Home Novel Cinta Nak Pilih Yang Mana?
Nak Pilih Yang Mana?
14/9/2013 20:00:35
18,603
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

BAB 2

Sudah seminggu Zulaikha masih lagi belum dapat mencari sebarang pekerjaan. Tak senang duduk Zulaikha di rumahnya terasa macam bila-bila masa saja langit tu nak bergulung. Hari-hari asyik dituba dengan cerita hendak dikahwinkan dengan Kamal. Aduh terseksanya batin aku.

“Hah Zu, macam mana dengan cadangan mak tu? Sudah Zu fikir-fikirkan?” tanya Mak Zara sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Zulaikha. Terkejut Zulaikha dengan serangan ‘torpedo’ maknya itu. Berilah salam dulu Puan Zara ni pun... rungut hatinya.

“Alah... mak ni tak habis-habis lagi ke pasal Kamal tu?” balas Zulaikha berasa rimas dan sesak nafasnya dengan pertanyaan maknya itu. Hai, masih lagi berfikiran kolot mak aku ni. Omel hati Zulaikha kesal. Rambutnya yang mengerbang disisir rapi dengan jarinya. Getah sayur dilengan kerusi diambil buat pengikat rambutnya.

“Apa kurangnya si Kamal tu, budaknya baik kerja bagus dan rupa pun ada. Zaman mak dulu orang macam Kamal tu menjadi rebutan kau tahu tak. Segak dan bergaya bila pergi kerja. Lepas tu pekerjaan sebagai inspektor polis pulak. Dipandang tinggi pada mata masyarakat tau.” Sambung maknyacuba memujuk. Memancing hati hendak disuruhnya juga Zulaikha tu terpikat dengan si Kamal.

“Mak, Zu tak inginlah.” Jawab Zulaikha sambil mencebik. Tangan Zulaikha lantas memegang tangan maknya.

“Mak pujilah dia macam mana tinggi melangit sekali pun si Kamal Nazrin tu depan Zu. Zu tak ada hati langsung dengan dia. Nak buat macam mana? Lagipun kan mak, hati dan perasaan mana boleh dipaksa-paksa...” sambung Zulaikha mempertahankan pendiriannya. Anak matanya telus memandang wajah Mak Zara tanpa berkelip.

“Kalau boleh mak memang teringin sangat berbesan dengan Mak Ngah Fida kau tu...” ujar Mak Zara perlahan meluahkan perasaannya. Tangannya menyentuh bahu Zulaikha lembut. Dia ingin sangat mengeratkan tali persaudaraannya dengan keluarga belah suaminya. Lagipun mereka ni jenis berharta dan sudah pastinya hidup anak daranya ni nanti akan terjamin kalau Zulaikha betul-betul jadi kahwin dengan Kamal. Itulah harapan Mak Zara. Zulaikha berasa kurang selesa dengan kenyataan maknya itu. Dia menunduk. Bermain-main dengan jari-jemarinya yang runcing itu. Bagai ada terselit paksaan dalam cadangan itu. Mak ni nak paksa jugak ke aku kahwin dengan si Kamal tu? Hah! Sudah... kes berat ni...rungutnya dalam hati.

Hari ini Zulaikha keluar seorang diri memburu pekerjaan. Umi tak dapat ikut sebab dia kena temankan ibunya pergi ke Bank Simpanan Nasional. Mengeluarkan wang buat perbelanjaan Umi untuk mencari pekerjaan kelak. Beruntungnya badan. Maknya siap keluarkan duit lagi buat perbelanjaan. Kalau aku mau kena leter berbakul-bakul dari mak aku. Buat mengabih boreh jo!

Puas mencari di Bandar Klang, Zulaikha ingin mencuba di Pelabuhan Klang pula sebuah pekan kecil sedikit dari Klang yang sudah banyak berubah dan membangun. Banyak bangunan-bangunan baru yang dibina. Di Pelabuhan Klang banyak syarikat-syarikat perkapalan dan pengangkutan tumbuh bagai cendawan. Almaklumlah, dekat dengan pelabuhan. Barang-barang import dan export semuanya melalui pekan Pelabuhan ini untuk ke pelabuhan. Kalau kilang-kilang kecil memang tak terkirakan dengan jari. Terdapat juga bank-bank dan kedai-kedai makan. Zulaikha masuk ke dalam sebuah syarikat perkapalan bernama Sing Hup. Hampeh, baru saja nak tanya kerja kosong Zulaikha sudah menerima jawapan dengan gelengan kepala yang pantas dari tauke tua syarikat itu.

