Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
49,661
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

PAGI minggu, Diza duduk bersarapan dengan Daim. Hari ini dia memasak mihun goreng sebagai juadah sarapan paginya.

“Im tak nak ikut along tengok mak?” Sambil menuang teh O ke dalam cawan, Diza ajukan soalan yang sudah berulangkali ditanyanya pada Daim sebelum ini. Biarpun sudah dapat diagak jawapan yang bakal muncul daripada mulut Daim, dia tetap tidak jemu bertanya.

“Tak naklah. Along pergi ajelah. Kalau Im pergi pun, bukan boleh masuk dua-dua sekali.” Daim menjawab acuh tak acuh. Tangannya laju menyorong mihun goreng ke dalam mulut. Buat-buat sibuk mengunyah makanan dengan kepala menunduk walhal sebenarnya mahu melarikan diri daripada bertatapan mata dengan along.

“Kalau Im nak jumpa mak, nanti Im masuklah. Along tak payah. Along dah selalu lawat mak,” pujuk Diza. Dengan Daim dia tidak boleh terlalu berkeras. Daim seperti anak-anak remaja lain. Suka memberontak jika ada sesuatu yang dipaksakan ke atasnya dan tidak kena dengan kemahuannya.

“Im ada hal hari ni.” Daim mengelak lagi.

“Mak nak sangat jumpa Im. Mak rindukan Im. Mak sangat-sangat rindukan Im.” Sebak rasa dada Diza selepas berkata begitu.

Setiap kali bertemu, emak sentiasa bertanyakan Daim. Rindu sungguh emak kepada anak bongsunya itu. Sejak emak terkurung di sebalik jeriji besi, hanya beberapa kali emak dapat berjumpa Daim. Bukan Diza tidak mahu membawa Daim berjumpa emak, tetapi adiknya itu selalu mengelak. Ada saja alasannya. Kadang-kadang alasan yang diberikan nampak sangat tidak logik. Seperti sengaja diada-adakan.

Diza tahu Daim sengaja tidak mahu bertemu emak. Daim malu dengan keadaan emak. Daim rasa rendah diri dan berasakan dirinya tidak setanding kawan-kawan yang punya keluarga sempurna. Sebab itu, adiknya itu beria-ia menyuruh dia merahsiakan perihal emak daripada kawan-kawannya di sekolah. Memikirkan Daim, dia tidak ada pilihan selain menurut saja kemahuan adiknya. Daimlah satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Tanpa Daim, dia hidup sebatang kara.

Atas alasan mahu menjaga hati Daim, dia rahsiakan perihal emak daripada semua teman-teman dan jiran-jirannya. Bila orang bertanya, dia akan kata emak sudah ‘tiada’. ‘Tiada’ yang membawa maksud berbeza-beza. Terpulang kepada sesiapa yang mendengar mentafsirkannya.

Diza tidak pernah mengatakan emak sudah meninggal dunia, walhal itulah yang pernah dipinta emak suatu masa dulu. Emak mahu dia menutup cerita dengan mengatakan dia sudah mati. Tetapi, dia yang tidak sampai hati. Jadi, setelah sembilan tahun emak terkurung dalam jeriji besi, rahsia emak masih selamat daripada jangkauan teman-teman dan jiran-jiran. Namun, tidak tahulah sampai bila rahsia emak akan terus selamat.

Setakat ini, yang tahu fasal emak hanyalah seisi keluarga sebelah emak dan arwah ayah tirinya, Hamid. Termasuk juga Hazif, bekas tunangnya. Harap-harap janganlah Hazif membawa mulut mencanang ke seluruh pelusuk dunia tentang emak. Tidak tahulah di mana patut Diza sorokkan muka jika rahsia yang sedaya-upaya disimpan itu pecah di telinga masyarakat keliling.

“Lain kalilah Im tengok mak. Im memang ada hal hari ni. Im ada tuisyen,” terang Daim bagaikan memujuk tatkala melihat wajah Diza sudah berubah kelat. Dia tahu Diza kecewa dengan penolakannya yang entah kali ke berapa. Tetapi, hendak buat macam mana? Dia betul-betul belum bersedia bertemu empat mata dengan emak. Takkan mahu dipaksa-paksa?

Diza angkat kepala memandang Daim. Dia tidak tahu Daim ada mengambil kelas tuisyen selain kelas tambahan yang diadakan pada setiap malam dan pagi Sabtu di sekolahnya. Biasanya, apa saja yang berkaitan dengan diri Daim, dia akan tahu terlebih dulu kerana dia yang menjadi ‘pengurus’ Daim.

“Tuisyen apa pulak? Kan hari ni hari minggu?” Diza cepat mahu menyelidik. Hari minggu biasanya Daim akan menyiapkan kerja-kerja sekolah yang bertimbun atau pun belajar sendiri di rumah.

“Im tuisyen dengan Cikgu Remy. Kejap lagi dia datang.” Daim pandang muka Diza sekilas sebelum menjatuhkan pandangan ke pinggan yang sudah kosong di hadapannya.

Daim rasa bersalah kerana pandai-pandai membuat keputusan sendiri untuk belajar kelas tambahan bahasa Inggeris dengan Cikgu Remy. Bukan niatnya hendak membelakangkan along dalam hal ini. Dia memang berniat menyampaikannya kepada along cuma menanti saat yang sesuai. Dan rasanya pagi ini adalah masa paling sesuai. Berdebar hati Daim menanti tindak balas along. Bimbang along menghalang hasratnya yang menggunung tinggi.

“Tuisyen dengan siapa?” Kecil mata Diza mendengarnya. Dia tujah soalan kepada Daim. Takut gegendang telinganya tersalah dengar.

