Home Novel Cinta Dia Diktator Hatiku
Dia Diktator Hatiku
7/1/2014 15:39:45
19,698
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

SUMAYYAH mendengus perlahan. Mata kuyunya pejam celik, pejam celik entah sudah berapa kali. Mengantuk bangat deh, tetapi kerja harus diberesi! Jam pada dinding pejabat direnung tajam, seolah-olah dia mahu menerkam saja jam itu. Namun, tidak pula dia berbuat demikian. Sumayyah masih waras. Sewajarnya dia tidak melakukan sesuatu di luar tertib seorang muslimah. Itu pasti!

‘Ah, deadlineyang menyesakkan!’

‘Serabut! Pening kepala! Stres! Tertekan! Sakit jiwa! Sakit hati ganda lima!’

Macam mak nenek pula Sumayyah membebel.

Memang pun. Pada detik dan ketika ini, Sumayyah berada dalam keadaan yang kurang stabil. Emosinya juga terganggu. Bukan itu sahaja, bahkan otak Sumayyah tepu serta ligat memperelok input yang diterima daripada penulis untuk dijadikan output kepada pembaca.

Aha... inilah ceritera seorang manusia yang bergelar editor majalah.

Sumayyah mendongak memandang jam pada dinding pejabat. Sudah pukul 11.45 malam, tetapi jasadnya masih berada di sini?

Oh, tidak!

‘Pejabatku yang pastinya bukanlah syurgaku.’

Tubuh Sumayyah semakin tidak bermaya. Terasa diri hendak pitam. Mual pun ada. Mujur tidak sampai termuntah. Wajahnya menghala ke arah dinding, tembus sampai ke pejabat sebelah. Tetapi dia pasti, tidak ada seorang pun ada di dalamnya. Hanya pekerja di Sinergi Monalisa sahaja yang rajin-rajin belaka.

“Apa yang awak menungkan tu, Sumayyah?” sergah Zahin yang muncul entah dari mana.

Sumayyah tersentak kecil. Dia menelan air liur sekali, kemudian menoleh ke arah suara yang cukup dikenalinya itu. Sumayyah mencebik. Kelihatan bos kecil yang perasan besar sedang merenungnya dengan pandangan yang sungguh tajam.

Huh! Betul-betul ‘menggerunkan’.

“Apa yang sedang awak menungkan pada waktu-waktu begini, Sumayyah?” Zahin bertanya lagi.

Kali ini, nada suaranya lebih halus dari tadi. Cuma mukanya sahaja tetap serius dan jelas cengil.

Sumayyah terpaku. Mulutnya ternganga separuh. Matanya yang sepet pun terbuka luas. Wajah Zahin yang serius macam cikgu besar di sekolah rendahnya dahulu dipandang tanpa berkedip. Bukan dek kerana terpegun dengan ketampanan sang teruna tetapi terkedu melihat muncungnya yang panjang macam Donald Duck. Sumayyah turut menunjukkan muka serius.

Hmm…

Donald Duck? Kenapa tidak Donald John Trump? Boleh juga terkena aura positif daripadanya. Tapi nampak gayanya, Zahin lebih sesuai untuk disamakan dengan watak kartun Walt Disney. Kuat membebel macam mak nenek dan suka memuncungkan mulut.

Senyuman Sumayyah tidak semena-mena terukir nipis. Mulut Zahin dan paruh itik terus muncul di benaknya. Sesuai sangat...

“Apa yang awak senyumkan tu, Sumayyah? Kerja dah siap? Awak ingat saya tercegat di sini untuk tengok awak senyum? Awak fikir, saya suka hati riang ria nak bercakap dengan tunggul kayu?” Zahin bermukadimah sebelum meneruskan leteran yang pastinya lebih berjela.

Sumayyah kembali serius. Dia berkalih ke arah skrin komputer riba tanpa menjawab pertanyaan Zahin. Bukan dia tidak biasa mendengar bebelan lelaki itu. Itu adalah perkara biasa setiap kali menghampiri deadline!Semakin dilayan, semakin sengsara jiwa dan raga.

