Dia sedar budak perempuan itu amat bengang dengan dirinya. Tapi dia hanya menjalankan tugasnya. Dari lirik matanya dia nampak kelibat gadis itu pulang ke kelas, pastinya setelah dipanggil guru disiplin.
Agak menghairankan kerana wajah gadis itu kelihatan ceria. Apakah Mikayla berjaya mengenepikan hukuman seperti selalu. Harraz agak pasti guru disiplin itu akan mengenakan Mikayla dengan hukuman yang menyiksanya kali ini kerana ini sudah masuk kali ke 3 dalam seminggu gadis itu datang lewat.
Tanpa diduga mata mereka bertembung pandang.
Jelas sekali gadis itu pun sedang menelitinya.
Dia menundukkan pandangan. Pura-pura leka membaca buku.
Mesti lah budak itu menyimpan dendam…tapi dia memang malas nak ambil port.Fikirannya menerawang kepada perbualan dengan ibunya pagi tadi.
“Kalau ibu tak ada lagi nanti, Harraz pastikan Harraz jaga adik kamu, Sonia,”tiba-tiba Normala bersuara ketika dia sedang bersiap hendak ke sekolah.
Hampir tercekik dia mendengar kata-kata ibunya pagi itu. Lain macam sungguh pula bunyi ibunya…
“Harraz?” tanya ibunya.
“Heh mengapa pulak mak cakap macam tu…tak kan mak nak tinggalkan kami berdua?”
“Bukan macam tu Harraz…Mak risaukan kamu berdua…setiap hari mak fikirkan apakah yang akan terjadi jika ditakdirkan mak pergi dulu…” tiba-tiba suara Normala tersangkut di situ.
“Mak jangan cakap macam tu. Tapi…Mak…selagi Harraz bernyawa Harraz akan jaga mak dan Nia. Dan tak ada sesiapa boleh buat apa-apa yang tak elok kepada keluarga kita. Harraz akan pastikan tak ada apa yang akan mengganggu Nia? Harraz sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga kita…” dengan berkobar-kobar Harraz memujuk ibunya.
Tiba-tiba ada suara menegurnya sambil lalu di sisinya.
“Oi…poyo gila kau ni eh…tengah tak ada cikgu pun sibuk nak baca buku.Orang tengah lepak waktu santai, dia menggelabah asyik menghadap buku.”
Qistina Sapian, gadis kawan baik Mikayla lalu di sisi, mungkin teruja menanti Mikayla. Harraz hanya tersenyum tawar mendengar tempelak Qistina yang mulut celopar itu. Tidak perlu berkata apa-apa dengan spesis macam itu,fikirnya lantas membiarkan sahaja kata-kata itu tanpa balasan.
“Jadi, macam mana? Kena jogging tengah panas ke? Atau kena sebat?” Tanya Qistina kepada Mikayla. Mata Qistina yang sepet itu tampak besar sedikit dek kerana keterujaannya apabila dia sampai ke tempat duduknya di belakang. Gigi depannya yang macam arnab itu diketap. “Kalau aku kena jogging mesti semput ni..”
“Ape jogging tengah panas? Puan Hairi suruh pergi hall sahaja lah tengah hari ni…tak kan berani lah Naruto tu nak kenakan aku.. aku dah warningdia kaw2 masa dia ambil nama aku pagi tadi…”
“Puan Hairi macam rimau tu pun takut dengan hang. Takat Naruto apa sangat kan Mick?” Qistina mengapikan perasaan Mikayla.
“Tah…tak ada pengawas berani amik nama aku, setiap kali nama aku naik pun masa dia tu jaga gate aje… sakit hati aku…” rungut Mikayla., matanya dioleng ke atas.
“Kita buat serangan balas lah?” tanya Qistina jadi batu api. Matanya dikecilkan semula, dia cuba menangkap dan memahami Mikayla. Dia pun ada dendam rahsia dengan Harraz. Beberapa kali dia didenda kerana membuang sampah merata-rata.
Mikayla menopang dagu seketika. Dia memandang Qistina yang agak tembam itu sambil terkedip-kedip memikirkan sesuatu.
“Sekarang nak masuk kelas apa eh?” tanyanya kepada Qistina.
Jejari montel Qistina mencapai cermin mata yang terletak di atas meja.Cermin mata berbingkai hitam itu memang jarang dipakainya melainkan kerana hendak membaca.
“Kelas matematik…bosannya. Subjek yang aku paling aku benci,” adu Qistina.
“Kau ingat aku suka sangat…yihh… aku tak perlu kot belajar matematik setakat nak jadi founder dan jual kosmetik brand aku nanti…” ujar Mikayla sambil mencemik.
“Heh kalau kau tak pass matematik macam mana kau nak mengira hasil keuntungan jualan kosmetik brand kau tu nanti?” bidas Qistina.
“Tu aku boleh gajikan Airina. Dia kan pandai matematik. Ada duit semua boleh jadi. Semua orang kata cash is king…entah apa aku buat menghabiskan hidup aku kat sekolah ni?? Kena amik SPM lagi?” bebel Mikayla dengan bongkak. Airina salah seorang kawannya, pelajar kelas itu yang agak baik dalam subjek matematiknya.
“Ha bijak..bijak…kau memang genius! Idola sangat!” bodek Qistina.
“Nanti aku belanja kau Ferrero Rocher size jumbo lagi kalau kau tolong aku kali ni.”
