YASMIN sudah keluar bersama Carol ke The Curve. Tinggallah
Irdina keseorangan di apartmen. Usai bersolat Asar, dia terus mendapatkan
komputer riba untuk menjengah ke blog ‘My Life, My Passion’ miliknya. Blog yang
diwujudkan tiga tahun lalu bertujuan untuk menceritakan pengalamannya dan
rakan-rakan yang sering menghabiskan masa dengan mendaki bukit, gunung serta
aktiviti lasak yang lain.
Namun, apabila salah seorang rakan baiknya iaitu Suri mula
bekerja sebagai pramugari, fungsi blognya dipelbagaikan. Suri yang kaki shopping,
memang sakan membeli-belah beg tangan yang berjenama setiap kali ke luar
negara. Dari situ, timbul idea Irdina untuk memesan daripada Suri beg berjenama
seperti Longchamp, Coach, Prada, Gucci dan Michael Korrs setiap kali Suri
terbang ke luar negara dan memasarkannya di blog secara online.
Melalui seorang lagi rakan baik iaitu Feroz Khairi yang
sering berulang alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur atas tuntutan kerja,
Irdina memesan sutera atau sifon batik untuk dijual di blognya. Kebetulan pula,
Feroz mempunyai sepupu yang mengusahakan industri batik di sana, maka Irdina
mendapat stoknya dengan harga yang lebih murah.
Walaupun tugasnya agak sibuk sebagai Eksekutif Sumber
Manusia di sebuah syarikat menjual kereta import mewah, namun perniagaan secara
online itu tetap diteruskan sebagai memenuhi masanya yang terluang jika
dia tidak dapat melakukan aktiviti luar seperti hiking kerana keadaan
cuaca yang tidak menentu atau gengnya tidak cukup korum. Secara tidak langsung,
dapat juga menjana pendapatan sampingan untuknya.
Baharu sahaja dia log in, telefon bimbit berdering
nyaring. Pantas dia menjawab panggilan tersebut sebaik melihat nama yang
tertera.
‘‘Idin, kau free tak malam ni? Jom kita keluar
makan. Bila jumpa kau, boleh aku bagi stok kain kau ni sekali. Tak payah nak
pergi rumah kau... nak masuk Ampang tu selalu jam. Suri pun ada kat
sini. Tadi masa aku call, dia ajak kita
karok lepas makan.’’ Feroz terus bercakap
tanpa henti.
‘‘Assalamualaikum, Encik Feroz Khairi!’’ Pintas Irdina
dalam sindiran halus. Si FK ini, kalau menelefon tak pernah ada intro dalam
percakapannya.
‘‘Walaikumussalam, Cik Irdina Jasmin,’’ sambut Feroz
tergelak-gelak untuk menutupi rasa malu disindir.
‘‘Nak karok kat mana?’’ Sepanjang mereka
berkawan, mungkin sudah berpuluh pusat karaoke yang Irdina kunjungi semata-mata untuk menemani si kaki karaoke
iaitu Feroz dan Suri. Dia yang tidak minat menyanyi, kadang-kadang terjebak
juga mendendangkan dua atau tiga lagu setelah dipaksa oleh mereka.
‘‘Port biasalah.’’
Irdina membayangkan pusat karaoke yang terletak di Mutiara
Damansara itu. Perjalanan yang hampir 45 minit dari rumahnya. Kalau jalan
sesak, mungkin satu jam lebih baru tiba di sana. ‘‘Malaslah aku nak keluar
malam ni. Ingat nak duduk rumah aje.’’
‘‘Apa malas-malas ni? Anak dara tak elok malas, tau?
Lagipun, apa kau dapat kalau duduk rumah aje?’’ Mulut Feroz mula berkicau.
‘‘Apa yang aku dapat keluar dengan kau?’’ bidas Irdina.
Dia, Feroz dan Suri berkenalan sejak tahun pertama di UNITEN. Ke mana sahaja
mereka pergi, korumnya pasti bertiga. Tetapi sayang, Suri tidak menghabiskan
pengajiannya setelah mendapat tawaran menjadi pramugari ketika di tahun kedua.
Tinggallah dia dan Feroz sampai
ke tahun akhir sehingga memperolehi Ijazah dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan
dan Pengurusan Sumber Manusia.
‘‘Selain daripada dapat kain kau yang satu bundle ni,
dapat juga kau lepaskan rindu pada aku!’’ Feroz mengusik.
