baginda, sambil merenung pemandangan istana di luar jendela.


Wajah Ronar segera berkerut tegang. “Saya tahu saya lebih layak, ayahanda!” Tegas dia bersuara.


Singa tua itu menoleh ke arah Ronar, dengan wajah mencuka. “Kenapa? Ayahanda mahu dengar alasan kamu.”


“Raion tak mungkin boleh bawa Empayar Kayzaer ke arah kegemilangannya!” 


“Kegemilangan yang bagaimana?” 


“Ayahanda sendiri patutnya lebih tahu! Saya akan jadikan Kayzaer sebagai suatu empayar kuasa yang tidak tertanding, bahkan dengan empayar Sokrath!” balas Ronar, merujuk kepada keluarga diraja yang mentadbir di bahagian selatan wilayah Verkdram. 


Raja Ergax menggeleng dengan air muka kecewa. “Sebab itu, ayahanda pilih Raion.”


“Apa yang ayahanda maksudkan?”


“Untuk jadikan empayar Kayzaer sebagai suatu kuasa diktator semata-mata. Itu ‘kegemilangan’ yang kamu maksudkan, bukan?” 


Ronar kekal tenang, berterusan cuba mempertahankan hujahnya, “Empayar Kayzaer adalah yang terkuat di wilayah Verkdram. Jadi, tak salah kalau saya jadikannya sebegitu!”


“Kamu fikir kekuatan kita itu tujuannya untuk digeruni? Kamu sebagai ahli kerabat diraja Empayar Kayzaer patutnya lebih faham! Kita wujud untuk melindungi dan menjaga keamanan dan kestabilan wilayah Verkdram ini! Dan kamu patut tahu, usaha itu mustahil dibuat tanpa kerjasama dari Empayar Sokrath!” tegas Raja Ergax, panjang lebar.


Dalam diam, Ronar mencebik. “Ayahanda terlalu naif! Tak mungkin Kayzaer akan capai kegemilangannya dengan pemikiran begitu!” 


Jelas sekali, baginda sudah terlalu selesa dengan keadaan politik sekarang. Keamanan dan kestabilan yang dikecapi wilayah Verkdram kini telah membutakan matanya dari mengejar kegemilangan. Sedangkan itulah yang akan menaikkan lagi status Empayar Kayzaer sebagai kuasa pentadbir yang disegani. 


Raja Ergax menghentak tongkatnya dengan kasar. 


“Kita tak perlukan kegemilangan itu!” Nada baginda murka. Tubuhnya yang sudah bongkok dan makin dimamah usia menggigil teruk. Dan itu memaksa baginda untuk duduk semula pada kerusi sofa. 


Melihat keadaan ayahandanya, Ronar memilih untuk berdiam. Raja Ergax cukup terkenal dengan sikapnya yang lemah-lembut dalam kalangan orang istana. Sangat jarang untuk melihatnya marah begini.


Usai bertenang, Raja Ergax berkata lembut, “Ronar, ayahanda mahu kamu faham. Itu hanya akan rosakkan kepercayaan rakyat terhadap kita.”


“Ayahanda mahu Verkdram kekal aman sebegini. Dua kuasa bekerjasama untuk bangunkan wilayah ini jadi makmur. Tak perlu bergaduh siapa yang lebih berkuasa. Sebab itu, ayahanda pilih Raion. Dia berkongsi impian yang sama seperti ayah.”


Celaka.


Ronar menggenggam penumbuk, menahan rasa berang yang sedang menggunung.


“Ronar, kegemilangan yang kamu idamkan itu, kamu pastikah kita perlukannya? Atau ia cuma untuk puaskan hati kamu?”


Ronar menumbuk dinding sehingga ia merekah. 


“Diam!” 


Mata Raja Ergax membulat, tergamam melihat perubahan sikap Ronar. 


Dengan nada yang memberontak, Ronar meluahkan perasaannya yang lama terbuku, “Raion! Raion! Raion! Dari dulu sampai sekarang, asyik-asyik dia!”


“Padahal saya berusaha lebih kuat dari Raion! Padahal saya lagi cemerlang dari Raion! Tapi ayahanda langsung tak pernah pedulikan saya! Tak kira apa saya buat, ayahanda selalu begitu! Selalu menangkan Raion! Raion saja yang terbaik di mata ayah!”


Raja Ergax rasa janggal. Namun, baginda hanya mampu diam membatu. 


Tanpa berkata apa-apa, Ronar kemudian beredar keluar dari bilik itu. Wajahnya jelas menunjukkan ekpresi kecewa yang sungguh menebal. 


“Ronar!” Raja Ergax cuba memujuk.


Ronar buat tidak endah, menghempas pintu dengan kasar.


* * * * * 


“Ronar, kegemilangan yang kamu idamkan itu, kamu pastikah kita perlukannya?”


Kata Raja Ergax terngiang dalam fikirannya, membuatkan Ronar mengurut kepalanya yang terasa sedikit berat. Usai tegang mereda, Ronar kembali merenung balang kaca di hadapan. 


Empayar Kayzaer mungkin tak perlukannya. Tetapi hanya dengan cara ini, Ronar dapat membuktikan kemampuannya sebagai pewaris takhta raja yang jauh lebih layak dari Raion. 


Sebenar-benar raja adalah mereka yang sentiasa memandang jauh ke hadapan. 


Raion tidak ada ciri sebegitu. Sama seperti Raja Ergax. 


“Atau, ia cuma untuk puaskan hati kamu?” 


Suara Raja Ergax sekali lagi menghantui benak minda Ronar. 


Ronar tidak faham.


Kenapa ayahnya berkata begitu? Apa yang baginda maksudkan?


Tiba-tiba, bunyi siren yang lantang kedengaran.


Lamunan Ronar mati. Dia segera mendekati skrin monitor yang dipenuhi simbol dengan beberapa pop-up menu yang memaparkan status klon. Menurutnya, ia sudah melepasi fasa tidur dan mula menunjukkan tanda sedang bangun.


Selang beberapa detik, ruang lubang pada bahagian bawah balang rahim artifisial terbuka secara automatik. Asap tebal berkepul keluar darinya. Cecair biru laut turut memancur keluar, kemudian mengalir ke longkang sehingga kering. 


Setelah segala proses selesai, Ronar berjalan menghampiri balang, mendapati klon tersebut masih tidak membuka matanya. Dia dengan penuh sabar menanti ia menunjukkan sebarang tindak balas. 


Usai sejenak menunggu, Ronar mendapati wayar yang bersambung pada seluruh badannya sedikit terhuyung-hayang. Ronar mengamati pada jemarinya. Ia bergerak. Kemudian, pada kedua belah kaki, juga sama. Akhir sekali, pada kepala. Perlahan, matanya terbuka bersama mulutnya. Usai ia sedar sepenuhnya, kesemua wayar itu ditarik semula ke lubangnya, sekaligus membebaskan pergerakan sang klon. 


Ia mendongak, memerhati Ronar dalam keadaan masih mamai. Melihat keadaannya, Ronar ketawa teruja. 


“Berjaya! Aku dah hidupkan Chimera naga!” 


Dia mendekati sang klon dengan senyum yang tidak lekang dari wajahnya. “Bagusnya kau sudah sedar.” 


Tangannya perlahan cuba menyentuh badan klon itu. 


“Sekarang, kau ikut aku. Kita ada banyak kerja yang mahu dibuat.” 


Apabila melihat tangan Ronar menghampirinya, mata sang anak naga perlahan membulat. Ia dikejutkan dengan kemunculan tayangan memori yang tidak pernah ia lihat sebelum ini.



Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasif Rayyan