Home Novel Cinta Hati yang Terpilih
Hati yang Terpilih
Sue Ann
5/6/2022 17:52:31
8,735
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

"Masukla, Maira."


Ajak Encik Nazri sebaik mereka tiba di rumah.Terlopong Humaira melihat banglo dua tingkat yang tersergam indah itu.Lampu-lampu kuning yang menghiasi sekitar kawasan rumah menjadikan kediaman itu bak istana kayangan di mata Humaira.


"Laa, apa tercegat je kat situ..mari masuk!"


Sekali lagi Encik Nazri menggamit Humaira untuk masuk tatkala melihat gadis itu masih tidak berganjak.Matanya saja yang liar memandang ke sini dan ke sana.


"Maira malu, pakcik."


Humaira merenung dirinya atas bawah.Berkaki ayam, pakaian kotor, serta rambut kusut masai.Manakan layak untuk dia menjejakkan kaki ke rumah agam itu.


"Nak malu dengan siapa..Bukannya ada raja ke perdana menteri ke.."


"Abang!"


Ayat Encik Nazri terhenti di situ apabila Puan Suraya, isterinya muncul di muka pintu.


"Kenapa lewat sangat balik..kata ada bawa hadiah untuk saya.Mana?"


"Tu.."


Encik Nazri memuncungkan mulut ke arah Humaira yang masih berdiri kaku.Kecut perut Humaira melihat renungan tajam yang dilemparkan oleh Puan Suraya.Cepat-cepat dia menundukkan pandangan.


Puan Suraya mendekati Humaira perlahan-lahan.Ditelitinya keadaan gadis itu dengan dahi berkerut.Wajah Humaira yang tunduk diintai penuh minat hingga membuat gadis itu tidak selesa.


"Siapa ni, bang?"


Soal Puan Suraya kepada Encik Nazri yang hanya tersenyum melihat gelagat isterinya.


"Kot ya pun bawaklah budak tu masuk dulu..Kesian dia."


Encik Nazri mengarahkan isterinya untuk membawa Humaira masuk.Puan Suraya hanya menurut dengan hati yang penuh tanda tanya.


"Kita makan dulu..lepas tu abang cerita.Lapar."


Encik Nazri memegang perut lalu menuju ke dapur untuk mencuci tangan.Kemudian mereka bertiga duduk di meja makan menikmati hidangan malam.


"Dah sejuk lauk ni tunggu abang."


Ujar Puan Suraya dengan nada seakan merajuk ketika menghulurkan pinggan berisi nasi kepada suaminya.Humaira yang duduk di sebelahnya dikerling sekilas sebelum mencedokkan nasi untuk gadis itu.


"Makan Maira.Tak payah nak malu-malu.Pakcik dengan makcik je pun."


Pelawa Encik Nazri lalu tertawa kecil.


"Siapa nama, bang?Maira?"


Puan Suraya buat-buat bertanya.Terpancar keterujaannya untuk mengenali gadis itu.Walaupun sempat terdetik di hatinya yang Encik Nazri membawa calon isteri muda untuknya, namun kecurigaan itu hilang sekelip mata apabila suaminya membahasakan dirinya 'pakcik' dengan Humaira.


"Humaira."


Balas Encik Nazri sebelum menyuapkan nasi ke mulut dengan penuh berselera.


"Humaira..panggil Maira la ni?Indahnya nama..macam orangnya kan, bang."


Puan Suraya cuba beramah mesra dengan Humaira yang hanya diam menguis nasi di pinggan.


Sungguh Humaira tidak punya nafsu untuk menjamah makanan walaupun perutnya terasa kosong.Segala-galanya masih terlalu asing baginya.Bagaimana dia dapat merasakan keenakkan makanan yang terhidang di hadapan mata sedangkan dia masih saja keliru dengan apa yang terjadi dalam hidupnya kini.


Teranguk-anguk kepala Encik Nazri mengiakan kata-kata isterinya.




"Kal mana?Dari tadi tak nampak batang hidung?"


Encik Nazri bertanya sewaktu Puan Suraya sibuk mengemas pinggan mangkuk yang telah kosong untuk dibawa ke dapur sambil dibantu oleh Humaira.


"Abang macam tak tau pulak.Kalau dah malam minggu, mana nak melekat dekat rumah."


Jawab Puan Suraya malas.Sememangnya dia sudah lali dengan perangai anak terunanya yang satu itu.


"Dah Maira, tak payah buat.Maira pergi rehat je dekat depan, ya."


Kata-kata Puan Suraya sedikit pun tidak membantutkan niat Humaira untuk membantunya di dapur.


"Tak apa, puan.Maira boleh buat."