Zahin mendengus kuat. Berkomunikasi dengan Sumayyah memang meletihkan. Lebih penat dari berlari mengelilingi padang sebanyak tujuh pusingan.

“Bahan dah cukup? Editing dah siap? Awak pun tahu kita semua sedang mengejar deadline. Tak boleh sambil lewa. Tak boleh main-main. Tak boleh mengelamun teringatkan pakwe!”

Hanya Zahin yang berbicara di sini. Sumayyah pula terus membatu tetapi tersentap juga dengan kata-kata sang lelaki yang pedas lesin itu.

‘Bila masa dia berangan-angan teringatkan pakwe?’

Mulut Sumayyah memuncung panjang. Fitnah yang bisa menjatuhkan sahamnya selaku seorang gadis yang masih single dan available. Hisy...

“Sumayyah binti Abu Bakar!” jerit Zahin.

Tahap kesabaran Zahin sudah berada di kemuncak. Masa terhad tetapi dia perlu membazirkannya dengan berleter kepada Sumayyah yang kaku macam baru dibawa keluar dari peti ais.

“Ka...”

“Dah siap 88 peratus,” Sumayyah memotong cakap Zahin.

Kan mudah. Cakap sahaja terus terang. Tidak perlulah dia menadah telinga lama-lama mendengar leteran lelaki itu.

Zahin menggeleng laju. Dia memandang tepat anak mata Sumayyah sekejap, kemudian berlalu dari situ ke tempat duduk Kamil. Bertentangan dengan belakang kerusi Sumayyah sahaja pun.

“Hah!” Zahin menyergah sambil menepuk bahu Kamil kuat.

“Oh mak engkau!”

Air muka Kamil berubah mendadak. Pucat dan panik. Tertangkap pada saat yang tidak terjangka. Sudahlah dia tidak sempat menutup Yahoo Mesengger-nya. Kegelabahan Kamil terserlah dan terpancar dari wajahnya yang putih melepak, macam chinese look. Kacak tetapi masih belum dapat menandingi ketampanan aktor pujaan ramai dari Hong Kong, Louis Koo.

Louis Koo? Pelakon lelaki terbaik menerusi cerita ‘Detective Investigatation Files IV’itu tidaklah putih melepak seperti yang diperkata. Warna kulitnya sawo matang.

Zahin menggeleng laju. Dia memandang tepat anak mata Kamil seraya bersuara, “Kau buat apa ni, Mil? Sekarang ni deadline kan? Sempat lagi kau ber-YM?” kata-kata Zahin terhenti di situ.

“Kalaupun kau nak bercinta, jangan sampai kacau waktu deadline.Kasi siap dulu kerja kau,” tambah Zahin serius.

Kamil tersenyum sumbing.

“Aku tepu sangat, Hin. Sebab tu aku main YM sekejap. Jangan risaulah. Kerja siap on time,”balas Kamil bersahaja. Langsung tidak terbit rasa bersalah di dalam hatinya.

“Dah dapat bahan daripada Yaya?” Zahin bertanya terus.

Matanya menjeling Yahoo Messenger Kamil yang berlatar belakangkan hati warna merah jambu. Dia menggeleng buat kesekian kali.

Kamil tetap mahu menguntum senyuman yang dibuat-buat.

“Belum, bos,” dia separuh berbisik. Walhal, Kamil belum menyemak e-melnya lagi.

Mata Zahin terbuka luas. Belum? Dia mengerling jam pada pergelangan tangan. Sudah menghampiri pukul 12.15 pagi.

“Sumayyah!” Zahin menjerit lantang.

Sumayyah yang sebenarnya turut memasang telinga meluru ke arah Kamil dengan wajah mencuka. Anak mata Kamil ditenung tajam. Kerja sendiri tidak siap, ada hati nak meletakkan kesalahan pada orang lain.

