Home Novel Cinta Hati yang Terpilih
Hati yang Terpilih
Sue Ann
5/6/2022 17:52:31
11,261
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

HUMAIRA tekun menyemak beberapa helaian dokumen di atas meja.Jari jemarinya pula laju menekan punat kalkulator sambil mulut terkumat kamit menyebut angka demi angka.


"Abah, bulan ni kita untung banyak, bah!!"

Humaira bertempik gembira sambil lehernya dipanjangkan mencari kelibat ayahnya di balik rak-rak jualan.


Encik Firdaus yang sedang leka menyusun barang-barang di rak jualan segera menghentikan pekerjaannya.Humaira yang berdiri di kaunter pembayaran didatangi dengan senyum lebar.


"Alhamdulillah..kalau tiap2 bulan macamni, bolehlah abah daftarkan Maira masuk kolej."

Senyuman Encik Firdaus semakin melebar.


"Abah ni kan, tak habis-habis cakap pasal tu.Berapa kali Maira nak cakap, Maira dah tak nak belajar.Maira nak kerja.Nak tolong abah."


Humaira tarik muka.Lagi-lagi itu yang keluar dari mulut Encik Firdaus.Berbuih sudah mulutnya menyakinkan ayahnya yang dia sudah tidak berminat untuk menyambung pelajaran.Apatah lagi pada usianya yang sudah mencecah dua puluh satu tahun.Bukan lagi masa untuk memikirkan soal pelajaran.


"Yelah-yelah..Kalau memang itu yang boleh bahagiakan Maira, abah nak cakap apa lagi."


Encik Firdaus mengalah tatkala melihat wajah Humaira yang tadinya penuh ceria kini bertukar kelat.Sudah puas dia memujuk anak gadisnya itu untuk menyambung pelajaran setelah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.Bukan keputusannya tidak cemerlang, namun Humaira lebih berminat membantunya menguruskan kedai runcit yang menjadi sumber pendapatan mereka.Hasil wang dari itulah Encik Firdaus membiayai persekolahan Humaira yang telah kehilangan ibunya pada usia lapan tahun.


"Apa kata kalau kita pergi pasaraya.Kita belanja sakan."


Encik Firdaus cuba memancing minat Humaira setelah mendapati tiada respon dari anak gadisnya itu.Risau pula kalau-kalau Humaira merajuk dengannya.


"Tulah abah.Ada duit banyak sikit je nak belanja."


Humaira pura-pura tidak berminat sedangkan hatinya berbunga membayangkan tubuhnya akan menyarungkan pakaian baru.Kali terakhir dia membeli pakaian baru pun kira-kira setahun yang lepas.Bukan tidak mampu, tetapi dia lebih suka menyimpan wang daripada digunakan untuk hal-hal yang tidak perlu.Baginya selagi pakaian itu masih elok dan boleh digunakan, buat apa perlu beli yang baru.Membazir saja.


"Kalau simpan berkepuk-kepuk pun bukannya Maira nak pergi kolej..Kan lebih baik guna je."


Encik Firdaus memulang paku buah keras.Tergelak kecil dia melihat Humaira mencebik bibir.


Humaira mengemas apa yang patut sebelum mendapatkan Encik Firdaus yang sedang memasang tiang di pintu masuk.


"Awal tutup kedai hari ni, pakcik."


Razman yang datang tepat pada waktunya segera membantu Encik Firdaus menarik pintu kedai.


"Haah, Man.Nak ke bandar sekejap dengan Maira."


Balas Encik Firdaus acuh tak acuh.


"Oh yeke..kebetulan sangat tu.Saya pun nak ke bandar ni.Jomlah sekali."


Humaira menjeling Razman yang tersengih-sengih ibarat kerang busuk.


"Cepatlah, bah.Nanti lewat pulak."


Humaira memegang lengan Encik Firdaus, memberi isyarat supaya cepat-cepat beredar.Tidak betah rasanya untuk berlama-lama lagi di situ dengan kehadiran Razman.


"Takpelah, Man.Terima kasih banyak.Kereta pakcik tu tak rosak lagi.Jom, Maira."


Encik Firdaus menggamit Razman sebelum berlalu bersama Humaira.Razman mendengus kasar.Gagal lagi dia untuk memikat hati Humaira dan Encik Firdaus.Bertahun-tahun dia memendam perasaan terhadap Humaira.Dari gadis itu masih bersekolah sampailah tumbuh menjadi remaja.


Entah apa kurangnya dia di mata gadis itu.Humaira sedikit pun tidak tertawan.Bukannya dia tidak punya apa-apa.Rumah besar, kereta, apa lagi.Dalam kampung itu, keluarganya merupakan salah satu yang dikagumi dan dihormati kerana berharta.


"Sombong ya, tak apa.Bila kau jadi hak aku nanti, taulah aku nak ajar kau cara nak hormat orang."


