'Erased (2017)'
Laju jemari Diha menaip di kotak carian Netflix. Setelah ketemu apa yang dicari dia segera menekan ‘Add To My List’, menambahkan drama bersiri ‘Erased’ ke senarai untuk tontonannya kelak.
Diha sedang berehat di atas chaise lounge di ruang tamu, menanti rancangan yang melibatkan Ariyyan disiarkan. Sambil itu, dia menghadap komputer riba, mengunjungi Blog Kasihku Amani dan membaca entri-entri berkaitan filem dan drama.
Thanks so much, Kak Sha. Saya pun sudah lama tidak tengok cerita Jepun. Nampak menarik! Dah masuk list saya.
Diha meninggalkan catatan di bahagian komen. Rakan bloggernya, Sha Mohamed, selalu menulis entri berkenaan filem, drama dan cerita bersiri yang telah ditonton. Kepelbagaian cerita di Netflix ibarat tidak bersempadan. Buntu memutuskan mana satu yang mahu disaksikan, maka saranan-saranan Sha menjadi pilihan teratas.
Ibu kepada dua puteri comel; Amani dan Imani ini sangat gemar membaca. Saban bulan, berpuluh-puluh malah mencecah ratus bilangan buku berjaya dibaca. Di samping itu, tugasnya selaku seorang pembantu pustakawan membuatkan Sha sentiasa berdamping dengan bahan bacaan. Bagi Diha, Sha merupakan gambaran tepat ‘ulat buku’ dari kamus peribahasa dahulu kala yang dijelmakan ke alam nyata. Dia kagum bagaimana dalam kesibukan rutin harian sebagai ibu, isteri dan wanita berkerjaya, Sha mampu mencuri masa membaca sebegitu banyak buku.
Selain daripada kisah kehidupan, gelagat dan keletah anak-anak, perkongsian resepi, ulasan filem, drama serta program televisyen, Blog Kasihku Amani sarat dipenuhi resensi-resensi novel bacaannya. Sha juga aktif menerbitkan ulasan buku di Goodreads. Mereka adik-beradik memang bergantung sepenuhnya pada pandangan peribadi Sha setiap kali hendak membeli novel baharu. Bulan lepas, ketika Dina ingin mendapatkan beberapa buah novel untuk dihadiahkan kepada kenalannya yang menyukai genre seram, blog Sha dijadikan sumber rujukan. “Review Kak Sha boleh dipercayai!” tutur Dina tanpa ragu.
Kemunculan Ariyyan diiringi gamat sorakan penonton memancing semula perhatiannya ke kaca televisyen. Lelaki itu tidak berjaket biru dan kemeja T hijau sepertimana yang dipakai saat keluar rumah petang tadi. Sebaliknya, Ariyyan mengenakan sehelai jersi kuning berjalur hitam. Diha terpana sejenak memandang penampilan Ariyyan. Ariyyan tampak berbeza. Lebih tampan. Lebih ranggi.
“Oh, baju sponsor,” bisik Diha sebaik sahaja meneliti paparan tulisan di bahagian bawah skrin televisyen. Baru Diha perasan, Ariyyan cenderung memilih busana yang berwarna gelap seperti biru, hijau pekat dan hitam. Pertama kali Diha melihat Ariyyan berpakaian sedemikian. "Who knows, yellow suits him very well," omel Diha, mengadili gaya suami.
Para Sakti Arjuna bersorak kuat apabila Ariyyan diminta bangun dan menggayakan jersinya. Senyum Diha makin lebar. Semasa ditanya oleh si pengacara mengenai sukan bola sepak yang diminati, Ariyyan menyatakan kebelakangan ini dia tidak berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak atas faktor kekangan masa.
Ralit menonton Ariyyan menceritakan kegiatan terbaru ARJUNA, telefon Diha berbunyi. Nada dering lagu Ariyyan. Lagu berentak rancak ‘Tetap Cinta Kamu’ dikhususkan untuk Dina. Diha memperlahankan bunyi televisyen sebelum menjawab panggilan adiknya.
“Assalamu’alaikum, busy mama,” sapa Diha ceria.