Memang tidak berperikemanusiaan!

Huh, kasar bunyinya! Apabila amarah menguasai diri, apa sahaja boleh terbit di minda, terpacul di bibir, akhirnya menyakitkan hati.

“Tolong sikit, cik abang...” Sumayyah terdiam sejenak.

Dia menarik nafas panjang-panjang. Sakit hatinya mendengar bisikan gajah Kamil kepada Zahin sebentar tadi. Sumayyah beranggapan, Kamil hendak meletakkan kesalahan penuh di atas bahunya. Ini bermakna, dialah yang sambil lewa melaksanakan amanah kerja. Sekaligus menjadikan reputasinya menjunam. Ini tidak boleh jadi!

Yang hak tetap perlu dipertahankan.

Yang batil, wajib dibanteras!

“Dah tengok e-mel ke belum? Kalau dah tengok tapi tak terima apa-apa, kenapa tak cakap? Agak-agaklah. Lagipun, kita bukannya duduk sebatu. Apa masalah Mil ni? Tak baik tikam belakang macam ni,” keras Sumayyah mengungkap kata.

Walaupun dia seorang gadis yang sewajarnya kaya dengan kehalusan tutur bicara dan kelembutan budi pekerti, Sumayyah sama sekali tidak akan membenarkan dirinya diperkotak-katikkan oleh orang lain. Lebih-lebih lagi oleh sang ajnabi. Suka benar mengambil kesempatan atas kelemahan kaum hawa.

“Kalau tak buat, terus terang. Tak baik baling batu sembunyi tangan. Bukan orang lain pun. Kerja sama-sama. Sama-sama makan gaji. Hisy...”

Kemarahan Sumayyah kepada pelukis grafik kesayangan syarikat ini meluap-luap. Untunglah badan. Berkawan baik dengan Zahin, Ketua Editor merangkap anak tunggal bos besar. Kabelnya kuat sampai tidak ada seorang pun yang berani menegur.

“Sabar, Ya. Sabar... Tak elok marah-marah. Tak berseri muka tu. Umur baru 25, tapi nampak macam 45 tahun dah. Nanti, tak ada yang nak buat bini. Relaks. Cool.Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Perkara kecil saja ni.”

Sumayyah menghentak kaki kuat.

“Perkara kecil apanya? Tuduh Yaya ikut suka hati saja.”

Dahi Kamil berkerut.

“Bila pula Kamil tuduh Yaya? Tak ada pun. Tak baik tau fitnah rakan sekerja,” Kamil memotong cakap Sumayyah dalam nada berseloroh.

“Dah tu. Sendiri yang tak siapkan kerja, cakap Yaya pula yang tak hantar bahan. Padahal Yaya dah e-mel.” Sumayyah terdiam sejenak.

Sumayyah memandang Zahin yang hanya membatu di tepi Kamil.

“Nak kerja, mesti bekerja betul-betul. Kena cara, jadi ibadah. Ibadah ni bukan setakat puasa dan solat saja. Lagi satu, kita ni makan gaji. Jadi, kenalah amanah dengan kerja yang ditaklifkan. Kalau tak, boleh jadi satu geng dengan Abdullah bin Ubay...” sambung Sumayyah.

Zahin menepuk meja Kamil kuat.

“Sudah!”

Zahin memandang tepat wajah Sumayyah yang jelas masam mencuka. Marah benar nampaknya dia.

“Betul cakap awak, Sumayyah. Jadi sekarang ni, manfaatkan masa yang berbaki untuk siapkan kerja yang telah diamanahkan. Tak payah nak salahkan sesiapa. ALLAH bagi akal, sendiri mahu ingat,” tambah Zahin mencantas cakap Sumayyah.

Bukan apa. Dikhuatiri meleret-leret perbalahan mulut dua teruna dara ini sedangkan kerja belum disiapkan. Sudahlah sekarang mereka berada di dalam fasa kritikal - deadline.