‘‘Tak ada maknanya aku nak rindu kau, lah!’’ selar Irdina
tergelak.
Feroz ketawa. ‘‘Jom, lah!’’ Irdina kalau sudah dipujuk
rayu, pasti beralah juga. Gadis itu sebenarnya lembut hati walaupun luarannya
gemarkan sesuatu yang lasak.
‘‘Aku nak update bloglah. Prada yang Suri belikan
minggu lepas, aku belum upload gambarnya lagi. Customer dah
tertunggu-tunggu produk baru aku.’’ Kerja-kerja mengemaskini blog tergendala
beberapa hari ini kerana kesibukan Irdina di pejabat.
‘‘Apasal malam ni juga kau nak update? Kenapa tak upload
gambar tu semalam ke... tadi ke? Tulah kau, sejak dulu lagi, suka bertangguh
kerja.’’
‘‘Semalam lepas kerja, aku pergi main futsal dengan
budak-budak ofis. Pagi tadi aku hantar barang-barang dapur ke rumah atuk aku.
Tengah hari tadi aku keluar.’’ Irdina menyenaraikan tugasannya sebagai
mempertahankan diri sebelum terus dibebel oleh Feroz. Feroz kalau membebel,
mengalahkan kaum perempuan.
‘‘Tengah hari tadi kau keluar dengan siapa?’’ Setakat
tugasan menghantar barang dapur ke rumah atuk, Feroz sudah sedia maklum dengan
jadual Irdina setiap hujung minggu. Apa yang menarik perhatiannya kini, Irdina
keluar dengan siapa.
‘‘Raif.’’
‘‘Raif? Eh... tadi aku rasa macam nampak dia kat
Publika... tengah lepak di Chawan.’’ Sebagai rakan Irdina, Feroz menyampaikan
sahaja apa yang dilihatnya.
‘‘Ya ke?’’ Jantung Irdina sudah lari rentaknya. Oh... yang
tergesa-gesa ucapkan selamat tinggal tadi, rupa-rupanya hendak ke Publika.
Raif... Raif... kau keluar dengan siapa pulak selepas aku?
‘‘Nampak dari jauh... tapi aku rasa macam dia aje.’’ Feroz
tahu dia tidak tersalah pandang. Sesudah bertemu Raif sebanyak tiga kali
sebelum ini, rasanya dia tidak mengalami sebarang masalah untuk membuat pengecaman.
‘‘Err... dia dengan siapa?’’ Irdina cuba mengawal nada
suaranya agar tidak kedengaran seperti cemburu, sakit hati mahupun kecewa.
Walaupun picisan rasa itu mula memercik di hati.
‘‘Perempuan...’’
Irdina menelan liur. Okey... Raif keluar dengan perempuan!
Perempuan mana? ‘‘Seorang?’’
‘‘Bukan seorang, bukan dua orang tapi tiga orang!’’ Feroz
tidak berselindung. Makumat yang dirasakannya tiada impak terhadap Irdina.
Bukankah selama ini Irdina menafikan yang Raif itu kekasihnya. Maka info
tersebut pasti tidak akan menjadi kudis kepada gadis itu.
‘‘Oh?’’ Irdina terlopong seketika. Tiga orang gadis sedang
berada bersama Raif di Publika ketika itu. Campur aku tadi, bermakna hari ini
sahaja Raif sudah keluar dengan empat orang perempuan! Angka yang cukup untuk
memaksimakan jumlah poligami!
Mendengar jawapan pendek Irdina dan kemudian gadis itu
terus terdiam, Feroz serba-salah. Sudah terlepas cakap ke dia? Irdina kecil
hati ke? ‘‘Tapi Idin, mungkin juga bukan Raif... pelanduk dua serupa kot.’’
Cepat dia memujuk untuk membetulkan keadaan.
‘‘Mungkin.’’ Irdina juga cuba bersangka baik. Pelanduk dua
serupa yang ada kemungkinan mempunyai ‘hobi’ yang sama juga dengan Raif. Iaitu
hobi keluar minum bersama gadis-gadis!
‘‘Eleh mak cik... kau sendiri yang kata, kau dengan Raif
tu tak ada apa-apa, kan? Relakslah... apa kau nak kisah?’’
‘‘Siapa kata aku kisah? Aku dengan dia memang tak ada
apa-apa pun.’’ Irdina menyatakan realiti. Setakat ini, dia dan Raif masih di
tahap ‘kawan-kawan’. Belum masuk ke peringkat teman istimewa atau sebagainya.