“Waalaikummussalam, kak. Sihat ke?” Lepas rindu mendengar suara Diha di hujung talian. Meskipun tiga hari sudah mereka berbual, Dina tetap merindui kakaknya. Dia dan Diha jarang berjauhan antara satu sama lain.
“Alhamdulillah. Korang kat sana semua sihat?”
“Alhamdulillah, sihat. Akak tengah buat apa?” soal Dina.
“Tengok Ariyyan kat TV,” kata Diha. Mata kembali melekat ke skrin televisyen. Ariyyan sedang ketawa. Apa butir bicaranya Diha tidak dapat tangkap.
“Live?”
“Ha ah.”
“Akak tak ikut ke?”
“Ishh,.. Kenapa pula terhegeh-hegeh nak ikut? Yang jadi artis dia. Akak duduk diam-diam kat rumah je,” terang Diha. Pelik benar rentak pertanyaan Dina di pendengaran. Masakan Dina tidak tahu, dia suka kehidupan serba sederhana. Low profile. Lebih selesa jika tidak dikenali. Dia rela menjadi halimunan daripada menjadi tumpuan. Rela bertemankan sepi daripada setiap geri ditatap diperhati.
“Abang Ariyyan ada ajak akak?”
“Ajak ke mana?” Diha kurang mengerti.
“La, ajak akak ikut dialah.”
“Kan dia pergi kerja. Takkanlah akak nak membuntut mengikut dia.”
“Pernah tak dia ajak akak?” Dina tidak henti melontarkan rangkaian soalan cepu emas.
“What’s your point, Dina?” Diha semakin lemas diterjah kemusykilan si adik. Lagak laksana seorang penyiasat pencen. Perlukah Ariyyan mengajaknya? Dia tiada fungsi dalam dunia glamour dan sisi hidup Ariyyan sebagai penghibur. Tidak masuk akal andai dia sibuk-sibuk berusaha menemani Ariyyan di luar.
“Yelah. Dulu sewaktu arwah Marsha masih hidup, mana-mana Abang Ariyyan pergi, mesti dia turut sama. Diorang ni kira pasangan popularlah di Indonesia. Marsha tu siap ada kelab peminat tau!” Dina mengulas panjang. “Cuba akak cari kat Youtube. Berlambak video diorang,” tambahnya.
“Aik, sejak bila pandai ikuti perkembangan artis lain nih? Bukan Dina cuma kenal Siti Nurhaliza je ke?” usik Diha nakal. ‘Advanced adik aku ni. Bakat penyiasat pencen tu dah ada dah,’ gumamnya.
“Bukan setakat Siti Nurhaliza. Sekarang dah tambah! Siti Aafiyah sekali.” Teruja Dina membalas seraya merujuk kepada cahaya mata idola pujaannya. “Akak ni, dah jadi abang ipar, haruslah ambil tahu. Akak tak minta nak ikut dia ke?” Dina menggiat kakaknya.
“Dina, tak semestinya apa arwah Marsha buat, akak kena buat juga,” jelas Diha. Itu sesuatu yang dipelajarinya pada awal tempoh perkahwinan. Meniru kebiasaan Marsha akan menerukkan lagi keadaan dan terus menjarakkan hubungan mereka.
“Dia macam mana dengan akak?” Dina mengasak ingin tahu.
“OK,” ujar Diha pendek. Tidak berhasrat memanjangkan tutur.
“Dia layan akak baik tak?” Intonasi Dina kedengaran serius. Sebolehnya dia tidak mahu perasaan Diha diperkotak-katikkan oleh sesiapapun.
“Baik. Mestilah baik. Kenapa?”
“Betul ni? Dia tak marah-marah akak? Tak angkat tangan pukul akak?”
“Eh, betullah. Usah berprasangka sangat, dik. Tak kanlah Ariyyan nak layan akak buruk pula,” Diha menepis waham adiknya jauh-jauh.
“Hmmm. How’s Abang Ariyyan? Nampak sebarang perkembangan positif? Dia dah mula cipta lagu semula?”
“Perkembangan positif tu memang ada. Dia dah aktif balik dengan ARJUNA. Pergi show, hadiri jemputan rancangan TV. Tidaklah berkurung anti dunia seperti sebelum ni. Tetapi, tak bolehlah kita expect dia segera bangkit. Terlalu awal untuk harap keajaiban berlaku,” cerita Diha. “Biasanya akak dropped hints. Puji lagu-lagu dia. Kadang-kadang bila dia termenung sorang-sorang tu, akak tanyalah tak nak main gitar ke,…cipta lagu ke,... Tapi, dia buat tak endah. Akak tak naklah paksa lebih-lebih."
“Akak tahu kan akak tak perlu terus-terus paksa diri.”
“Apa Dina cakap ni?” soal Diha. Dina senyap membisu. Dia yakin Diha faham apa yang dimaksudkannya. Sengaja pura-pura tidak faham.
“Tak ada siapa paksa diri. Akak lakukan semua ini atas kerelaan akak. I already told you that, right? Dina call akak ni ada apa-apa ke?” Cepat-cepat Diha menukar pokok perbualan. Dia tidak senang isu rumah tangganya dibincangkan secara terbuka. Serumit manapun kemelut yang menimpa perkahwinan mereka, biarlah kekal antara dia dan Ariyyan sahaja.
“Oh, duit yang akak transfer tu Dina dah terima. Abang Fahim dah hantar sumbangan akak ke badan khairat kematian di masjid semalam.” Dina membuka tajuk baharu. Dia sedar Diha enggan menghurai lanjut bilamana interaksi berkisar tentang Ariyyan. Walaupun dia tidak berpuas hati dengan jawaban Diha, namun usahanya terbatas setakat itu.
“Baguslah kalau macam tu. Tolong ucap terima kasih pada Fahim ye. Dina ada ke kubur ibu ayah? Bersihkan kubur tak?” Sudah menjadi kelaziman Diha dan Dina memastikan kubur kedua-dua orang tua sentiasa berjaga.
“Jangan bimbang. Semua beres,” jamin Dina.
“Alhamdulillah.” Lega Diha mendengarnya.
“Hakeem sihat?”
“Sihat. Dia tanya bila dia nak dapat sepupu?”
“Hakeem tanya ke mama Hakeem tanya?” tingkah Diha sinikal. Dia kian rimas melayan apa yang dibangkitkan oleh Dina. Dina gelak mengekek.
“Tak kisahlah siapa tanya. Bila?”
“Bila apa?”
“Bila nak ada baby?”
“Ishh... ke situ pulak dia!”
“Adatlah. Bila orang tu bujang, kita risik bila nak kahwin...bila dah kahwin, kita usik-usik bila nak ada anak,...bila dah ada anak, orang tanya pula bila nak tambah anak....” bidas Dina.
Diha diam. Perihal anak tidak terlintas di fikirannya buat masa ini. Langsung. Yang pasti, dia harus cuba dekati Ariyyan, dampingi Ariyyan dan kembalikan kegembiraan Ariyyan seperti fasa bahagianya bersama Marsha dahulu.
“Kak,...”
“Hmmm?”
“You made me think.”
“Apanya,..”
“Abang Ariyyan dah sentuh akak?”
“Dina!” Tegur Diha keras. Mengapalah soalan itu yang ditanya. Apa niat Dina menimbulkan perkara tersebut?
“Tak, Dina tanya betul-betul ni. Akak dan Abang Ariyyan dah bersama? In real sense, have both of you consummate your marriage?” Mendengar pertanyaan-pertanyaan Dina, Diha merasakan darah panas naik ke muka.
“Ya Allah, Dina! Pernah tak akak selidik hal bawah selimut atau dalam kelambu Dina dengan Fahim?” Tegang nada suaranya. Sekali lagi mata menangkap reaksi Ariyyan yang melakar tawa. Lantas dia mengambil alat kawalan jauh lalu menekan butang ‘OFF’. Biarpun tiada kena-mengena, kemeriahan tawa Ariyyan seolah-olah mengejek dan mempersendakan diri.
“Alaa, janganlah marah. This is a serious matter! I mean, Dina tak risau pasal nafkah zahir. Kita sedia maklum dia banyak duit. Dia lebih dari mampu nak sara akak. Tapi, dia ada beri nafkah batin tak?”
“Kak?”
Senyap.
“Kakkkkkk?”
“Akak tak perlu jawab soalan Dina.”
Pautan blog Sha Mohamed (Blog Kasihku Amani) - http://kasihkuamani.blogspot.com