Home Novel Fantasi Chimera: Naga Terakhir
Chimera: Naga Terakhir
Hasif Rayyan
2/7/2018 15:48:14
16,400
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 5

Ruang di dalam pondok usang itu kecil. Cuma seluas 12 meter persegi. Tetapi cukup buat Saiful dan Zaqwan. Lagipun hanya mereka berdua sahaja yang menggunakan pondok ini sebagai pangkalan rahsia mereka. Itu pun sekadar singgah ketika ada masa lapang. 


Letaknya pula di kawasan bukit berhutan. Malah, jarang dilalui orang kampung. Kononnya sebab kawasan ini berhantu. Bagus juga kalau mereka fikir begitu. Sekurangnya kawasan mereka selamat dan aman dari gangguan sesiapa.


Lebih-lebih lagi apabila sang makhluk semalam ada di sini. Ia sedang berbaring pada tilam. Tak bangun-bangun sejak semalam. 


“Mana Zaqwan ni?” 


Saiful jadi makin tak senang duduk. Konsentrasinya terhadap komik Fullmetal Alchemist yang dibaca dalam telefon pintarnya terganggu. Saiful mengerling pada jam dinding. Beberapa minit lagi 10 pagi. Sudah hampir setengah jam dia menunggu di dalam pondok. 


Sudahlah dia bersendirian dengan sang anak naga itu. 


Kalau ia sedar, macam mana? 


Sedang dia gelisah, Zaqwan akhirnya memunculkan diri di muka pintu. Tubuhnya membongkok, sambil termengah-mengah mengambil udara. 


“Maaf… lambat…” 


Lambat! Hampir sahaja Saiful mahu cakap begitu. Namun hasratnya mati sebaik melihat Zaqwan sedang membimbit plastik berisi Tupperware. 


“Apa tu?” 


“Bihun goreng. Mak aku yang masak.” 


Air liur Saiful terus berkecur kala mendengarnya. Tadi dia cuma bersarapan roti titab. Perut pun masih lapar. 


Zaqwan terus hulurkan plastik. Saiful mengukir senyuman lebar. 


“Terima kasih! Dah lama aku tak makan masakan mak kau.”


“Itulah. Mak aku pun tanya juga kenapa kau dah jarang datang ke rumah aku.” 


“Aku nak pergi rumah kau pun nak buat apa?”


“Sekurangnya, makan kau terjagalah juga. Kau pun bukannya reti masak sangat, kan?”


“Kalau setakat masak nasi, goreng ayam dan telur, aku dah biasalah!”


Zaqwan ketawa. 


“Lagipun, malulah aku dengan mak kau. Kita pun dah ada tempat ini.”


Usai membuka penutup Tupperware, aroma bihun goreng membuak harum, membuka selera Saiful. Garpu dicapai, menyucuk bihun, kemudian disuapkan penuh nikmat. 


“Hek eleh. Malu konon. Tak bertempat sungguh. Bukannya pergi rumah bakal isteri.” Kemudian, suaranya terhenti. Dia pandang Saiful dengan muka skeptikal. Membuatkan Saiful turut terpinga memandangnya.  


“Saiful, kau suka mak akukah?” 


Terkejut, bihun di mulut Saiful tersembur pada muka Zaqwan. 


Saiful kemudian terbatuk-batuk. 


“Woi! Apa ni?!” Nada Zaqwan meninggi sambil cuba mengesat sisa bihun yang terlekat pada wajahnya. 


“Dah kenapa kau buat lawak bodoh macam tu?” 


Saiful segera letak bekas bihun goreng ke tepi, dan cuba dapatkan Zaqwan. 


“Kau okey tak?!”


Namun belum sempat Saiful berbuat apa-apa, Zaqwan mengaduh ketika matanya pedih lantaran termasuk perencah. Dalam keadaan begitu, dia berjalan menuju ke sudut belakang untuk mencari besen air. Tetapi langkahnya tidak betul. 


Tanpa sengaja, Zaqwan terlanggar kaki sofa. Tubuhnya jatuh tersembam pada lantai. 


