Sarah Adelina tidak senang duduk.
Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Dia cuba mengawal resah di hati.
Telefon bimbit berbunyi minta diangkat, namun langsung tidak diendahkan.
Bukannya dia tidak mahu menjawab panggilan itu tetapi nombor yang tertera itu
mengingatkan dia kepada seseorang hampir empat tahun yang lalu.
“Sarah!
Sarah!.”
Laungan nama Sarah langsung tidak
diendahkan. Masakan tidak, laungan itu di dalam suasana yang hingar-bingar.
Waktu itu adalah waktu pertukaran kelas antara Bahasa Inggeris kepada
matapelajaran Sejarah. Sarah bersama Jasmin sedang berjalan menuju ke arah
bilik guru.
“Sarah,
macam ada orang panggil nama kau.” Sesekali Jasmin menoleh ke belakang untuk
memastikan panggilan itu untuk sahabat karibnya.
“Kau
ingat, dalam sekolah ni aku seorang sahaja ke nama Sarah?.”
“Eh,
betullah. Hakim tu. Dia panggil kau.”
“Kau
ni jangan nak perasan sangat boleh tak?. Entah-entah dia panggil si Nor Sarah,
Saerah ke. Tak pun tu ha dia panggil si Saravanan tu agaknya.” Laju sahaja
mulutnya menuturkan kata apabila dia nampak Saravanan pelajar tingkatan 4 Adil
membawa buku latihan menuju ke kelas.
“Hisy
kau ni. Betul ni. Aku tak tipu. Hakim tu melambai-lambai tangan lagi panggil
kau.” Jasmin menoleh lagi. Memastikan bahawa tanggapannya tidak meleset.
“Tak
percayalah aku Min. Mana mungkin pelajar hot
tu nak panggil aku. Entah-entah dia lambai Cikgu Siti Sarah tu.” Secara
kebetulan Cikgu Siti Sarah sedang berjalan masuk ke kelas tingkatan 3
Cemerlang.
“Engkau
ni… Aku tahulah dalam sekolah ni ada lebih kurang sepuluh orang pelajar nama
Sarah. Tapi, kesepuluh mereka itu tak seorang pun bernama Sarah Adelina tahu
tak.”
Mereka berdua meneruskan perjalanan
hingga ke bilik guru bertemu dengan Cikgu Zaiton. Seperti kebiasaannya mereka
akan membawa buku-buku latihan yang telah selesai disemak dan juga peralatan
mengajar yang lain. Setiap hari dua orang pelajar akan bergilir-gilir membantu
Cikgu Zaiton.
Cikgu
Zaiton berjalan di hadapan manakala mereka berdua membuntuti di belakang
bersama buku dan peralatan yang dibawa. Sewaktu melintasi kelas tingkatan 3
Bijak, seseorang sedang berdiri di pintu belakang dan menghulurkan sesuatu.
‘Hakim.’
Mata Sarah Adelina bertembung
dengan lelaki itu. Lelaki itu seperti biasa nampak segak dengan baju
pengawasnya. Dia hanya tersenyum dan meminta agar huluran itu disambut segera.
Sarah
mengambil dengan pantas sambil diperhatikan oleh Jasmin. Lekas-lekas lipatan kertas
bersama dengan kotak kecil berbalut dengan buku latihan sekolah itu dimasukkan
ke dalam kocek. Bimbang kalau Cikgu Zaiton perasan perbuatannya sebentar tadi.
“Betul
tak apa yang aku cakap?.” Jasmin berbisik sambil tersenyum nakal. Puas hatilah
tu kerana telahannya betul.
Lipatan
kertas dan bungkusan kecil yang tanpa diketahui isinya itu terus tersimpan kemas
di dalam kocek baju putihnya. Sepanjang hari perhatiannya kurang tertumpu pada
pelajaran tetapi terus-terusan berdoa agar kelas cepat berakhir.
“Sarah.
Bukalah apa yang Hakim beri pada kau tadi?,” ujar Jasmin sewaktu pulang. Ketika
itu Sarah hampir melupakan tentang lipatan kertas yang diberi oleh Hakim
sewaktu sesi pertukaran kelas pagi tadi.
Kayuhan mereka terhenti.
Perlahan-lahan lipatan kertas itu dibuka. Sepucuk surat dari Hakim untuk
dirinya. Hati rasa berbunga bila membaca.
“Eh,
Sarah. Surat tu nantilah kau baca. Panas ni. Apa bendanya dalam kotak tu?.”
“Hakim
bagi akulah. Bukannya engkau.” Geram pula dia melihatkan Jasmin yang seakan
tidak sabar melebihi dirinya.
Perlahan-lahan
bungkusan kecil itu dibuka. Isinya adalah dua butir coklat kisses. Bertambah
berbunga hati Sarah melihatkan isinya.
“Wah!
Coklat. Kau satu, aku satu,” Jasmin hampir mencapai coklat dalam genggaman
Sarah.
“Eh,
mana boleh. Ini Hakim beri pada aku tau.”
“Eleh.
Sudahlah kau. Kedekut.” Muncung mulut Jasmin melihatkan Sarah. Kalau dia tahu
tadi, elok dia beritahu cikgu Zaiton. Biar sama-sama tidak merasa. Jasmin terus
mengayuh basikalnya kembali. Meninggalkan Sarah yang masih terpinga-pinga
ditinggalkan.
‘Jasmin.
Jasmin. Merajuklah tu konon’, bisik hati Sarah. Kemudian dia menyusul dengan
basikal mini merahnya mengejar Jasmin yang jauh di hadapan.