Razman ketawa kecil membayangkan suatu hari nanti Humaira akan jatuh ke dalam dakapannya juga.




"Jauh menung, bah.Fikir apa?"


Humaira meletakkan secawan teh hangat di hadapan Encik Firdaus yang sedang duduk santai di beranda rumah.


"Tak ada apa..abah cuma fikirkan Maira."


Encik Firdaus mematikan rokon daun yang dihisapnya lalu mencapai teh hangat.Dia terbatuk kecil sebelum menghirup teh itu perlahan-lahan.


Humaira yang turut melabuhkan punggung di kerusi rotan memandang ayahnya dengan wajah berkerut seribu.


"Abah cakap ni bila abah dah tak ada nanti.Siapa nak jaga Maira?"


Encik Firdaus menyudahkan ayatnya tadi apabila Humaira hanya diam merenungnya dengan seribu satu persoalan.


"Maksud abah, abah nak Maira kahwin?"


Humaira cuba menebak fikiran orang tuanya itu.Hampir tersembur air liurnya tatkala ayahnya mengangguk perlahan.


"Abah tak main-main, Maira.Sekarang ni abah ada untuk jaga Maira, lindung Maira.Kalau Maira sorang-sorang, abah nak pergi pun tak tenang."


Encik Firdaus mengurut dadanya yang terasa ketat.Sejak dua menjak ini, makin kerap pula dadanya berasa sakit.Apabila memikirkan usianya yang semakin dimamah, kemungkinan penyakit yang dialami akan menarik nyawanya bila-bila masa saja.


"Abah sakit dada lagi ke?Esok kita pergi hospital ya, bah."


Humaira merapati ayahnya yang kelihatan sedang menahan sakit.Kata-kata ayahnya sebentar tadi menambahkan kegusaran di hati.


"Abah okey..biasalah dah tua-tua ni.Bukannya sihat macam muda-muda dulu."


Encik Firdaus tersenyum.Bukan sekali dua Humaira mengajaknya untuk melakukan pemeriksaan di hospital, tetapi dia tidak mahu membebankan fikiran gadis itu andai benar dia menghidapi penyakit berbahaya.


"Maira pun tau kan Razman tu dah dua kali masuk meminang Maira."


Encik Firdaus cuba mengalih topik perbualan dan kembali menyambung niat yang terbengkalai tadi.


"Kenapa tiba-tiba sebut nama dia?Bukan ke abah pun tak berkenan dengan si Razman tu?"


Humaira merenung mata tua itu hingga ke dasar.Tidak menyangka sama sekali nama itu yang keluar dari mulut ayahnya.Membayangkan wajah lelaki itu saja pun sudah cukup menyesakkan dada.


Encik Firdaus mengalihkan pandangan ke arah langit malam.Tidak sanggup melawan pandang mata Humaira yang kini berkaca.


"Abah sendiri pun tau kan Razman tu orang yang macamana.Abah lebih kenal dia.Abah rela ke Maira habiskan hidup Maira dengan lelaki macamtu?"


Maira tunduk.Air mata yang bergenang di kelopak sedari tadi gugur jua ke pipi.Maira sedar akan niat ayahnya.Maira tau ayahnya hanya mahukan masa depannya terjamin.Namun untuk menerima lelaki itu bukanlah satu-satunya pilihan yang dia ada.Bahkan dia lebih rela hidup melarat daripada menghambakan diri kepada lelaki yang hanya tahu menumpang senang atas harta orang tua.


Mulut Encik Firdaus terkunci seribu bahasa.Mati hidup semula pun tidak ingin dia bermenantukan lelaki seperti Razman.Namun apalah dayanya andai benar hayatnya sudah tidak lama lagi.Kepada siapa nanti dia akan berharap?Sekurang-kurangnya dengan Razman, tidaklah Humaira dibiarkan keseorangan kerana dia tahu benar bagaimana kasihnya Razman pada Humaira.Kalau tidak, masakan lelaki itu sanggup menunggu anak gadisnya itu hingga sekarang.


"Abah tak paksa..Abah tau Maira tak suka.Tapi kalau boleh Maira fikirlah baik-baik.Abah tau Razman boleh jaga Maira."


Encik Firdaus mengusap lembut kepala Humaira yang tersedu-sedu menahan tangis.


"Abah cakap ni macam abah nak tinggalkan Maira."


"Maira...


"Kalau itu yang abah nak, Maira turutkan.Tapi dengan satu syarat."


Humaira bersuara setelah dapat menenangkan diri.Encik Firdaus tersenyum lega namun dalam masa yang sama khuatir dengan syarat yang bakal dikenakan anaknya.



