Home Novel Cinta THE PERFECT COUPLE
THE PERFECT COUPLE
Dea Zoraya
13/9/2016 15:22:48
107,293
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Bab 5

Aku meneguk habis segelas air kosong sejurus aku tiba di butikku. Lebih kurang sejam juga aku menunggu dan menaiki teksi dari bengkel tempat lelaki angkuh itu bekerja ke butikku. Aku merasakan tahap kepanasan cuaca tengah hari itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan tahap kemarahan yang sedang memuncak di dalam hatiku. Masih terbayang-bayang wajah selamba lelaki yang bernama Fahin itu menuduh aku macam-macam tadi.

“Geram betul aku dengan mamat tu. Mulut dia tu memang tak ada insurans langsung. Menyesal pulak aku ke sana tadi.” Gumamku sendirian sejurus aku melabuhkan punggung di atas kerusi di hadapan meja cashier.

Aku memandang ke arah sekeliling butikku yang lengang. Kebiasaannya pada hari-hari bekerja biasa seperti hari ini agak jarang pengunjung atau pelanggan datang ke butikku.Kalau ada pun selepas waktu bekerja hinggalah ke malam hari. Selalunya aku dan Ifah akan lebih fokus kepada kerja-kerja mengepos pesanan online atau membuat kerja-kerja menjahit.

Ifah pula meminta izin untuk balik lebih awal kerana mahu ke rumah bakal mertua katanya. Kasihan pula pada kawanku itu yang terpaksa melewatkan waktu makan tengah harinya juga kerana menunggu aku yang membuat kerja sia-sia tengah hari tadi! Projek mengurat yang tidak menjadi itu lah.

Ketika aku sedang membasuh gelas yang aku gunakan tadi di singki yang terletak di bahagian belakang yang berdekatan dengan stor, aku terdengar bunyi pintu dikuak dari arah hadapan.

“Selamat datang!” Ucapku ramah bersama sebuah senyuman yang aku ukirkan di bibirku.

Namun begitu, sejurus sahaja mataku tertancap ke arah seseorang yang sedang melangkah masuk itu, senyumanku itu mati serta merta. Aku menelan liur sambil mataku tidak lepas dari memandang wajah Abang Karim yang sedang melangkah menghampiriku.

Aku mengundur setapak demi setapak ke belakang tatkala aku terkesan wajah bengis itu semakin menghampiriku. Aku mula rasa takut dan cemas kerana sementelah tidak ada sesiapa di dalam ruang butik ini selain dari kami berdua.

Aku mengalihkan pandanganku ke arah kotak yang berisi pakaian di belakangku dan tanganku mula sibuk mencapai sehelai blouse lalu aku berpura-pura meneleknya.

“Wah...bagus bisnes kau sekarang ya. Dah bukak kedai baru lagi. Kenapa tak jemput aku?”Abang Karim tersengih-sengih lalu kain blouse di tanganku direntapnya.

Aku memandang ke arah penampilannya yang selekeh dan tidak terurus itu. Dengan misai dan janggut dibiar tumbuh meliar di wajah ditambah dengan pakaian yang mungkin tidak bertukar beberapa hari itu membuatkan Abang Karim kelihatan seperti kutu jalanan.

“Aku cakap dengan kau ni bukan dengan dinding!” Tanganku direntapnya.

Aku melepaskan sebuah keluhan. “Abang nak apa cari saya ni? Kan saya dah kata jangan ganggu saya lagi.” Aku memberanikan diri membalas pandangan matanya walaupun aku tahu lelaki itu sangat panas baran orangnya.

“Kau...” Belum sempat Abang Karim memaki hamunku kedengaran seseorang menolak pintu masuk.

“Keluar...butik ni tutup sekarang. Balik!” Jerkah Abang Karim terhadap seorang gadis yang sedang berdiri di pintu masuk.

Gadis yang mungkin ketakutan kerana ditengking itu terus melangkah keluar dan meninggalkan butikku. Aku mula rasa geram dengan perbuatan Abang Karim yang bagiku terlalu biadap itu.

“Abang pandai-pandai halau pelanggan saya kenapa? Kalau niat abang nak tutup periuk nasi saya hari ni, baik abang balik sebelum saya telefon polis.” Aku mula menggunakan ugutan agar lelaki itu segera beredar.

Aku tergamam apabila leherku tiba-tiba dicengkam kuat oleh Abang Karim. Tubuhku terdorong ke belakang merapati dinding. Aku memegang tangannya yang melingkari leherku dan aku berusaha untuk menariknya dari terus mencengkam leherku. Aku rasa semakin sukar untuk bernafas apabila Abang Karim semakin menekan leherku dengan jari-jemarinya.