“Sumayyah, Kamil,” Zahin memandang Sumayyah dan Kamil bersilih ganti.

Wajah keduanya masih keruh. Seorang memandang ke timur, dan seorang lagi memandang ke barat. Mulut mereka masing-masing muncung bagai itik serati tua. Pening kepala Zahin dibuatnya. Silap hari bulan, boleh terbakar fius otaknya memikirkan masalah anak buahnya ini. Belum campur perihal anak-anak buah yang lain lagi.

Ainien... Salsabila... Sabreena... Nik Umar.

Deadline?

Lagi-lagilah...

“Kamil, kau siapkan kerja kau dulu. Tak payah nak salahkan orang lain.”

“Pastikan tiada kesalahan letak caption pada gambar. Elakkan kesilapan yang tidak sepatutnya,” ujar Zahin sambil tangannya memegang kuat kedua-dua belah lengan Kamil.

Kamil mengangguk lesu.

Kemudian, Zahin berpaling ke arah Sumayyah pula.

“Sumayyah, semak kerja awak betul-betul. Pastikan tidak terdapat kesalahan ejaan yang ketara. Gunakan kamus dewan online sebaiknya. Bayangkan, orang keluar duit RM5.50 untuk beli majalah kita. Tup-tup, banyak sangat silap. Agak-agak, dia orang rasa rugi tak? Kalau sayalah, terus blacklistmajalah tu. Duit ni bukan dapat free.Tak berbaloi kalau tak puas hati. Baik pinjam saja,” agak panjang pesanan yang dititipkan buat Sumayyah.

Kamil tersenyum sumbing. Wajah Sumayyah pula sudah kemerahan menahan marah. Semakin membuak jadinya. Seolah-olah, dia yang cuai padahal kesalahan ejaan dan tatabahasa tidaklah banyak mana. Tapi kesalahan meletakkan captionpada gambar, itu ketara benar. Langsung tidak boleh dimaafkan. Bukan Zahin tidak tahu.

“Okey dah. Pergi sambung kerja sekarang,” tambah Zahin dengan suara yang dikendurkan sedikit.

Kamil mengangguk. Kemudian, dia segera membuka e-mel yang diperkatakan oleh Sumayyah. Senyuman Kamil terukir nipis. Betul. Memang terdapat kiriman e-mel daripada gadis itu. Dia yang bersalah dan Kamil mengakuinya dalam hati.

Kamil segera menoleh ke belakang. Nampaknya, Sumayyah sudah pun menyambung kerjanya yang terhenti seketika tadi.

“Sumayyah...”

Kedengaran suara Zahin memanggil Sumayyah dengar tidak dengar.

Sumayyah mendengkus kecil.

‘Tak habis-habis lagi?’ Dia segera mendongak ke arah Zahin.

“Nama yang mak ayah saya bagi dah cukup cantik. Tak payah awak nak tukar ikut sedap hati awak. Tak ada lagi dalam sejarah dunia dan planet-planet lain, sijil beranak tertulis nama Manusia Jam Bateri. Awak tak untung dan saya tidak rugi apa-apa bila awak panggil macam tu di belakang saya. Kalau saya tak redha, ALLAH pun tak suka,” ujar Zahin agak berjela lalu berjalan masuk ke dalam biliknya.

Kamil yang turut mendengar kata-kata Zahin tergelak besar.

‘Manusia Jam Bateri?’ Hahaha...

Sumayyah terkesima. Dahinya berkerut.

‘Siapa pula yang pecah lubang ni?’

Ainien? Sementelah, hanya dia yang tahu tentang rahsia besar ini. Mungkin tidak, tapi siapa lagi?

“Itulah. Cakap siang, pandang-pandang. Cakap malam, dengar-dengar,” Kamil yang entah bila sudah tercongok di tepi Sumayyah berbisik halus.

Mata Sumayyah membulat.

Sah! Lelaki ini yang menjadi pembawa cerita. Tidak padan dengan jantina langsung. Mulut macam puaka!



Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.