Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
31,003
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Malik memanggil Ghani sekali lagi berjumpa dengannya. Turut hadir ialah Sidik. Selepas Fauzi menarik diri dari komplot menggulingkan Amran, Malik tidak lagi memanggil Fauzi di dalam perjumpaan sulitnya. Sebagai gantinya Sidik mengambil tempat Fauzi.

“ Nampak gayanya kita kena buat sesuatu yang lebih drastik,” kata Malik memandang kedua- dua mereka satu persatu.

Sidik tidak begitu faham makna perkataan drastik tetapi dari air muka Malik ketika mengucapkan perkataan itu Sidik dapat mengagak makna perkataan drastik.

“ Betul tu Tuan Haji. Kalau semakin lama Amran memangku jawatan Ketua Bahagian semakin kuat cengkaman dia kepada ahli parti dan AJK parti  kita ini. Kita memang perlu buat tindakan drastik,” kata Ghani mengiyakan.

Cepat sangat Ghani menciplak perkataan drastik dari Haji Malik, kata hati Sidik.

Tidak mahu rasa terpinggir, Sidik mencelah menggunakan perkataan drastik juga.

“ Apakah tindakan drastik yangTuan Haji nak kita berdua buat? “ Sidik bertanya.

“ Itu yang aku panggil kau berdua ini datang jumpa aku. Aku nak kau berdua tolong aku untuk sama-sama berfikir macam mana nak dapatkan jawatan Ketua Bahagian tu,” kata Malik.

Dengan ketiadaan Fauzi yang dianggap paling cerdik diantara penyokong Haji Malik, beban merancang strategi jatuh kepada Ghani yang tidaklah begitu cerdik. Tapi sekurang-kurangnya lebih cerdik dari Sidik.

“ Macam kita cakap dululah Tuan Haji. Kita perlu jatuhkan imej Amran dengan skandal. Skandal boleh jadi skandal kewangan, boleh jadi skandal seks, boleh jadi salah guna kuasa,” kata Ghani.

“ Amran ni kalau nak sogok duit memang tak jalanlah. Kalau tak mudah aja aku selesaikan masalah ni. Berapa dia nak untuk lepaskan jawatan tu? seratus ribu? dua ratus ribu? Lima ratus ribu?.Masalahnya dia ni bukan mata duitan,” kata Malik memandang keluar tingkap pejabatnya yang semakin tersusun rapi semenjak Sarina bekerja di situ.Sarinalah yang menyusun semula pejabat Haji Malik yang dulu begitu berselerak. Di luar pejabat Haji Malik kelihatan lori keluar dan masuk mengangkut barangan. Haji Malik pemborong terbesar barang-barang keperluan penduduk di daerah Rimba Damai ini.

“ Aku nampak satu aja cara nak jatuhkan Amran. Kita ganggu emosi dia dengan berita isterinya yang curang tu,”kata Malik.

“ Tapi macam kita bincang dululah. Kita takut strategi kita ni makan diri. Kita nak orang membenci Amran.Saya khuatir nanti Amran mendapat simpati pulak,” kata Ghani.

“ Ye, aku pun terfikir macam tu juga,” kata Malik.

“ Lebih baik lagi kalau Amran sendiri yang terlibat dalam skandal seks. Itu senjata yang betul-betul berkesan,” kata Ghani.

Sidik yang mendengar saja dari tadi tiba-tiba merasa terkejut dengan topik perbincangan mereka. Dia tidak menyangka Haji Malik sanggup membuat sesuatu yang di luar batas kemanusiaan.

“ Ghani, nanti aku nak kau kumpulkan bukti tentang isteri Amran tu. Setakat ni bukti kita tak kukuh lagi.Setakat laporan kau tau sapa nak dengar, sapa nak percaya. Kena ada bukti bergambar,” kata Malik.

“ Saya duduk sini susah sikitlah nak tengok apa isteri Amran buat kat Kuala Lumpur sana. Kalau Tuan Haji setuju kita pasang kaki kat Kuala Lumpur tu. Cuma kena bayarlah,” kata Ghani.

Rimba Damai memakan masa 8 jam berkereta ke Kuala Lumpur.

“ Kau buatlah apa yang patut. Soal duit tak jadi masalah. Cuma jangan libatkan aku. Jangan sampai dia tahu yang aku terlibat dalam hal ini. Kalau rancangan ni terdedah, rosaklah semua program aku,” kata Malik.