“Aiya! Amoi, sekalang mana ada keleja kosong. Kita sini kompeni lagi mau buang olang lu tau ka…,” pelat betul tauke cina tu memberikan jawapan. Terserlah giginya yang sudah gugur dua batang dihadapan. Zulaikha mencemik. Syarikat Sing Hup ditinggalkan. Zulaikha melangkah masuk ke beberapa syarikat perkapalan yang lain lagi dan menerima jawapan yang sama. Jenuh kaki Zulaikha naik tangga, turun tangga untuk empat lima buah syarikat lagi. Tetapi semuanya memberikan alasan yang sama, tiada kerja kosong. Penolakan demi penolakan diterima Zulaikha. Hampir berputus-asa dan patah semangat dibuatnya. Hampeh betul! Akhirnya Zulaikha menuju ke sebuah kedai makan menjelang tengahari. Lenguh sungguh kakinya berjalan dan memanjat tangga sepanjang hari itu.

Lega rasanya apabila tekak Zulaikha dibasahi dengan air sirap limau yang dipesannya tadi. Sambil merehat-rehatkan badannya Zulaikha memandang sekeliling. Mata Zulaikha pegun sebentar terpandangkan sebuah bank Commerce yang terletak di seberang jalan bertentangan kedai makan tersebut. Bila terpandangkan bank itu sekonyong-konyongnya Zulaikha teringatkan Salina. Anak jirannya yang Mak Zara ceritakan kepadanya dua minggu lepas.Terdetik seketika di hati Zulaikha untuk mencuba nasibnya di bahagian perbankan pula. Kenapa tidak? Kalau dah ada peluang depan mata, sambar sajalah. Setelah membayar harga airnya lantas Zulaikha terus melintas jalan. Kakinya dihayun pantas.

Pintu bank di tolak lantas Zulaikha masuk ke dalam. Sejuk nyaman dari penghawa dingin pejabat mengusap pipi Zulaikha yang kehangatan dimamah mentari. Kelihatan suasana dan aktiviti di dalam bank itu sangat sibuk. Hingar bingar dengan bunyi loceng panggilan nombor giliran. Di setiap kaunter, pelanggan sedang beratur untuk melakukan urusan transaksi masing-masing. Zulaikha seperti mati punca, pada siapa dia nak bertanya? Ketika itu semua orang sedang sibuk dengan urusan masing-masing. Tidak menghiraukan hal sekeliling. Pandai-pandailah nak berurusan sendiri. Ada yang nak masukkan duit dalam akaun, ada yang baru nak buka akaun dan ada yang sedang tandatangan specimen kad. Tak kurang juga beberapa pelanggan sedang duduk memenuhkan kerusi di situ menunggu giliran. Bermacam-macam urusan sedang berlaku dan pekerja di bank tu pun seperti sedang pantas mengejar dan cuba memenuhi kehendak pelanggan. Aduh mak bikin penasaran ni!

Paling sibuk sekali kaunter cashierpenerimaan dan pembayaran wang untuk akaun semasa, memang sangat sibuk. Sementalah bank ini di kelilingi oleh kedai-kedai perniagaan dan syarikat perkapalan. Sangat mudah bagi kedai-kedai dan syarikat-syarikat tersebut untuk membuat transaksi dan urusan penyimpanan wang. Zulaikha menuju ke sebuah kaunter. Seorang pelanggan sedang dilayan oleh seorang kerani perempuan berbaju kurung pesak berbunya kecil-kecil dan wajahnya seperti gadis cina. Pandai juga budak cina ni pakai baju kurung yek, detik hati. Pelanggan itu mungkin ada masalah dengan kad ATMnya. Zulaikha beratur di belakang pelanggan tersebut. Sambil berdiri menunggu, Zulaikha sempat meninjau sekeliling. Nafasnya dihembus panjang beberapa kali. Melepaskan rasa bosan. Pandangannya tertumpu kepada pakcik guard yang sedang duduk di sisi pintu pula sambil memegang sebuah ‘pump gun’. Zulaikha menghadiahkan senyuman.

