Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
158,260
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10
ALIFF menapak keluar dari bot mewah milik Datuk Affendi sejurus bot itu berlabuh di sebuah jeti konkrit yang panjang. Lautan biru yang indah menyambut pandangannya saat dia memijak lantai jeti yang berpondok batu itu.

Kelihatan beberapa orang kanak-kanak yang berlari-larian mengerumuni bot tersebut. Ada yang merenung Aliff dengan riak terpinga-pinga. Aliff mengangkat tangan seolah-olah mahu menyapa kanak-kanak itu yang malu-malu sebelum ke semuanya berlalu pergi dari situ.

Lontaran mata Aliff mula terarah ke sekeliling. Beberapa bot nelayan dilihat sedang berlabuh di persisiran pantai. Sebahagian bot masih berada di tengah lautan. Di satu sudut, ada beberapa nelayan yang sedang menarik pukat.

Aliff memerhati aktiviti para nelayan itu dengan rasa pelik namun hatinya bagaikan tertarik untuk menelitinya.

Selama ini dia tinggal di kawasan bandar, hanya mencari ikan di pasaraya. Tidak pernah sekali dia mengambil peduli bagaimana caranya ikan-ikan itu diperolehi.

“Aliff, kita kena tinggal kat pulau ni ke?” Yus bertanya. Dia dan Kamil baru keluar dari perut bot.

“Kenapa?” soal Aliff.

“Sunyi gila kat sini!” Kamil tiba-tiba memberi komen.

“Itulah pasal! Siang dah sunyi, malam lagilah!” Yus turut menyahut sambil menoleh ke sekeliling.

Line3G pun takde. Hisy, betul-betul ceruklah pulau ni, Encik Aliff!” Kamil mengomel.

Aliff mengeluarkan telefon bimbitnya. Memang tiada talian 3G seperti yang dikatakan oleh Kamil. Aduhai, bagaimana dia mahu memeriksa emel dan aplikasi lain yang menggunakan teknologi 3G jika talian internet langsung tiada?

Kawasan jeti begitu teduh. Ada beberapa orang yang sedang duduk menunggu di kerusi yang tersedia di pondok jeti itu. Mungkin mereka sedang menunggu bot tambang untuk menuju ke jeti di tanah seberang.

“Orang-orang sini nampak macam ganas aje.” Tiba-tiba Kamil membuat kesimpulan. Sayup-sayup telinganya menyapa bunyi enjin. Dia mencari arah datangnya bunyi yang semakin kuat tersebut.

“Hah, tu dia dah datang seorang!” Mata Kamil terpandang kelibat seorang pemuda kampung yang muncul bersama motor beroda tiga.

Lantas Aliff dan Yus menoleh ke situ. Datuk Affendi yang baru selesai berbicara bersama Jasni, turut mendekati Aliff dan para pekerjanya.

“Assalamualaikum. Fuh, smartgila bot ni! Mesti mahal ni. Berapa harga dia?” Budiman terus bertanya dengan riak terpesona memandang ke arah bot mewah yang berlabuh di tepian jeti.

“Adalah dalam setengah juta.” Kamil menjawab tanpa menunggu.

“Setengah juta? Huish, harga sebiji bot pun dah boleh beli lima buah rumah banglo. Gilalah!” Budiman berbicara dengan suara tidak percaya.

Yus dan Kamil berpandangan sambil tersenyum lucu melihat aksi pemuda kampung yang nampak seperti orang jakun. Kemudian mereka mengerling Aliff dan Datuk Affendi yang sama-sama memandang gelagat Budiman.

“Eh, lupa saya nak perkenalkan diri. Saya Budiman! Tok ketua kampung suruh saya datang ambil Datuk Affendi. Dia suruh bawa jumpa tuan-tuan tanah kat kampung ni.” Budiman teringatkan tujuan utama dia ke situ tadi. Dia bersalaman dengan Yus dan Kamil.

“Ya, saya Datuk Affendi.” Selepas mendengar kata-kata Budiman, Datuk Affendi pantas menyahut.

Budiman menoleh. Kelihatan dua orang lelaki tidak jauh dari situ. Seorang mungkin sebaya dengannya dan seorang lagi mungkin berusia akhir 50-an. Fokus Budiman hanya terpaku ke arah Datuk Affendi. Biarpun nampak berumur, Datuk Affendi masih segak dengan penampilan orang bandar.

“Semua dah diuruskan ke? Sebelum jumpa orang-orang kampung, boleh... errr... siapa nama tadi?” Datuk Affendi terlupa.

“Budiman, datuk!”

“Oh, ya... Tuan Budiman! Ini anak saya, Aliff dan dua orang tu, pekerja saya... Yus dan Kamil.” Datuk Affendi memberitahu.

“Eh, tak payahlah panggil saya tuan, datuk! Segan saya dibuatnya.” Budiman tergelak. Dia bersalaman pula dengan Datuk Affendi dan Aliff.

“Boleh awak bawa kami ke tapak tanah kampung berkenaan?” Kemudian Datuk Affendi meneruskan kata-katanya.

“Hah, silalah semua naik motor saya ni!”

“Kita akan naik motor ni ramai-ramai ke?” soal Aliff pelik. Dia memandang motor beroda tiga tersebut.

Budiman mengangguk. Masing-masing mula berpandangan.

“Minta maaflah datuk. Kat kampung kami ni belum ada kereta. Biasalah, jalan kampung pun sempit. Jadi, ini salah satu pengangkutan darat kami selain motor dua roda dengan basikal. Kami panggil motor tiga roda ni motor teksi.” Budiman menerangkan.

“Eh, takpe! Jasni, kamu tunggu di sini ya? Kami nak meronda kampung ni dulu. Lebih kurang pukul 2.00 petang, kami akan datang ke sini semula. Kami akan bermalam di chalet sebelah sana tu.” Datuk Affendi berkata kepada Jasni.

