SAMBIL menyiapkan laporan prestasi kakitangan bahagian
jualan untuk bulan itu, mata Irdina sesekali mengerling telefon bimbitnya yang
tidak berdering sejak sejam yang lalu.
Dia mengeluh. Tak habis lagi ke Raif berdiskusi? Lamanya.
Atau telefon aku ni yang rosak?
Dia mencapai telefon dan membeleknya. Baterinya full
bar. Line pun full coverage. Kalau begitu, apa sebabnya
dia masih belum menerima panggilan Raif?
Dalam diam, Irdina menyalahkan dirinya. Kenapa gatal
sangat tangannya menekan nombor telefon Raif tadi? Sepatutnya dia tidak
mengganggu lelaki itu di waktu pejabat. Lelaki itu sentiasa sibuk. Tapi masa
tu, dah pukul 5.00... dah habis pun waktu kerja!
Natijahnya sekarang ini, bila Raif tidak dapat melayan
panggilannya, dia rasa kecil hati. Bila Raif tidak menelefon kembali, dia rasa
hampa. Tidakkah tindakan itu semuanya memakan diri dan menjerut hati?
Irdina semakin keliru dengan perasaan yang melanda jiwanya
sejak pulang dari rumah Raif hari Sabtu lepas. Sebahagian hatinya mula
mengharap sesuatu yang lebih daripada persahabatan yang terjalin antara dia dan
Raif. Dia mahukan kepastian. Sudah lama rasanya berteka-teki begini tentang
hati dan perasaan.
Tetapi separuh lagi hatinya, takut untuk menggantung
harapan kerana bimbang akan dikecewakan. Entah-entah Raif sekadar berpeleseran
dan dia adalah salah seorang yang mengisi masa-masa Raif yang terluang. Kalau
Raif tidak keluar dengan si A atau si B... adakah dia gadis yang Raif akan
cari?
Telefon bimbit berdering juga akhirnya. Pantas Irdina mencapainya
dengan rasa teruja. Tapi, bukan ‘si dia’!
‘‘Ya, ma...’’
‘‘Idin nak balik dengan mama tak? Atau nak balik
sendiri?’’ Suara Yasmin hinggap di telinga Irdina.
‘‘Kenapa ma?’’
‘‘Kalau nak balik dengan mama... lewat sikit sebab mama
tersangkut jam di highway ni. Kalau Idin tak nak tunggu mama, Idin boleh
balik dulu?’’ Begitulah rutin Yasmin sejak
Irdina mula bekerja dua bulan yang lalu. Menghantar dan menjemput anak
gadis kesayangan dari pejabat. Hendak dibelikan kereta lain, Irdina kata tidak
perlu. Anaknya itu lebih selesa berulang-alik dengan menaiki LRT. Tetapi
sebagai ibu, selagi berkesempatan dia akan menghantar dan menjemput anaknya
itu. Kasihan pada si anak jika terpaksa berasak-asak di dalam LRT.
‘‘Idin pun ada kerja lagi ni. Bila kerja Idin dah habis,
Idin akan telefon mama... nak balik dulu atau mama ambil Idin.’’
‘‘Okey sayang.’’
‘‘Bye ma...’’ Irdina menamatkan perbualan. Kalau
boleh, Irdina tidak mahu menyusahkan Yasmin. Bila Yasmin bercadang untuk
membelikannya kereta, dia menolaknya dengan alasan nanti habis gajinya
gara-gara terpaksa membayar ansuran bulanan, duit minyak, tol dan parking.Bila
Yasmin menawarkan Kia Forte miliknya itu untuk dipandu ke pejabat, dia mengelak
dengan alasan malas memandu kerana jalan selalu sesak. Kerana itu, dia tidak
kisah turun naik LRT untuk ke pejabat. Lebih mudah dan menjimatkan.
Baru sahaja Irdina menyambung kerjanya semula, telefon
bimbitnya berbunyi lagi. Pantas dia mencapainya.
Melihat nama Raif Imran terpapar, dia diterpa pelbagai
rasa. Teruja dan gembira kerana Raif menelefon akhirnya. Namun, rasa geram
tetap terselit. Dah nak dekat dua jam baru nak telefon aku, huh... ingat aku ni
apa?
Hatinya berbolak-balik. Sama ada untuk menjawabnya atau...
argh... nak merajuklah! Irdina meletakkan kembali telefon itu di atas meja dan
membiarkan sahaja deringan itu terhenti sendiri.
Nak merajuk? Kalau merajuk pun apa yang kau dapat, Idin?
Berbaloi ke? Sudi ke Raif memujuk? Silap-silap hari bulan, kau juga yang gigit
jari sebab tak dapat bercakap dengan dia. Irdina terus berperang dengan
perasaan. Akalnya mula menghitung saat berharap agar Raif menelefon kembali. 20
saat... 40 saat... 60 saat... dan... telefonnya berbunyi lagi. Senyuman lebar
menghiasi bibirnya seraya menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab panggilan
yang sememangnya ditunggu.
‘‘Helo.’’ Nada suaranya mendatar. Tidak mahu kedengaran
teruja. Sedangkan hati sudah melonjak bahagia.
‘‘Idin... you di ofis lagi ke?’’
‘‘Hmm...’’ jawab Irdina pendek. Masih mengawal nada
suaranya. Selepas dua jam, baru nak telefon? Telefon semata-mata nak tanya aku
itu aje ke? Bukannya nak pujuk aku! Ditahan rasa geramnya terhadap lelaki itu.
‘‘You nak balik pukul berapa?’’
‘‘Tengoklah... setengah jam lagi agaknya.’’ Kenapa nak
tahu aku balik pukul berapa, nak datang jemput ke? Namun, soalan itu hanya
terlintas di benak Irdina sahaja. Dia tahu, kalau soalan itu terlafaz di mulut
dan jawapan yang Raif berikan tidak seperti yang diharapkan, dia juga yang akan
tersungkur kecewa nanti. Dirinya bukanlah istimewa mana sehingga Raif sanggup
meredah kesesakan lalu lintas semata-mata hendak bertemunya. Tetapi hati
kecilnya itu kadang-kadang tidak sedar diri... masih mengharapkan berlakunya
keajaiban!
‘‘Tunggu situ.’’
‘‘Hah?’’ soal Irdina. Raif suruh dia jadi penunggu di
pejabat? Dia silap pendengaran ke?
‘‘I dalam perjalanan ke ofis you ni.’’
Irdina terkedu. Serta merta hilang rasa geramnya. Lenyap
sudah rajuknya. Hatinya terus berbunga bahagia!
SELEPAS menunaikan solat Maghrib di
surau pusat membeli belah The Gardens, Raif mengajak Irdina makan malam di
Restoran Belanga.
Dia tahu Irdina pasti berkecil hati kerana tidak dapat
meluangkan masa untuk berbual ketika gadis itu menelefon petang tadi. Apabila
dia hendak menelefon Irdina semula, Mayza pula hendak menumpang keretanya.
Tidak mahu perbualannya dengan Irdina didengari oleh Mayza atau sesiapa sahaja,
maka dia menangguhkan panggilan balas tersebut.
Dan apabila menyedari yang pejabat Irdina tidak berapa
jauh daripada tempat dia menghantar Mayza di pusat servis tadi, maka dia terus
mengubah perancangan. Mungkin dengan cara menemui sendiri gadis itu di
pejabatnya, Irdina akan memaafkan dirinya yang tidak menelefon. Syukur, Irdina
masih berada di pejabat ketika itu dan langsung tidak menolak untuk makan malam
bersamanya.
‘‘You dah beritahu mama yang kita makan dulu sebelum
balik?’’ Penting bagi Raif untuk mendapat keizinan Yasmin. Kerana dia tahu
betapa pentingnya Irdina untuk wanita itu.
‘‘Dah... mama pun baru sampai rumah. Jalan sesak
katanya.’’ Sebaik sahaja Raif memaklumkan yang dia dalam perjalanan ke pejabat,
Irdina terus menghubungi Yasmin untuk memberitahu yang dia ada date
dengan Raif. Seperti biasa Yasmin akan berpesan, jaga diri dan jangan pulang
lewat.
‘‘Nanti kita bungkuskan makanan untuk mama you. Kesian
dia, mesti penat nak masak.’’ Raif melahirkan simpati. Walaupun jadual kerja
dan tugas Yasmin sebagai agen insurans agak fleksibel, namun wanita itu pasti
letih setelah seharian berjumpa kliennya. Menurut Irdina, klien yang di bawah
seliaan Yasmin hampir 100 orang juga jumlahnya.
