Home Novel Cinta Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/2/2025 14:08:40
2,290
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

ORKED berdiri menghadap Baqi. Memandang wajah kacak lelaki itu sememangnya mampu meruntunkan jiwa seorang hawa. Apatah lagi apabila Baqi menguntum senyuman dan  menampakkan lesung pipit yang duduk manis di sebelah pipi kirinya. Uwais tegap dan bergaya, tetapi auranya jauh berbeza daripada Baqi. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang menggoncang jiwa Orked sejak dulu. Tika kali pertama pandangan naifnya jatuh pada Baqi, dia sudah terpesona. 

Baqi peramah. Tetapi, tiap kali dia cuba melantunkan perasaannya kepada Baqi, lelaki itu seolah-olah mencipta jarak di antara mereka. Orked tidak tahu sama ada Baqi tidak cukup tertarik kepadanya atau hati Baqi sudah terkunci mati terhadap hawa yang lain. Tetapi siapa? Kekwa? Mustahil! Mereka hanya berkawan, bukan? Hanya lelaki gila saja yang mampu menyukai wanita berhati beku seperti kakaknya itu.

"Ni hadiah untuk Orked." Baqi menghulurkan kotak kecil yang diberikan Kekwa.

"Apa ni?" soal Orked malu-malu. Dia mengambil juga kotak yang dihulurkan Baqi. "Abang beli apa untuk Orked?" 

Baqi tersengih.

"Manalah abang tau. Orked kenalah buka dulu," ucapnya spontan tanpa berfikir panjang. Dia sememangnya tidak tahu apa yang dibelikan Kekwa.

Dahi Orked berkerut. 

"Abang tak tau? Mengada-adalah abang ni. Dia yang belikan untuk kita, dia tak tau pula," balasnya manja. 

Baqi membalas dengan tawa yang dibuat-buat.

"Yalah, abang mana tau Orked suka atau tak," balas Baqi, cuba mengubah persepsi Orked.

"Dah abang bagi, takkanlah Orked tak suka pula," ujar Orked.

Dia membuka kotak yang dihulurkan Baqi tadi. Alangkah terkejutnya Orked apabila mendapati ada sepasang anting-anting di dalamnya berbentuk rama-rama. 

"Cantiknya! Mana tau Orked suka rama-rama?"

"Orked suka rama-rama?" soal Baqi, terkejut.

Orked mengangguk.

"Orked ada koleksi tau ...."

Baqi mengangguk-angguk. Bangga pada mulanya. Tetapi, dia terkesan perubahan pada riak wajah Orked. Baqi memandang cuping telinga Orked yang belum bertindik.

"Orked takut nak tindik ... takut sakit," luah Orked sambil menggosok telinganya dengan gaya manja. 

"Abang tau Orked tak tindik. Cuma masa abang tengok subang ni, abang rasa lawa. Sesuai untuk Orked. So, abang belikan. Orked simpan. Bila Orked rasa dah bersedia nak bertindik, boleh cuba pakai." Baqi masih memaniskan mulut, tetapi dalam hati dia menyumpah-nyumpah pilihan hadiah Kekwa.

"Orked tak tahan sakit," luah Orked lagi.

"Ala ... sakit sikit aje kut. Tapi tak apa. Kalau Orked tak sedia, simpan aje. Abang bukan paksa pun. Abang hanya rasa subang tu cantik. Dan abang teringatkan Orked masa tengok subang tu."  

Orked tersenyum. Dia baru hendak membuka mulut apabila Uwais tiba-tiba membuat kemunculan semula. Lelaki itu membongkok dari belakang, mengejutkan Orked apabila kepalanya muncul di sebelah muka Orked. Orked hampir terloncat, tetapi cuba mengawal detak hati terkejutnya.

"Borak apa yang seronok sangat tu?" soal Uwais. 

Orked menutup kotak subang yang diberikan Baqi. Dia menoleh memandang Uwais.

"Orked, I fikir kan ... I penat nak drive balik malam ni. You rasa mama dan papa you okey tak kalau I crash over kat sini malam ni?" soal Uwais lagi.

Dahi Baqi berkerut sedikit. Uwais mencangak sedikit. Sombong lagaknya ketika matanya bertemu mata Baqi. 

"Okey aje. Mama dan papa tak kisah. Ada sepuluh bilik kat rumah. Orang tak pakai pun. Buat tangkap habuk aje. Nanti Orked cakapkan kat mama ya," jawab Orked. 

"Oh, ya. Dari tadi abang tak nampak pun uncle dengan aunty? Dia orang tak ada ke?" soal Baqi.

"Dia orang ada. Tapi lepak kat bilik. Sebab dia orang nak bagi kebebasan kita berparti kat bawah. Tapi, sampai pukul 10.00 ajelah," terang Orked. 

Baqi mengangguk. Aneh-aneh keluarga sekarang. Hari jadi sesuatu yang bagi Baqi terlalu personal. Selayaknya disambut bersama keluarga tersayang dan individu terpenting. Tetapi, keluarga yang ada diketepikan.