“Kau jangan berani-berani nak ugut aku Eryna! Kau tak kenal lagi perangai aku macam mana? Dah tak ingat macam mana aku pukul kau dulu? Nak aku buat lagi ke hari ni!” Tengking lelaki itu kuat yang membuatkan bulu romaku berdiri tegak.

“Lepaslah!” Aku menjerit ketakutan.

Kali ini mulutku pula diterkup dengan sebelah tangannya. Abang Karim sudah gila agaknya! Aku mula terhidu bau alkhol yang kuat yang datangnya dari nafas Abang Karim. Ternyata lelaki ini sudah hilang akal kerana mabuk.

Dengan seluruh daya yang ada aku menolak tubuh lelaki itu sekuat hati sebelum aku terus melangkah untuk menuju ke arah pintu. Namun baru selangkah aku berlari, aku terjelupuk tersungkur ke lantai apabila kakiku disadung oleh lelaki itu.

Aku mengerang kesakitan tatkala lelaki itu menarik kuat rambutku dan memaksa aku untuk berdiri. Airmataku mula merembes keluar. Aku mula menangis kerana ketakutan.

“Kau sekarang nak berlagak dengan aku? Hah? Sebab kau dah senang...dah kaya kau lupa pada aku lah ya perempuan?” Abang Karim yang mabuk itu merentap kuat rambutku.

“Abang nak apa?Kalau nak duit saya boleh bagi.” Ujarku dalam esakan.

Abang Karim ketawa bagai hilang akal. “Aku nak duit tu betul. Tapi yang paling penting aku nak kau! Aku dah lama nak kan kau tapi kau tak pernah pandang aku. Kau pandang hina pada aku.”

“Lepaskan saya bang....sakit abang buat saya macam ni.” Aku merayu.

“Aku tak nak lepaskan kau! Kalau aku lepaskan kau...kau akan hidup bahagia dengan lelaki lain. Kau ingat aku tak tahu kau ada kekasih orang kaya? Aku ada mata nampak kau keluar dengan lelaki kaya tu. Aku tak boleh terima Eryna.” Kali ini emosi Abang Karim tiba-tiba berubah sedih.

“Saya tak suka abang. Saya tak cintakan abang. Jadi lepaskan saya!” Aku mula meninggi suara sekali lagi.

Perlahan-lahan tangannya yang mencengkam rambutku beransur lepas. Namun sesaat selepas itu aku merasakan tubuhku melayang tersungkur ke lantai apabila Abang Karim menolak kuat belakang badanku. Aku mengesot beberapa tapak ke belakang menjauhinya yang mungkin bila-bila masa sahaja akan membelasah tubuhku itu.

“Kau nampak tak tangan aku yang cacat ni. Kau ingat lagi tak sebab siapa aku jadi macam ni?” Aku nampak mata Abang Karim berair ketika dia mengajukan tangan kanannya yang menggigil-gigil di hadapanku.

Aku memandang sayu tangan yang terkulai itu. Perlahan-lahan airmataku kembali merembes keluara pabila memori lama kembali menggamit ingatanku. Aku masih jelas sehingga kini peristiwa yang membuatkan tangan Abang Karim menjadi cacat. Itu semua terjadi kerana aku! Kerana mahu menyelamatkan aku yang degil menunggang basikal tanpa brek di atas jalanraya, tangan Abang Karim digilis tayar sebuah kereta.

Sejak daripada peristiwa itulah, Abang Karim seakan-akan mahu membalas dendam terhadapku. Dia tidak boleh menerima kenyataan yang tangan kanannya itu sudah tidak berfungsi lagi. Dia cacat kerana aku dan kerana itu dia terlalu membenci diriku.

Kerana rasa bersalah yang amat dalam pada Abang Karim lah aku tadahkan tubuhku membiarkan dia melepaskan rasa geramnya. Namun sejak lelaki itu mula berjudi dan menjadi pemabuk aku mula membenci dirinya. Bagiku sudah bertahun lamanya aku menanggung derita dan memikul beban apabila dituduh pembawa malang kepada mereka sekeluarga. Aku kini tekad tidak akan membiarkan lagi tubuhku menjadi mangsa pelepas amarah Pak Long atau Abang Karim sekalipunn.

“Dah tujuh belas tahun Abang pendam rasa benci dan dendam pada saya...tak cukup lagi ke saya tadahkan tubuh saya ni jadi mangsa amukan abang?” Aku berani menjawab.

Pang! Terasa pipi kananku berbahang apabila tangan lelaki itu mendarat. Perlahan-lahan terasa cecair panas mengalir keluar dari celah bibir.

“Sampai bila-bila pun aku akan ganggu hidup kau. Kalau kau tak nak aku terus malukan kau, baik kau terima aku jadi suami kau Eryna.”

Aku memberanikan diri memandang tajam wajah Abang Karim. “Kalau saya mati sekalipun saya sanggup, daripada menjadi isteri abang yang akan membuatkan saya terseksa sepanjang hidup.” Balasku berani.

