KEESOKANNYA,
Aliff terjaga dari tidur ketika jam baru melepasi angka 8.00 pagi. Suasana
masih dingin. Kelihatan hari yang semakin cerah kerana matahari kian terbit di
kaki langit.
Aliff menggeliatkan tubuhnya. Dia bercadang untuk
menyambung lena. Terasa malas benar dia mahu bingkas. Apakan daya, lenanya
tidak hadir biarpun kelopak matanya dipejam rapat. Akhirnya, Aliff
terkebil-kebil. Dia bermenung sendirian di dalam kamar hotel.
Malam tadi, dia sukar melelapkan mata. Tidak tahu apa
sebenarnya perkara yang mengganggu mindanya. Dia asyik ternampak-nampak bayang
wajah Khadeja dan susah-payah gadis itu menguruskan Mak Piah, ibu gadis itu
yang buta. Keadaan itu menyebabkan suatu rasa aneh mula berkeliaran dalam
jiwanya. Sepanjang malam hatinya resah.
Aliff melepaskan keluhan.
“Ah! Aku cuma bersimpati. Jadi aku tak boleh biarkan
fikiran aku dipengaruhi dengan perasaan tu. Apa-apapun, aku kena pastikan
Khadeja setuju untuk jual tanah keluarga dia,” bisik Aliff cuba mengingatkan
diri-sendiri. Dia terus merenung siling bilik hotel.
“Tapi apa yang patut aku buat supaya dia segera
bersetuju?” soal Aliff bingung sendiri.
Selepas beberapa detik bermalas-malasan di atas katil,
dia akhirnya bangun untuk membersihkan diri. Dia perlu menyegarkan tubuh
kemudian bersarapan bagi mendapatkan tenaga dan idea.
Baru saja Aliff mahu melangkah ke bilik mandi, bunyi
telefon di bilik hotelnya tiba-tiba kedengaran. Dia segera mencapai gagang.
“Good morning,
Aliff.Abah ni.” Suara Datuk Affendi mengetuk gegendang telinga.
“Haa, abah... good
morning!”Aliff menjawab lalu
membetulkan suaranya yang agak serak.
“Eh, Aliff ni baru bangun tidur ke?”
“Taklah. Aliff dah terjaga dalam 15 minit tadi. Baru nak
pergi mandi.”
“Hmm, patutlah tadi abah telefon bilik Aliff banyak kali
tak berjawab! Telefon handphone pun
tak berjawab!”
Aliff mengerling telefon bimbitnya. Ada lebih 10
panggilan tak berjawab yang tertera di permukaan skrin.
“Sorry abah!Aliff
tidur lena sangat sampai tak sedar apa-apa,” ujar Aliff.
Suara tawa Datuk Affendi memecah corong telefon.
“Betullah tu! Suasana kat pulau ni tenang sangat. Tak
sibuk macam kat KL, kan? Agaknya sebab tu bila tidur kat sini boleh tak sedar,”
ujar Datuk Affendi pula masih berselang-seli dengan ketawa.
Aliff hanya mengiakan. Namun dia menyedari yang dirinya
agak hipokrit tika itu.
Benarkah dia mendapat tidur yang lena? Bukankah dia asyik
dibayangi raut Khadeja dan tindak-tanduk gadis itu melayani Mak Piah sehingga
dia sukar melelapkan matanya malam tadi? Tak pasal-pasal pagi itu dia sukar
membuka matanya kerana tidak cukup tidur.
“Err, kenapa abah telefon Aliff?” Aliff mula bertanya.
Dia menukar topik bagi melenyapkan perkara yang bermain-main dalam fikirannya.
“Oh ya, tadi abah telefon Aliff sebab nak ajak breakfast. Tapi sebab Aliff tak jawab,
abah dah breakfastdulu.” Datuk
Affendi menjawab.
“Abah breakfastdengan
siapa? Yus dan Kamil?” Aliff teringatkan dua orang pekerja Samudera Holdings
itu.
Malam tadi, dia tidak pasti pada jam berapa Yus dan Kamil
selesai berkaraoke. Dia langsung tidak perasan bila kedua-duanya pulang ke
bilik untuk tidur kerana seingatnya, pukul 2.00 pagi pun dia belum berjaya
melelapkan mata.
“Abah cuba telefon budak berdua tu pun tak berjawab.
Mungkin mereka tak bangun lagi. Jadi abah breakfast
seorang-seorang,” beritahu Datuk Affendi.
“Laa.. ya ke? I’m
so sorry. I should get up early and breakfast together with you.”Aliff
rasa bersalah.
“It’s okay. Don’t
worry.Bukannya abah tak biasa. Sekarang, Aliff pergi mandi dan kemudian
turun breakfast. Kalau mama tahu
Aliff tak breakfastlagi padahal jam
dah nak masuk pukul 9.00 mesti mama akan marah abah,” leter Datuk Affendi.
Aliff ketawa. Dia terbayangkan wajah mamanya yang memang
pasti akan membebel tanpa henti jika mendapat tahu dia belum mengisi perut di
awal pagi.
“Jangan lupa, kejutkan Yus dan Kamil sekali,” arah Datuk
Affendi kemudian. Dunia Aliff kembali ke titik sebenar.
“Okay. See you
later, abah.”
“Alright.”
Aliff mahu menamatkan panggilan itu, namun dia terdengar
namanya dipanggil semula.
“Sebelum abah terlupa, malam tadi Aliff ke mana? Bukan ke
kita patut dinnersama-sama? Lama
abah tunggu Aliff,” tanya Datuk Affendi bersama nada ingin tahu.
Situasi itu membuatkan benak Aliff tak semena-mena
kembali teringatkan raut Khadeja dan Mak Piah. Tanpa sedar, otaknya beku. Dia
terkial-kial mencari jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Datuk Affendi.