‘‘Mama jarang makan malam kalau I tak ada. Lagipun, mama
selalu kenyang bila dah layan drama Korea di saluran 393 One HD tu,’’ maklum Irdina
tentang Yasmin yang akan terlekat di
depan televisyen kalau sudah mula menonton drama-drama Korea. Dahulunya, dia
yang memperkenalkan drama-drama Korea tersebut kepada Yasmin. Tetapi kini,
Yasmin yang lebih ketagih menonton melebihi dirinya.
‘‘Boleh kenyang ke tengok hero Korea yang kadang-kadang
macam rupa heroin tu?’’ Raif mengusik. Amboi mak mertua aku ni... peminat drama
Korea rupanya. Err... mak mertua? Bakal mak mertua... lagi dua tahun,
Insya-ALLAH.
Irdina geram mendengar perbandingan yang Raif nyatakan.
Ada ke patut Raif samakan rupa hero dengan rupa heroin? ‘‘Cute apa hero
Korea?’’ Dia menafikan.
Raif tertawa kecil. Wajah Irdina juga dilihatnya begitu cute
mempertahankan hero Koreanya itu!
Pelayan datang menghulurkan menu dan mengambil pesanan.
‘‘You nak makan apa, Idin? Mama you suka apa? Boleh kita order
sekali.’’ Raif serius untuk membelikan Yasmin makan malam. Kalau hendakkan
anaknya, emaknya juga harus diambil hati.
Hati Irdina tercuit. Itu adalah satu sifat Raif yang
dikaguminya. Raif tidak berkira dan pandai mengambil hati. ‘‘Nasi kerabu dan
ayam percik untuk I dan mama.’’ Dia memesan menu yang serupa untuk Yasmin.
Mamanya tidak cerewet tentang makanan. Sering kali mereka berkongsi makanan
yang sama.
Setelah pelayan berlalu pergi dengan pesanan, Irdina
menerima kiriman mesej.
Cik kak, white water rafting is on… 1st week of next month. Aku,
kau, Syuk, si kembar Fida & Feedy. Klau boleh, cari lagi sorang. 6 org dpt
harga murah skit.
Ok noted. Nnt aku cari… thanx.
‘‘Sorry...Feroz
hantar mesej.’’ Irdina memohon maaf kerana mengabaikan Raif seketika setelah
mengirimkan balasan kepada Feroz. Telefonnya diletakkan semula ke dalam beg.
‘‘Ada apa?’’ Raif teringat kepada pemuda berbadan tegap
dan sasa itu. Pada awal perkenalannya dengan Irdina, cemburu juga hati apabila
Irdina kerap bercerita tentang Feroz. Keluar makan dengan Feroz, jungle
trecking dengan Feroz, karaoke dengan Feroz! Sehingga satu tahap, dia telah
mengarahkan Ganesh menyiasat latar belakang Feroz dan mengintip pergerakan
keduanya sehingga ke pusat karaoke tanpa Irdina sedari.
Setelah mendengar ‘laporan’ Ganesh yang kedua-duanya
memang rakan karib dan Suri juga sentiasa ada setiap kali mereka keluar
bersama, lega sikit hatinya. Mendengar kedua-duanya bercakap di telefon, dia
semakin yakin yang mereka tidak lebih daripada sahabat. Maka terhapus semua
rasa cemburunya.
‘‘Dia ajak I pergi white water rafting bulan
depan.’’
‘‘Di mana?’’ Sebagai menghormati hobi Irdina, Raif rasa
dia perlu mempamerkan minat untuk bertanya.
‘‘Kuala Kubu Baharu. Hmm... you nak ikut?’’ Buat julung
kalinya Irdina bertanya. Selama ini, apabila dia bercerita tentang aktivitinya, Raif tidak pernah dipelawa. Bukannya
apa... kadang-kadang dia termakan juga kata-kata Feroz yang mempunyai persepsi
berbeza terhadap Raif. ‘‘Idin, kau ingat mamat maintain smart macam Raif
tu nak ikut kau meredah hutan dan terjun sungai bagai?’’
Tetapi kali ini, dia memberanikan diri mempelawa kerana
menurut Feroz, pakej yang ditawarkan dengan harga diskaun itu adalah untuk enam
orang sekumpulan. Buat masa ini, mereka berlima sahaja.