****************



Humaira duduk berteleku di tangga sambil memerhatikan titis-titis air hujan yang jatuh ke dalam lopak air di halaman rumah.Hujan yang turun saat itu seakan memahami gelora di hati.Keputusan dari hospital yang diterima kelmarin sangat membimbangkan hatinya.Encik Firdaus disahkan menghidapi penyakit jantung tetapi belum sampai ke tahap yang benar-benar serius.Namun mulai sekarang, ayahnya terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan bagi mencegah penyakit itu menjadi bertambah kronik.




"Sebab nilah abah nak sangat Maira kahwin dengan Razman?"


Humaira merenung sayu wajah Encik Firdaus sewaktu mereka usai makan malam bersama setelah pulang dari hospital.Seperti kebiasaannya, mereka duduk berehat di beranda rumah sambil menikmati keindahan malam.


Encik Firdaus tidak terus menjawab.Tangannya sibuk mengisi tembakau ke dalam rokok daun.


"Abah dengar kan apa kata doktor tadi?Ramai je pesakit jantung yang sembuh.Lagipun penyakit abah bukan di tahap kronik lagi."


"Abah ni dah tua.Kalau tak sebab penyakit ni pun sebab usia.Mati ni bukan sebab penyakit je."


Encik Firdaus bersuara sebelum Humaira meneruskan hujah-hujahnya yang lain.


"Tapi perlu ke dengan Razman, bah?"


Humaira mengeluh kasar.Permintaan ayahnya terlalu berat untuk dipenuhi walau apa sekalipun alasannya.


"Abah tak kisah dengan siapa-siapa, janji ada yang menjaga Maira.Tu je abah nak.Tapi kalau bukan dengan Razman, siapa lagi?Ke Maira dah ada calon?"


Encik Firdaus mengeluh melihat Humaira menggelengkan kepala.


"Hidup dekat kampung ni tak sama macam hidup dekat bandar.Kalau dekat bandar, tak kahwin sampai tua pun tak ada siapa yang nak ambil kisah.Janji boleh tanggung diri sendiri.Dekat sini hidup bermasyarakat.Selagi tak kahwin selagi tulah timbul macam-macam masalah, fitnah apa semua.Abah tak nak Maira kena tanggung semua tu nanti."


"Abah dah ikut syarat Maira.Sekarang giliran Maira pulak tunaikan permintaan abah."




Kata-kata Encik Firdaus yang satu itu tidak lekang terngiang dalam fikiran Humaira.


"Tengok muka dia pun aku tak kuasa, apa lagi nak sehidup semati."


Humaira menekup muka dengan kedua tapak tangan lalu mengelengkan kepala.Geli geliman rasanya membayangkan yang dia dan Razman duduk bersanding di pelaminan.


"Hoii, cik kak!!"


Kedatangan Yusra secara tiba-tiba mengejutkan Humaira dari mimpi ngeri yang dicipta sendiri.


"Hoii, hoii.Tak reti bagi salam ke apa?"


Humaira menjegilkan biji mata kepada Yusra.Hampir luruh jantungnya dikejutkan sebegitu.


"Dah aku tengok kau cakap sorang-sorang macam orang gila.Risau pulak aku.Ke kau tengah praktis skrip lakonan?"


Sakat Yusra lalu mengambil tempat di atas tangga berdekatan Humaira.Payung yang basah dibiarkan saja di atas simen berhampiran anak tangga.


"Ada apa datang cari aku hujan-hujan ni.Tau pulak aku ada dekat rumah."


"Aku pergi kedai kau tadi beli barang sikit.Lepas tu pakcik cakap kau balik awal, tak sihat.Tu yang aku singgah.Kau sakit apa?Aku tengok elok je."


Yusra cuba mengamati wajah Humaira yang tampak normal.


"Luaran memang sihat.Dalaman ni yang sakit."


Jawab Humaira acuh tak acuh.


"Laa pasai pa pulak..cuba cek habaigh mai"


Yusra menyakat lagi.Kali ini dengan loghat utara yang dibuat-buat.


"Aku rasa aku nak berhijrah ke bandar lah."


"Serius ke?Aku ikut!"


"Ah, macamlah mak kau tu kasi.Nak beli top up pun mintak dengan mak."


Giliran Humaira pula menyakat Yusra.Yusra hanya diam mencebik bibir.


"Tapi serius ahh kau nak pergi bandar?Abah kau macamana?"


Humaira terdiam.Gara-gara tidak mahu berkahwin dengan Razman, dia sampai terfikir untuk lari ke bandar tanpa memikirkan ayahnya.


"Aku cakap je.Kau janganlah ambil serius sangat."


Humaira ketawa kecil lalu menepuk lengan teman baiknya itu.Sekurang-kurangnya kedatangan Yusra petang itu sedikit sebanyak menghiburkan hatinya yang galau.