“Dengan Cikgu Remy,” jawab Daim tanpa memandang langsung muka Diza. Kali ini suaranya perlahan. Macam tidak yakin kepada dirinya sendiri. Bimbangkan Diza naik angin pagi-pagi begini.

Diza senyap. Memang benar telinganya tidak tersilap dengar. Dia berasa kecil hati dengan Daim. Daim sekarang mula pandai berahsia-rahsia dengannya. Selalunya, Daim tidak pernah membelakanginya. Apa saja yang Daim buat, akan dikhabarkan kepadanya terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan. Tetapi, sekarang Daim sudah pandai berahsia-rahsia. Itu yang membuatkan dia tidak puas hati.

Diza sebenarnya bukan marahkan Daim mengambil kelas tambahan. Hasrat Daim itu bukan perkara yang tidak elok. Malah dia teruja mendengarnya kerana Daim ada inisiatif sendiri mahu meningkatkan pencapaiannya dalam subjek yang dia lemah. Cuma....nama guru yang disebut Daim itu yang membuatkan hatinya jadi tidak tentu rasa. Remy! Mengapa pula Daim mahu belajar dengan Remy dan bukan guru lain? Ramai lagi guru Bahasa Inggeris di sekolahnya, mengapa dengan Remy juga, adiknya berkenan? Diza bukan bencikan Remy. Cuma sejak kebelakangan ini dia rasa tidak selesa dengan Remy.

“Bila pulak Im buat rancangan nak tuisyen dengan Cikgu Remy?” Diza tanyakan soalan sambil memicingkan mata memandang Daim.

“Hari tu masa Cikgu Remy hantar Im balik rumah,” cerita Daim tenang.

“Along dah agak dah.” Diza terdiam sebentar. “Macam mana pulak boleh timbul rancangan nak ambil tuisyen ni? Im yang suruh Cikgu Remy ajar Im ya?” korek Diza hingga ke akar umbi.

“Taklah, along. Cikgu Remy yang buka cerita dulu. Dia tahu Im lemah Bahasa Inggeris. Dia tanya nak tak tuisyen dengan dia, Im jawablah nak.” Daim tidak senang dengan perangai along yang suka menerjah tidak tentu fasal dan membuat spekulasi bukan-bukan.

“Berapa dia ambil sebulan? Along cakap betul, along tak ada duit nak bayar mahal-mahal.” Melihat Daim begitu bersungguh-sungguh, Diza tidak sampai hati menolak hajat adiknya. Dia kendurkan rentak suara seiring dengan pandangannya yang bertukar redup ke wajah Daim.

“Cikgu Remy kata dia tak nak Im bayar apa-apa. Dia ajar Im free of charge.”

Melopong mulut Diza mendengarnya. Free of charge?Biar betul! Detiknya dengan tatapan mata berubah tajam melirik muka Daim. “Betul ke dia cakap macam tu?” tanya Diza tidak percaya.

“Betullah, along. Takkan pulak Im nak tipu? Pasal Cikgu Remy, Im tak berani nak tipu. Bukan along tak tahu dia tu macam mana. Kalau dia meletup, bunyi meriam buluh pun kalah. Kalau along tak percaya, along pergi telefon Cikgu Remy,” saran Daim beria-ia.

Diza mencebik. Tidak kuasa dia hendak menelefon Remy sekadar mahu memastikan betul atau tidaknya kata-kata Daim. Begitu pun, tercuit hatinya mendengar lawak spontan Daim yang mengumpamakan Remy seperti meriam buluh. Siapa yang tidak kenal Cikgu Remy Nuqman yang terkenal garang di sekolah? Sekali dia herdik, satu sekolah senyap sunyi. Bila dia lalu, semua murid menyisih ke tepi. Namun, garang-garang begitu pun, semua murid sayang dan hormat padanya. Siap dapat gelaran ‘Guru Paling Popular’ pada sambutan Hari Guru untuk tiga tahun berturut-turut!

“Tak payahlah sampai nak telefon-telefon. Nanti along tanyalah dia sendiri. So, hari ni nak start tuisyenlah, ya?”

“Yalah.”

“Buat kat mana? Kat sini ke?” Diza mahukan kepastian. Dia tidak sedap hati memikirkan Remy akan kerap datang ke rumahnya untuk mengajar Daim kelas tambahan. Apa pula kata jiran-jiran nanti melihat Remy bertunggu bertangga di rumahnya setiap cuti hujung minggu?

“Taklah, along. Kat rumah Cikgu Remy. Im pun tahu, buat kat sini nanti, tentu along tak bagi,” perli Daim.

Mencerut muka Diza mendengar jawapan Daim. “Kat mana rumah dia? Jauh ke?” risik Diza. Dia tidak pernah mengambil tahu di mana letaknya rumah Remy. Lagi pun, secara logik akalnya apa perlunya dia mengambil tahu? Dia bukannya ada apa-apa dengan Remy. Tetapi sekarang dia perlu tahu di mana rumah Remy. Buatnya timbul masalah dikemudian hari, senang dia mencari pemuda itu.

“Kat area sini juga, along. Kat Jalan Enam. Along tak tahu ke?” tanya Daim sambil mengangkat kening. Pelik mendengar soalan Diza. Mustahil rumah teman sekerja sendiri pun Diza tidak tahu. Apa punya kawanlah alongnya ini.

“Tak...” Meleret jawapan Diza dengan bibir sengaja dicemikkan. Dia bangun menuju ke singki sambil menatang pinggan di tangan. Malas memanjang-manjangkan cerita mengenai Remy. Tersalah sebut, melalut pula tanggapan Daim nanti.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.