Usai urusan pelanggan itu, kerani perempuan itu memandang Zulaikha. Bola mata hitamnya memandang lurus menikam anak mata Zulaikha. Wajahnya sedikit masam. Tiada langsung segaris senyuman dari wajah itu. Jantung Zulaikha bergetar. Hee... sombongnya muka, desis hati Zulaikha berasa jelek. Perempuan itu memberikan isyarat anggukan kepala kepadanya supaya meneruskan urusan yang Zulaikha nak lakukan. Macamlah tak ada mulut nak bercakap. Sungguh kurang sopan. Janganlah kau bersikap biadap macam tu nanti Zulaikha, dia mengingatkan dirinya.

“Cik nak tanya, bahagian untuk temuduga dimana ye?” Zulaikha sedikit teragak-agak berbicara bimbang salah tempat bertanya.

Sekadar dengan isyarat ibu jari sahaja dan dengan muka yang selamba, kerani itu menunjukkan kepada Zulaikha sebuah bilik di belakangnya. Hee.. tak mesra alam betullah perempuan ni, rungut Zulaikha di dalam hatinya. Di dalam bilik itu kelihatan seorang lelaki cina bertubuh kecil memakai cermin mata sedang berurusan dengan seorang pelanggan wanita cina juga. Di pintu tertera ‘Manager’. Dia berdiri pegun di situ. Menunggu. Zulaikha berdoa di dalam hati minta-minta adalah kerja kosong kat bank ni. Selesai urusan dengan pelanggan wanita tersebut, manager itu melambaikan tangannya kepada Zulaikha menyuruhnya masuk. Dengan dimulai langkah kanan dan Bismillah di dalam hati, Zulaikha dengan hati yang berdebar-debar melangkah dengan penuh yakin. Badannya tegak dan kepalanya diluruskan ke depan. Harap-harap dia telah melontarkan bahasa badan untuk ‘first impression’ yang baik terhadap personalitinya.

Pucuk dicita ulam mendatang, kebetulan bank ini memang memerlukan pekerja baru. Kiranya rezeki Zulaikhalah kerana dia dengan cara tak sengaja telah mencuba untuk bertanyakan pekerjaan kosong di situ. Apa lagi, yabeda bedulah! Tak payah aku nak kena ‘kahwin’ dengan si Kamal Nazrin tu. Aku betul-betul lega! Usai temuduga, Zulaikha melangkah pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Syukur, akhirnya dia berjaya memiliki sebuah pekerjaan.

“Tak sabar rasanya nak beritahu mak, akhirnya aku berjaya juga dapatkan kerja,” Zulaikha menaiki bas dan di dalam bas Zulaikha masih tersenyum manis bila mengenangkan akan nasibnya yang bertuah pada hari ini. Kamal Nazrin kau rentikan jelah anganan kau tu nak kahwin dengan aku...hehehe.

“Awal kau balik, Zu?” Mak Zara menegur Zulaikha sambil mendukung Haikal anak jirannya. Haikal merengek-rengek kecil minta ditidurkan. Mak Zara memberikan botol susu kepada Haikal dan memasukkan Haikal ke dalam buaian.

“Mak! Zu dah dapat kerja kat bank di Pelabuhan Klang,” sambil Zulaikha membuka kasutnya melangkah pintu masuk kerumah memberitahu berita itu kepada maknya. Zulaikha tersenyum manis. Dia mencium lembut pipi Makcik Zara.

“Oh.. ya ke? Syukur Alhamdulilah Zu,” Mak Zara menadah tangan tanda syukur kepada ILAHI. Mak Zara memeluk Zulaikha, akhirnya penantian selama empat bulan Zulaikha menjadi penganggur akan berakhir juga.

“Bila Zu akan mula berkerja?” Tangannya laju menghenjut buaian. Matanya memandang anak daranya dengan perasaan kagum.

“Zu mulakerja lima belas haribulan ni nanti mak.” Masih tersenyum manis. Hatinya teruja.Tak lama lagi aku akan bekerja. Tak dapat nak dibayangkan macam mana dah rasanya.

