Home Novel Cinta Cinderlisa
Cinderlisa
Meja Editor
11/11/2024 09:36:59
1,499
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

PINTU bilik temu duga, aku tutup perlahan-lahan dengan penuh adab Melayu dan sopan. Kalau ikutkan hati, nak saja aku hempas pintu ini kuat-kuat. Kalau boleh, biar sampai roboh pintu kaca yang berkilat-kilat itu menyembah karpet yang tak ada satu pun sampah. Sempat juga aku pandang si penemu duga berperut boroi itu sebelum pintu tertutup rapat.

Di luar bilik, aku mendengus geram. Rasa macam nak sumpah seranah, maki hamun dan tebuk perut penemu duga itu dengan tombak biar keluar segala benaknya. Nak marah, tapi kena sabar. Rasa nak marah, tapi kena sabar! 

“Tak guna punya lelaki overdue sepuluh bulan! Kau ingat aku ni ada ambil kelas tuisyen dalam rahim ke? Pengalaman kerja? Dah nama pun fresh graduate. Mana nak cari pengalaman kerja? Lainlah kalau aku tepek pada resume itu senior bla, bla, bla atau experience in bla, bla, bla. Letak iklan nak hire fresh graduate, tapi nak fresh graduate yang ada pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun?”

Sakit hati aku!

Mana nak cekau tiga tahun pengalaman bekerja kalau aku baru saja panjat pentas untuk hari konvokesyen? Pengalaman kerja dalam bidang yang dipohon pula itu! Kalau nak pengalaman kerja kedai makan ke, 7 Eleven ke, okeylah juga!

Nonsense! Company gila! Penemu duga gila! Semua pun gila!

Tengah-tengah layan marah, tiba-tiba aku rasa macam nak terkencing pula. Cepat-cepat mata melilau mencari mana-mana signboard yang beritahu arah tandas. Syarikat ini terlalu besar! Sambil mencari, sambil itu jugalah kaki aku melangkah. Tiba-tiba ....

Buk!

Aku terundur beberapa langkah bila terempuh satu tubuh yang bukan main tinggi dan keras. Kejap! Ini badan ke dinding? Bapak keras! Mak kau bagi makan batu ke dari kecil?

Perlanggaran secara mendadak membuatkan aku hilang imbangan. Baru nak tergolek jatuh, tiba-tiba muncul satu tangan yang meraih sebelah tanganku sebelum tanganku direntap deras ke arahnya.

Kuch Kuch Hota Hai!

Kalau tadi kaki aku terundur, sekarang tubuh aku tertarik ke depan pula. Muka hampir bercumbu dengan dada pemilik tubuh yang keras ini kalau bukan kerana tanganku yang laju saja menyelitkan fail di tengah-tengah. Bibir mendarat pada permukaan fail sebelum fail terlucut ke bawah.

Fuh, selamat bibirku yang masih dara dan hidungku yang tak berapa mancung. Kalau berlaga tadi, mungkin aku kena cepat-cepat cari cermin dan periksa batang hidung sendiri. Takut kalau terkemik selepas bertembung dengan dia yang nampak begitu kekar.

“Are you okay, miss?”

Aku lekas berundur semula bila terdengar suaranya. Beberapa langkah jarak antara kami, barulah aku angkat kepala dan lihat wajah pemilik suara jantan bertubuh keras. Mulut ternganga dan air liur hampir meleleh. Hiperbola, tapi itulah ayat yang terbaik untuk menerangkan susuk di depanku ini. Kacak!

Aku hampir cium dada anak teruna orang! Entah-entah suami dan bapa orang! Kalau nampak dek bininya, mahu aku kena terajang keluar tingkap terus ke longkang depan sana!

“Miss, are you okay?” Lelaki itu menyoal lagi. Prihatin bunyinya.

“Okey, okey!” jawabku ringkas. Aku terus buka langkah semula untuk sambung mencari tandas. Kalau perempuan lain yang berada di tempat aku, aku boleh kerat jari yang air kencing terus tersedut semula kerana nak berlama-lama di sini untuk cuci mata melihat pemandangan indah di depan. Tapi bukan aku! Tak dinafikan, dia memang kacak. Tapi, panggilan alamku lebih penting!

Baru jalan lebih kurang lima langkah, tiba-tiba lengan bajuku ditarik dari belakang.

“Wait ....”

“Helo! Apa pegang-pegang ni? Haramlah!” Tak sempat pun lelaki itu nak habiskan kata-kata, aku sudah marah dulu.

Sambil itu, sempat mata menganalisis tubuhnya. Lelaki bertubuh tinggi dan berkulit agak gelap. Cerah sikit daripada sawo matang. Pakai cermin mata hitam walaupun matahari tak wujud dalam bangunan ini. Rambutnya yang hitam terlihat seakan-akan ada satu garisan keperangan. Rambut palsu ke?

“My bad. Actually, awak tertinggal fail.” Dia terus menghulurkan fail di tangannya. 

Fail aku!

Alamak! Inilah namanya bercakap tak pandang-pandang. Macam mana fail sebesar perut pun aku boleh tak nampak? Fail sendiri pula itu! Aku cepat-cepat turunkan tangan yang bercekak pinggang tadi ke sisi. Kerana mulut yang lebih laju berbanding mata, aku sudah tersalah sembur orang. Bersama sengihan malu, aku sambut fail itu seraya menunduk.

“Sorry!” ucapku sebelum cabut lari dari situ. Malunya!

“Miss! Do you want to catch up later sometime?”

Sayup-sayup aku dengar suara itu menyoal.

Jumpa lagi? Hell, no!

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.