"Saya
tidur di atas katil ya. Penatlah semalaman dari Terengganu ke sini,"
Faizal sudah merebahkan tubuh di atas katil ketika Amira mengusung comforter ke
dalam bilik. Usaha senyap-senyapnya menyeludup dari bilik tetamu.
Amira diam bila
Faizal sudah pun memejamkan mata. Serba-salah bermain di dalam dada. Tidak
kisah rasanya untuk tidur di bawah. Kasihan juga pada Faizal. Lelaki itu pasti
kepenatan. Beberapa bekerja di kawasan pedalaman. Kemudian tergesa-gesa pula ke
rumahnya, perlu lagi melayan ahli keluargannya. Lelaki seperti Faizal yang
senang hidup sendirian perlu berdepan dengan kerenah ahli keluarganya dan
terpaksa meninggalkan urusan kerja kerananya.
Amira yang
sedang membentangkan comforter terhenti. Pandangannya berpaling kepada Faizal
yang kaku di atas katil. Lega bila semalaman risaukan Faizal dan lelaki itu
muncul dengan keadaan sihat walafiat. Tapi kenapa dia pulang subuh hari begitu?
Mengapa tidak dibalas panggilannya yang bertalu-talu ditinggalkan? Amira ingin
bertanya. Namun, dia tidak pasti adakah dia tidak melanggar batasan dengan
berbuat demikian? Bukankah bagi Faizal perempuan itu merimaskan? Kalau banyak
yang disoalnya, pasti Faizal akan merasakan dia merimaskan. Amira mengeluh
sendiri. Kini, dia pula yang serba-salah untuk berdepan dengan lelaki itu.
Sejauh mana Faizal dapat menerimanya? Sejauh mana Faizal mampu berkongsi
dengannya?
"Kenapa
awak menangis pagi tadi?" suara Faizal sedikit mengejutkan Amira. Terbang
segala persoalan dalam fikiran. Amira berpaling. Lelaki itu masih tenang denga
mata terpejam. Kenapa dia menangis? Apa yang boleh dijawab Amira? Takkan mahu
dijawab, sebab awaklah Faizal! Kenapa awak pergi tanpa beritahu saya? Sudahlah
mungkir janji, berkali-kali dihubungi tapi tidak dibalas! Amira membentak dalam
hati. Lidahnya kelu dan pandangannya kaku terarah kepada Faizal di atas katil.
"Kenapa?"
Faizal mengiring menghadap Amira. Amira masih membisu dan tertunduk. Faizal
yang melihat tingkah Amira serba-salah jadinya. Amira marahkah? Mahu menangis
lagikah gadis itu? Faizal bingkas bangun dan duduk di atas comforter menghadap
Amira yang masih tunduk berdiam diri.
"Amira,
kenapa ni? Awak marah saya ke? Awak nak tidur atas katil? Maaf, saya tidur
bawah. Awak tidurlah dekat atas," Faizal sudah tidak keruan dengan
kebisuan Amira. Amira kaget dengan bicara Faizal. Kenapa lelaki itu yang
kelihatan resah? Dia mengangkat wajah bertentang mata dengan Faizal sejenak
sebelum segera mengalih pandangan.
"Erm.. tak
ada apa-apa. Awak tidur lah atas katil. Awak kan tak suka tidur atas
lantai," Amira menjawab perlahan. Faizal terdiam dengan jawapan Amira.
Memang dia tidak pernah tidur di lantai. Biar ke mana-mana pun dia akan
pastikan ada katil untuk merehatkan tubuh.
"Semalam
saya perasan panggilan awak dah lewat malam. Saya ingat nak call pagi-pagi.
Tapi, saya rasa nak balik KL malam tadi juga. Saya tak sempat nak call bagitahu
sebab sampai rumah pun waktu subuh lagi," Faizal menjelaskan tanpa
menunggu lagi. Dia tahu, pasti itu yang bermain di fikiran Amira. Masakan gadis
itu tidak apa-apa bila 15 kali menghubunginya tanpa jawapan. Faizal merenung
wajah Amira. Hatinya terasa lapang dapat menatap wajah Amira dari dekat. Dia
tidak boleh menafikan kerinduan yang muncul di hatinya. Walau dia bimbang untuk
bercinta lagi, tapi, kehendak hati sukar untuk ditahan-tahan.
Amira hanya
mengangguk mendengar jawapan Faizal. Dia mengerti. Dia cuma harap lain kali
Faizal tidak lakukan dia sebegitu lagi. Biarkan dia menunggu dan tertanya-tanya
sendiri. Biarkan dia resah dan bimbang menanti khabar dari Faizal. Amira
menggetap bibir. Seakan ada tangisan yang mahu hadir. Dia mahu ungkapkan.
Namun, berhakkah dia untuk menuntut Faizal memaklumkan urusannya kepada Amira?
Hatinya terasa sakit sendiri.
"Hei....
Amira? Janganlah nangis," Faizal sedar mata Amira sudah memerah. Faizal
cuba memandang tepat ke mata yang cuba dilarikan gadis. Amira tahu dia sudah
tidak tahan lagi. Dia segera bangun untuk melarikan diri dari menangis sekali
lagi di hadapan Faizal.
Belum sempat
Amira melangkah, lengannya sudah ditarik Faizal. Amira jatuh perlahan dalam
dakapan Faizal. Tindakan drastik itu membuatkan Faizal kaku sendiri. Saat
berada dakapan Faizal, Amira tidak tahan lagi dan menangis semahunya. Faizal tidak pasti tindakan yang perlu di ambil. Ini
kali pertama seorang wanita menangis dalam dakapannya. Bukan dia tidak pernah
berdepan dengan wanita yang menangis. Malah berkali-kali kekasihnya dahulu
menangis kerana sikapnya. Namun, dia tidak pernah melampaui batas seperti ini.
Bila dia sedar dia hanya melukakan hati kekasihnya, dia memilih untuk berpisah.
Dia tidak sanggup untuk melukakan hati wanita lagi. Baginya terlalu sukar untuk
dia berubah kerana wanita.
Adakah Amira
sudah mulai terluka kerananya? Faizal resah. Adakah dia patut melepaskan Amira?
Faizal mula bersoal jawab dalam hati. Namun, tangisan Amira makin menjadi-jadi.
Tanpa disedari Faizal mengemaskan pelukan. Membawa tubuh kecil Amira ke
dadanya. Dalam hati dia berdoa semoga tangisan Amira segera reda.