Saiful tercengang seketika sebelum ketawa pecah. 


Dalam keadaan mata masih tertutup, Zaqwan bersuara tegang, “Hish, janganlah gelak! Tolonglah aku. Dah lah mata aku pedih!” 


Tawa Saiful masih bersisa.


“Maaflah. Macam kartun pula aku tengok kau,” Saiful mendekati Zaqwan. Namun apabila matanya mengerling sejenak ke sudut kanan, gerak tubuh Saiful segera mati kaku. 


“Zaqwan.” 


“Apa?”


“Dah bangun.”


“Apa yang bangun?”


“Itu.”


Faham apa yang dimaksudkan, Zaqwan seram sejuk. Perlahan dia buka mata, sehingga dia melihat sesuatu sedang memerhatinya dengan pandangan tajam.  


Alien semalam. 


“Err... Hai...” 


“WRAHHHHH!!!” Anak naga itu mengaum lantang.


Saiful dan Zaqwan serentak menempik ketakutan. 


Zaqwan terbangun, kalut berundur. Tanpa sedar, dia melanggar tubuh Saiful. Membuatkan mereka jatuh, sambil tercengang memerhatikan anak naga di hadapannya.


Anak naga melompat ke dinding bilik. Timbunan bahan bacaan pada meja disepahkan ekornya. Rangkaknya kalut dek takut. Tanpa sedar, kepala terhantuk pada siling sehingga membentuk lubang. Hilang imbangan, ia jatuh pada meja. Terpatah dua. 


Keadaan jadi diam sejenak. 


Tubuh anak naga kaku di situ. Zaqwan perlahan bangkit, berniat mahu mendekatinya. 


“Jangan!” Mujur Saiful segera tarik tangan Zaqwan.


Sang alien tiba-tiba bangun mengejut. 


Alien itu mengaum lagi. Renungan mengancam ditujukan kepada mereka. 

“Zaqwan, kita kena lari sekarang!” kata Saiful. Nada tenangnya tiada lagi.


“Nanti. Kau tengok…” Zaqwan memuncungkan bibirnya ke arah alien. 


Tubuh sang alien sedang berundur perlahan sambil ia membunyikan geram. 


“Dia takut dengan kita, Saiful.”


Zaqwan perlahan membongkok ke kanan, sambil tangan kirinya didepangkan ke sang alien. Waspada, Zaqwan mencapai bekas bihun goreng di tepi. 


Kelihatan hidung anak naga bergerak-gerak. Bunyi geramnya perlahan menghilang. Kini ia merenung bekas bihun. 


“Bagus…” Zaqwan bersuara lembut.


Saiful sekadar memerhati tercengang. Zaqwan duduk mencangkung. Tangannya melambai sang anak naga. “Mari sini.” 


Seolah faham dengan cakap Zaqwan, anak naga perlahan bangkit berdiri dengan dua kaki. Ia berjalan membongkok mendekati Zaqwan. 


Zaqwan meletakkan bekas bihun di hadapannya. 


Sang anak naga dekatkan wajah, menghidu aroma juadah. Lapar, ia makan dengan lahap. Tidak sampai sesudah tiga puluh saat, kesemua bihun goreng sudah habis licin dimakan. 


Sang anak naga perhatikan mereka sambil mengiringkan kepala ke kanan. Anak matanya yang tadi sehalus jarum kini telah membulat luas. Bunyi menggeram tidak lagi kedengaran. 


Yakin ia tidak tunjukkan sebarang tanda melawan, Zaqwan mendepakan tangan cuba menyentuh kepala anak naga. Ia duduk diam saja, membiarkan kepalanya yang bersisik diusap perlahan dan lembut. 


Selesa, anak naga membunyikan dengung, kemudian menggeselkan wajahnya pada tangan Zaqwan. Wajahnya digeselkan pada perut Zaqwan, membuatkan tubuh Zaqwan tertolak ke belakang. 


“Amboi, kau dah jinak, ya!” kata Zaqwan, ketawa riang.


Saiful kekal tergamam melihat perubahan sikap sang alien. 


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasif Rayyan