***************



Razman gelisah di tempat tidur.Sudah seminggu dia tidak menunjukkan mukanya di kedai Encik Firdaus.Mati akalnya untuk memujuk Humaira supaya menerimanya.Namun untuk berputus asa tidak sekali-kali.Biar ramai perempuan di kampung yang mahu mendekatinya, hanya Humaira sajalah yang menjadi idaman.


Razman bangun dari pembaringan.Dia kini berjalan mundar mandir pula sambil mulutnya terkumat kamit.Semakin lama egonya semakin tercabar.Apatah lagi dia sudah lancang bertaruh dengan rakan-rakannya untuk mengerat dua jarinya kerana pasti Humaira akan menjadi miliknya.Razman sudah tidak mampu bersabar lagi.Dia harus melalukan sesuatu.




***************



"Maira, abah nak kena pergi bandar kejap ni.Nak tengok stok baru untuk masuk kedai kita.Maira jaga kedai ya."


Kata Encik Firdaus lalu mengambil kunci kereta yang disimpan di dalam laci.


"Maira nak ikut!"


"Kalau Maira ikut siapa nak jaga kedai?Siva tu bukan boleh harap."


Encik Firdaus memandang sekilas seorang pekerja berbangsa India yang sedang leka mengeluarkan barang-barang dari kotak untuk diletakkan di atas rak-rak jualan.


"Kita tutup jelah.Maira nak ikut."


Entah kenapa kali ini Maira berdegil untuk mengikut ayahnya ke bandar.


"Tak bolehla macamtu..nanti orang kampung nak beli barang susah pulak.Lagipun awl lagi nak tutup."


Humaira hanya mampu mencebikkan bibir.Kelibat Encik Firdaus dihantar dengan bola mata hingga hilang dari pandangan.Tangan diletakkan ke dada.


"Kenapa aku rasa macam tak sedap hati je ni?"





Razman memandu keretanya sambil bersiul-siul.Rindu benar rasanya pada Humaira.Kali ini dia nekad untuk mengajak Humaira keluar bersamanya walaupun terpaksa melutut di hadapan gadis itu.Mungkin dengan cara memperlakukan Humaira seperti seorang puteri, hati gadis itu akan cair untuk menerimanya.


Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering nyaring.Sewaktu mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya, secara tidak sengaja telefon itu terlepas dari genggaman dan jatuh ke bawah tempat duduk pemandu.Razman meraba-raba telefon bimbitnya dengan susah payah.Tanpa sedar keretanya kini sudah memasuki laluan yang bertentangan.Lantang bunyi hon yang kedengaran mengejutkan Razman lalu dengan pantas memusingkan stereng ke tepi jalan dan menekan brek.


Razman mengurut dadanya lega kerana tidak terjadi apa-apa namun pantas berpaling ke belakang saat mendengar bunyi dentuman yang agak kuat.Dengan dada yang berdebar, Razman keluar dari kereta perlahan-lahan.Dia menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum menuju ke arah sebuah kereta yang tersadai di tepi jalan setelah melanggar sebatang pokok.


Jantung Razman berdegup kencang setelah mengenali kereta itu.Perlahan-lahan Razman mengintai ke tempat pemandu dan mendapati Encik Firdaus sedang mengerang kesakitan sambil memegang dada.


"Pak..cik.."


Tergagap-gagap Razman bersuara.Dia panik.Dipandangnya sekeliling yang sunyi sepi.Kebetulan pada ketika itu tiada satu kenderaan pun yang melewati jalan tersebut.


"To..long pak..cik Man, u..ubat pakcik..."


Dengan susah payah Encik Firdaus cuba mengambil ubatnya yang berada di dalam dashboard di bahagian tempat duduk penumpang.Rasa sakit yang semakin menjalar menyukarkannya untuk bergerak dan bernafas.


"Ubat?"


Razman bingung seketika.Melihatkan keadaan Encik Firdaus itu, yakinlah dia bahawa orang tua itu mengalami sakit jantung.Razman mula mendapatkan idea jahat.


"Kalau dia mati sebab sakit jantung, bukan akulah yang sebabkan dia kemalangan kan?Dan kalau dia mati, lagi mudahlah aku nak dapatkan Humaira."


Sempat Razman berbicara sendiri tanpa mempedulikan nasib Encik Firdaus yang nyawa sudah di hujung tanduk.Sambil memastikan yang tiada sesiapa melihat kejadian itu, Razman bergegas mendapatkan keretanya kembali lalu memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.




"Maira!Maira!"


Termengah-mengah Yusra berlari mendapatkan Humaira yang berada di kaunter.


"Ada apa ni Yusra?"


"Pakcik, a..abah kau.Ada orang jumpa abah kau pengsan dalam kereta.Mungkin sekarang ni dah bawak pergi hospital."


"Ya Allah, abah!"


Humaira terjelepuk ke lantai.Lemah segala anggota badan menerima perkhabaran itu.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sue Ann