Raif serba-salah. Ini pertama kali Irdina mengajaknya
untuk turut serta. Dia tidak tahu jawapan apa yang patut diberikan walaupun
pelawaan itu sesuatu yang dihargainya. Tidak berani menyatakan persetujuan
awal-awal kerana takut sekiranya ada hal penting yang berbangkit dan terpaksa
membatalkannya pula. Maklumlah, tugasnya tidak menentu. Mesyuarat tidak kira
waktu. Tapi jika dia menolak, bimbang Irdina berkecil hati pula.
‘‘I tak berani nak janji, Idin. Nanti dah plan
tiba-tiba I ada hal, rosak pula semua program.’’ Raif menjelaskan keadaannya
sebaik mungkin.
Irdina melemparkan senyum. Namun di dalam hati, tercalit
rasa kecewa. Dia fikir, Raif berminat untuk turut serta. Maka dapatlah mereka
meluangkan masa bersama. Tetapi itu hanyalah sebahagian daripada impiannya.
Realitinya, Raif terlalu sibuk untuk sebarang aktiviti seperti itu. Mungkin
benar kata Feroz, Raif yang datangnya dari dunia korporat dan sentiasa
terkejar-kejar, pasti tidak sama dengan dunianya yang lebih santai.
‘‘Tak apa... I plan dengan kawan-kawan I dulu.
Kalau last minute you boleh join, you ikut aje.’’ Dia cuba
memahami dan bersikap terbuka.
‘‘Okey.’’ Raif cuba untuk memastikan jika tidak ada hal
atau kepentingan lain, pelawaan Irdina itu akan dipenuhi.
Pelayan datang menghantar hidangan. Perbualan mereka
terhenti seketika.
‘‘Kadang-kadang I terfikir, macam mana you boleh berminat
aktiviti ni semua?’’ soal Raif sambil
menjamah nasi gorengnya.
Irdina mengunyah ayam percik perlahan-lahan. ‘‘Kalau I
cerita kat you macam mana I boleh terjebak dalam aktiviti ni... janji you
jangan gelakkan I.’’
‘‘Janji,’’ lafaz Raif dalam senyuman.
Irdina menyedut sedikit minumannya. Kemudian baru dia
bersuara. ‘‘Sebenarnya, masa I kat uni dulu... I minat pada seorang senior
ni.’’
Mendengar mukadimah Irdina, Raif sudah mengulum senyum.
Inilah yang disukainya tentang Irdina, gadis itu terbuka dan selamba.
Irdina meneruskan ceritanya, ‘‘Sebab minat gila pada abang
yang macho tu, I pun masuk kelab atau apa-apa aktiviti yang dia sertai.
Dia masuk ekspedisi panjat bukit, I ikut. Dia anjurkan aktiviti snorkeling,
I jadi peserta. Dia jadi naib presiden kelab berkayak, I tawar diri jadi AJK. I
buat semua tu... semata-mata nak dekat dengan dia dan tarik perhatian dia.
Sebab I yakin, satu hari nanti dia mesti akan suka dengan perempuan yang lasak
macam I.’’
‘‘Berjaya ke misi you tu?’’ Raif menahan tawa. Tidak
sangka Irdina sanggup melakukan semua itu hanya untuk menarik perhatian
seseorang. Dan gadis itu tidak malu bercerita dan mengakuinya.
‘‘Hampir berjaya. Tapi...’’ Irdina terhenti dengan mimik
muka sedih. Namun sebenarnya, dia turut menahan diri daripada ketawa bila
mengenangkan 'kebodohan' diri satu ketika dahulu.
‘‘Kenapa?’’
‘‘Lepas tu, I dapat tahu abang tu dah bertunang. Rupanya,
tunang dia tu pakai tudung labuh, bakal ustazah,’’ ujar Irdina sambil
menggeleng-geleng kepala. Tanda dia benar-benar ‘kesal’ kerana misinya tertewas
di tangan bakal ustazah itu.
Terhambur juga tawa yang ditahan oleh Raif sejak tadi.
Cerita Irdina dan mimik muka gadis itu cukup menggeletek hatinya.
‘‘Hei... tadi dah janji tak nak gelak, kan?’’ Irdina
pura-pura marah kepada Raif yang mentertawakannya. Sedangkan dia sendiri pun
sedang sakit perut menahan gelak dengan cerita sendiri.
‘‘Sorry...
I can't help it!Tapi you ni kelakarlah, Idin.’’ Raif masih ketawa. Satu
kelebihan Irdina, gadis itu mampu mewujudkan suasana ceria dengan cerita-cerita
lucunya setiap kali mereka keluar bersama.