“ Yang tu Tuan Haji janganbimbang. Pandailah saya menguruskannya nanti,” kata Ghani meyakinkan Malik.

“ Ok. Selesai masalah bahagian isteri Amran. Sekarang ni macam mana pulak kita nak tundukkan Amran ni. Nak perangkap Amran,” kata Malik sambil menghirup kopi yang tadinya panas kini telah sejuk.

“ Saya tak nampak cara lain Tuan Haji kecuali kita kena gunakan budak Sarina tu,” kata Ghani.

“ Aku dah cuba-cuba juga tapi nampaknya budak Sarina tu baik sangatlah,” kata Malik.

“ Memanglah Sarina tu budak baik tapi kita pun bukan suruh dia bunuh orang ke, rompak orang ke. Saya cuba pujuk Sarina tu slow-slow lah Tuan Haji. Dia dengan saya macam boleh dengar cakap saya,” kata Sidik. Dia sengaja menawarkan diri untuk membantu Malik sebab dia tidak mahu menjadi rakan kongsi yang pasif dalam komplot ini. Sidik banyak terhutang budi dengan Malik.

“ Kalau slow mana boleh,” kata Malik. “ Kita kena bergerak pantas,”tambahnya lagi.

“ Ye Tuan Haji. Ibarat menarik rambut dari tepung, rambut berjaya ditarik, tepung tak berselerak,” kata Sidik.

“ Hah, pandai pun kau. Jangan kau pulak yang makan budak Sarina tu nanti. Benjol dahi kau aku tumbuk,” kata Malik,  menunjukkan buku limanya kepada Sidik sambil tertawa.

Eleh, oran tua ni ada hati nak tumbuk aku. Sekali aku tolak dengan hujung jari aku pun dah rebah, bisik hati Sidik sambil bibirnya menguntum senyum kepada Malik.

“ Kalau macam tu kita mulakan gerak kerja kita dari sekarang. Aku nak laporan dari semasa ke semasa. Aku jenis manusia tak lupa jasa orang kepada aku. Kalau aku jadi Ketua Bahagian,kalau aku jadi Ahli Parlimen nanti aku akan ingat jasa kau berdua. Adalah ganjaran yang menanti untuk kau berdua. Satu aja aku minta dari kau berdua.Biar pecah di perut, asalkan jangan pecah di mulut,” kata Malik.

“ Bab tu Tuan Haji jangan risau.Kita dah kenal bukan sehari dua tapi dah berpuluh tahun,” kata Ghani meyakinkan Malik.

Selesai perjumpaan mereka meninggalkan Malik yang tersenyum dengan wajah puas.

.............................................................................................................................................................

“Terima kasihlah abang Sidik belanja makan hari ni,” kata Sarina sambil mengelap mukanya yang berpeluh selepas menghabiskan sepinggan nasi ayam di restoran Nasi Ayam di pekan RimbaDamai itu.Memang kedai itu dipenuhi pelanggan ketika waktu rehat tengahari.

“ Macam mana dengan perbincangan hari itu? “ Sidik bertanya.

“ Semua berjalan lancar.Macam-macam perkara yang dibincangkan. Rasa seronok pula bergaul dengan orang politik ni kan bang?” kata Sarina sambil menyedut teh ais . Mukanya kemerah-merahan disebabkan bahang panas di dalam restoran itu.

“ Abang ni drebar lori aja. Tak tahu sangat tentang politik tapi kita orang Melayu ni memang perlu buat sesuatu yang drastik,” kata Sidik lagi, menggunakan perkataan drastik, satu perkataan yang baru di dalam perbendaharaan katanya.Dia takut jika lama tidak menggunakan perkataan itu nanti dia akan lupa.

“ Hebatlah abang Sidik ni’,” kata Sarina tertawa mendengar cara Sidik menyebut perkataan drastik yang kedengaran janggal di telinganya.

Sidik turut tertawa. Dia sedar bukan mudah rupanya untuk menjadi orang bijak pandai ini. Lebih baik dia kekal sebagai pemandu lori sahaja. Tak payah pening kepala.

“ Macam mana dengan YB Amran?”Sidik cuba memancing.

“ YB tu best. Sempoi sangat.Patutlah orang muda ramai sukakan dia. Tapi sayang dia dah kawin. Kalau tak saya salah seorang yang akan hantar borang permohonan untuk jadi isteri dia.Hihi,” kata Sarina tertawa.