Pada dasarnya, dia senang bila bersama lelaki itu. Hari yang dilalui bersama
Raif cukup menceriakan. Bagai terhampar satu kebahagiaan berada di sisi lelaki
itu. Dan pada fikirannya, Raif juga pasti senang, ceria dan bahagia bila keluar
dengan dirinya. Kalau tidak, masakan mereka masih keluar bersama? Tetapi kenapa
terpalit rasa cemburu dan kecewa pula saat ini?
‘‘Atau sebenarnya kau suka dia, ek?’’ Feroz serkap jarang.
Muka Irdina terasa hangat. Mujur Feroz tidak ada di
depannya. Kalau tidak, pasti muka merahnya dapat dikesan dan ditertawakan oleh
Feroz. ‘‘Kalau aku suka dia pun, apa salahnya? Kau jealous?’’
Feroz tergelak besar. ‘‘Eh... tak kuasalah pokcik
nak jealous dengan kau mokcik!’’
Irdina tertawa. ‘‘Kau di Publika lagi ke sekarang ni?’’
soalnya bila secara tiba-tiba timbul satu idea. Kalau Feroz masih di Publika,
dia sanggup terbang ke sana. Kononnya untuk bertemu Feroz, tapi agenda sebenar
adalah untuk mengintip Raif di Chawan. Hendak juga dia tahu, siapa yang sedang
mengelilingi Raif ketika itu. Ataupun suruh sahaja Feroz menegur Raif dan
kemudian memberi laporan lengkap kepadanya. Idin... kenapa kau macam Inspektor
Polis pulak ni? Kerana cemburu kau jadi begini?
‘‘Taklah, aku dah dalam perjalanan balik ni.’’
Irdina mengeluh. Perancangannya tidak menjadi.
‘‘Macam mana malam ni? Nak keluar tak?’’
‘‘Malas.’’ Sekarang ini, bukan sahaja Irdina malas untuk
keluar tetapi dia juga sudah kehilangan mood. Perkhabaran tentang Raif
sedikit sebanyak telah mengganggu emosinya.
‘‘Habis tu, kain kau ni macam mana? Berat but
kereta aku ni mengangkutnya ke sana ke mari.’’
Fokus Irdina berpusat semula pada kain-kain yang dibawa
oleh Feroz. ‘‘Aku ambil esok ajelah. Nanti aku telefon kau. Okeylah Feroz...’’
Irdina mahu menamatkan perbualan supaya dia dapat menenangkan dirinya yang
tiba-tiba sahaja diamuk perasaan yang tidak menentu. Cemburu, kecewa dan sakit
hati. Perasaan yang cuba dihindarinya. Namun, dia gagal menyiahkannya. Entah
apa-apa kau ni, Idin!
‘‘Lagi satu, aku ingat nak pergi Lata Medang di Peretak
awal bulan depan. Kau nak ikut tak?’’ Feroz tidak pernah meminggirkan Irdina
jika ada aktiviti luar seperti itu. Sudah sedia maklum akan minat Irdina yang
sentiasa ingin mencuba cabaran baharu. Kerana itu, mereka masih terus berkawan rapat
memandangkan minat dan kecenderungan yang sama.
‘‘Kau kata hari tu, nak pergi white water rafting
di Kuala Kubu Baharu? Ni tukar plan pulak.’’ Bila mendengar sahaja ada
peluang untuk mendaki bukit atau sekadar jungle trecking, Irdina mula
teruja. Soal Raif diketepikan seketika.
‘‘Kau nak hiking ke white water rafting?’’
Feroz memberi pilihan. Bagusnya tentang Irdina, kedua-dua aktiviti tersebut pun
gadis itu sanggup redah. Irdina senang ‘diangkut’ ke mana sahaja.
‘‘Nanti aku fikir dulu. Tengok masa dan bajet aku macam
mana.’’ Irdina melepaskan keluhan selepas tamat berbicara dengan Feroz.
Tiba-tiba, dia punya banyak perkara yang perlu difikirkan. Tentang blog yang
belum update, tentang aktiviti mendaki bukit atau berkayak di air putih
serta tentang lelaki yang bernama Raif Imran itu.
Dalam masa dia mengaku tidak ada apa-apa hubungan dengan
lelaki itu, kenapa hati masih ada secebis rasa cemburu?