“Macamana Zu tahu kat situ ada kosong? Ada orang beritahu ke?” teka Mak Zara. Macam tak percaya saja.

“Alah mak... kebetulan, secara tak sengaja. Masa tu dah rezeki Zu agaknya. Pagi-pagi tu dah penat Zu cari kerja kat syarikat perkapalan dan pengangkutan. Empat, lima buah syarikat jugalah Zu pergi tapi semuanya takda kerja kosong. Last-last masa Zu tengah minum kat satu kedai makan ni, Zu terpandangkan bank Commerceni. Zu pun teringat apa yang mak ceritakan pasal Salina anak Mak cik Timah belakang rumah. Zu pun pergilah sana nak cuba nasib. Mana tahu rupa-rupanya bank tu memang tengah nak pakai orang.”Panjang lebar Zulaikha bercerita. Nafas dihela lega.

“Masa Zu temuduga tu, takda orang lain ke yang temuduga sekali?” Mak Zara macam tak percaya pulak dengan tuah yang datang bergolek tiba-tiba tu. Bagai mimpi pulak anaknya senang-senang dah dapat kerja. Itulah dia rezeki kalau ALLAH dah nak beri sekejap saja dah dapat.

“Entahlah mak, masa Zu datang tu orang tengah ramai kat bank tu. Tapi tak nampak pulak ada orang lain nak temuduga sekali.” Mata Zulaikha bulat memandang maknya.

“Emm… memang rezeki Zulah tu, syukurlah.” ujar Mak Zara sambil mencuit manja hidung anak daranya itu. Haikal di dalam buaian sudah lena tidurnya dan Mak Zara mengambil keluar botol susu yang telah kosong dari bayi comel itu.

“Dah makan ke?”spontan Mak Zara bertanya lalu bangkit dan menuju ke dapur.

“Belum lagi, tadi Zu cuma sempat minum je kat kedai tu. Excited sangat bila ternampakkan bank tu tadi terus rasa nak pergi cuba temuduga.” Zulaikha juga bingkas bangun dari situ dan berjalan menuju ke pintu. Ada lagi urusan yang belum selesai. Pastinya Umi terjerit geram bila dapat tahu aku dah ada kerja. Tulah sapa suruh kau ikut mak kau Umi hoi...kan dah melepas peluang. Tak dapatlah kita bersama-sama lagi...

“Nak ke mana pulak tu?” tegur Mak Zara bila melihat Zulaikha melangkah keluar semula.

“Nak jumpa Umi sekejaplah mak!” Laung Zulaikha terus mencapai basikalnya dan menuju ke rumah Umi. Kasihan pulak Umi, aku dah dapat kerja dah. Macamana pulak dengan dia ye? Aku dah lepas. Minta-minta dia pun cepat-cepatlah dapat kerja. Doanya dengan ikhlas. Zulaikha mengayuh basikal perlahan mengarah ke rumah Umi Surina yang tak berapa jauh dari rumahnya.

“Assalamualaikum! Umi! Umi!” Zulaikha turun dari basikal dan menyorong basikalnya menuju ke pintu pagar rumah Umi yang berwarna hijau lumut. Pintu depan rumah terbuka luas dan kedengaran bunyi alunan lagu Biarlah Rahsia nyanyian Siti Nurhaliza dari dalam rumah. Menandakan ada orang di rumah. Tetapi Zulaikha tak nampak pulak kelibat sesiapa di dalam rumah. Dia melaungkan nama Umi berkali-kali. Naik serak suaranya memanggil. Terasa malupun ada jugak bila dipanggil-panggil tuan rumahnya tak juga muncul-muncul. Karang aku redah masuk je karang dikatakan pencuri pulak, rungut Zulaikha mula tidak sabar.

“Waalaikumsalam! Wei Zu…aku kat dapur ni, masuklah!” Hah! Hidup lagi rupanya budak tu. Ingatkan dah pengsan ke apa ke, ngomel Zulaikha dalam hati. Dia menyendalkan tongkat basikalnya dan membuka kunci pagar hijau lumut itu lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Langkahnya dihayun laju.

