Home Novel Cinta Dirgahayu Tuanku
Dirgahayu Tuanku
AnnSelasih
24/7/2019 18:48:58
16,347
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Di celah rimbunan daun, Malim bersuara perlahan. Tangannya sudah menggeletar cuba menampung berat. Pinggang Raja Hussain telah lama tertahan di tangannya.

"Tengku, bagaimana? Lekas Tengku! Hamba sudah tak mampu nak bertahan." 

"Haish!! Macam tak makan sebulan kamu ni Malim." 

Tangan diregang sehabis-habisan cuba menolak kayu kecil yang mengunci tingkap dari dalam dengan hujung keris.  

Terbuka!! 

Raja Hussain lepaskan kelegaan. Senjata kecil ditarik semula dari celah renggang kedua daun tingkap.

"Lepaskan beta, Malim. Jangan pergi jauh. Tunggu sahaja di situ. Sekiranya beta tertangkap, segera mohon bantuan," arah Raja Hussain sebaik sahaja sebelah tangannya berpaut kuat di birai jendela manakala sebelah lagi menguak lebih luas daun tingkap. 


Kuat sungguh detakan jantungnya ketika melihat beberapa kujur tubuh terbaring di dalam. Mujur sahaja dia telah biasa dengan suasana cemas. Sebagai salah seorang pewaris kerajaan Melaka, latihan fizikal yang diterima Raja Hussain sama sahaja dengan Raja Muhammad. Dia juga terpaksa berhempas pulas memerah tenaga menguasai pencak silat dan memanah. Ilmu pertahanan diri dari bangsa Ming juga terpaksa dia pelajari. Bergasak dan bertetak senjata bersama-sama panglima dan pendekar istana sudah menjadi mainannya sejak kecil. Malah, dari masa ke semasa, adakalanya saban minggu dia terpaksa pula menyahut cabaran untuk beradu kekuatan dengan Raja Muhammad.


Perlahan sahaja badan dilepaskan ke lantai. Tubuh yang terbaring kesemuanya sedang lena. Raja Hussain menarik nafas lega. Kepala dihulur ke luar memerhati keadaan di dalam teratak tinggal itu. Seluruh pancainderanya dibuka luas. Suara orang bersembang kedengaran jelas di ruang hujung sekali. Terdapat sebuah lagi bilik di ruang tengah. Tiada yang mengawal di situ. 


"Bismillah." 

Dengan langkah yang cermat dan penuh berhati-hati, Raja Hussain beranikan diri cuba menyelinap masuk ke bilik kedua. Sedikit demi sedikit ditolaknya daun pintu sebelum kembali ditutup perlahan-lahan setelah berjaya melangkah masuk. 


Alangkah terperanjat Raja Hussain melihat satu susuk tubuh yang bersandar rapat ke dinding betul-betul di sebelah daun pintu yang sedang ditutupnya. Bulat mata asing itu memandang Raja Hussain sebelum sebuah jeritan halus terlepas di situ. Deras kedengaran bunyi tapak-tapak kaki mulai menghampiri mereka. Tanpa berlengah, Raja Hussain segera menempelkan diri bersama-sama susuk tubuh asing itu, menghenyak tubuh supaya kedua-duanya rapat ke dinding di belakang daun pintu. Manakala tangannya kuat menutup mulut yang menjerit tadi. Pintu bilik dibuka luas. Mereka semakin terhimpit di sebalik daun pintu. 


Seekor kucing tiba-tiba sahaja melompat dari atas para. 

"Miaw! Miaw!"

"Huh! Hamba ingatkan manusia tadi. Kamu rupanya Si Comot. Mari sini. Kamu lapar?" 

Seorang pemuda berbadan agak gempal mencapai kucing hitam berbelang putih. Rakan yang mengekorinya memeriksa ruang di hadapan mereka. 


Peluh memercik di dahi Bidasari bertentangan dengan tubuhnya yang dicengkam kedinginan. Bidasari menggenggam erat kedua-dua tangan yang sedang menggeletar. Sedikit kerana ketakutan, selebihnya kerana terlalu terkejut. Dia tidak pernah berada di dalam keadaan sebegini rapat dengan lelaki termasuklah ayahnya. Anak mata Bidasari besar memerhati pemuda yang kini bersatu tubuh dengannya. Mujur sahaja tangan pemuda itu menekap kuat kedua bibir Bidasari. Jika tidak, sudah pasti jeritannya akan kedengaran lagi buat kali kedua. 

Pemuda itu tidak memandang ke arah Bidasari. Sebaliknya anak matanya serong ke tepi seolah-olah nampak apa yang sedang berlaku di sebalik papan kayu. 

Siapa pemuda yang berpakaian serba hitam ini? Bantuan daripada Pamannya? Seingat Bidasari, dia masih belum menyentuh serunai itu. Barangkali Siantan yang menghantar pemuda ini lantaran terlalu bimbang akan keselamatan dirinya. Kemarahan mula menerpa Bidasari. Merah sungguh wajahnya lantaran malu dan marah. Kurang ajar !! Berani benar pemuda ini melanggar batas adat dan kesopanan orang-orang Melayu. 


Setelah kedua penjahat menutup pintu dan beredar jauh, Raja Hussain menjatuhkan tangannya dari mulut Bidasari. Baru sahaja mata mereka bersetentangan, Bidasari mengangkat kakinya tinggi ke hadapan dan menendang kuat Raja Hussain. 

Nah! Ini pengajaran buat kau, lelaki tak tahu malu!


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.