Balas Humaira dengan senyuman lalu tangannya laju mencuci pinggan mangkuk di dalam sinki.


"Apa pulak puan-puan..panggil makcik lah.Maira bukannya orang gaji.Tak pun panggil Mak Su je."


Balas Puan Suraya ramah.


"Baik, Mak Su."




Seperti yang dijanjikan Encik Nazri, dia menceritakan kepada isterinya bagaimana dia bertemu dengan Humaira.


"Sebenarnya saya lari dari majlis nikah."


Akhirnya Humaira membuka mulut.Berat untuk menceritakan hal sebenar namun dia tidak mahu Encik Nazri dan Puan Suraya salah anggap terhadapnya.


"Allah..kenapa boleh sampai macamtu?Habis sekarang ni, mereka tak cari kamu ke?"


Encik Nazri sangat terkejut dengan apa yang baru diketahuinya.Begitu juga dengan Puan Suraya yang semakin berminat untuk mendengarkan lebih lagi dari mulut gadis muda itu.


"Saya tak tau..Tapi yang saya tau saya memang tak boleh kahwin dengan lelaki tu."


Humaira ketap bibir.Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menangis lagi di hadapan Encik Nazri.Dia tidak mahu dilihat seperti anak kecil yang cengeng.


"Boleh Mak Su tau kenapa?"


Puan Suraya yang sedari tadi hanya berdiam, tidak mampu menahan rasa ingin tahunya.


"Dia..dia..."


Bergetar tubuh Humaira menahan perasaan yang kian berkecamuk.Membayangkan wajah lelaki itu pun Humaira tidak sanggup.Sungguh apa yang telah dilakukan Razman tidak mungkin dapat dimaafkan.


"Dahla, Yang.Jangan dibebankan lagi budak tu.Tak apa, Maira.Maira nak cerita ke tak nak cerita ke terpulang.Yang penting sekarang ni Maira selamat dengan kami.Tak payah difikir-fikir lagi."


Pujuk Encik Nazri.Tidak sanggup lagi melihat kesedihan di wajah gadis malang itu.


"Tapi, bang.Kalau Maira tinggal dengan kita, tak timbul masalah ke nanti?"


Puan Suraya berasa senang sekali Humaira akan tinggal bersama mereka, tetapi tetap saja dia khuatir akan hari-hari yang mendatang.Dia tidak mahu andai suatu hari nanti mereka dituduh melarikan anak dara orang.


"Masalah apanya..Maira ni anak yatim piatu.Dah tak ada tempat bergantung.Saudara mara pun tak ada.Jadi dia bebas tinggal dekat mana pun dia nak selagi tak terikat dengan siapa-siapa.Lainlah kalau dia tunang orang ke..yang tu baru masalah."


Tegas Encik Nazri.Tidak salah andai dia mahu mengambil Humaira sebagai anak angkat sekalipun.


"Kalau abang dah cakap macamtu, saya ikut je..Seronokla saya lepas ni bang.Ada peneman."


Kerana terlalu teruja, Puan Suraya memeluk Humaira yang duduk di sisinya.


"Maaf Mak Su.Badan saya kotor."


Cepat-cepat Humaira meleraikan pelukan Puan Suraya.Dia malu dengan keadaan dirinya yang sudah seperti orang gelandangan.


"Tulah abang.Banyak sangat bercerita sampai saya lupa nak suruh Maira bersihkan diri.Jom Maira, Mak Su bawak Maira pergi bilik Maira.Lepas tu Maira boleh mandi ya."


Puan Suraya lantas bangun dan menarik tangan Humaira.Humaira yang kebingungan hanya menurut saja langkah Puan Suraya menuju ke tingkat atas.


"Eh, eh.Kita pulak yang disalahkan."


Encik Nazri geleng kepala lalu tertawa senang.Lega hatinya melihat penerimaan positif dari isterinya.Dalam diam, dia memanjat syukur ke hadrat Illahi kerana mempertemukan mereka dengan gadis yang bernama Humaira.




Bulat mata Humaira melihat keluasan bilik tidur yang dijadikan bilik tetamu itu.Berganda besarnya dari bilik Razman.


"Ni semua baju lama Mak Su.Mak Su dah tak pakai.Dah tak muat.Dulu badan Mak Su kurus macam Maira."


Becok mulut Puan Suraya sambil tangannya ligat menayang pakaian di hadapan Humaira yang masih tercengang.


Humaira membelek-belek pakaian yang berselerak di atas katil.Rambang matanya melihat koleksi pakaian Puan Suraya yang pelbagai.Namun matanya lebih tertumpu kepada beberapa pasang baju kurung moden.


