Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
182,662
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

Esoknya pagi-pagi lagi Bella telah bersedia untuk pulang. Dia nekad untuk pulang hari itu. Oleh itu bila doktor datang dia dengan ceria meminta untuk pulang. Namun, hasratnya itu hanya tinggal hasrat. Doktor masih belum membenarkan dia pulang ke rumah dengan keadaanya yang masih belum boleh berjalan.

“Sebenarnya, buku lali awak masih belum pulih. Saya cadangkan awak duduk dua hari lagi,” kata doktor itu. Bella terpempan.

“Apa? Saya nak baliklah Dr. Saya tak mahu duduk hospital ini,” balas Bella.

“Cik Bella, awak masih tak boleh jalan sendiri. Bukankah lebih elok awak di sini? Jururawat boleh bantu awak. Tuan Ben pun suruh awak rehat di sini,” ujar doktor muda itu sambil tersenyum.

“Saya bosan duduk sini doktor. Lagipun hari ni saya kerja,” luah Bella. Teringat yang dia dan ibunya ada kerja di pasar malam.

“Saya dah sediakan MC untk awak selama seminggu. Tuan Ben yang mintakan,” ujar doktor yang bertugas itu. Ben yang mintakan cuti? Nampaknya sampai cuti pun Ben fikirkan untuknya. Lelaki itu amat perihatin.

“Dr...saya tak perlukan cuti yang lama,” ujar Bella berterus-terang.

“Tapi, kaki awak perlukan masa untuk sembuh Cik Bella. Saya tak rasa awak boleh kerja dengan kaki macam ini,” ujar doktor wanita itu. Bella menghela nafas. Hakikatnya pada Bella, bila dia tiada wang, cuti rehat tak bermakna apa-apa. Kalau dia tidak bekerja hari itu bagaimana pula dia dan ibunya mahu makan? Tapi betul juga kata-kata doktor itu. Kakinya masih belum baik. Kalau dia bekerja pun dia akan susahkan orang lain kerana dia tidak boleh bergerak sangat seperti biasa. Pasti pergerakannya terbatas. Memang sejak semalam dia perlukan bantuan untuk ke bilik air. Dia terpaksa dipapah. Namun semalam sewaktu jatuh dia tak rasa terseliuh buku lalinya boleh jadi serius begitu sehingga sukar berjalan. 

Tapi hakikatnya memang dia tidak boleh berjalan pun semalam sehingga terpaksa diangkat seperti itu oleh Ben. Ah! Buat malu sahaja, desis hati Bella bila mengingat hal semalam. Tiba-tiba wajah Bella sedikit merah mengingatkan betapa rapatnya mereka semalam. Lingkaran tangan lelaki itu yang padu di tubuhnya. Bau perfumenya yang harum dan melegakan. Rasa selesa dan selamat.  Aduhai, desis hatinya. Mengapa dia rasa semacam bila memikirkan peristiwa itu? Dan juga peristiwa di parkir Zouk itu? Di parkir pasar malam?  Sepatutnya dia tidak seperti itu. Dia sepatutnya tidak terkesan dengan lelaki itu yang tidak tentu lagi ikhlas membantunya semalam. Ikhlaskah lelaki itu sebenarnya? 

Setelah usai berbincang dengan doktor, seharian Bella menunggu Ben bersama ibunya. Hatinya cemas serta cuak menunggu. Sejak tadi matanya asyik di pintu. Penatnya menunggu pintu itu terbuka. Bila menyedari penantiannya yang agak terlebih itu Bella rasa seperti mahu memukul dahi sendiri. Apa sudah jadi pada dirinya? Dia tak sepatutnya teruja berlebihan begitu. Dia belum tahu lagi apa yang lelaki itu mahukan darinya. 

Bella tahu semua yang dilakukan itu pasti disebabkan oleh niat lelaki itu yang mahukan sesuatu darinya. Mana ada orang yang membantu ke tahap itu secara percuma. Membawa dia ke hospital itu dan bayarkan semua. Kalau hospital kerajaan dia tidak sangsi. Ini hospital swasta yang agak ternama pula dan rata-rata semua tahu kos bayaran perubatannya mahal pula. Bilik VVIP pula. Siapa yang sanggup buat begitu kalaulah tidak ada udang di sebalik batu?.  Kalau begitu ada baiknya juga. Kalau lelaki itu mahukan balasan dia mahu bertawar dengan lelaki itu. Nanti apabila lelaki itu datang Bella akan tawarkan sesuatu untuk membalas semua itu. Ini untuk ibunya. Dia tahu ibunya akan gembira jika lelaki itu sanggup menerima tawaran Bella nanti. Ah, Bella tak sabar untuk berjumpa Ben hari itu.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.