Abang Karim ketawa kuat sebelum dia menghampiriku sekali lagi. Kali ini pipi sebelah kiriku pula menjadi mangsa. Aku memeluk kejap tubuhku menahan kesakitan apabila tubuhku disepak dan ditendang seperti sebiji bola. Pakaian yang tersusun kemas di rak-rak juga habis direntap dan disepahkanya yang membuatkan butikku tak ubah seperti tongkang pecah dalam sekelip mata.

“Aku tak akan lepaskan kau! Kau ingat tu Eryna. Kau jangan mimpi nak hidup bahagia dengan jantan lain selagi aku hidup. Aku akan musnahkan hidup nanti. Ingat tu perempuan tak guna!” Tengking Abang Karim sebelum dia berlalu ke meja cashier lalu mengambil kesemua wang yang terdapat di dalam laci.

Aku memejam kedua-dua belah mataku ketika lelaki itu melintasiku untuk ke arah pintu keluar. Aku masih lagi terbaring kesakitan di atas lantai. Terasa lemah longlai seluruh tubuhku ketika itu. Airmata tidak lagi menitis seperti tadi. Rasa kesakitan yang aku tanggung itu tidak mampu lagi membuatkan aku menangis.

Perlahan-lahan dengan menggunakan kekuatan tangan aku membantu tubuhku untuk duduk. Sejurus selepas itu aku terpandang ke arah cermin besar di hadapanku yang mempamerkan dengan jelas biasan diriku yang teruk dibelasah.

Kedua-dua belah pipiku bengkak dan terdapat kesan merah jari-jemari Abang Karim yang menampar kuat pipiku tadi. Darah merah yang mengalir di tepi bibirku yang pecah aku pandang lama. Aku menyingsing lengan kemeja yang aku pakai, terdapat beberapa juga kesan lebam di sana. Kemudian aku beralih memegang bahagian perutku yang terasa kejang ditendang tadi. Kerana itulah aku tidak mempunyai daya untuk berdiri.

Tanganku masih lagi menekan bahagian perutku yang semakin menjadi-jadi berdenyut. Aku menelan liur untuk entah ke berapa kali dan sedaya upaya aku cuba menahan rasa sakit yang semakin menjalar ke seluruh tubuh.

Perlahan-lahan aku membuka mataku tatkala aku terdengar bunyi derap langkah seseorang semakin mendekati. Aku takut kalau-kalau Abang Karim kembali. Aku tergamam, terpaku dan terkedu apabila mataku dapat mengesan dan mengecam wajah seseorang yang betul-betul sedang berdiri hanya beberapa inci jauh dariku itu. Lelaki itu adalah Fahin!

Wajah lelaki itu nampak benar-benar pucat dan matanya pula tidak lepas dari merenung ke arahku. Nampaknya lelaki itu benar-benar terkejut melihat akan keadaan diriku. Perlahan-lahan tanpa aku pinta, lelaki itu melutut di hadapanku.

Aku terkesan ada air jernih bergenang di peluput matanya saat itu. Adalah dia sedih melihat keadaan diriku? Aku yang masih terkejut dengan kehadirannya yang sungguh tidak aku jangka itu turut tergamam dengan perlakuannya yang bagiku sangat spontan itu. Tetapi entah mengapa aku merasakan bagaikan ada air embun yang menyirami hatiku yang membuatkan diriku terasa sejuk dan terubat tatkala aku memandang ke arah wajah Fahin yang sedang merenung lembut wajahku saat itu.

“Aku ada di sini untuk kau. Jangan takut.” Ujarnya lembut yang membuatkan aku terasa ada satu perasaan indah mula meresap masuk ke dalam hatiku. Aku sempat tertanya-tanya sendiri tentang sejak bila lelaki itu tahu akan namaku.

Perlahan-lahan tangan kanannya dihulurkan kepadaku sebagai isyarat untuk membantu aku bangun.“Biar aku bantu kau...aku tak tahu apa yang dah jadi sebenarnya, tapi sekurang-kurangnya bagi aku untuk tolong kau.” Sebuah senyuman dilemparkan kepadaku. Senyuman manis lagi ikhlas yang kali pertamanya aku lihat mekar dibibirnya.

“Awak buat apa kat sini?” Soalku tergagap-gagap kerana masih terkejut dengan kehadirannya di hadapan mataku.

“Ini kunci kereta kau. Kereta kau dah siap. Kau bagi Man alamat butik kau tadi kan? Aku yang volunteer nak hantar kereta kau.Sebabnya...aku...aku minta maaf kerana bercakap kasar dengan kau tadi. Tak patut aku tuduh kau macam tu. Maaf sekali lagi.” Fahin senyum sekali lagi.

 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.