"Maira suka baju kurung ya?Nanti kita pergi mall, Maira boleh pilih baju yang Maira nak.Lagi lawa-lawa dari ni pun ada tau."


Puan Suraya senyum lebar.Andai saja anak angkatnya masih hidup, pasti dia sudah seusia dengan Humaira.


"Eh, tak payahlah Mak Su.Maira pakai mana yang ada ni je.Ni pun dah lebih dari cukup."


Balas Humaira merendah diri.


"No..yang ni untuk Maira pakai sementara waktu.Takkanlah Maira nak pakai baju macam orang-orang tua ni.Tak sesuai."


Celoteh Puan Suraya lagi.Tidak sabar rasanya untuk keluar membeli belah bersama.




Humaira memandang dirinya di dalam cermin.Lantas dia terkenangkan beberapa jam yang lalu di mana dia berada dalam posisi yang sama di bilik yang berbeza.Humaira pegang dada yang terasa sesak.Kepalanya jadi berat tiba-tiba.Humaira segera menghempaskan tubuhnya ke tilam empuk bersaiz queen.Udara sejuk dari penghawa dingin menyucuk-nyucuk tubuh kurusnya.Pantas selimut tebal yang melapisi tilam ditarik menutupi tubuh hingga ke bahu.Dan dalam sekejap saja, gadis itu sudah lena diulit mimpi.




"Kenapa tak balik pagi esok je."


Langkah Haikal mati di tangga apabila ditegur oleh Encik Nazri.


"Papa tak tidur lagi?"


Haikal melihat jam di tangan yang sudah hampir tiga pagi.Tidak menyangka yang ayahnya masih berjaga menanti kepulangannya.


"Lepak kelab malam lagi?"


Soalan dibalas dengan soalan oleh Encik Nazri.


"Papa ingatkan bila Kal dah jadi bos, berubahlah sikit perangai.Ni tak, sama je papa tengok."


Encik Nazri semakin hilang sabar dengan kelakuan Haikal yang masih tidak berubah.Pulang dari belajar di luar negara hinggalah diberi kepercayaan menyandang jawatan besar di perusahaannya, tetap saja dia suka menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.Entah apa yang dilakukannya di luar sana pun Encik Nazri tidak tahu.Yang dia mampu hanyalah menegur dan memberi nasihat supaya anak teruna satu-satunya itu sentiasa berada di landasan yang betul.


"Pa..esok kan holiday.Apa salahnya kalau malam ni Kal nak enjoy sikit..Penatla pa asyik kerja, kerja, kerja je.Jadi pilot pun tak penat macamni."


Balas Haikal selamba yang sudah terbiasa dengan leteran Encik Nazri.


"Jadi Kal nak cakap yang Kal menyesal berhenti jadi pilot sebab papa?"


Bengang Encik Nazri mendengar kata-kata anaknya itu.


Memang benar dia yang mendesak Haikal untuk melepaskan jawatannya sebagai juruterbang kerana mahu anaknya itu mewarisi syarikat pembinaan yang dibangunkan bertahun-tahun.Lebih-lebih lagi Haikal merupakan graduan lulusan senibina.Tetapi kerana minatnya yang mendalam untuk menjadi juruterbang sewaktu belajar di luar negara, Haikal mengambil keputusan untuk mengikuti program kadet juruterbang selepas tamat belajar.Hampir setahun juga dia berkhidmat sebagai juruterbang sebelum mengalah atas pujukan ibunya yang mahu anaknya itu tinggal bersama.


"Pa, Kal dah ikut kemahuan papa.Kal dah cuba faham papa.Jadi boleh tak kalau sekarang ni papa faham Kal pulak.Lagipun Kal dah besar.Kal boleh jaga diri.Kal masih tau bezakan baik buruk.Nite, pa."


Encik Nazri memandang langkah Haikal sehingga hilang di sebalik tangga.Dia menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap anak lelakinya.Terkadang timbul rasa bersalah kerana terlalu memaksa Haikal mengikut kehendaknya.Pun begitu dia tidak pernah menyesal akan tindakkannya itu.Setidak-tidaknya anaknya itu masih berada di depan mata dan di bawah jagaannya.




"Abah..!Man, tolong abah, Man.Cepat!"


Humaira merayu-rayu agar Razman membantu ayahnya yang sedang merintih kesakitan.Namun Razman hanya bediri tegap memandang ayahnya sambil ketawa.


"Selagi orang tua ni hidup, selagi tulah aku takkan dapat kau, Humaira!"


Razman ketawa lagi.Sedikit pun dia tidak berasa belas melihat Encik Firdaus yang sedang tenat.