“Baik datuk!”

“Kalau dah takde apa-apa, silalah naik semua!” Budiman mengajak lagi selepas itu.

Datuk Affendi, Aliff, Kamil dan Yus segera menaiki motor teksi tersebut. Mereka agak kekok. Namun, Budiman bijak memastikan keadaan janggal itu tidak berterusan. Dia terus bercerita dengan penuh ramah.

Tidak sampai sedetik, motosikal teksi yang dipandu oleh Budiman terus bergerak. Ia menelusuri jeti panjang yang melintang di tengan lautan itu untuk ke Kampung Pulau Perindu.

Semasa motor teksi melalui sebuah jambatan simen, kelihatan Pak Tam sedang leka mengayuh basikal lama. Bibir lelaki tua itu menyanyi kecil.

“Tepi sikit... tepi sikit! Tolong tepi sikit!” Terkumat-kamit Pak Tam mengalunkan irama rap dari lagu kumpulan Sleek itu.

Budiman yang sedang membawa motor teksi, terpaksa menghentikannya bila dia dan Pak Tam saling mendekati.

“Yo, Pak Tam! Siapa yang nak kena tepi sikit ni? Motor kami kan, besar?” Budiman bertanya.

“Sat... sat... sat...” Pak Tam berkata. Dia pantas turun dari basikal.

“Hang ni, kacau daun betullah Man. Pak Tam tengah syok menyanyi ni,” bebel Pak Tam.

Budiman ketawa. “Nak buat macam mana? Hari ni, saya bawak tetamu!”

“Hang bawa siapa pulak ni?” Pak Tam yang baru ternampak beberapa wajah di atas motor teksi Budiman, terus bertanya.

Datuk Affendi mengangkat tangan.

“Saya Datuk Affendi. Datang ke sini sebab ada urusan kerja sikit.” Lelaki yang memakai t-shirt berkolar itu memperkenalkan diri dengan lagak penuh karisma. Tidak sempat Budiman membuka mulutnya untuk menjawab pertanyaan Pak Tam.

“Laaa, datuk sakit? Awat hang lambat ni, Man? Cepat bawak datuk ni pergi klinik. Kejap lagi sakit dia melarat, susah pulak.” Pak Tam bersuara.

Datuk Afendi terpinga-pinga. Aliff, Yus dan Kamil juga memperlihatkan wajah tidak mengerti dengan ucapan Pak Tam itu.

“Tapi yang ni siapa pulak?” tanya Pak Tam bila matanya tertarik ke arah seorang pemuda yang tampak segak.

Aliff ternampak pandangan Pak Tam tepat memanah ke wajahnya.

“Nama saya Aliff.” Dia pantas menjawab.

“Polis? Polis balai mana? Dulu Pak Tam ni polis hutan.” Pak Tam bercerita.

Aliff terdiam. Benaknya semakin keliru melihat tingkah lelaki tua yang memakai baju kotak-kotak itu. Yus dan Kamil yang memang tidak tahu menahu hanya mengambil jalan untuk menyepi bersama Datuk Affendi.

Budiman terus menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Bukan polislah, Pak Tam! Ni Tuan Aliff. Dia anak kepada Datuk Affendi ni. Hisy, Pak Tam ni!” Budiman merungut. Suaranya bergema kuat.

“Oh, Tuan Aliff. Pak Tam ingatkan tadi, polis!”

“Okeylah, Pak Tam! Kami tak boleh lambat ni. Sebelum Pak Tam tanya macam-macam, kami nak minta diri dulu.” Budiman tersedar yang dia sudah agak lama menghentikan motosikal teksi di atas jambatan simen itu.

“Baiklah... baiklah. Hang pi lah dulu. Tapi jangan lupa bawak datuk kita ni pergi klinik. Kejap lagi klinik tu nak tutup dah.” Pak Tam terpandangkan Datuk Affendi.

“Yelah, saya bawak datuk ke klinik sekarang jugak! Kami pergi dulu ya, Pak Tam?” Budiman membalas.

“Oh ya, pukul 12.00 nanti datanglah ke balai raya. Ada mesyuarat!” Sempat dia berpesan kepada Pak Tam.

“Mesyuarat apa?”

“Datang ajelah. Dengar apa yang datuk kita ni nak cakap.”

“Yelah, kalau takde apa-apa nanti Pak Tam datang. Selamat jalan, datuk. Selamat datang ke kampung kami.” Pak Tam berkata. Dengan kalut, dia bersalaman dengan Datuk Affendi, Aliff, Yus dan Kamil.

Budiman yang memerhati sekadar menggelengkan kepala.

“Laa, awat hang dok tercegat lagi? Tepilah, aku nak lalu!”

“Eh, tadi Pak Tam kata saya yang lalu dulu?”

“Tolong tepi sikit! Tolong tepi sikit!” Pak Tam mengalunkan irama lagu rap dari kumpulan Sleek itu sekali lagi.

Budiman terpaksa memberi ruang kepada Pak Tam untuk bergerak terlebih dulu.

“Minta maaflah Tuan Aliff, datuk. Sebenarnya, Pak Tam tu ada masalah pendengaran. Sebab tu bila bercakap dengan dia, terjerit-jerit dan ada aje yang tak kena.” Budiman berkata. Kelibat Pak Tam dilihatnya semakin menjauh.

Masing-masing mula berpandangan.

“Oh, patutlah lain yang dicakap, lain yang dibalas!” Datuk Affendi akhirnya bersuara.

Masing-masing mula ketawa. Kekeliruan benak mereka terhadap sikap Pak Tam tadi pun sudah terjawab.
Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna