4
LOCENG pintu rumah Nasreen ditekan berkali-kali. Suasana gelap
mengepung persekitaran. Hanya cahaya malam menembus dari simbahan lampu di
jalan raya depan rumah. Beberapa ketika kemudian pintu dibuka. Pembantu rumah
Nasreen, Tuty melaung dari depan pintu. |
“Shasha sudah tidur! Kata puan, besok saja tuan ambil,” beritahu
Tuty.
Zarul termangu seketika. Dia mengangguk. Tuty menutup pintu.
“Cepatnya Shasha tidur? Selalu tunggu aku ambil.” Zarul melihat
jam tangannya. Hampir pukul 10.00 malam. Dia melepaskan nafas kesal. Memang
patut pun Shasha masuk tidur waktu begini. Dia berjanji akan datang mengambil
Shasha pukul 6.00 petang. Dia terlewat lima jam. Pasti Nasreen mengamuk lagi.
Selalu sangat dia mungkir janji. Dia melangkah ke arah keretanya. Dia masih
menoleh-noleh ke arah rumah bekas bapa mertuanya.
‘Jangan perempuan tu buat
tuntutan hadanah lagi sudah. Nanti dia tuntut hak penjagaan sepenuhnya. Alamat
tak merasa aku bawa Shasha dua malam seminggu di rumah.’
Sebaik sahaja dia memboloskan diri ke dalam kereta, telefon
bimbitnya berbunyi. Dia melihat nama Nasreen tertera pada skrin. Pasti Nasreen
memarahinya lagi. Marah pagi tadi, bercampur marah kerana lewat mengambil
Shasha. Perkara ini bukan sekali dua berlaku. Malah berkali-kali. Nasreen
pernah mengugut untuk tidak membenarkannya mengambil Shasha lagi. Itu yang paling
ditakutinya.
Siang tadi ketika dia dalam perjalanan ke rumah bekas bapa
mertuanya, Nasreen menghubunginya. Lembut nada suaranya. “Kenapa buang bunga
yang I hantar?”
“Kau dah bagi aku bunga
tu, bunga tu dah jadi hak aku. Suka hati aku mana aku nak campak.” Selamba
Zarul menjawab. “Jangan cuba nak beli jiwa aku dengan bunga! Sekejap lagi aku
sampai. Bagitahu Shasha, aku dalam perjalanan!”
Itu siang tadi. Tetapi kali ini dia benar-benar mendengar suara
Nasreen yang terjerit-jerit tidak tentu pasal.
“Zarul! You tak payah ambik Shasha. You tau tak sejak pukul
berapa budak tu tunggu? Sejak pukul empat tau! You janji nak ambik dia empat
setengah. Lepas tu terus ke Port Dickson, bermalam di Tiara Beach. Budak tu
teruja sangat nak pergi, tau tak?!” marah Nasreen melepaskan kekesalan.
Zarul tidak sempat menjawab soalan Nasreen yang bertubi-tubi itu.
“You ni kalau tak pandai nak tunai janji, jangan berjanji dengan
Shasha! Buat budak tu putih mata saja tau! Kalau nak jadi bapa Shasha, jadilah
bapa yang bertanggungjawab, faham?!”
Zarul hendak menjelaskan punca kelewatannya, tetapi seperti biasa
Nasreen tidak mahu mendengar apa-apa alasan daripadanya. Dia hanya mampu
menahan perasaan. Walaupun sudah berkali-kali mengalami hal yang sama, suara
Nasreen tetap menikam dan mneyakitkan hatinya.
‘Suka-suka dia nak tengking aku. Mentang-mentang aku bukan suami
dia lagi. Shasha hanya alasan. Dia mengamuk sebab aku dah campak bunga dia pagi
tadi. Pandai dia!’
“You tak boleh ambik Shasha hari ni. Sekarang dah pukul sepuluh
malam. Ingat, you cuma boleh ambik dia sebelum pukul enam petang. Hak you
bermalam dengan Shasha hari ni dah terbatal!”
Nasreen terus memutuskan talian.
Zarul termangu seketika. Dia menoleh ke belakang. Beg pakaiannya
dan beg pakaian Shasha yang memang ada di rumahnya, kemas terletak di atas
tempat duduk. Pelampung Donald Duck kegemaran Shasha juga dibawa sekali. Kalau
tidak, sibuk Shasha mencari setiap kali dia membawa anak tunggalnya ke kolam
renang. Shasha tidak mahu pelampung yang lain. Donald Duck itu juga pilihannya.
‘Ke mana aku?’ bisik hatinya selepas hak bermalamnya dengan
Shasha minggu ini batal kerana kelalaiannya. Balik pun tak ada sesiapa di
rumah. Paling tidak si Kune, kucing jantan hitam kembang ekor yang menjadi
temannya. Kucing Siam yang dipelihara sejak lima tahun lalu itu tidak faham
kesunyiannya. Kune tidak mampu membalas kata-katanya walaupun faham arahannya.