Orked nampak bahagia menyambut dengan jemputan yang berupa party-goers yang seakan-akan tidak dikenalinya secara rapat. Kawan kepada kawan barangkali.

"Abang Baqi nak tidur sini sekali tak?" soal Orked secara tiba-tiba.

Baqi tersentak.

"Hah, boleh ke?" soal Baqi, hanya mahu menguji.

"Bolehlah. Ada banyak bilik kosong. Tak ada orang guna pun. Kalau abang takut, boleh kongsi bilik dengan Uwais," pelawa Orked bersungguh-sungguh.

"No, thanks," balas Uwais spontan.

Baqi ketawa.

"Tak payah risau. Aku pun lurus jugalah, tak pernah lagi bengkang-bengkok ni," balasnya.

Uwais menjongket kening.

"Janganlah nak terasa pula. Aku ni cuma suka waktu dan ruang privasi aku. Bukan aku nak tuduh kau bengkok," ucap Uwais.

"Eh, tak terasalah! Okey aje. Kalau boleh dapat untuk diri sendiri, kenapa nak kongsi, kan?" balas Baqi. 

Dia memandang ke suatu sudut. Kekwa dilihatnya memberi isyarat mata. Baqi bangun sekejap, memohon diri untuk keluar. Uwais yang perasan nampak meluat, tetapi tidak memuntahkan sebarang bicara. Orked hanya memaku pandangan pada Baqi sambil menguntum senyuman.

"Kau belikan dia subang? Kau tau dia tak bertindik," lontar Baqi, cuba mencari penjelasan daripada Kekwa.

"So?"

"So? Tak ke tu menjerat diri? Nampak macam aku tak bagi perhatian kat dia."

"Kau ada bagi dia perhatian ke?" soal Kekwa.

"Memanglah tak. Tapi kau suruh aku goda dia. Kalau kau bagi dia benda yang dia tak perlu, masalahlah kat aku." 

"Dia memang tertarik dengan kau," ujar Kekwa dengan penuh keyakinan. Dia memeluk tubuh. "Aku saja bagi subang. Nak tengok sejauh mana dia sanggup pergi untuk kau. Kalau dia tindik telinga dia lepas ni, memang confirmlah kau akan jadi calon adik ipar aku." 

"Woo ... woo ... let's not go there. Aku tak pernah janji nak kahwin dengan dia. Aku hanya setuju untuk datang parti hari jadi dia, gembirakan dia. Kau jangan nak lebih-lebih pula," tegur Baqi. Bimbang pula kalau permintaan Kekwa nanti meleret ke fasa-fasa lain. 

Kekwa menunjukkan air muka masam.

"Bukan main kau jual mahal. Dia cantik kan? Lemah lembut, baik pula tu. Mana ada lelaki tak suka dia?"

"Kek, kau tak boleh samakan semua lelaki. Kalau semua orang taste sama, satu spesies perempuan ajelah yang akan kahwin kat dunia. Manusia ni semua akan pupus tau tak."

Kekwa mengeluh.

"Okey, setialah ke hujung nyawa dengan Iris kau tu," ejek Kekwa.

Baqi ketawa saja.

"Rabun," tambah Kekwa sambil menggerakkan bola matanya dalam bentuk bulatan. Dia bengang. Baginya, Iris tidak mampu menandingi adik tirinya, Orked. 

"Aku tak ada masa, Kek. Tujuan aku balik cuma satu. Nak kalahkan Abu Jahal. Perempuan ni semua akan buang masa, buang duit, buang tenaga. Aku tak cukup kapital. Diri sendiri pun rasa sesak." 

Kekwa tidak memberi respons.

"Kenapa? Kau tak percaya?" soal Baqi. 

"Perlu ke aku percaya?" soal Kekwa kembali.

"Tak. Suka hati kaulah. Tapi untuk pengetahuan kau, Orked ajak aku tidur sini malam ni. Jadi, dapatlah aku rasa tilam empuk kat rumah kau. Dan jimat duit hotel. Jangan cemburu pulak," ungkit Baqi. 

"Ya, ke? Wow, untunglah orang tu! Tan Sri Jamal suka dia. Orked suka dia. Jangan Nik Irma suka juga sudahlah," sindir Kekwa.

"Eh, jangan melebih! Aku nak buat apa dengan mak tiri kau tu?" balas Baqi, risau. Dia menelan air liur. 

"Mana aku tau. Kau kan macam magnet perempuan," sindir Kekwa lagi.

"Good to know," ujar Baqi.

Kekwa menoleh, memandang wajah gembira Baqi.

"Sebab kau pun perempuan. Jadi, kau pun tertarik dengan akulah kan, Kek?" sambung Baqi.

Kekwa menggerakkan bola matanya dalam bentuk bulatan sekali lagi. Dia terus berlalu meninggalkan Baqi. Dia tidak mengiakan. Tetapi tidak pula menidakkan. Dibiarkan saja Baqi berteka-teki sendiri. 

Baqi menguntum senyuman.


Previous: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.