“Sorang je ke? Mana mak kau, Mi?” Tanya Zulaikha matanya bercahaya. Dah tak sabar-sabar sangat lagi nak memberitahu ‘rahsianya’ kepada Umi. Tanpa dijemput duduk, Zulaikha melabuhkan punggungnya di kerusi rotan berkusyen empuk itu. Matanya mengiringi Umi duduk di sebelahnya. Wajahnya tersenyum manis.

“Mak aku keluar sekejap. Entah, pergi rumah Kak Leha agaknya. Nak minta sikit daun limau purut. Hah? Macamana hari ni, apa cerita?” soal Umi dengan penuh minat. Dia perasan, gelagat Zulaikha gembira semacam. Mesti ada sesuatu yang special ni, dia mengagak dalam hati. Bibirnya terherot mencemik. Zulaikha tidak perasankan perangai Umi itu.

Dengan wajah manis tersenyum simpul, Zulaikha memberitahu kepada Umi akan berita gembira itu. Mereka berdua berpelukkan dan terlompat-lompat, gembira seperti kanak-kanak kecil. Tetapi dalam hati Umi penuh dengan bahang cemburu yang terpendam bagai lahar gunung berapi pendam. ‘Alah, baru kerani bank je. Kecoh macamlah dapat pangkat manager,’ perli Umi dalam hati. Busuknyalah hati budak talam dua muka ni. Zulaikha berbual-bual lagi dengan Umi. Berkongsi pengalamannya semasa puas berpusing-pusing mencari pekerjaan di Pelabuhan Klang.

“Itulah kau, tiba-tiba gatal nak ikut mak kau pergi bank konon. Haah....kan dah melepas peluang.” rungut Zulaikha kepada kawan baiknya. Mereka berkawan sejak dari sekolah menengah lagi. Hobi pun dikongsi bersama juga. Suka membaca novel.

“Alah, dah rezeki kau Zu. Aku ikut ke atau aku tak ikut ke kalau ada rezeki aku adalah…” tapi dalam hati Umi sudah terbit rasa sakit hati kepada Zulaikha. Walaupun mereka adalah kawan yang rapat semasa di sekolah, tapi Umi tak boleh melihat Zulaikha lebih daripada dia. Perasaan ingin berlumba-lumba sangat menebal dalam diri Umi. Kalau boleh dia nak Zulaikha susah dan hanya dia saja yang senang. Umi mencebik tak puas hati semasa Zulaikha tidak memandangnya.

Perasaan dengki Umi terputus bila Zulaikha mengajaknya keluar esok ke kedai buku untuk mencari novel terbaru Ramlee Awang Murshid ‘Magis’.

“Kau nak ikut tak besok ni? Ke nak temankan mak kau pergi kedai mamak Abu pulak nak beli ikan?” sengaja Zulaikha bertanya sambil menyakat Umi yang kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.

Semenjak dari sekolah menengah lagi, Umi selalu berlumba-lumba dengan Zulaikha siapa yang lebih baik. Tetapi Zulaikha sering bernasib baik dan lebih berjaya daripada dia. Terbukti, ALLAH sentiasa melindungi hambanya yang teraniaya. Umi pandai menyembunyikan perasaan cemburu dan dengki hatinya terhadap Zulaikha. Talam dua muka memang macam tu, betul kan? Sehingga sekarang pun Zulaikha masih tak menyedari akan lakonan Umi itu. Amboi! Ni dah boleh mengalahkan lakonan Fasha Sanda ni, hehehe...Dia memang pandai bermuka-muka. Pada Zulaikha pula dia menganggap Umilah sahabatnya. Sedangkan Umi sebaliknya, menganggap Zulaikha sebagai pesaingnya dari segala segi. Kecantikan mahupun pekerjaan. Dendam dan amarah Umi semakin menebal bila Zulaikha sudah mendapat kerja lebih dulu darinya. Kerja di bank pulak tu. Penduduk di taman perumahannya memandang tinggi pada kerani bank. Pada mereka kerani bank ni loaded dan bukan calang-calang orang boleh bekerja di bank ni. Orang yang cantik, ada rupa dan pandai saja boleh menjadi orang bank. Betul ke? Selalunya pada pandangan orang macam tu le...

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.