Home Novel Cinta Pandang Hanya Aku, Okay?
Pandang Hanya Aku, Okay?
F.Ain.K
23/7/2019 03:28:10
31,482
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
4.0

Nurul Ain berdiri tegak memandang cermin sinki di hadapannya. Biasan wajahnya jelas terlihat. Pucat. Tidak bermaya. Nurul Ain cuba tersenyum pada dirinya di sebalik cermin. Dua saat kemudian keluhan kecil terdengar. Tandas yang agak luas membuatkan segala bunyi di dalamnya bergema.


‘Nampak sangat ke aku ni baru elok demam?’ keluh Nurul Ain di dalam hati.


Tisu di bahagian kanan tandas dicapai. Paip air dibuka. Nurul Ain membasahkan sedikit tisu berkenaan lalu melembapkan kulitnya yang berminyak juga bibirnya yang kering. 


Bedak kompak di dalam poket beg sandang dicapai. Sedikit bedak dan pelembap bibir dikenakan pada wajahnya. Nurul Ain tak mahu menjadi punca kepada kegagalan dinner date kawannya malam ini. Walaupun sekadar meneman, sekurang-kurangnya Nurul Ain perlu menunjukkan ketrampilan yang ceria dan segar. 


Nurul Ain menilik pakaian yang dipakainya malam ini. Selendang ungu dililit ringkas, blouse hitam labuh berbunga ungu kecil sebagai penghias, jean straight cut hitam, juga sepasang running shoe berwarna hitam kelabu. Tak lupa juga beg sandang yang sentiasa menjadi peneman ke mana sahaja. 


Sejak kakinya menapak ke dalam restoran, Nurul Ain merasakan bahawa standard hidupnya dan restoran ini jauh berbeza. Selalunya Nurul Ain hanya makan di kedai mamak juga warung tepi jalan. Status Nurul Ain sebagai pelajar universiti tidak memungkinkan dirinya untuk boros berbelanja. 


Sekali lagi Nurul Ain memandang tepat dirinya di sebalik cermin.


“Comel jugak aku ni ya.. He he he,” kata Nurul Ain pada dirinya sambil ketawa kecil. 

 

Perlahan Nurul Ain melangkah keluar tandas dan menuju ke meja yang telah disediakan. Dari jauh Nurul Ain dapat melihat dua orang lelaki beserta tiga orang rakannya sedang berbual. 


“Assalamualaikum. Maaf lambat, saya pergi tandas tadi,” tegur Nurul Ain mematikan perbualan di meja tersebut. 


Nurul Ain segera duduk di tempat yang telah disediakan untuk nya. 


“Tak apa. Ain pilih makanan dulu, ni menu ya,” lembut tutur kata rakan yang duduk di hadapan Nurul Ain itu. 


Pandangan mereka bertemu. Senyuman berbalas. Nur Syazwani Ishak. Merupakan kawan baik Nurul Ain dari zaman STPM hinggalah sekarang. Untung nasib juga kerana mereka dapat meneruskan pelajaran ke pengajian tinggi dalam jurusan yang sama, di universiti yang sama. Nurul Ain datang pada malam ini juga atas jemputan dari Syazwani. 


Leka memilih menu membuatkan Nurul Ain sesekali mengerutkan wajahnya. Sukar bagi Nurul Ain untuk memahami sepenuhnya jenis-jenis makanan yang ada. Namun merasakan dirinya sedang di perhatikan, Nurul Ain menoleh ke sebelah kanan Syazwani. Terasa kejutan arus elektrik mengalir di tubuh apabila mata lelaki itu dan Nurul Ain bertemu. Nurul Ain dapat melihat dengan jelas anak mata berwarna coklat cair tersebut. Biasan cahaya lampu pada mata tersebut membuatkan ia sedikit bercahaya dan terlihat seperti bunga sedang mengembang.


Senyuman manis diberikan kepada Nurul Ain oleh lelaki itu. Gugup dengan situasi, Nurul Ain membalas senyuman lalu tunduk membaca menu. 


################################################################


Muhammad masih memandang wanita tersebut. Wanita keempat baru sahaja sampai dan duduk paling hujung ke dalam di baris kanan meja. Muhammad meneliti wajah wanita tersebut. Terlihat pucat di mata Muhammad. 

‘Wanita keempat just plain and simple. Tak banyak bercakap. Senyum pun macam nak tak nak je. Mungkin tak sihat.’


################################################################


Lagu Like To Be You dendangan Shawn Mendes dan Julia Michaels kedengaran di corong radio. Perlahan Muhammad menyanyi mengikut alunan. Jam menunjukkan angka 11:47 malam. Habis sudah dinner date mereka malam ini. Semuanya berjalan dengan lancar. Perbualan kecil dan sesi perkenalan berlangsung hingga ke pukul 11 malam. Muhammad dapat meneka dan memahami beberapa perkara yang mungkin dapat membantu Fakhrul membuat keputusan. 


Seperti yang dijanjikan oleh Fakhrul, mereka akan berbincang mengenai hal ini pada waktu makan tengahari esok. Sekarang mereka terpaksa pulang ke rumah masing-masing untuk menyelesaikan kerja yang tertangguh. Esok mereka perlu menghadiri mesyuarat penting. 


Angin malam sangat menenangkan. Tingkap kereta dibiar buka oleh Muhammad. Fikiran Muhammad mula melayang jauh mengenangkan sesuatu. Muhammad teringat tentang dia. Dia yang masih menunggu Muhammad untuk pulang. Alessa Afran. Muhammad dan Alessa telah ditunangkan oleh keluarga sejak dari kecil. Muhammad sendiri tak tahu sejak bila keputusan ini dibuat. Dia hanya tahu mengenai ini setelah datuknya menghembuskan nafas terakhir. Perjanjian telah termeterai dan sukar untuk membatalkannya. 


Kecewa dengan keputusan yang dibuat tanpa persetujuannya, Muhammad memilih untuk pergi. Perginya bukanlah untuk melawan keputusan tersebut, namun untuk memberikan hatinya masa bagi menerima segalanya. Lamanya Muhammad merantau membawa diri hinggalah akhirnya dia sampai di tempat ini. Meskipun selalunya Muhammad hanya menetap enam hingga tujuh bulan di sesebuah tempat, namun kali ini dia sudah menetap di sini hampir 3 tahun. Hati Muhammad seolah-olah melekat di sini. Di kota yang dipenuhi manusia. 


Mungkinkah Alessa masih menunggu kepulangannya? Kecewakah Ibu Cahaya? Kalau diikutkan hatinya, Muhammad mahu segera pulang. Dia rindukan Ibu Cahaya. Namun pulang bererti dia perlu menerima takdirnya. Ternyata bukan ini yang Muhammad mahukan. 


Berapa lama lagikah dia boleh menyimpan rindu pada keluarganya? Sesungguhnya dia tak mampu untuk lari selamanya. 

Previous: 3.0
Next: 5.0

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.