Akhirnya, Irdina juga tersengih. ‘‘Feroz dan Suri selalu
perli I... dia kata I patut masuk kelas agama kalau nak pikat abang tu. Bukan
masuk kelab berkayak.’’
Raif tersengih membayangkan Irdina yang bertudung labuh.
Kalau begitu penampilan gadis itu, pasti dia tidak berani menegur apabila
mereka satu lif ketika di hospital dahulu.
‘‘Bila fikir balik... bodoh betul I masa tu. Buat semuanya
untuk menarik perhatian seseorang. Tapi bila fikir secara positif, sebenarnya I
enjoy semua aktiviti tu. Mencabar... tapi menyeronokkan dan buat kita
perlu fit sepanjang masa.’’ Kini, Irdina berterima kasih kepada abang
senior yang telah memperkenalkan sukan lasak itu kepadanya. Aktiviti tersebut
memang kena dengan jiwanya.
‘‘Bila I dengar cerita you... rasa macam best pula.
You daki bukit, you terjun laut, you masuk sungai.’’ Raif kagum dengan aktiviti
sukan yang Irdina ceburi. Harus diakui, sebagai seorang gadis, Irdina dikategorikan
sebagai seorang yang cukup fit. Manakala dia, sukan yang dilakukannya untuk
kekal fit hanyalah sesekali berenang
dan berlari di atas thread mill di hadapan televisyen di ruang rehat
banglo Datuk Ilyas... buat malu saje!
‘‘Ada satu lagi aktiviti yang I teringin nak cuba... tapi
itu pun kalau ada duit dan ada peluang.’’ Sebagai seorang yang sentiasa
inginkan cabaran baharu, Irdina selalu tercari-cari aktiviti yang belum pernah
dilakukannya.
‘‘Apa dia?’’
‘‘I teringin nak buat bungee jumping di New
Zealand. Kalau tak pun di Macau.’’ Irdina meluahkan salah satu impiannya.
Mendengar impian Irdina, hati Raif tercuit. Kalaulah dia
dikurniakan rezeki lebih, dia sanggup tunaikan impian gadis itu.
‘‘Insya-ALLAH... kalau ada rezeki, kita pergi sama-sama. Let me be your partner
in crime!’’ lafaznya seikhlas hati. Wajah gadis yang memakai gaun separa
lutut dan bertali pinggang besar itu, ditatapnya. Irdina kelihatan manis dan
bergaya dengan busana itu.
‘Kita? Partner in crime?’ Irdina terkedu seketika.
Wajah Raif ditatap. Cuba mencari riak di wajah itu, adakah Raif bergurau atau
serius. Betulkah pendengarannya apabila Raif menyebut ‘kita’? ‘Kita’ itu
bermaksud, aku dan dia sahaja? Atau termasuk gadis-gadis lain yang menjadi
rakan Raif?
Tetapi kalau dia dan Raif sahaja... serta merta hati
Irdina berdetak kencang. Terasa satu perasaan halus meresapi kalbu bila Raif
melafazkan kesudian mahu menjadi ‘partner in crime’nya. Indahnya kalau
dapat terjun bersama Raif dari wayar kereta kabel yang tingginya 134 meter di
Queenstown, New Zealand atau dari Macau Tower yang mempunyai ketinggian 233
meter itu!
Tiba-tiba telefon bimbit Raif berbunyi. Merencatkan
seluruh angan Irdina.
‘‘Kejap ya, Idin. I nak jawab call ni.’’ Sebelum
sempat Irdina menjawab apa-apa, Raif sudah menekan ikon ‘answer’. ‘‘Yes,
Atilia... I've been waiting for your call!’’ Dia terpaksa menjawab
panggilan itu kerana ada perkara yang ingin ditanyakan kepada Atilia tentang
pelaburan di FZ Investment Corporation. Sepanjang petang dia mencuba talian
gadis itu tetapi tidak berjaya.
Mendengar nama Atilia disebut, sekejap itu juga Irdina
bagai kembali dari dunia khayalnya yang indah sebentar tadi. Dia bukan di
Queenstown New Zealand atau di Macau. Dia sedang duduk di depan Raif yang
sedang berbicara dengan gadis lain bernama Atilia. Siapa pun Atilia untuk Raif,
hakikat itu sudah cukup memberitahu Irdina, bukan dia seorang sahaja yang ada
dalam senarai panggilan Raif Imran!