“ Ina ni cantik macam ni takkan tak ada pakwe,” kata Sidik. Di sekeliling mereka pelanggan mula beransur meninggalkan restoran tapi Sidik dan Sarina terus leka berbual.

“ Dulu adalah masa kat universiti dulu. Tapi mak bapa dia tak setuju. Dia orang bandar saya ni orang kampung.Terlalu banyak tekanan yang kami berdua hadapi. Akhirnya kami tak mampu bertahan. Saya yang buat keputusan untuk berundur. Masa mula-mula tu rasa separuh mati jugalah. Rasa nak terjun lombong aja. Tapi akhirnya saya kuatkan diri dan bangkit dari kekecewaan tu semua. Sejak itu saya berazam satu hari saya akan buktikan anak kampung Rimba Damai ini akan boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan orang bandar,” kata Sarina. Matanya tiba-tiba berkaca dengan air mata. Mungkin nostalgia lama kembali menghantui mindanya semula.

“ Ina boleh, Ina boleh,”tiba-tiba Sidik berteriak dengan suara yang agak kuat meniru slogan Malaysia Boleh yang pernah menjadi sebutan rakyat Malaysia satu ketika dulu. Suara Sidik mengundang pandangan beberapa orang pelanggan yang masih berada di restroran itu.

“ Apalah abang Sidik ni. Malulah orang tengok,” kata Sarina merasa tidak selesa dengan pandangan orang sekeliling.

Sorry, sorry,” kata Sidik sambil tersengih memandang Sarina.

“ Apa yang YB Amran bincang hari tu?” Sidik kembali ke topik perbincangan asal.

“ Kita rancang nak buat macam-macam aktiviti untuk mengukuhkan kedudukan parti menjelang pilihanraya umum akan datang. YB dah lantik saya untuk ketuai aktiviti beramah mesra dengan pengundi. Saya diminta juga menyiapkan pasukan perayu undi di kalangan ahli Puteri parti,” kata Sarina.

“ Baguslah. Bermakna YB tu percaya kat Ina,” kata Sidik cuba menganalisa keadaan. Memilih waktu yang sesuai untuk menyampaikan hajatnya.

“ Tapi letihlah bang. Mak pun dah bising. Kuala Lumpur seolah olah dah jadi rumah pertama saya, Rimba Damai dah jadi rumah kedua. Mak cakap dulu masa belajar empat tahun tinggalkan emak duduk di Kuala Lumpur. Sekarang dah kerja pun tinggalkan mak juga. Kecik hati mak saya tu,” kata Sarina.

“ Nak buat macam mana kan. Tugas kita. Macam abang ni kerja bawa lori macam tu juga. Kena tinggalkan keluarga juga,” kata Sidik.

“ Lusa ni pun nak ke Kuala Lumpur lagi. Dah naik kematu punggung saya ni duduk atas bas,” kata Sarina.

“ Kenapa tak bawa kereta sendiri aja,” Sidik bertanya,

“ Saya mana tahu jalan Kuala Lumpur tu. Tak beranilah bang,” kata Sarina sambil mengeguk minuman terakhirnya.

Sebaik sahaja mereka keluar dari restoran menuju ke kereta masing-masing Sidik mengeluarkan satu sampul surat dari poket seluarnya dan menghulurkan kepada Sarina.

Sarina agak terkejut dengan pemberian itu lantas membuka sampul surat itu. Ada 4 keping wang seratus ringgit di dalam sampul surat ini.

“ Eh, duit apa ni abang Sidik,”Sarina bertanya kehairanan.

“ Tu duit Haji Malik kirim pada Ina. Buat belanja di Kuala Lumpur nanti,” kata Sidik.

“ Banyaknya. Kan semua perbelanjaan  saya di Kuala Lumpur ditanggung parti,” kata Sarina.

“ Itu pemberian ikhlas dari TuanHaji. Dia nak minta tolong sesuatu dari Ina,” kata Sidik.

“ Minta tolong apa pulak sampai siap bagi-bagi duit ni? “Sarina bertanya kehairanan.

Sidik tidak menjawab. Dia melangkah pergi meninggalkan Sarina yang sedang tertanya-tanya apakah pertolongan yang diperlukan oleh Malik.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.