“Kau punya fasal Mick, aku sanggup renang lautan api...” ujar Qistina,meleleh air liur mengenangkan coklat bagi dirinya amat mahal, yang dijanjikan kepadanya. Untuk dia membelinya sendiri, agak mustahil kerana belanja hariannya pun bercatu oleh ibunya.
Mikayla membisikkan sesuatu kepadanya yang membuatkan dia hampirterlompat kegirangan.
“Sungguh kau ni Mick?” dahinya berkerut tak percaya.
“Tengoklah macam mana…Cikgu Joned tak datang lagi ke hari ni?” tanya Mikayla mahu tahu jika cikgu Matematik itu akan datang.
“ Entah.. tu yang on the way cikgu relief… siapa aku tak kenal pun, dia la akan ganti cikgu Maths sementara cikgu sakit,” kata Qistina kepalanya terjonggol di pintu, memerhatikan cikgu yang sedang berjalan di koridor,menghampiri pintu kelas.
“Macam budak baru form five saja...” kata Mikayla, kepalanya terjenggol di pintu. “Sebelum tu, aku nak ucap terima kasih aku dengan pengawas yang kerap amik nama aku tu.”
“Kau memang bersungguh nak buat ke ni Mick?” Qistina separuh menjerit.
“Weh, kau ingat aku ni cakap kosong je eh? Jangan lupa amik angle yang kaw-kaw punya..” Mikayla mengingatkan.
“Adehhh, memang serious rupanya…tapi kalau kamera kau kena rampas lagi macam mana?”
“Tak lama lepas tu dapat balik. Susah sangat dapat balik, aku mintak beli baru dengan mak aku!”
“Kalau macam tu baiklah aku sedia aje ni..”
“Tunggu je kau tengok bakal CEO buat kerja…” sengih Mikayla.
Dia melangkah ke arah Harraz sedang duduk menelaah buku. Harraz duduk di baris tengah.
“Nak sangat kan,” dia siap mengarahkan Qistina sedia mengambil video.Tepat-tepat dia berdiri di belakang kerusi Harraz tanpa disedari Harraz sendiri. Cikgu masuk kelas. Harraz pun bangun dan mereka mengucapkan selamat kepada cikgu..
Tiba-tiba, kaki Mikayla menendang kerusi Harraz ke tepi. Bila Harraz hendak melabuhkan diri ke atas kerusinya dia terjelepuk di atas lantai.Kepalanya terhantuk dengan meja rakan di belakangnya. Rakan di kelilingnya ada yang tertawa terbahak dengan jenaka ganas Mikayla. Ada yang agak terkedu dengan kejadian. Kelas yang berisi hampir empat puluh pelajar itu keriuhan dengan pelbagai bunyi.
“Amik kau…” kata Mikayla beredar ke arah tempat duduknya, rasa seronok macam mendapat suatu kemenangan. Geng yang biasa kena denda memberinya high five. “Dapat tak Qis?” dia bertanya mahu kepastian.
Qistina mengangguk-ngangguk dengan tanda thumbs up. Dengan bersungguh-sungguh dia mengarahkan handphone itu ke arah kedudukan Harraz.
Cikgu muda yang baru sampai itu, cikgu Tina terpinga-pinga dan menerpa ke arah tempat Harraz.
“Ehh kenapa dengan kamu ni??” Cikgu Tina tampak pucat lesi.
Keadaan sunyi seketika. Harraz bangun sambil membetulkan posture.
“Tak ada apa-apa cikgu.. tak tahu pulak saya kerusi saya boleh berjalan sendiri,” dia tersengih. Kawan-kawannya semua ketawa. Ada yang menyebut nama Mikayla. Tetapi entah mengapa suara-suara itu umpama dipadamkan dan didiamkan kawan-kawan lain.
Cikgu Tina serba tak kena kerana dia pun tidak banyak pengalaman mengajar lagi.
“Ouh saya ingatkan awak pengsan ke apa tadi… ” Cikgu Tina kelihatan cemas.Tangannya mengurut dada kelegaan. “Awak okay tak? Kalau tak, saya kena bawa pergi klinik,” sambung Cikgu Tina. “Dan awak Mikayla, saya terpaksa report kepada guru besar.”
“Eh tak ada apa-apa cikgu.. biasa lah kat kelas ni; nasib tak baik, kerusi dengan cikgu pun boleh terbang cikgu..” kata-katanya tenang, disambut ketawa beberapa rakannya.
Matanya mengerling ke arah Mikayla yang duduk di belakang. Mikayla yang baru sahaja merasa telah meraih kemenangan, tiba-tiba rasa termalu dan sakit hati kerana Harraz seperti tidak terkesan dengan apa yang dilakukannya sebentar tadi. Tambahan pula dengan kata-kata cikgu yang mahu melaporkan kepada guru besar…masalah besar juga dia jika kes itu sampai kepada orang tuanya.
“Saya tak sengaja cikgu,”balas Mikayla. Memakai wajah manisnya. Berharap cikgu itu tidak serious untuk melapor. Tetapi wajah cikgu itu kelihatan serious saja. Tak mungkinlah cikgu praktikal nak buat betul-betul laporan tu, fikir Mikayla. Puas hatinya dapat membalas dan mengajar pengawas miskin yang tak tahu takut dengan kuasa di tangan bapanya. Dia akan pastikan budak itu tahu siapa kak long kawasan di situ.