"Tolong Maira, Man!Abah sakit, Man.Jangan pergi, Man.Razman!!"


Humaira tersentak dari mimpi ngeri hingga terpacul keluar nama itu dari bibirya.Humaira mengurut dada yang berdegup kencang.Peluh dingin yang membasahi dahi tidak diendahkan.Humaira istighfar berkali-kali hingga jiwanya kembali tenang.Humaira menangis.Serasa mimpi itu nyata sekali.


Langkah Haikal terhenti betul-betul di hadapan pintu bilik tetamu.Sayup-sayup dia mendengar suara seseorang sedang menangis.Haikal jadi cuak.Dadanya berdebar tiba-tiba memikirkan hal yang aneh-aneh.


'Mungkin ada tetamu yang datang.'


Haikal cuba menyedapkan hati lantas dia memberanikan diri merapatkan telinganya ke pintu.Suara tangis itu semakin jelas bergema.Haikal semakin ingin tahu.Apakah benar yang menangis itu manusia atau bukan?


Dengan berhati-hati, Haikal memulas tombol pintu yang tidak berkunci.Dia mengintai disebalik ruang pintu yang dikuak sedikit.Dalam samar-samar lampu tidur yang menerangi ruang bilik, Haikal dapat melihat dengan jelas seorang perempuan sedang duduk di atas katil sambil menangis tersedu-sedu dengan kedua-dua belah tangan menutupi wajah.


Tanpa berfikir panjang, Haikal menapak masuk ke dalam bilik dan menghampiri Humaira yang masih tidak sedar akan kehadirannya.


"Kau ni siapa?"


Jerkah Haikal tanpa ragu-ragu.


Humaira tersentak lantas mendongak mencari arah suara itu.Air mata yang galak merembes mengaburkan pandangan, menyukarkan Humaira untuk mengecam empunya suara itu.


"Raz..Razman?"


Terketar-ketar Humaira menyebut nama itu.


"Razman?Siapa Razman?Aku tanya kau ni siapa?"


Haikal bengang apabila gadis itu tidak menjawab pertanyaannya.Dia cuba untuk datang lebih dekat namun Humaira terlebih dulu bertindak.


"Tolong Razman.Aku merayu dekat kau.Jangan apa-apakan aku!"


Kerana terlalu takut, Humaira terjatuh dari katil dan tersungkur ke lantai.


Haikal yang bingung dengan situasi itu cuba untuk membantu Humaira yang mengerang kesakitan.Tetapi malang nasib Haikal apabila tubuhnya ditolak oleh Humaira hingga kepalanya terhantuk ke kaki meja di sisi katil.


Dengan sisa kekuatan yang masih ada, Humaira meluru keluar dari bilik dan turun ke tingkat bawah sambil menjerit meminta tolong.


"Ya Allah, Maira!Kenapa ni?!"


Puan Suraya yang panik mendengarkan jeritan itu tergesa-gesa mendapatkan Humaira yang tidak tentu arah.Encik Nazri juga turut membontoti Puan Suraya.


"Mak Su!Mak Su tolong Maira, Mak Su.Maira takut.."


Humaira memeluk Puan Suraya erat.


"Cakap dengan Mak Su.Ada apa ni?Maira takut apa?"


Puan Suraya turut memeluk tubuh gadis itu yang menggigil ketakutan.


"Tu, Mak Su!Lelaki tu!Dia datang nak ambik Maira!"


Humaira menyorok di belakang Puan Suraya apabila ternampak Haikal turun menghampiri mereka.


"Lelaki mana?Kal, apa Kal dah buat pada dia?"


Puan Suraya yang bingung pada mulanya kini yakin lelaki yang disebutkan Humaira itu adalah Haikal.


"Haikal, cakap dengan papa.Apa Kal dah buat?"


Giliran Encik Nazri pula bertanya.Berdebar dadanya menantikan jawapan yang bakal terlucut dari mulut Haikal.


"Buat apa pa..ma.Kal tak buat apa-apa pun.Perempuan tu yang tak betul.Tengok ni, apa dia dah buat dekat Kal."


Haikal membela diri dengan menunjukkan dahinya yang terluka akibat ditolak sebentar tadi.


"Kalau betul Kal tak buat apa-apa, takkan dia sampai takut macamni.Maira, cakap dengan pakcik.Apa dia dah buat pada Maira."


Encik Nazri tidak berpuas hati dengan jawapan Haikal.Dia ingin mendengar sendiri dari mulut Humaira.


"Maira takut pakcik.Dia nak balas dendam pada Maira!Dia takkan lepaskan Maira!"


Encik Nazri pegang kepala.Dia sendiri buntu dengan apa yang berlaku.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sue Ann